Rabu, Mac 12, 2008

Silap Faham Ummat Islam Terhadap Ajaran Kristian?

Dapatkah pihak tuan menjawab salah satu daripada soalan-soalan berikut,
terutama sekali soalan yang ke-10 yang ditanya oleh Kristian Antarabangsa ?

http://www.answering-islam.org/Malay/

Apakah maksud Isa "Anak" Tuhan?

Umat Kristian sentiasa akan mencabar umat Islam untuk buktikan dakwaan bahawa orang Kristian percaya Tuhan melahirkan anak dalam sebutan Isa "Anak" Tuhan. Dakwaan ini ditolak oleh bijak pandai Kristian dan mereka mengatakan bahawa itu adalah rekaan yang dibuat oleh Nabi Muhammad dalam Al-Qur'an. Sebenarnya umat Kristian tidak percaya bahawa Allah melahirkan anak. Tidak ada satupun ayat dalam kitab Bible yang menyatakan Tuhan melahirkan anak.

Sebutan Isa "Anak" Tuhan ialah satu gelaran yang mulia mengikut kaedah bahasa Hebrew (Ibrani). Sebutan "anak" apabila dinisbahkan kepada Tuhan bermakna manusia yang dimuliakan oleh Tuhan BUKAN anak yang hakiki, BUKAN dia seorang yang dilahirkan oleh Tuhan.

Sebutan kemuliaan ini ada juga disebut dalam Al-Qur'an bahawa orang Yahudi dan Kristian menganggap diri-diri mereka sebagai "anak-anak" Allah..."dan berkata orang-orang Yahudi dan Nasara bahawa kami adalah anak-anak Allah.." (Surah Al-Maidah (5):18).

Jika difahami betul-betul ayat tersebut ini secara harfiah, adakah benar Allah melahirkan mereka sebagai anak-anakNya? Tentu sekali tidak !! Begitu dengan sebutan Isa "Anak" Tuhan itu bermakna Isa sebagai manusia yang dimuliakan oleh Allah.

Kita hairan, kenapa umat Islam berterusan membuat fitnah terhadap ajaran Kristian yang sebenarnya? Ugama Kristian dan juga kitab Bible tidak pernah mengajar bahawa Tuhan melahirkan anak. Itu silap faham orang Islam. Mereka boleh membaca Bible dan buktikan sendiri bahawa tidak ada satupun ayat dalam Bible yang mengatakan Tuhan melahirkan anak.

Sila lihat perkara ke-10 di bawah:

SEPULUH SILAP FAKTA DALAM AL-QUR'AN

1) Kenapa Raja Habsyah memeluk Islam? Ini berdasarkan ayat dalam Al-Qur'an: "..dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesra kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata - Bahawa kami adalah orang-orang Nasrani - Yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita and ahli-ahli ibadat" (Al-Maidah 5:82). Ayat ini merujuk kepada Raja Habsyah yang memeluk Islam, kononnya dia mengakui Muhammad ialah Nabi yang ditunggu-tunggu. Padahal Raja itu bukan penganut mazhab Kristian yang sahih. Dia adalah salah seorang pengikut mazhab yang tidak mengiktiraf bahawa Bible adalah 100% asas ugama Kristian yang sah. Bahkan dia percaya kepada pendapatnya sendiri. Oleh itu rakyat Habsyah tidak mengikut-nya memeluk Islam. Tambahan pula dalam ayat (Al-Maidah 5:82), sebutan "pendita" adalah ajaran yang tidak pernah wujud dalam Bible.
Oleh itu sebutan itu tidak ada kaitan dengan ajaran Kristian yang sebenarnya.

2) Sebutan nama menteri Haman dalam Al-Quran adalah satu kekeliruan sejarah. Nama "Haman" tidak pernah wujud dalam sejarah Mesir kuno sebelum Islam. Nama itu terdapat dalam ayat Al-Qur'an: "...kepada Fir'aun, Haman bersama-sama tentera mereka ..." (Al-Qasas 28:6) Sebutan Haman dikatakan seorang menteri kepada Fir'aun. Ini tidak
betul ..sebab nama Haman sebenarnya ialah menteri di Parsi Kuno. Bible ada menyebut nama Haman dalam ayat Bible (Esther 3:1-2) bahawa Raja Xerxes Parsi menjadikan Haman sebagai perdana menterinya. Oleh itu nama Haman itu tersilap sebutannya sebagai seorang menteri yang hidup di Mesir dalam Al-Qur'an.

