Selasa, September 08, 2009

RON95 dan RON97

Ada orang menyatakan petrol A lebih baik daripada petrol B atau minyak B lebih bagus daripada bahan api C. Adakah itu benar?

DI Eropah, klasifikasi keseragaman kelas bahan bakar petrol dibahagikan kepada tiga kelas utama. RON91, RON95 dan RON98. Pembahagian itu dibuat berdasarkan jenis keperluan bahan bakar yang diperlukan pada setiap jenis enjin berlainan pengeluar.

RON91 dicipta untuk enjin yang mampu menerima petrol berplumbum, RON95 untuk petrol tanpa plumbum yang juga disebut petrol premium dan RON98 atau disebut juga sebagai Super Plus atau Super Premium.

Bermula 1 September ini, klasifikasi penjualan minyak petrol di negara ini akan diselaraskan kepada dua jenis RON (Research Octane Number) iaitu RON95 dan RON97.

Dalam jangka masa kurang dua bulan dari sekarang, RON95 akan menggantikan RON92 yang berharga RM1.75 seliter, manakala RON97 akan menjadi petrol premium pada harga RM2.

Apakah kesannya kepada pengguna? Sebenarnya, banyak yang perlu diketahui tentang asas RON itu sendiri.

Di seluruh dunia, pencemaran bahan api fosil telah meningkatkan kesedaran umum. Justeru itu, kualiti bahan bakar ditingkatkan. Jurutera bertungkus lumus memikirkan idea untuk mencipta enjin dengan sistem pembakaran moden yang mampu beroperasi menggunakan petrol spesifikasi RON yang dibangunkan. Kandungan sulfur juga diminimumkan.
Adakah semua petrol RON95 sesuai dengan kereta anda? Bagaimana mengetahui kesesuaian tersebut? Langkah paling mudah adalah melihat pada penutup petrol.

Jika ia tidak dinyatakan, rujuk buku panduan kenderaan. Biarpun begitu, tidak semua pengeluar kereta menulisnya dalam bentuk angka. Sebahagiannya ditulis dalam istilah leaded dan unleaded.

Jangan khuatir, majoriti petrol yang dijual di Malaysia (termasuk RON92) adalah petrol jenis tanpa plumbum (unleaded). Adakah RON97 lebih baik daripada RON95? Secara teorinya, ya tetapi secara paraktiknya, tidak. Petrol RON95 di stesen A mungkin lebih baik daripada petrol RON97 di stesen B.

Perlu diingatkan bahawa setiap petrol yang dijual oleh Petronas, Shell, BHP, Esso, Caltex dan Mobil adalah tidak sama. Setiap syarikat mempunyai ramuan tersendiri untuk meningkatkan keupayaan kualiti petrol masing-masing.

Techron, Primax dan Infiniti merupakan antara petrol yang dihasilkan menerusi kajian dan pembangunan yang serius. Anda mungkin biasa menonton iklan bagaimana petrol di stesen A berupaya membersihkan enapan karbon pada injap dan omboh. Adakah ia sekadar gimik?

Adakah petrol RON95 berkualiti rendah? Ini adalah pandangan yang salah. RON berkaitan dengan campuran dua unsur asas iaitu oktana dan pentana yang melengkapkan sifatnya menjadi bahan bakar petrol.

RON95 bermaksud 95 peratus kandungannya adalah oktana dan selebihnya pentana. Begitu juga dengan RON97 iaitu hanya tiga peratus pentana dan selebihnya oktana.

Gandingan itu akan memutlakkan tahap pembakaran enjin yang bakal digunakan. Sekiranya enjin anda cukup sekadar dengan pembakaran RON95, kenapa perlu membazir membeli petrol RON97? Adakah jam Breitling memberi maklumat waktu yang lebih tepat berbanding jam Casio?

Sebaliknya, jika enjin anda dicipta untuk membakar dengan RON97, adalah tidak memadai menggunakan RON95 kerana omboh akan mengalami masalah ketukan (knocking).

