Khamis, Jun 25, 2009

Laungan Azan Tangani Histeria

HISTERIA atau dalam bahasa Melayu dikenali sebagai kerasukan sesuatu yang benar-benar wujud. Sebagai contoh, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 275 bermaksud: "Orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama saja seperti riba". Padahal Allah sudah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu, sesiapa yang sudah sampai kepadanya peringatan (larangan) daripada Tuhannya lalu ia berhenti (daripada mengambil riba), maka apa yang sudah diambilnya dulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya dan perkara itu terserah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi (perbuatan mengambil riba), maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya."

Dirasuk ditafsirkan oleh ulama, contohnya Ibn Kathir dalam tafsir al-Quran al-Azim bahawa pemakan riba tidak dapat berdiri dengan betul pada hari kiamat. Mereka akan berjalan terhuyung-hayang seperti orang kerasukan.

Sebagai keterangan lanjut yang berkaitan, dalam hadis sahih riwayat al-Hakim daripada Kharijah As-Shalt daripada Alaqah Sahar, dia berkata: "Pada zaman Nabi dulu, penduduk sebuah kampung pernah meminta tolong kepadaku mengubati seorang yang selalu ditimpa penyakit gila dan kerasukan di kalangan mereka. Orang lelaki ini diikat bagi mengelakkan dia menyusahkan orang lain.
"Alaqah akhirnya membacakan al-Fatihah untuk orang yang ditimpa musibah itu setiap hari, pagi dan petang selama tiga hari berturut-turut sehingga dia sembuh dan dilepaskan daripada gangguan syaitan itu."

Merujuk bukti al-Quran dan hadis yang sangat banyak, ulama ahli Sunnah bersepakat mengatakan kerasukan syaitan benar-benar wujud. Ia satu bentuk penguasaan syaitan ke atas manusia di samping cara mempengaruhi yang lain.

Allah SWT menjelaskan dalam surah al-Mujadalah ayat 19 bermaksud: "Syaitan sudah menguasai dan mempengaruhi mereka, sehingga menyebabkan mereka lupa mengingati (ajaran dan amaran) Allah."

Matlamat terakhir gangguan syaitan seperti digambarkan dalam surah al-A'raf ayat ke-17 bermaksud: "Kemudian aku datangi mereka dari hadapan serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka, dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur."
Bagi mengatasi masalah gangguan itu, cara paling berkesan terutama apabila berlaku kepada ramai, seseorang melaungkan azan. Nabi SAW menyatakan dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim: "Apabila azan dilaungkan, syaitan bertempiaran lari sambil membunyikan kentutnya kerana tidak mahu mendengar suara azan".

Dalam hadis lain, rawatan yang sangat berkesan ialah membaca surah al-Fatihah, ayat Kursi, dua ayat terakhir surah al-Baqarah, surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas. Cara dicadangkan menurut hadis riwayat Abu Daud ialah membuat tiupan kepada pesakit dan mengulangi bacaan itu tiga kali atau lebih.

Bagi mengelak ditimpa gangguan syaitan yang pelbagai, kita perlu sentiasa zikir dan wirid sekurang-kurangnya selepas solat, sentiasa membaca al-Quran dan mengamalkan doa pilihan.

Sebagai contoh pembaca boleh merujuk kitab zikir nabi karangan al-Imam an-Nawawi yang sangat padat dengan amalan dan petua yang dianjurkan Baginda SAW. Nabi juga pernah mengalami gangguan syaitan akibat disihir oleh Yahudi Labid al-A'sam, tetapi Baginda diselamatkan Allah dengan amalan membaca al-Falaq dan an-Nas.

Sebagai wasiat yang penting daripada Nabi SAW seperti yang diriwayatkan al-Imam al-Bukhari dan Muslim, Baginda bersabda:

"Apabila kegelapan malam tiba, iaitu waktu petang, tahan anakmu, sesungguhnya syaitan bertebaran pada waktu itu. Apabila malam mula berlalu, maka lepas mereka, tetapi tutup pintu rumahmu dan sebutlah nama Allah. Sesungguhnya syaitan tidak membuka pintu yang tertutup, tutup makanan dan minuman serta sebut nama Allah SWT, sekalipun dengan meletakkan sesuatu di atasnya."

Antara Logik dan Benar

Tidak semua perkara yang benar itu logik

Kisah 1:

Seorang kafir (OK) berkata pada orang mukmin (OM) yang sedang berwudhuk:
OK: "Kenapa kamu wudhuk?
OM: "Aku tadi batal wudhuk sebab terkentut"
OK: " Aku heran, kamu kentut di belakang tapi kenapa kamu cuci muka, tangan, kepala dan kaki kamu? Kenapa kamu tidak cuci tempat yang keluar kentut?
OM: "Ini arahan Tuhanku, aku taat saja"
OK: "Jelas sekali agama kamu ini tidak benar. Arahannya tidak logik sama sekali"
OM: "Kebenaran itu tidak semestinya logik"
OK: " Apa buktinya?
OM: Yuk ikut aku
OM membawa OK ke sebuah pintu. Lalu OM memegang tangan OK, kemudian menyepit tangan OM dengan pintu itu. OK menjerit kesakitan.
OK: Aduh tangan aku sakit...tolong lepaskan tangan aku!
OM: Baiklah...inilah jawabanku: tangan kamu yang sakit, tapi kenapa mulut kamu yang menjerit.
OM pun meninggalkan OK yang bodoh sombong itu dalam kesakitan....


Kisah2:
Seorang kafir (OK) berkata kepada orang mukmin (OM)
OK: Tuhan kamu sungguh tidak adil
OM: Kenapa?
OK: Tuhan kamu menghukum manusia dan syaitan yang jahat di dalam neraka yang terbuat dari api. Tentu saja manusia tersiksa tapi syaitan enak saja.
OM: Kenapa begitu?
OK: Yalah...manusia dicipta dari tanah, kalau dibakar dengan api hangus, sakitlah. Tapi syaitan dicipta dari api, kalau dibakar dengan api relaks lah....tdk terasa apa-apa....
OM: Tidak begitu. Tuhan aku kata, mereka semua akan tersiksa...
OK: Ah...tidak mungkin. Logiknya manusia saja yg tersiksa, syaitan tidak

OM diam sebentar, lalu dia meninggalkan OK.

Beberapa waktu kemudian OM datang lagi dengan membawa sebongkah tanah keras dan melemparnya tepat ke dahi OK

Dahi OK luka berlumuran darah. Kemudian dia membawa OM menghadap seorang hakim. Setelah mendengar cerita dari kedua belah pihak ttg kejadian itu, maka hakim bertanya pada OM

Hakim: mengapa kamu lempar OK begitu?
OM : Maaf Tuan Hakim, OK mengatakan bahwa Tuhan tidak adil kerana menghukum manusia dan syaitan yang jahat di dalam neraka yang terbuat dari api. Tentu saja manusia tersiksa tapi syaitan enak saja sbb syaitan dicipta dari api. Logiknya memang begitu, tapi itu tidak benar. TIDAK SEMUA YANG LOGIK ITU BENAR

Sebagai buktinya saya lempar dia dengan tanah. Logiknya OK, manusia yg dicipta dari tanah kalau dilempar dengan tanah tidak sakit, bukan? Tapi buktinya OK luka dan sakit. Saya tidak bermaksud menyakitinya, saya hanya mau menjawab pertanyaannya.

Renungan kepada para pengagum Albert Einstein, Bill Gates, para saintis, filosof dan yang sejenis dengannya. Kalau begitu, siapakah sebenarnya manusia yang paling cerdik? Einstein, dll yang kafir atau orang mukmin (walaupun dia hanya tukang kebun)?

Pakai Inai Tiada Unsur Syirik

Dari segi bahasa, inai bermaksud bahan yang digunakan untuk memerahkan kuku, jari dan anggota badan. Dalam bahasa Arab inai dipanggil Al-Hinnaa' atau henna.
Pemakaian inai seolah-olah menghiaskan diri dengan bahan yang dipakai, sama seperti memakai perhiasan di tubuh seorang wanita. Sifat inai tidak berkekalan selamanya ditubuh kita.

Sebelum menentukan hukum memakai inai perlu dilihat dari beberapa aspek, antaranya ialah;

* Bahan inai itu daripada apa ia diperbuat? Adakah daripada bahan yang halal atau daripada bahan yang haram. Sekiranya inai itu semata-mata daripada daun inai, sama ada yang dikeringkan atau diproses secara tradisi maka bahannya halal.
* Ukiran inai, sekiranya inai itu diukir ditangan manusia dengan bentuk lambang salib atau lambang berhala atau objek yang menyerupai makhluk maka hukumnya haram. Sekiranya inai diukir membentuk corak-corak flora, seperti bunga, daun-daun atau apa-apa sahaja bentuk yang tidak menyerupai makhluk adalah harus hukumnya.
* Inai bagi tujuan berubat. Dalam tradisi perubatan inai dipercayai boleh memulihkan kuku yang bermasalah. Ada juga masyarakat Arab dan afrika menggunakan inai untuk tujuan menggelakkan merkahan pada tapak kaki. Sekiranya inai digunakan untuk tujuan perubatan hukumnya harus.
* Hukum memakai inai bagi orang lelaki. Memakai inai bagi kaum lelaki dari kalangan orang Islam perlu dilihat dari sudut budaya dan uruf (budaya sesebuah kaum). Ada di kalangan ulama yang mengharamkannya atas alasan menyerupai orang perempuan dan ada pula yang mengharamkannya kerana memakai inai bukan budaya orang Islam malahan budaya orang bukan Islam. Perlu diperjelaskan di sini tidak semua budaya itu haram. Islam hanya mengharamkan budaya yang bertentangan dengan syariah dan akidah Islamiah. Budaya memakai inai tiada kaitannya dengan ketuhanan selain Allah SWT dan tiada unsur syirik.
* Ulama mengharuskan wanita memakai inai untuk perhiasan suami dan ahli keluarganya sahaja dan bukan untuk ditayangkan kepada yang lain. Maka harus bersederhana dalam berinai untuk mengelakkan fitnah.

Di Malaysia bagi masyarakat yang beragama Islam kebanyakannya akan memakai inai pada hari perkahwinan di dua atau tiga jari sahaja, tidak seperti perempuan memakai pada semua jari. Dan inai ini dipakai oleh orang lelaki hanya untuk majlis perkahwinan mereka sahaja bukan untuk selain daripada itu melainkan untuk mengubat kuku atau tapak kaki yang merkah.

Adapun inai bagi perempuan dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita zaman salaf berinai dan Nabi SAW tidak menegahnya, malah menyuruhnya dengan dalil:
Daripada Aisyah ra, "Nabi melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, apakah ini tangan lelaki atau perempuan, maka dikatakan itu tangan perempuan, maka Nabi pun bersabda, "Jika kamu seorang perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dengan inai)." (Abu Daud, no: 4166 dan al-Nasa'iy,no:5092)

Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan ulama berpendapat bahawa hukum lelaki memakai inai di kukunya adalah di antara haram dan makruh. Ini kerana ia menyerupai perhiasan wanita . Inai yang digunakan untuk perubatan (medication) tidaklah mengapa (tujuan kesihatan seperti inai di ibu jari kaki yang menghidap penyakit sekam (kuku rosak).

Menangani Gangguan Syaitan

Allah SWT berfirman dalam al-Quran menceritakan mengenai hakikat gangguan syaitan, contohnya surah al-Hijr ayat 33-42 , maksudnya: Iblis menjawab: "Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia daripada tanah liat yang kering, yang berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya." Allah SWT berfirman: "Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau daripada sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir. "Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus menerus sehingga ke hari kiamat.". Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)."

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dengan permohonan itu, maka sesungguhnya engkau daripada golongan yang diberi tempoh. Hingga ke hari masa yang termaklum." Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! kerana Engkau sudah menjadikanku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat Adam itu hamba-Mu yang dibersihkan daripada sebarang syirik." Allah berfirman: "Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya. Sesungguhnya hamba-Ku, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu daripada orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).

Bagi kalangan pentafsir al-Quran, contohnya Ibn Kathir dalam Sahih tafsir Ibn Kathir, menjelaskan apa yang kita dapat pelajari daripada ayat ini bahawa iblis sudah berazam untuk mengganggu dan menyesatkan manusia hingga menyebabkan mereka mencintai melakukan maksiat serta menyebabkan mereka merasai gelisah. (Lihat Terjemahan Sahih Tafsir Ibn Kathir, cetakan Pustaka Ibn Kathir, Jakarta, jilid 5, hlm 107-108 )

Dalam sebuah hadis sahih riwayat Muslim, kerja iblis ialah untuk menghancurkan manusia, bahkan syaitan yang berupaya menyebabkan perceraian antara suami isteri adalah syaitan yang paling disayangi oleh ketuanya, iblis. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya iblis membina singgahsana di atas air lalu mengutuskan bala tenteranya, maka yang paling tinggi kedudukannya di sisinya ialah yang paling teruk fitnahnya. Maka akan datanglah seseorang mereka lalu melaporkan kepada iblis aktivitinya, bahawa aku telah melakukan sekian sekian, lantas jawapan iblis, tidak kau tidak buat apa-apa! Kemudian datang yang berikutnya mengatakan aku tidak tinggalkan urusanku sampai aku menyebabkan mereka bercerai-berai suami dan isterinya! Jawab Iblis: Ya, mari sini duduk dekat denganku! Engkaulah yang aku hendak!