3) Sebutan nama dan sifat-sifat Muhammad dikatakan terdapat dalam Taurat dan Injil mengikut ayat Al-Qur'an: "..Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil..." (Al-A'raf 7:157) Pakar-pakar pengkaji Bible tidak menjumpai apa yang dikata sebagai wujudnya "sifat-sifat Nabi Muhammad" dalam Bible (Taurat dan Injil). Kitab Bible tetap utuh dan tidak ada bukti yang ia telah diubah ataupun dipinda sejak 5,000 tahun dahulu. Ini kerana mengikut penemuan bahan-bahan kitab suci Dead Sea Scrolls, yang sudah berusia 5,000 tahun dahulu, dan 2,000 tahun sebelum hidupnya zaman Nabi Isa, kitab Bible itu adalah sama isinya seperti mana dengan Bible
yang ada zaman moden ini. Seluruh naskah Bible yang disimpan dan dipelihara hingga zaman ini ADALAH SAMA. Tidak terdapat apa yang yang dikatakan terdapat sifat-sifat Nabi Muhammad.

4) Isu sebutan Taurat dan Injil sudah diubah ayat-ayatnya oleh alim-ulama Yahudi dan Kristian. Ini berdasarkan ayat Al-Qur'an:
" Di antara orang-orang Yahudi ada yang mengubah ayat-ayat Taurat dari tempatnya.." (An-Nisa' 4:46). Sudah diterangkan bahawa kitab Bible (Taurat & Injil) sekarang adalah sama isinya dengab Bible yang berusia 5,000 tahun dahulu dan semua naskah-naskah yang ada di seluruh dunia adalah serupa dan sama. Kalaulah salah satu
naskah diubah dan berlainan dengan yang lain, nescaya alim-ulama Yahudi dan Kristian menyedari perkara ini. Sebab itulah pada zaman Muhammad di Madinah, orang-orang Yahudi dan Kristian menentang pembohongan ini.

5) Isu sifat-sifat "keras" dikatakan terdapat sebutan dan sifat sifatnya dalam Taurat dan Injil. Ini berdasar kepada ayat Al-Qur'an:
"...demikianlah sifat-sifat mereka yang terdapat dalam Taurat dan begitu juga dalam Injil ..." (Al-Fath 48:29). Tidak adapun gambaran itu dalam Bible. Orang-orang Yahudi dan Kristian membaca kitab Bible sudah beribu-ribu tahun lamanya, dan mereka tidak pernah jumpa dengan perkara tersebut. Apatah lagi dalam Injil sendiri, ajarannya ialah menyibarkan ugama Kristian secara lemah-lembut bukan secara "keras" terhadap orang bukan Kristian.

6) Sebutan "yaa ukhta Harun" dalam ayat (Maryam 19:28): " yaa ukhta Harun (wahai adik perempuan Harun)..." Ini ialah salah satu nisbah kekeluargaan yang tidak sah. Ini ialah kerana Nabi Harun hidup dizaman Nabi Musa dan sudah lama meninggal. Padahal
Maryam adalah anak-cucu keturunannya. Bagaimana pula Maryam boleh disebut sebagai "adik perempuan Harun"?? Tidak ada nas yang terang daripada ayat Al-Qur'an dan hadith yang mengatakan bahawa pernah wujud seorang yang pernah menjadi saudara kepada Maryam yang bernama Harun. Dan makna "yaa ukhta Harun" adalah difaham secara harfiah.

7) Isu sebutan "Isa Al-Masih" seperti mana terdapat dalam Al-Qur'an sebanyak 11 kali. Contohnya ialah dalam ayat (Ali 'Imran 3:45) :
"Al-Masih Isa ibni Maryam...". Persoalannya ialah kenapa tidak disebut sahaja nama "Isa ibni Maryam"?? Bukankah itu sudak cukup?? Ini ialah kerana sebutan itu meniru cara orang Kristian menyebut Isa sabagai "Jesus Christ" (Isa Al-Masih). Makna Christ ialah Al-Masih dalam bahasa arab. Dalam bahasa Ibrani disebut Messiah.
Sebenarnya mengikut akidah orang Kristian, nama "Al-Masih" itu bererti "Anak Tuhan". Terdapatnya sebutan itu dalam Al-Qur'an secara tidak langsung mengiktiraf bahawa Isa adalah Anak Tuhan. Ini pada kepercayaan orang Kristian. Yang menghairankan ialah kenapa Al-Qur'an meniru sebutan itu??