Ini kerana enjin silinder bergerak dengan membakar petrol menjadi gas. Asasnya, enjin yang dicipta untuk RON95 adalah kebuk pembakaran yang berupaya membakar sejumlah 95 peratus oktana.
Perlu diingat bahawa sifat oktana adalah kemampuannya untuk menahan tekanan dalam kebuk pembakaran. Jadi, dengan enjin yang dicipta untuk pembakaran 95 peratus oktana, memadai kita menggunakan petrol RON95.

Namun, jika enjin tersebut dicipta untuk tekanan 97 peratus oktana, maka penggunaan RON95 tidak sesuai. Oktana mempunyai keupayaan mengembangkan tekanan dengan baik, tetapi bukan pentana. Pentana hanya akan melambatkan proses timbal-balik dan di sinilah masalah ketukan berlaku.

Petrol yang baik bergantung kepada pengeluar petrol itu sendiri. Seperti yang diterangkan pada awal nota ini tadi, setiap petrol tidak sama.

Dakwaan mengatakan semakin tinggi RON adalah lebih baik dan mampu menghasilkan enjin yang lebih berkuasa juga tidak benar. Petrol yang baik adalah petrol yang sesuai dengan RON yang diperlukan oleh enjin.

Mukjizat Al-Quran

AL-QURAN hanya helaian kertas, tetapi mempunyai nilai yang tinggi dan mendapat kedudukan istimewa dalam Islam.

Malah, dikatakan tidak sempurna sesebuah rumah itu jika tidak mempunyai kitab suci berkenaan walaupun peng huninya jarang membaca dan menelaahnya.


Meskipun nampak mudah, tetapi manusia tidak mampu menghasilkan kitab yang sehebat al-Quran.

Justeru, sesiapa membacanya diberi ganjaran berlipat ganda dan ia menjadi panduan dalam kehidupan insan.

Bagaimanapun, senario masa kini menyaksikan pelbagai pandangan masyarakat terhadap al-Quran.

Kitab itu tidak dijadikan panduan hidup, malah ada membacanya dengan tajwid dan gaya bacaan yang janggal dan tidak tahu makna.

Sesetengah pula gemar membaca surah tertentu, mengikut musim dan adat bahkan tidak kurang hanya membeli sebagai koleksi sehingga ia dibiarkan berdebu ditelan waktu.

Apapun sikap masyarakat Islam terhadap al-Quran, kitab suci yang diturunkan pada bulan Ramadan mempunyai hikmah dan mukjizat yang tidak digambarkan dengan kata-kata kepada manusia.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia (al-Quran) akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Al-Quran yang mengandungi lebih 6,000 ayat dikenali juga dengan beberapa nama lain seperti al-Kitab, bermaksud sebuah kitab sebagaimana dijelaskan di awal surah al-Ba qarah, al-Furqaan iaitu pemisah hak dan batil, az-Dzikr dengan makna peringatan dan at-Tanzil bermaksud penurunan.

Masyarakat Islam wajib mempercayai kitab terbabit ke seluruhan dan berpegang teguh dengannya, malah beriman kepadanya satu daripada enam rukun keimanan, sekali gus tertutup rapat pintu keraguan terhadapnya.

“Kitab al-Quran ini, tiada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” (al-Quran, surah al-Baqarah, ayat 2).

Bagi bukan Islam, sesetengahnya masih sukar mempercayai kitab terbabit, bahkan ditambah dengan kekeliruan ditimbulkan segolongan pihak, melebarkan kesangsian mereka terhadap kandungan kitab itu.

Tetapi yang nyata kitab itu tiada sebarang keraguan padanya, dianugerahkan kepada manusia melalui Nabi Muhammad s.a.w, malah ia manual yang sesuai diaplikasikan setiap zaman walaupun generasi dan tamadun manusia sentiasa berubah-ubah.

