Da Vinci Code adalah suatu fenomena baru dunia sekarang. Khabarnya, 60.5 juta copy buku tersebut telah dijual dalam 40 bahasa. Intipatinya dikatakan bukan baru tetapi dipakej semula dengan begitu menarik. Holy Blood, Holy Grail, buku yang diterbitkan lebih awal membawa tema yang sama dan penulis buku berkenaan turut menyaman Dan Brown kerana dikatakan menciplak idea mereka untuk menulis buku Da Vinci Code.
Persoalan dan intipati Da Vinci Code ini sebenarnya lebih tepat dilihat dari pelbagai persepektif. Orang Islam secara dasarnya tidak berasa "terancam" dengan persoalan Da Vinci Code. Ia adalah "masalah dalaman" orang Kristian. Bagi kita, yang penting adalah Nabi Isa sebagaimana yang digambarkan di dalam Al Quran dan al hadith. Seorang nabi sebelum Nabi kita Muhammad yang ditolak Bani Israel dan kemudian diangkat oleh ALlah SWT ke langit. Baginda akan muncul semula di akhir zaman untuk menghapuskan Dajjal Al Masikh dengan mengikut syariat nabi Muhammad.
Tetapi, bagi orang Kristian, ia adalah serangan terus ke akidah mereka. Akidah mereka mempercayai Nabi Isa adalah satu-satunya anak Tuhan. Sekarang, mereka dibawakan kisah bahawa "anak Tuhan" mereka berkahwin dan mempunyai keturunan. Maka, ia tidak terhenti sekadar anak Tuhan, tetapi ada cucu Tuhan, cicit Tuhan dan piut Tuhan. Mungkin ada orang di tepi jalan mengaku bahwa Tuhan adalah moyangnya. Ini membuatkan pihak gereja dalam keadaan bingung.
Vatican terutamanya gereja Roman Katolik menganggap ini merupakan pembohongan paling besar. Mereka juga menyeru supaya orang Kristian bangkit untuk menolak pembohongan ini. Ada yang mendakwa buku Da Vinci Code ini setaraf Satanic Verse bagi orang Islam. Malah, ada paderi-paderi besar yang menggeleng kepala, jika ini berlaku kepada orang Islam sudah lama buku itu ditarik pasarannya di kedai-kedai buku dan filem itu ditarik balik dari panngung wayang. Mereka kesal, bahawa orang Katolik tidak sayang kepada Jesus Christ sebagaimana orang Islam menyayangi nabi mereka.
Dari satu aspek, Da Vinci Code adalah manifestasi dendam Freemason terhadap Gereja Katolik. Freemason adalah pertubuhan sulit yang didasari dari Knights of Templar. Knights of templar adalah order yang ditubuhkan oleh tentera Salib di Baitul maqdis untuk mempertahankan Baitulmaqdis dari ditawan semula orang Islam dan melindungi penziarah-penziarah Kristian dari Eropah.
Sebahagian sejarawan percaya sepanjang pendudukan tentera Salib di Baitulmaqdis pelbagai artifak purba ditemui oleh Knights of Templar menyebabkan mereka menilai semula pandangan mereka sendiri terhadap agama Kristian dan mewujudkan kepercayaan mereka sendiri terhadap agama Nasrani itu sendiri. Salah satu dikatakan bahawa Nabi Isa mempunyai anak dan tanggunjawab mereka dalah untuk mempertahankan keturunan suci ini. Nyata sekali, doktrin ini bertentangan dengan doktrin Gereja Roman Katolik.
Asbab ini dijadikan punca untuk melenyapkan order ini oleh Raja Philip Perancis yang banyak hutang dengan Knights of Templar. Oleh itu, mereka dibakar hidup-hidup pada awal abad ke-14. Selepas itu, Knights of Templar lenyap terus dari muka bumi. Dikatakan bahawa Leornado da Vinci, Isaac Newton adalah pewaris pertubuhan sulit ini dan berkembang sebagai Freemason. Sebagaimana Knights of Templar, mereka juga mempunyai upacara khas untuk mengganggotai pertubuhan ini dan mempunyai sumpah setia mereka sendiri.
Oleh itu, kita dapat melihat bahawa golongan Freemason telah memulakan saat untuk memunculkan diri mereka setelah bersembunyi buat sekian lama. Sebelum ini, beberapa filem telah memuatkan perkara ini, di antaranya adalah The National Treasure. Fenomena ini bukan sahaja merupakan kempen terus untuk menghancurkan nilai-nilai Kristian tetapi juga kepada umat Islam kerana Knights of Templar sendiri ditubuhkan untuk menentang umat Islam. Orang Yahudi dianggap perlu pulang ke Palestin kerana dengan pulangnya mereka ke sana, kedatangan "Tuhan" ke atas muka bumi akan dipercepatkan. Oleh itu, dasar ini menguntungkan Yahudi.
Freemason dikatakan bukan sahaja dianggotai oleh orang Kristian tetapi juga pelbagai agama. Mereka hanya disuruh berbai'ah kepada "Supreme being", maka orang Hindu dan Buddha boleh menganggotai mereka. Oleh itu, beberapa pertubuhan dunia ini selagi mana mereka mempunyai konsep kerahsiaan dan lapisan keahlian adalah terus berhubung dengan Freemason ini.
Ajaran Islam tidak membezakan manusia dari aspek keturunan. Anak Nabi Nuh juga sesat dan tidak dapat diselamatkan oleh ayahandanya. Tiada faktor keturunan dalam iman. Untuk memeluk Islam, cukup sekadar mengucap "Tiada Tuhan yang disebabkan melainkan Allah, dan Muhammad pesuruhnya". Tiada ritual pelik-pelik. Malahan bai'ah Aqabah dan sebagainya bukan menjadikan seorang sahabah lebih elit dari sahabah yang lain, kerana asas yang ada ialah taqwa dan iman. Tiada diskriminasi di antara seorang bertaqwa dengan seorang yang bertaqwa yang lain.
Jika ada yang membezakan salah seorang dengan yang lain atas dasar menganggotai atau bersumpah janji maka itu bukan dari Islam. Itu adalah warisan Tentera salib bernama Knights of Templar. Dan ingat, yang mengalahkan tentera Salib itu adalah golongan manusia ikhlas di bawah pimpinan Nuruddin Zangki dan disambung pula oleh Salahuddin Al Ayubi. Yang ada ialah disiplin yang ketat dalam ibadah dan juga ketenteraan bukannya sumpah yang membezakan tentera biasa dan tentera elit.
Fenomena Da Vinci Code menandakan bahawa Dajjal dan barisannya makin menguatkan saf-saf mereka. Malahan, ada disebutkan juga yang bersama mereka adalah kaum Khawarij iaitu anak muda yang bersemangat dalam agama tetapi kosong dari segi penghayatan. Mereka lebih terdorong dengan taktik-taktik Dajjal dan Massuniyyah terutamanya ikatan bai'ah dan janji setia melalui upacara-upacara yang tiada nas dari sudut agama. Akhirnya, mereka menjadi apparatus kepada kebangkitan syaitan di akhir zaman. Oleh itu, kita harus mengambil pengajaran daripada AL Quran dan sunnah dan sentiasa bersama dengan Allah dan rasul serta pemerintah yang berada di kalangan kita supaya tidak terjebak dengan perangkap Dajjal Al Masikh.