8)Perkara "Uzair Anak Allah". Ini disebut dalam ayat Al-Qur'an,
"..berkata Yahudi, Uzair ialah Anak Allah.."(At-Taubah 9:30). Ini satu kesilapan fakta dalam Al-Qur'an. Tidak pernah wujud dalam sejarah orang Yahudi yang berkata begitu. Tidak ada dalam Bible yang menyebut begitu. Hairan, dari mana kamu dapat rekaan itu???

9)Perkara "Maryam Sebagai Tuhan". Ini disebut dalam ayat Al-Qur'an,
"..Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia:
Jadikan daku dan IBUku dua tuhan selain dari Allah?" (Al-Maidah 5:116). Satu lagi silap fakta...tidak ada dalam ummat Kristian yang pernah mempertuhankan IBU kepada Isa. Hairan kenapa orang Islam berani berkata begitu???

10) Perkara "Isa Anak Tuhan". Dalam Al-Quran banyak ayat-ayat yang menuduh orang Kristian percaya bahawa Tuhan melahirkan anak. Satu lagi silap faham orang Islam. Mereka menuduh sesuatu tanpa memahami konteks sebenarnya fahaman Kristian apakah maksud dalam etimologi bahasa dalam Bible. Tidak ada dalam Bible yang mengatakan
Tuhan melahirkan anak. Orang Kristian faham makna "Anak" ialah satu pangkat kemuliaan BUKAN bermakna Tuhan itu melahirkan anak. Tuhan yang menciptakan alam semesta ini tidak pernah beranak. Cuba kamu buktikan di manakah disebut dalam Bible bahawa Tuhan
melahirkan anak??? Perbetulkan pembohongan yang kamu reka-rekakan..

Jawapan :

Kami akan menumpukan jawapan ini kepada 10 soalan sebagaimana yang tuan pinta iaitu mengenai 'Isa Anak Tuhan'. Telah dikatakan umat Islam salah tanggap i.e Tuhan beranak. Manakala yang sebenarnya mengikut orang Kristian ia merupakan satu kemuliaan yang diberi oleh tuhan kepada manusia.

Apa yang dibincang ini adalah suatu perkara yang menjadi 'rukun iman' kepada umat Kristian. Jikalau terbukti Isa bukan anak Tuhan maka banyaklah ajaran tunggak Kristian akan runtuh terutama Triniti (satu dalam tiga dan tiga dalam satu-God The Father, God The Son and Holy Ghost) peristiwa persaliban dan sebagainya.

Yang lebih menarik lagi rencana tersebut tidak menyatakan dengan jelas siapa Isa sebenar jikalau ia tidak anak Tuhan, Adakah ia Rasul, separuh manusia separuh tuhan atau sebagainya. Untuk membincangkan perkara ini kita perlu kepada rujukan. Apakah rujukan yang dianggap berotoriti oleh orang Kristian (kita tidak menggunakan al-Qur'an takut dikatakan berat sebelah). Mengikut kepercayaan orang Kristian samada Katolik atau protestant, sumber rujukan mereka ialah Bible dan tradisi Gereja i.e pandangan paderi. Jikalau katolik pada masa kini Pope John Paul 11 di Vatican City dan kalau protestant pandangan World Council of Churches di Geneva, Switzerland pandangan mereka adalah kata pemutus. Setakat ini tidak ada permuasyaratan yang muktabar Kristian (yang sama taraf dengan council of Nicene yang diadakan pada tahun 325 A.C) mengeluarkan kenyataan menolak Isa sebagai anak tuhan. Pandangan paderi ini amat penting kerana ia kadang-kadang boleh 'overule'. Bible sebagai contoh kes Galileo telah dihukum murtad dan dibunuh kerana mengatakan bumi mengelilingi matahari sedangkan masa itu gereja mengatakan sebaliknya. Namun begitu Pope John Paul 11 baru-baru ini telah membatalkan 'fatwa tersebut.

Isu Isa bukan 'anak tuhan' ini timbul apabila pendiayah agama Kristian (sebahagian besarnya golongan evangelical) telah melaksanakan program mereka di kalangan orang Islam terutama di Indonesia dan Malaysia. Pendiayah yang menggunakan pendekatan yang diistilah sebagai mengikut 'contextualization' yang dipelopori oleh Koyama seorang Jepun yang tinggal di Thailand di abad yang lalu, maka banyak istilah agama Islam telah digunapakai seperti Allah, Rasul, solat dan lain-lain.. Pada kita inilah pendekatan tujuan menghalalkan cara.

Jadi apa patut kita lakukan sekarang? Kami rasa, pertamanya kita harus tanyakan soalan ini kepada Pope John Paul 11, tetapi kita sudah terlambat kerana Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad telah berjumpa dengan Pope dan soalan ini tidak termasuk dalam senarai perbincangan. Jadi kita kena merujuk kepada Bible, masalahnya berbagai jenis Bible, apakah kita nak gunakan Versi King James (yang dianggap 'muktabar'), malangnya kami tidak ada Bible itu masa kini. Dari segi kandungan Bible pula ada yang dinamakan Canonical dan apocryphal (buat masa ini untuk menjimatkan masa kita lupakan persoalan ini). Kita rujuk kepada Bible (untuk makluman, kami gunakan Good News Bible - Bible yang diubah suai untuk remaja);

'my father is working still, and I am working'
'I and the father are one'
'I am in the father and the Father in me'
(John 5:17:10:30;14:10,11)

Dalam Matthew 11:27 Isa bersabda,
"All things have been delivered to me by my father; and no one knows the Son except the Father, and no one knows the Father except the Son and any one to whom the Son chooses to reveal him"

Dalam John 3:16-17,
'For god loved the world so much that he gave his only Son, so that everyone who believe in him may not die but have eternal life. For God did not send his Son into the world to be its judge, but to be its saviour'

Walaubagaimanapun, sila bandingkan dengan ayat yang sama tetapi dari New World Translation of The Holy Scripture (1984),
'For God loved the world so much that he gave his only-begotten Son........John 3:16

Kalau kita lihat pula kepada asal usul keturunan Isa dalam Bible yang sama (God News Bible) terdapat perbezaan yang besar di antara Matthew dan Luke. Di dalam Matthew 1:6-16 terdapat 25 orang sebelum Joseph (suami Maryam i.e tidak pernah menyetubuhi Maryam) tetapi dalam Luke 3:23-31 terdapat 40 orang dan sungguh aneh di akhir ayat ditambah lagi dengan perkataan 'the son of god'.

Inilah yang menjadikan kita bertanya samada umat Islam salah faham atau Orang Kristian salah faham tentang ajaran Bible kerana di dalam Bible dari Old Testement hingga New Testement terutamanya synoptic Gospels (Matthew, Mark dan Luke) fahaman Isa anak tuhan tidak timbul lagi apatah lagi dalam Old Testement.

Kesimpulan:
1. Di dalam al-Qur'an diceritakan orang Nasrani memanggil Isa ' anak tuhan'. Tidak ada ayat al-Qur'an yang menyebut sebagai contoh (yang bermaksud) Allah melahirkan Isa.

2. Pendiayah Kristian di negara-negara penduduk majoriti Islam mendapati al-Qur'an adalah 'anti-dote' yang mujarab menentang Kristian maka mereka bertungkus lumus untuk menawarkan anti body tersebut maka digunakan berbagai pendekatan sehingga hampir kepada 'penipuan'.

3. untuk menuduh orang Islam silap faham, perlulah pihak berotoriti Kristian seperti Pope membuat pengisytiharan bahawa Isa Bukan Anak Tuhan terlebih dahulu. Bukan dengan dakwaan pastor di pendalaman wilayah Islam yang mementingkan agenda mereka.

Kita bermohon kepada Allah s.w.t agar iman kita tidak tergelincir kerana apabila sudah datang kebenaran maka kebatilan akan luput. Wallahu a'lam.

Bernazar

Seseorang yang telah bernazar maka dia wajib menunaikan dengan segera. Sekiranya nazar itu tidak dapat ditunaikan, maka dia wajib membayar kifarah (denda) yang termampu olehnya mengikut turutan berikut:

a)Memerdekakan seorang hamba, jika tidak mampu;
b)Memberi makan kepada 10 orang fakir miskin dengan makanan asasi secupak seorang, jika tidak mampu;
c)Memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin sepasang seorang.

Sekiranya tidak mampu melakukan ketiga-tiga perkara itu setelah berusaha, maka hendaklah dia berpuasa 3 hari dengan niat kifarah nazar.

Hak Sesama Muslim

Hak seorang Muslim terhadap Muslim yang lain ada enam perkara iaitu:

1. Bila bertemu, berilah salam
2. Bila diundang (ke majlis yang tiada perkara maksiat), maka hadirlah
3. Bila diminta nasihat, maka berilah nasihat
4. Apabila sakit, ziarahilah
5. Apabila meninggal dunia, hantarkanlah jenazahnya hingga ke kubur
6. Apabila bersin (lalu menyebut 'Alhamdulillah'), maka doakanlah ia (dengan menyebut 'Yarhamkallah')