Rabu, Julai 16, 2014

Hukum Menabur Bunga Atas Kubur




1. Hukum tabur bunga atas kubur selepas pengebumian atau selepas ziarah kubur ?


Ia dibolehkan, malah selain daripada bunga, pelepah atau ranting-ranting yang basah dan segar pun boleh digunakan kerana semua makhluk termasuk haiwan dan tumbuhan bertasbih kepada Allah. “bertasbih kepada Allah apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi.” (at-Taghabun 64:1)
Dengan menaburkan bunga di atas kuburan, diharap agar ia boleh memberi manfaat kepada mayat yang ada di dalam kubur dengan berkat tasbih oleh bunga-bunga tersebut kepada Allah.
Perbuatan menabur bunga ini diqiyaskan kepada perbuatan Nabi SAW yang mencacak pelepah kurma yang basah di atas kubur.

Imam Bukhari meriwayatkan hadis daripada Ibn Umar r.a berkata: “Rasulullah SAW melalui kawasan perkuburan di Madinah atau Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang yang sedang diazab di dalam kubur kedua-keduanya. Maka Nabi bersabda: ‘Kedua-duanya diazab bukan kerana dosa besar’.”
Kemudian Baginda SAW bersabda: “Salah serang daripada mereka diazab kerana tidak menutup aurat semasa dia membuang air kecil dan satu lagi kerana dia melaga-lagakan orang lain.” Kemudian Rasulullah meminta pelepah kurma dan membahagikannya kepada 2 bahagian, lalu meletakkan (mencacak) setiap kubur itu dengan pelepah. Lalu ditanya kepada Baginda : “Wahai Rasulullah, kenapa Tuanberbuat demikian?” Baginda bersabda : “mudah-mudahan ia (pelepah) tadi boleh meringankan azab kedua-kedua selama ia belum kering”

Amalan Yang Sunat Dilakukan Ketika Menziarahi Kubur

Antara objektif individu Muslim menziarahi kubur adalah untuk memperolehi faedah daripadanya, terdapat beberapa amalan dan adab yang sunat dilakukan; samada sebelum atau semasa berziarah. Amalan ini bukan sahaja menghasilkan ganjaran kepada orang yang berziarah itu sendiri, bahkan juga akan mendatangkan manfaat kepada si mati. Marilah kita perhatikan antara amalan-amalan tersebut secara ringkas: Antara amalan yang sunat dilakukan sebelum pergi menziarahi kubur ialah:

Berwudhu’ dan memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat. Kemudian, barulah kita bertolak menuju ke tanah perkuburan dengan membulatkan hati, berniat ikhlas selari dengan tujuan-tujuan ziarah sebagaimana yang telah disebutkan terdahulu. Apabila tiba di tanah perkuburan pula, antara perkara yang sunat dilakukan ialah:

Pertama: Memberi salam kepada ahli atau penghuni kubur. Maka cara yang afdhal salam ini dilakukan ialah dalam keadaan kita berdiri di tepi perkuburan, dengan membelakangi qiblat dan menghadap ke arah muka ahli kubur yang diziarahi. Sekurang-kurang lafaz salam ketika menziarahi kubur ialah:

السلام عليكم
Maksudnya: “Mudah-mudahan Allah limpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian.”
Ataupun, doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadits riwayat Muslim :

السلام عليكم يا اهل الديار من الموءمنين و المسلمين و إن إنشا الله تعالى بكم لا حقون نسأل الله لنا ولكم العافية

Maksudnya: “Mudah-mudahan Allah limpahkan salam sejahtera kepada kamu sekalian, wahai penghuni kampung-kampung dari kalangan mukminin dan muslimin, dan sesungguhnya kami, Insya Allah, akan bertemu kamu, kami memohon kepada Allah ‘afiat untuk kami dan untuk kamu sekalian.”