Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh berkat. Allah melimpahkan kasih sayang-Nya kepada seluruh hamba-hamba-Nya yang bertakwa. Ganjaran pahala kurniaan-Nya untuk hamba-Nya yang beribadah pada bulan Ramadan juga berlipat kali ganda melebihi bulan-bulan yang lain. Justeru itu tidak hairanlah sekiranya bagi golongan yang beriman mereka berlumba-lumba untuk mempertingkatkan amal ibadah mereka pada bulan yang mulia ini. Berikut adalah beberapa amalan-amalan yang disyari’atkan bagi seluruh umat islam sempena Ramadan al-Mubarak ini.
Apabila seseorang melihat anak bulan untuk menentukan tarikh bermulanya bulan Ramadan, dia hendaklah berdoa dengan doa yang telah diajar oleh Nabi s.a.w iaitu :
"Ya Allah munculkanlah anak bulan ini ke atas kami dengan membawa keberkatan, keselamatan dan Islam. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah." - Hadis riwayat al-Tirmizi, no: 3373.