Selasa, Disember 24, 2013

Istilah Tanah Haram Makkah

Tanah haram Makkah ialah suatu kawasan yang aman kerana di dalamnya ada hal-hal yang tidak dibenarkan kita melakukannya dan juga ada beberapa hukum yang membezakannya dengan kawasan-kawasan yang lain kerana kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

Sesungguhnya Allah mengharamkan negeri ini semenjak Dia menciptakan langit dan bumi. Negeri ini diharamkan oleh Allah sampai Hari Kiamat kelak. Sebelumku, sesiapun tidak dihalalkan berperang di negeri ini. Bahkan aku sendiri juga tidak dihalalkan melakukan hal yang sama kecuali sesaat di siang hari. Negeri ini diharamkan oleh Allah sampai Hari Kiamat nanti. Pohonnya yang berduri tak boleh ditebang, haiwan buruannya tidak boleh dibunuh, dan barang cicirannya tidak boleh dikutip melainkan oleh orang yang mahu mengumumkan saja, dan rerumputannya tidak boleh dicabut atau dipotong. Al-‘Abbas berkata: “Kecuali rumput lalang, wahai Rasulullah, kerana ia sangat bermanfaat bagi manusia”, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: “Ya kecuali rumput al-izkhir (sejenis tumbuhan yang harum baunya).”
(Hadits riwayat Muslim)


Kawasan tanah haram mempunyai tanda dari setiap arah yang telah diletakkan di setiap penjuru-penjurunya. Al-Azraqiy dan lain-lain telah menyatakan bahawa tanda-tanda atau perbatasan-perbatasan tanah haram itu telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim ‘Alahissalam dan yang menunjukkan tempatnya ialah malaikat Jibril ‘Alaihissalam.

Kemudiannya tanda-tanda itu telah diperbaharui dengan arahan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wassalam dan selepas itu arahan Sayyidina Umar, Utsman dan Muawiyah. Pada masa sekarang tanda-tanda tersebut begitu terang dan jelas sekali. (Lihat Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 3/2381)

Batas-batas atau sempadan tanah haram Makkah ialah:

1. Dari arah Madinah ialah sejauh kira-kira 3 batu atau 4.5 kilometer. Sempadan ini terletak di kawasan Bani Nifar ataupun as-Syuqya. Pada masa ini tempat tersebut dikenali dengan nama Masjid A’isyah.

2. Dari arah Yaman pula ialah sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5 kilometer, iaitu di sebelah kawasan Ada’at Libnin dalam kawasan Tsaniyah Libnin.

3. Dari arah Iraq pula ia terletak sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5 kilometer dari Makkah berhampiran dengan bukit di al-Muqatar ataupun al-Muqta’.