Rabu, Julai 16, 2014

Hukum Menabur Bunga Atas Kubur




1. Hukum tabur bunga atas kubur selepas pengebumian atau selepas ziarah kubur ?


Ia dibolehkan, malah selain daripada bunga, pelepah atau ranting-ranting yang basah dan segar pun boleh digunakan kerana semua makhluk termasuk haiwan dan tumbuhan bertasbih kepada Allah. “bertasbih kepada Allah apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi.” (at-Taghabun 64:1)
Dengan menaburkan bunga di atas kuburan, diharap agar ia boleh memberi manfaat kepada mayat yang ada di dalam kubur dengan berkat tasbih oleh bunga-bunga tersebut kepada Allah.
Perbuatan menabur bunga ini diqiyaskan kepada perbuatan Nabi SAW yang mencacak pelepah kurma yang basah di atas kubur.

Imam Bukhari meriwayatkan hadis daripada Ibn Umar r.a berkata: “Rasulullah SAW melalui kawasan perkuburan di Madinah atau Makkah, lalu Baginda mendengar suara dua orang yang sedang diazab di dalam kubur kedua-keduanya. Maka Nabi bersabda: ‘Kedua-duanya diazab bukan kerana dosa besar’.”
Kemudian Baginda SAW bersabda: “Salah serang daripada mereka diazab kerana tidak menutup aurat semasa dia membuang air kecil dan satu lagi kerana dia melaga-lagakan orang lain.” Kemudian Rasulullah meminta pelepah kurma dan membahagikannya kepada 2 bahagian, lalu meletakkan (mencacak) setiap kubur itu dengan pelepah. Lalu ditanya kepada Baginda : “Wahai Rasulullah, kenapa Tuanberbuat demikian?” Baginda bersabda : “mudah-mudahan ia (pelepah) tadi boleh meringankan azab kedua-kedua selama ia belum kering”


2. Bolehkan menjirus air dan meletakkan batu kerikil di atas kubur

Kedua-duanya dibolehkan. Syeikh Abu Bakar Syatho ad-Dimyathi menyebutkan di dalam  I’anatuth Tholobin : “Dan (disunatkan) menyiram (menjirus) kubur dengan air agar debu-debu tanah tidak ditiup angin dan kerana bahawasanya Nabi SAW melakukan sedemikian pada kubur anakanda Baginda Sayidina Ibrahim sebagaimana diriwayatkan oleh Imam asy-Syafi’i dan juga pada kubur Sa’ad (Sa’ad bin Muaz) sebagaimana yang diriwayatkan oleh imam ibn Majah. Dan Nabi telah memerintahkan dengannya (iaitu dengan menjirus air) pada kubur Sayidina Utsman bin Mazh’un sebagaimana diriwayatkan oleh Imam at-Tarmizi. Dan yang mustahab adalah air tersebut suci lagi mensucikan dan sejuk (air mutlak) sebagai tafa’ul (bersangkaan baik) mudah-mudahan menyejukkan kubur si mati. Dan makruh menyiram atau menjirus dengan air mawar atau seumpamanya kerana perbuatan tersebt adalah satu pembaziran dan mensia-siakan harta”

Dalam kitab nahayatuz Zain, ms 145 disebutkan : “… dan disunatkan menjiruskan kubur dengan air sejuk dengan harapan (tafa’ul) semoga sejuk juga tempat pembaringannya. Tidak mengapa dengan sedikit air mawar kerana malaikat menyukai bau yang harum.”
Mengenai meletakkan batu kerikil di atas kubur, di dalam kitab Nailul Awthor, 4/84 disebutkan : “Daripada Ja’far b. Muhammad daripada ayahnya sesungguhnya Rasulullah SAW menyiram air ke atas kubur anak baginda iaitu Ibrahim dan meletakan batu kerikil di atasnya. Diriwayatkan oleh Imam Syafi’i.”

3. Bagaimana pula dengan hukum mencacak bunga atau pohon agai ia tumbuh di atas kubur?

Para ulama membolehkannya sebagai qiyas kepada perbuatan Rasulullah SAW memacak dua pelepah kurma di atas dua kubur dalam hadis yang lalu.

Di dalam kitab al-Fatawal Haditsiah, ms 196 disebutkan : “Para ulama beristinbath daripada perbuatan nabimencacak dua pelepah tamar di atas kubur, untuk membolehnya memcacak pokok dan bunga tetapi mereka tidak menerangkan caranya”

Di dalam kitab Kasyifatusy Syubhat, ms 131 disebutkan : “Bahawa disunatkan meletakkan pelepah daun yang masih hijau di atas kubur/makam kerana mengikut sunnah Nabi SAW dijelaskan bahawa pelepah seperti itu dapat meringankan beban mayat berkat bacaan tasbihnya. Untuk memperoleh tasbih yang sempurna, sebaik-baiknya dipilih daun yang masih segar atau basah”

Sumber: Buku Q&A, Merungkai persoalan membetulkan amalan ( Isu No. 10)

Tiada ulasan: