1.
Manusia melihat suatu perkara dengan pelbagai persepsi. Bulan Ramadhan
yang bakal datang juga tidak terlepas daripada persepsi yang pelbagai
ini. Terdapat mereka yang melihat Ramadhan sebagai transit sebelum hari
raya, tujuannya adalah hari raya, Cuma Ramadhan mesti dilalui sebelum
sampai kepadanya. Ada juga yang melihat Ramadhan sebagai syurga makanan
dan barang-barang keperluan rumah, dengan resepi dan bazar Ramadhan yang
sangat meriah, tiada dalam bulan yang lain. Tidak kurang masih wujud
mereka yang melihat Ramadhan sebagai bulan ibadah yang perlu direbut
dengan memperbanyakkan amal.
2.
Walau apapun persepsi manusia terhadap bulan Ramdhan ini, ia tetap akan
datang dengan seribu satu fadhilat yang telah dijanjikan oleh Allah
Azza wa Jalla dan RasulNya SAW. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA
bahawa nabi SAW bersabda:
Apabila
tiba malam pertama bulan Ramadhan, maka syaitan dirantai, ditutup
pintu-pintu neraka dan tiada satupun yang terbuka, dibuka pintu-pintu
syurga dan tiada satupun yang tertutup. Dan menyerulah penyeru: Wahai
pencari kebajikan, bergembiralah, dan wahai pelaku maksiat, kurangilah.
Dan ke atas Allah, membebaskan manusia daripada api neraka, dan demikian
itu berlaku pada setiap malam. (Riwayat Tirmizi)
3.
Beruntunglah mereka yang untung dan rugilah mereka yang rugi dalam
bulan ini. Untuk memastikan kita dalam kalangan mereka yang untung
dengan maksimum dan meminimumkan kadar kerugian, maka terdapat beberapa
perkara yang mesti dielakkan dan dijauhi, antaranya:
Pertama: berharap Ramadhan tidak tiba dan segera habis
4.
Mereka yang seumpama ini biasanya tidak gembira dengan kedatangan
Ramadhan bahkan tidak ada usaha sedikitpun untuk merebut segala
kelebihan dan keberkatan di dalamnya. Mereka terkejut dan tidak perasan
dengan kedatangan Ramadhan. Golongan inilah yang sangat cepat marah
walaupun dengan sebab yang sangat kecil dan tidak mampu menjaga mulutnya
daripada perkataan yang tidak baik.
5.
Ini bersalahan dengan amalan para sahabat dan generasi awal Islam.
Mereka sangat gembira dan menanti-nanti kedatangan Ramadhan, sentiasa
berpuasa pada selain Ramadhan sebagaimana yang diamalkan oleh nabi SAW
terutamanya di dalam bulan Sya’ban, dan sentiasa mendekatkan diri kepada
Allah SWT. Ramadhan adalah anugerah Allah Azza wa Jalla dan mereka
bergembira dengan berlumba-lumba melakukan amal soleh, bagi meraih
fadhilat yang Allah Azza wa Jalla sediakan. Firman Allah SWT dalam surah
Yunus ayat 58 bermaksud:
Katakanlah
(wahai Muhammad): Dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan
itu mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka
kumpulkan.