Rabu, Mac 10, 2010

Hukum Memakai Kopiah, Songkok dan Serban

Memakai serban dan kopiah adalah sebahagian daripada Sunnah Nabi, ini berdasarkan sabdanya:

Sabda Rasulullah SAW:

دخل النبي صلى الله عليه وسلم مكة يوم الفتح و عليه عمامة سوداء

Maksud: “Nabi SAW memasuki Kota Mekah sewaktu pembebasan Mekah, baginda memakai serban hitam”.

Pemakaian serban dan kopiah sudah sinonim dalam masyarakat Islam di seluruh dunia dan ia juga telah dijadikan amalan seharian masyarakat walaupun di luar urusan ibadah terhadap Allah. Justeru itu, adalah sukar bagi sesetengah individu untuk menukar pemakaian serban dan kopiah kepada pemakaian songkok seperti yang biasa dipakai oleh segelintir masyarakat Melayu.

Telah menjadi budaya masyarakat Islam setempat mengamalkan cara pemakaian songkok atau kopiah mengikut tempat :
a. masyarakat Melayu Islam sebelah Pantai Timur memakai kopiah putih dan serban.
b. masyarakat Melayu Islam sebelah Pantai Barat memakai songkok hitam.

Pada asalnya, kopiah dan songkok itu adalah sama dari segi rupa, bentuk dan warna (berwarna putih atau hitam). Sementara serban pula dipakai bersama dengan kopiah mengikut amalan Rasulullah S.A.W. Setelah perubahan zaman sehingga Zaman Uthmaniyah, bentuk songkok diubahsuai menjadi tarbus. Kini, songkok dalam budaya Melayu difahami dengan rupa hitam dan keras. Manakala, kopiah difahami dengan warna putih dan lembut.


3 PANDANGAN ULAMA’

3.1 PANDANGAN ULAMA’ TERHADAP SERBAN & KOPIAH

Firman Allah Taala dalam Surah Al-A’raf ayat 31

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada setiap kali kamu ke tempat ibadah ( atau mengerjakan sembahyang ) dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”.

Menurut Imam al-Mawardi, maksud berhias di dalam sembahyang ialah memakai secantik-cantik pakaian . Manakala menurut pendapat Imam Abu Hayyan, zahir ayat di atas menunjukkan bahawa berhias dengan secantik-secantik pakaian (termasuklah memakai songkok dan berserban) bukan sahaja dituntut di dalam sembahyang bahkan di luar waktu sembahyang (setiap masa dan ketika) .

Menurut Sheikh Mahmud Syaltut, ketika memberi jawapan kepada soalan berhubung dengan sembahyang tanpa serban, kopiah atau songkok di kepala, beliau berpendapat tidaklah menjadi syarat sah sembahyang dengan menutup kepala atau tidak dan tidak pula disyaratkan jikalau untuk menutup kepala mesti dengan penutup khas. Walaupun begitu, bagi seseorang Islam eloklah dia bersembahyang dengan memakai serban, kopiah atau songkok dengan syarat tidak menutup dahi ketika sujud.

At- Tarmizi dan Muslim meriwayatkan daripada Ja’far bin ‘Amrin bin Huraith, daripada bapanya katanya:

رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم وعليه عمامة سوداء قد أرخى طرفيها بين كتفيه

Maksud: “Aku melihat Rasulullah SAW di yang memakai serban hitam di mana Baginda melabuhkan kedua hujungnya di antara dua bahunya”.

Berkata pengarang kitab Al-Mishbah : Hassan bin Ali dan Ibnu Zubair pernah memakai serban hitam ketika berkhutbah dan begitu juga Anas, Muawiyah, Ammar dan lain-lain lagi. Dan adalah Sa’id bin Musayyib memakai serban hitam pada hari raya puasa dan haji.

Berdasarkan yang demikian, sebahagian ulama berpendapat tidak perlu mengkhususkan dirinya dengan memakai serban hitam sama ada hari Jumaat atau hari-hari yang lain.

