Jumaat, Julai 12, 2013

Solat Berjemaah Mengikut Mazhab Syafie


1. Niat dalam solat

Makmum mestilah berniat makmum sewaktu takbiratul ihram. Batal solat jika dia sengaja mengikut imam tanpa niat makmum atas alasan tiada apa ikatan antara dia dengan imam. Kecuali kalaulah pengikutan dia dengan imam itu secara kebetulan, tidak batal solat, namun dia dikira solat sendirian (munfarid).
Makmum yang syak niatnya samada niat makmum atau tidak, jika dalam solat, batal solatnya. Kecuali dia belum mengikuti imam 1 rukun perbuatan, maka, dia boleh berniat menjadi makmum.

Imam pula, untuk mendapat kesempurnaan berjemaah, hendaklah berniat imam sewaktu takbiratul ihram jika dia ada makmum bersamanya seawal solat. Jika di pertengahan solat, baru ada makmum mengikutinya, maka dia berniat imam sesudah makmum selesai bertakbiratul ihram. Imam yang yang tidak berniat imam, sah sembahyangnya tapi tidak mendapat kelebihan berjemaah. Kecuali untuk solat jumaat, adalah wajib bagi seseorang berniat samada imam ataupun makmum.

2. Takbiratul ihram

Tidak boleh mendahului atau serentak dengan imam dalam takbiratul ihram. Makmum kena tunggu selesainya imam takbiratul ihram, barulah boleh dia takbiratul ihram. Jika tidak, batal solatnya.
Makmum yang takbiratul ihram dan mendapati imam sujud, boleh sahaja terus sujud tanpa mengucapkan takbiratul intiqalat.
Begitu juga, jika dia mendapati imam tasyahud awal atau tasyahud akhir, terus sahaja boleh duduk tasyahud tanpa perlu bertakbir intiqalat. Membaca tasyahud itu dibolehkan baginya.
Makmum yang takbiratul ihram kemudian mendapati imam telah memberi salam sebelum dia sempat duduk, maka dia hendaklah terus sahaja berdiri meneruskan solatnya. Tidak perlu baginya duduk lagi. Dia dikira mendapat jemaah.

3. Menunggu makmum

Adalah lebih afdhal berjemaah dengan orang yang sedikit di awal waktu daripada bersembahyang berjemaah dengan orang yang banyak di akhir waktu. Justeru, tidak sunnah mentakhirkan sembahyang sebab menanti akan orang yang banyak atau menanti orang-orang terpilih.

Sunnat bagi imam menanti di 2 tempat dalam sembahyangnya; Rukuk dan tasyahud akhir; akan orang yang dirasakan datang untuk mengikutnya. Jika dia menunggu untuk makmum mengikutnya masuk jemaah, dia boleh melebihkan tasbih dalam kiraan ganjil 5x, 7x sehingga kesempurnaannya ialah 11x. Jika tiada apa keuzuran seperti itu, makruh imam membaca tasbihnya dalam rukuk atau sujud lebih dari 3x.