Ada banyak ayat lain dan hadis daripada pelbagai sumber yang menunjukkan gangguan syaitan kepada manusia, termasuklah usahanya mencucuk perut bayi yang masih kecil untuk menyakitinya supaya ayah dan ibu bayi itu terganggu sehingga mereka tidak dapat tidur dan terlepas solat Subuh. Dalam perkembangan yang lain pula, mereka akan pergi mendapatkan anjuran dan rawatan golongan ahli sihir.

Lantaran itu Nabi SAW membacakan doa pelindung "U'izukuma bikalimatilLahit tammati min kulli syaitanin wa hammah, wamin kulli ainin lammah" yang bermaksud: "Aku mohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna buat kamu berdua (Hasan dan Husin) daripada gangguan syaitan dan binatang bahaya dan daripada pandangan mata yang jahat. Munajat ini dipanjatkan oleh Nabi buat kedua cucu Baginda Hasan dan Husin daripada gangguan syaitan.

Ini sebagai satu saranan buat ibu bapa agar sentiasa mendapatkan perlindungan Allah SWT dalam menghadapi kerenah gangguan makhluk halus. Cuma menghadapi gangguan makhluk halus yang terdiri daripada jin dan syaitan ini, manusia terbahagi kepada dua iaitu yang bersabar lalu berusaha mendapatkan rawatan yang dibenarkan dalam perspektif syarak dan yang kedua, yang mencari penyelesaian menerusi bomoh, pawang , dukun dan sebagainya.

Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang bermaksudnya: "Sesiapa yang berjumpa dengan bomoh lalu membenarkan kata-katanya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi SAW (Riwayat Ahmad no 9784 , Abu Daud no 3904 )

Sebenarnya bagi menghadapi gangguan syaitan dan jin ini, Nabi saw sudah meninggalkan bekal yang amat mujarab yang akan memberikan kesan paling maksimum kepada gangguan itu sendiri iaitu (sila rujuk Perisai Muslim, terjemahan Dr Ab Basit hlm 120, cetakan Telagabiru Sdn Bhd):

1. Mengucapkan ta'awwuz iaitu A'uzubilLahi minassyaitanirrajim.

2. Melaungkan azan jika gangguan itu berlaku di hadapan kita contohnya histeria.

3. Membacakan ayatul Kursi dan zikir yang nabi ajarkan.

Cuma masalah timbul adalah keberkesanan bacaan ini apabila dilakukan mereka yang kurang amalan. Cantiknya bandingan yang dikemukakan Ibnul Jawzi dalam Talbis Iblis ialah orang yang tidak beramal ini bandingan-nya seperti seorang yang tidak biasa bermain senjata. Kelak apabila dia terpaksa menggunakan senjata maka dia akan menghadapi masalah kerana tidak berlatih menggunakannya. Demikian apabila Muslim tidak biasa beramal dengan amalan ma`thur ini dibimbangi baca-annya ketika ditimpa musibah itu tidak akan berkesan.

Apabila keadaan ini berlaku, seseorang itu hendaklah menemui orang salih yang berkeahlian untuk menangani gangguan itu. Jangan sesekali mendampingi orang yang disangka ahli padahal dia memakan harta manusia teraniaya secara zalim. Carilah penyelesaian menurut jalan yang dibenarkan oleh syarak, sekalipun ia memerlukan jalan yang agak panjang, kerana matlamat kita adalah mencari keredaan Allah SWT, bukan semata-mata untuk bebas dari ujian yang ditakdirkan berlaku untuk keampunan dosa, tapi menyebabkan kita derhaka. Bagi yang ditimpa gangguan, anggaplah ia adalah ujian untuk penghapusan dosa dan usahakan mencari rawatan yang dibenarkan syarak dengan merujuk kepada ustaz, imam dan ahli agama sebelum kita berjumpa dengan pawang atau bomoh.

Israk Mikraj Pengajaran Paling Bermakna bagi Umat Muhammad S.A.W

RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya zaman berputar seperti keadaannya tatkala Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun ada 12 bulan. Antaranya ada empat bulan haram. Tiga bulan berurutan iaitu Zulkaedah, Zulhijah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban." (Hadis riwayat Bukhari).

Dalam al-Quran Allah SWT berfirman bermaksud: "Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu." (Surah At-Taubah ayat 36).