Berkata Imam Nawawi : “Memakai warna putih adalah lebih utama. Dan serban putih adalah lebih sesuai sebagai perhiasan para ulama’ pada zaman ini”.

Muslim, At-Tirmizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jabir R.A. katanya :

إن النبي صلى الله عليه وسلم دخل مكة وعليه عمامة سوداء

Maksud : “Bahawasanya Nabi S.A.W. memasuki kota Makkah dengan memakai serban hitam.

Dalam hadis Jabir R.A. di atas, Rasulullah SAW memasuki kota Makkah dengan memakai serban hitam dan hadis ini tidak pula menyebutkan adanya ekor serban di antara kedia-dua bahu baginda.

Berkata Ibnu Qayyum : Hadis Jabir ini menunjukkan Baginda SAW tidak selamanya menjuntaikan ekor serban baginda. Selain daripada itu, Baginda juga terkadang melilitkan sebahagian serban itu ke bawah dagu, yang di antara tujuannya ialah menjaga supaya serban itu tidak jatuh dari kepala. Dan tercapailah tujuan memakai serban itu dengan mana-mana cara sekalipun.

Menurut Sheikh Muhammad Rasyid Reda, erti serban sebagaimana yang telah disebutkan oleh sesetengah orang ialah setiap apa yang diikat di kepala sama ada di bawah kopiah, atau di atas songkok, atau yang dililitkan ke atas kopiah, atau sebagainya.

Sheikh Muhammad Rasyid Reda pernah ditanya adakah memakai serban itu sunnah rasulullah SAW dan adakah orang yang memakai serban itu mendapat pahala. Untuk menjawab soalan itu, beliau memberikan jawapan berikut :
”Telah tsabit dalam hadith bahawa Nabi SAW terkadang :
1. memakai serban di atas kopiah, dan inilah sering berlaku
2. memakai serban tanpa kopiah
3. memakai kopiah tanpa serban

Di akhir jawapannya, beliau berkata: Walaupun tidak ada datang perintah atau sumber hukum (yang kuat) supaya mewajibkan memakai serban atas dasar sebagai salah satu hukum agama dan syariat, tetapi barangsiapa yang memakainya dengan niat menyerupai cara Rasulullah SAW berpakaian dan sebagai tanda kasih kepada Baginda SAW, tentulah niat ini mendapat ganjaran pahala.”

Sabda Rasulullah SAW:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يلبس العمامة على القلانس

Maksud : “Sesungguhnya Rasulullah SAW memakai serban bersama kopiah”.

Imam Sayuti Rahimahullah berkata : “Apa yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa yang dipakai oleh Nabi SAW dan sahabat RA di bawah serban ialah al-Qalansuah atau kopiah. Kalimat Kopiah yang disebutkan pula menunjukkan bahawa ianya adalah lebih menyerupai sesuatu yang diperbuat dari jenis kain kapas dan bulu.

Al-Baihaqi pernah meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa Nabi SAW memakai kopiah putih. Ini menjelaskan bahawa pemakaian kopiah juga adalah sunnah Rasulullah SAW.

Kesimpulannya Sesungguhnya menurut kajian para ahli dan pentahqiq hadith, tidak ada satu pun hadith yang sahih mahupun hassan mengenai KEUTAMAAN/KELEBIHAN memakai serban
melainkan disebut di dalam hadith-hadith bahawa Rasulullah memakainya.Dan sifat
hadith-hadith yang disebutkan di atas bertentangan dengan hadith mutawatir yang
lain.