“Katakanlah: Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya walaupun mereka saling bantu-membantu.” (al-Quran, surah al-Isra:88)

Pensyarah al-Quran, hafazan dan taranum di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), Nilam Puri, Kelantan, Muhammad Lukman Ibrahim, berkata kehebatan, kelebihan dan mukjizat al-Quran menandingi yang lain.

Beliau berkata, kitab Taurat dan Injil yang memang dijaga paderi sepanjang waktu boleh berubah, tetapi al-Quran tetap terpelihara daripada perubahan, menjadikannya asli, dahulu, kini dan selamanya.

“Pada zaman Nabi dahulu, seorang bernama Musailamah al-Kazzab cuba menandingi al-Quran, mereka-reka ayat al-Quran seperti surah al-Fiil iaitu mengenai gajah.

“Antara katanya, gajah...apa itu gajah...ada belalai yang panjang." Orang ramai bukannya takjub dengan kepandaiannya itu, tetapi gelak ketawa, sekali gus gagal membawakan ayat seumpama al-Quran,” katanya.

Mukjizat al-Quran jugalah memberikan ketenangan, malah melembutkan hati kepada sesiapa yang membaca dan mendengar alunannya.

Bahkan Saidina Umar al-Khattab yang terkenal dengan sifat bengisnya menjadi lembut hati dengan al-Quran.

Dalam satu riwayat, Saidina Umar (sebelum menjadi Muslim) bersama pedangnya menuju ke tempat Nabi s.a.w dan sahabat yang lain, mencari untuk membunuh baginda. Dalam perjalanan itu, beliau disapa Nu’aim bin Abdullah.

Nu’aim berkata: “Demi Allah, kamu tertipu oleh dirimu sendiri, hai Umar! Apakah kamu mengira Bani Abdi Manaf akan membiarkanmu berjalan bebas di muka bumi selepas kamu berjaya membunuh Muhammad! Sebaiknya kamu pulang ke rumahmu dulu, selesaikanlah dulu urusan keluargamu.”

Umar bertanya kehairanan: “Siapa yang kamu maksudkan dengan keluargaku dan apa maksudmu?”

Nu’aim menjawab dengan senyum sinis: “Iparmu dan anak saudaramu sendiri, Said bin Zaid, bahkan adikmu sendiri, Fatimah binti Khattab, masuk Islam dan mengikuti agama Muhammad. Hal merekalah yang harus kamu selesaikan.”

Mendengar jawapan Nu'aim, kemarahan Umar meluap-luap bagai disengat jengking.

Beliau menukar haluan bergegas ke rumah kedua-dua ahli keluarganya itu.

Ketika itu, di rumah Said ada seorang sahabatnya, Khabbab Ibnul Aratt yang membacakan ayat al-Quran kepada mereka.

Apabila Umar datang, Fatimah segera mengambil lembaran berisi ayat suci itu dan menyembunyikannya di bawah pahanya sedangkan sebaik mendekati rumah terbabit Umar sempat mendengar bacaan Khabbab, sehingga beliau bertanya kepada mereka: “Syair apa yang aku dengar tadi...Aku diberitahu kamu berdua mengikuti agama Muhammad!”

Selepas itu, Umar menyerang Said. Fatimah pula melompat dan berusaha menghalang tindakan Umar, namun terkena tamparan hingga kepalanya berdarah.

Kemudian, Fatimah berkata kepada abangnya itu: “Ya, benar! Demi Allah, kami berdua memang sudah masuk Islam dan beriman kepada Allah dan rasul-Nya, Muhammad. Kini kamu sudah mengetahuinya. Perbuatlah sesuka hatimu terhadap kami. Kami tidak gentar sedikit pun.”

Selepas Umar melihat darah pada kepala adiknya, beliau menyesal lalu menahan marahnya dan berkata kepada adik nya: “Kalau begitu, berikan padaku lembaran syair yang aku dengar tadi supaya aku dapat mempertimbangkan apa yang diajarkan Muhammad kepadamu.”

Fatimah memberikan lembaran ayat suci itu kepada abangnya, Umar.

Dalam lembaran itu tertulis surah Taha. Selepas selesai membaca lembaran itu, Umar berkata: “Alangkah indahnya kata-kata ini dan alangkah mulianya.”

Bermula detik itulah Umar memeluk Islam. Hatinya yang keras menjadi lembut selepas menatap ayat suci al-Quran.

Lukman berkata, ayat al-Quran tidak seperti teks lain kerana gaya bahasanya tinggi dan hal ini diperakui sendiri kalangan orang Arab yang mahir dalam ilmu bahasa.

“Orang kita, bahkan bangsa lain yang tidak begitu tahu mengenai ilmu bahasa terbabit tidak mampu menilai dan merasai kehebatan gaya bahasa terbabit, sebagaimana orang Arab.

“Tetapi bagi orang Arab, walaupun mereka menilai ketinggian gaya bahasa dan keindahannya, mereka gagal mengadakan ayat seumpama itu,” katanya.

Beliau juga menyangkal sekeras-kerasnya, jika ada orang yang mengatakan ayat al-Quran seperti bentuk nyanyian, puisi atau syair.

“Saya sendiri ada melakukan kajian terhadapnya dan memang terbukti ayat-ayatnya tidak boleh dilagukan seperti nyanyian, syair atau qasidah.

“Ia mempunyai tajwid dan membacanya mesti mengikut hukum terbabit. Inilah keistimewaan al-Quran,” katanya.

“Dan ini ialah kitab yang Kami turunkannya yang diberkati...” (al-Quran, surah al-An’anm:155)

Kenapa Perlu Berusaha Sedangkan Semuanya Telah Ditentukan?

Kenapa perlu susah-payah jika semuanya telah pun ditakdirkan? Kenapa harus kecewa sebelum bertemu gembira? Kenapa si dia tidak datang begitu sahaja?

Begitu juga para sahabat nabi, mereka pernah bertanyakan soalan yang hampir sama lebih 1400 tahun yang lalu.

Menurut Ali Abi Talib, pada suatu hari ketika para sahabat sedang menghadiri satu pengkebumian, Rasulullah datang dan duduk berhampiran. Para sahabat kemudian duduk mengelilinginya. Beliau menggenggam sebatang kayu kecil sambil menggores-gores tanah. Rasulullah kemudian bersabda, “Setiap daripada kamu yang diciptakan telah pun ditentukan neraka atau syurganya.” Bertanya salah seorang sahabat, “Kalau demikian, apa perlunya kita beramal ya Rasulullah?”

Mendengar sedemikan, Rasulullah bersabda lagi, “Beramallah, setiap orang akan dipermudahkan oleh Allah kepada jalan yang telah ditetapkan oleh-Nya.” Kemudian beliau membaca surah Al-Lail ayat 5 hingga 10” [1]

Di dalam surah Al-Lail ayat 5 hingga 10, Allah telah berfirman, “Adapun orang yang memberikan (menafkahkan hartanya) apa yang ada padanya ke jalan kebaikkan dan bertakwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya). Dan dia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga). Sebaliknya orang yang bakhil (daripada berbuat kebaikkan) dan berasa cukup dengan kekayaan dan kemewahannya. Dan dia mendustakan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesusahan dan kesengsaraan. ”

Begitulah penjelasan nabi ke atas pengertian takdir dan amalan manusia. Beliau tidak menyuruh para sahabat mempersoalkan ketentuan tuhan, sebaliknya menyuruh mereka memberi fokus kepada usaha dan amalan semata-mata.

Firman Allah di dalam Surah Al-Mulk ayat 2, “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya;”

Hidup ini adalah untuk berusaha dan beramal, bukan untuk mempersoalkan takdir. Jangan ditanya, “kenapa perlu mencari si dia sedangkan si dia telah pun ditentukan” sebaliknya tanyalah diri sendiri “apakah usaha yang telah dicurahkan di dalam perjalanan mencari si dia.”

Wallahu’alam.