RINGKASAN AMALAN DI HARI RAYA
Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :-
1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .
Ulama
besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : "Tiga perkara sunnah di hari
raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya".
2) Menjamah makanan sebelum keluar.
Ia
berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh
Al-Bukhari yang menyebut : "Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil
fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma..."
3) Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun ;
Seharusnya
umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya
sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar
Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni
melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri,
beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk
mengimamkan solat hari raya.
4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ;
Tiada
masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai
maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda
SAW adalah "Taqabbalallahu minna wa minkum" ertinya : Semoga Allah
menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu".
Disebut dalam sebuah riwayat :
قال واثلة لقيت رسول الله يوم عيد فقلت تقبل الله منا ومنك قال نعم تقبل الله منا ومنك
Ertinya
: Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah s.a.w pada hari raya dan
aku katakan pada baginda "taqabballahu minna wa minka", baginda menjawab
: Ya, taqabbalallahu minna wa minka" ( Al-Baihaqi, rujuk perbincangan
di Fath Al-Bari, 2/446 )
5) Memakai pakaian terbaik yang ada ;
Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan.
Tidak
dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan
mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan
di dalam Islam).
6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ;
Ia
berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW
biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari
raya" (Riwayat Al-Bukhari)
7) Berziarah dan merapatkan hubungan baik (ukhuwwah) sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.
Nabi pernah bersabda :
مَن سَرّه أن يُبسط له في رزقه ، وأن يُنسأ له في أثره ؛ فَلْيَصِل رَحِمَه
Ertinya
: Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan
ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung
(mengukuh) hubungan persaudaraannya ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)