3.2 PANDANGAN ULAMA’ TERHADAP SONGKOK

Songkok harus dipakai kerana tidak bertentangan dengan Islam dan ia merupakan pakaian kebiasaan yang dipakai oleh masyarakat Melayu terutama semasa solat dan dipakaikan bersama Baju Melayu. Asasnya kerana ia berkonsepkan sebagai penutup kepala. Perbuatan menutup kepala bagi lelaki adalah Sunnah Nabi berdasarkan mafhum hujah berikut:

Menurut Imam As-Sayuti yang diringkaskan dari buku ”Al-Hawi”nya (2:111-112) : Berdasarkan keterangan lalu, Nabi Muhammad SAW pernah memakai kopiah putih dan begitu juga Anas bin Malik RA. Dipadankan juga daripadanya bahawa sekiranya serban atau kopiah tidak ada, Nabi SAW tidak akan membiarkan kepala Baginda yang mulia terdedah begitu sahaja, akan tetapi Baginda akan membalutnya sehingga sampai ke dahi”.

Berdasarkan pendapat Imam Sayuti di atas, pemakaian songkok adalah diharuskan sebagai satu konsep menutup kepala sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang tidak akan membiarkan kepala Baginda yang mulia terdedah begitu sahaja tanpa penutup kepala.

Berdasarkan kepada hujah Imam Sayuti sebelum ini berkenaan dengan maksud Qalansuah (bahawa ianya adalah lebih menyerupai sesuatu yang diperbuat dari jenis kain kapas dan bulu), songkok juga boleh dikategorikan sebagai Qalansuah.

RUMUSAN / KESIMPULAN ISU

Berdasarkan kepada hujah-hujah atau dalil-dalil di atas jelaslah bahawa pemakaian serban dan kopiah adalah merupakan sunnah Rasulullah SAW. Ia perlu dihayati setiap masa sama ada di dalam atau di luar solat. Di samping ianya menunjukkan ketaqwaan, kehebatan, kewibawaan, keilmuan si pemakainya.

Berdasarkan fakta di atas juga pemakaian songkok juga diharuskan kerana tidak ada sebarang percanggahan dengan hukum Islam dan ianya berkonsepkan penutup kepala seperti serban dan kopiah. Ia merupakan budaya masyarakat setempat di mana mereka memakai songkok ketika beribadah dan ketika menyambut hari-hari kebesaran Islam.

Merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.7/2001 (Garis Panduan Pakaian Guru Ketika Bertugas di Sekolah bertarikh 7hb Jun 2001), pihak Kementerian Pelajaran Malaysia menggalakkan pemakaian songkok untuk menunjukkan keseragaman dalam berpakaian kepada penjawat awam semasa bertugas atau menjalankan urusan rasmi.

Adalah diharapkan pegawai & kakitangan KPM mematuhi pekeliling dengan menyeragamkan pemakaian songkok kerana ia tidak bercanggah dengan syariat Islam disamping mentaati dan mematuhi Ulil Amri

Walaubagaimanapun sekiranya pegawai & kakitangan KPM ingin memakai serban dan kopiah , bolehlah berbuat demikian di luar tugas rasmi.

Sekiranya individu muslim itu tidak memakai songkok,ianya tidak menjejaskan keimanan, ketaqwaan , kehebatan dan kelimuan individu tersebut. Namun, pemakaiannya adalah lebih baik.

Pemakaian songkok juga diharuskan dengan syarat ia bersih dari sebarang kekotoran dan najis. Ciri-ciri utama pakaian Rasulullah S.A.W ialah menutup aurat, tidak bermegah-megah, tidak tasyabbuh (menyerupai) pakaian agama lain disertai dengan iman, ihsan dan taqwa. Itulah pakaian Islam. Tidak tertakhluk kepada jubah atau serban sahaja.

Mengenai alasan songkok tidak boleh dibasuh apabila terkena najis, itu bergantung kepada penjagaan seseorang. Manakala alasan songkok yang lama tidak dibasuh adalah najis adalah disandarkan kepada syak dan waham semata-mata. Sedangkan kaedah sebenar usul fiqh “keyakinan tidak boleh dihilangkan dengan syak”.

Sumber: http://ustazmelaka.net/

1 ulasan:

jejaka bahagia berkata...

Hello. Just want to ask. Is there any benefits of songkok kopiah turban or scarfwear for men in science?