Menghubungkan Rejab dengan sejarah Islam, bulan ini tidak banyak mencatat peristiwa besar, tetapi satu daripada peristiwa yang berlaku itu boleh dijadikan bahan renungan seluruh pengikut Nabi Muhammad SAW.

Rejab adalah bulan ketujuh dalam kalendar Islam mencatat dua peristiwa sedih memilukan hati dalam sejarah perjalanan hidup rasul kesayangan kita, iaitu Nabi Muhammad.

Dua peristiwa sedih dimaksudkan itu ialah kematian Siti Khadijah, isteri yang sangat disayangi Baginda dan banyak berkorban harta benda dan wang ringgit untuk membantu Baginda berdakwah mengembangkan Islam. Siti Khadijah dengan penuh ikhlas dan rela hati menyumbang semua harta miliknya untuk kepentingan dan kemajuan dakwah Rasulullah dalam usaha menegakkan risalah Islamiah.

Kemuraman terus melanda hidup Rasulullah. Selepas kematian Siti Khadijah disusuli pula dengan kematian bapa saudara Nabi, Abu Talib yang begitu rapat dengan hidup Nabi. Justeru, Abu Talib bersungguh-sungguh dan bermati-matian membela dan melindungi Rasulullah daripada ancaman orang kafir Quraisy.

Abu Talib adalah orang yang sangat dihormati dan disegani di kalangan bangsa Arab ketika itu menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berani mengganggu Rasulullah. Pemergian dua sangat rapat dan disayangi Baginda ini, Siti Khadijah dan Abu Talib, amat dirasakan oleh Baginda selepas itu.

Justeru, selepas kematian dua orang disayangi oleh Rasulullah ini, pergerakan dakwah baginda di kota Makkah semakin sempit dan sering mendapat gangguan daripada orang kafir Quraisy. Baginda mendapat ejekan serta mengancam keselamatan Baginda. Rasulullah akhirnya memutuskan untuk berhijrah ke Taif.

Malangnya di Taif juga Rasulullah menerima cacian, ejekan serta penghinaan penduduk Taif. Rasulullah kembali semula ke Makkah. Penderitaan ditanggung Rasulullah cukup berat ketika itu. Melihat keadaan Rasulullah SAW itu maka Allah memerintahkan Jibril membawa Rasulullah melalui peristiwa Israk Mikraj. Peristiwa menakjubkan itu berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 menjadi rasul.

Allah berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Dan Kami mengangkatnya ke martabat yang tinggi - "(Surah Maryam ayat 57).

Inilah peristiwa penting dan besar bagi orang Islam kerana peristiwa itu memberi hikmah dan pelajaran yang sangat mendalam bagi Nabi Muhammad dan sekali gus ia juga menjadi cermin bagi umat Muhammad pada hari ini, sebelum ini dan yang akan datang.

Sesuatu yang dikira penting bila bercakap mengenai Israk Mikraj ini ialah sejarah pensyariatan solat kini difardukan bagi umat Islam lima waktu sehari. Pada mulanya Allah menetapkan sebanyak 50 waktu sehari ketika Nabi Muhammad kali pertama menghadap Allah di Sidratul Muntaha. Selepas turun naik berulang kali menghadap Allah selepas diminta oleh Nabi Musa, maka akhirnya Allah menetapkan lima waktu saja sehari semalam.

Sesungguhnya peristiwa Israk Mikraj yang dialami Nabi Muhammad ribuan tahun lalu itu sentiasa segar dalam ingatan seluruh umat Islam kerana peristiwa itu diingati setiap tahun. Peristiwa itu memberi pengajaran yang cukup bermakna kepada orang mukmin untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah hingga kiamat. Jelas diperlihatkan kebesaran dan keagungan Allah melalui peristiwa Israk Mikraj.

Allah berfirman bermaksud: "Maha Suci Allah, yang menjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkali sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra' ayat 1)

Mempelajari kejadian yang berlaku sepanjang peristiwa Israk Mikraj yang dialami oleh Nabi Muhammad pada masa tiga suku malam itu boleh memberi kesedaran dan keinsafan mendalam bagi umat Muhammad.

Sebagai contoh ialah satu kejadian yang disaksikan Rasulullah ketika perjalanan (Israk), sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu mereka memecahkan semula. Mereka melakukannya berulang-ulang kali. Jibril memberitahu Rasulullah itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud kepada Allah (solat).

Kejadian di atas itu boleh menginsafkan mereka yang selama ini mengabaikan atau tidak solat. Allah tetap akan memberi balasan kepada mereka yang tidak sujud kepada-Nya dan Allah tidak memungkiri janji-Nya.

Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir