Jumaat, Mei 27, 2011

13 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid Bah. 7

Pencemaran #7: Menggunakan Tangkal dan Azimat

Termasuk dalam kemurnian tauhid adalah keyakinan sepenuhnya bahawa tidak ada yang akan dapat membawa manfaat atau menolak mudarat melainkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Firman Allah:

Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dan Dialah yang Berkuasa atas sekalian hamba-Nya (dengan tadbir dan takdir); dan Dialah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam Pengetahuan-Nya. [al-An‘aam 6:17-18]

Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu:

“Siapakah yang mencipta langit dan bumi ?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah (kepada mereka):
“Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahaya-Nya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmat-Nya itu ?”

Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepada-Nyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri”. [az-Zumar 39:38]

Di kalangan masyarakat kita ada yang menggunakan sesuatu benda dengan keyakinan ia dapat memberikan manfaat atau menolak mudarat. Benda itu ialah tangkal dan azimat.[25] Penggunaan tangkal mencemari kemurnian tauhid kerana benda tersebut dianggap sejajar dengan kekuasaan Allah, malah mengambil alih kekuasaan Allah dalam menentukan apa yang dapat membawa manfaat dan menolak mudarat.

Oleh kerana itulah apabila Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berhadapan dengan orang yang memakai tangkal, baginda bersikap tegas terhadapnya. Baginda terus melarang tanpa bertanya terlebih dahulu apakah tujuan seseorang itu memakai tangkal atau adakah tangkal tersebut dijampi dengan ayat-ayat al-Qur’an.

Dalam satu riwayat, sepuluh orang telah datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk berbai‘ah kepada baginda (memeluk Islam). Baginda menerima bai’ah mereka kecuali seorang. Lalu ditanya kepada Rasulullah, kenapa tidak diterima bai’ah orang tersebut. Rasulullah menjawab:

Sesungguhnya padanya terdapat tangkal.

Kemudian orang tersebut memasukkan tangannya (ke dalam baju) dan melepaskannya. Maka Rasulullah menerima bai‘ahnya seraya bersabda:

"Sesiapa menggantung tangkal maka sesungguhnya dia telah (berbuat) syirik."

Tangkal tidak akan mendekatkan manfaat atau menjauhkan mudarat bagi orang yang memakainya. Bahkan ia menjauhkan manfaat dan mendekatkan mudarat. Ini kerana mendekatkan manfaat atau menjauhkan mudarat dapat diperoleh dengan merujuk terus kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Menggunakan tangkal sebagai “jalan tengah” tidak akan memberi apa-apa faedah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda berkenaan penggunaan tangkal:

"Sesiapa menggantung tangkal maka Allah tidak akan menyempurnakan baginya (hajatnya) dan sesiapa menggantung cengkerang siput maka Allah tidak akan mententeramkan baginya (dengan siput tersebut)."

Dalam satu riwayat lain Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat seorang lelaki yang ada ikatan di tangannya, lalu baginda bertanya: “Apakah ini?” Lelaki itu menjawab: “Aku menjadikannya sebagai pelindung daripada al-Wahinah.” Lalu Rasulullah bersabda:

"Tiadalah ia menambah bagi kamu kecuali kelemahan. Lemparkan ia daripadamu, kerana sesungguhnya jika kamu mati dan ia berada di atasmu, tidaklah ia akan membantu kamu selama-lamanya (yakni di Hari Akhirat)."

Tangkal juga dilarang penggunaannya ke atas binatang sebagaimana perintah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:

Janganlah dibiarkan di leher unta kalung (yang diperbuat) daripada tali atau (apa-apa jenis) kalung kecuali dilepaskan.

Berkata Malik (bin Anas), yang sedemikian (memakaikan kalung) adalah untuk menjauhkan dari penyakit ‘Ain.

Ada pendapat yang membolehkan penggunaan tangkal apabila ia dijampi dengan ayat-ayat al-Qur’an atau zikir-zikir kepada Allah. Antara yang berpendapat sedemikian ialah Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) yang berkata:

Semua ini (hadis-hadis yang melarang tangkal) adalah pada menggantung tangkal dan yang selainnya daripada apa yang tidak diperbuat (dijampikan) dari (ayat-ayat) al-Qur’an atau yang seumpama. Adapun apa yang diperbuat dengan (jampian) zikrullah maka tidaklah ia dilarang padanya, kerana sesungguhnya ia hanya dilakukan sebagai tabarruk (mencari keberkatan) dengannya, perlindungan dengan nama-nama-Nya dan zikir kepada-Nya

Ibn Hajar berpendapat sedemikian berdasarkan beberapa hadis yang menerangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang telah menjampi dirinya dan telah juga mengajar jampi kepada ahli keluarga dan para sahabat yang terdiri daripada kalimah-kalimah zikir kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.[32]

Pandangan ini perlu dianalisa semula seperti berikut:


1. Hadis-hadis yang melarang penggunaan tangkal adalah umum tanpa mengambil kira sama ada ia dijampi dengan al-Qur’an atau tidak.

2. Sama-sama diketahui bahawa penggunaan tangkal adalah sangat lazim pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Seandainya penggunaan tangkal dibolehkan jika ia dijampi dengan ayat al-Qur’an atau zikir, nescaya baginda akan mengajarnya kepada para sahabat dan ini akan sampai kepada kita melalui hadis-hadis yang sahih. Memandangkan baginda tidak melakukan sedemikian, bererti ia sememangnya tidak dibolehkan oleh baginda.

3. Terdapat perbezaan yang besar antara pengamalan jampi-jampian dan penggunaan tangkal sekalipun kedua-duanya terdiri daripada kalimah-kalimah Allah. Jampi-jampian adalah memohon terus kepada Allah manakala tangkal berperanan sebagai “jalan tengah” antara seorang hamba dengan Allah. Seandainya seorang pengguna tangkal mendakwa bahawa yang sebenarnya memberi pengaruh adalah Allah dan bukannya tangkal, maka bukankah pertolongan Allah itu dapat diperolehi secara terus, tanpa melalui “jalan tengah”?

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka):

sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. [al-Baqarah 2:186]

Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [al-Mu’min 40:60]

Seorang yang menggunakan tangkal dengan dakwaan bahawa yang sebenarnya memberi pengaruh adalah Allah, lambat-laun akan terperangkap juga dengan “pengaruh” daripada tangkal tersebut. Iaitu apabila dia sudah biasa menggunakan tangkal lalu di satu hari dia terlupa memakainya, maka hatinya akan menjadi gusar lagi resah, tidak lagi yakin untuk menempuh harinya itu melainkan dengan penuh ketakutan, kebimbangan dan was-was. Berbagai-bagai imaginasi yang buruk sentiasa tergambar di dalam fikirannya, diikuti dengan berbagai-bagai bisikan negatif dalam sanubari. Inilah yang penulis maksudkan dengan: “lambat-laun akan terperangkap juga dengan ‘pengaruh’ daripada tangkal tersebut”. Ahmad bin Hanbal rahimahullah (241H) pernah ditanya tentang penggunaan tangkal, beliau menjawab: “Sesiapa yang menggunakan tangkal (lambat laun) akan bergantung kepadanya.”[33]

Perlindungan sebenar dari ayat-ayat al-Qur’an dan zikrullah adalah pada kefahaman dan keyakinan kepada yang diseru dalam kalimah-kalimah tersebut sebagai pelindung, yakni Allah Subhanahu wa Ta'ala. Menggantungnya tidak membawa sebarang faedah kecuali salah guna dan penghinaan.

Maka berdasarkan analisa di atas, dapat dirumuskan bahawa pendapat yang lebih selamat ialah penggunaan tangkal tetap dilarang sekalipun ianya dijampi dengan ayat-ayat al-Qur’an atau zikir-zikir.

Tiada ulasan: