Khamis, Julai 17, 2008

Tuduhan-tuduhan melibatkan setiap rakyat Malaysia

Beberapa pihak membat kenyataan bahawa qazaf (hukuman terhadap tuduhan zina tanpa saksi dan bukti) hanya terpakai dalam perkara zina (persetubuhan haram di antara lelaki dan wanita). Begitu juga qazaf hanya terpakai jika tuduhan zina itu dilakukan oleh pihak ketiga, yakni bukan individu yang terlibat dalam perbuatan tersebut.

Justeru mengikut logik ini, tuduhan Saiful terhadap Anwar Ibrahim adalah terlepas daripada peruntukan di bawah kesalahan qazaf. Tindakan mengecualikan liwat daripada peruntukan undang-undang di bawah zina ini ialah satu duluan yang amat berbahaya. Ia seolah-olah mengatakan bahawa undang-undang Islam tidak lengkap, sedangkan topik liwat disentuh dengan jelas di dalam Islam.

Ada pula yang mengatakan bahawa liwat adalah berbeza daripada zina dan disamakan dengan rogol. Golongan ini mengambil pakai hujah golongan anti-syariah yang memperlekehkan keperluan syariat Islam agar sesiapa yang menuduh seseorang melakukan zina membawa empat saksi. Kata mereka tidak mungkin mangsa rogol membawa empat saksi, justeru perogol akan lepas bebas. Benar kemungkinan membawa empat saksi yang adil dalam kes rogol adalah tersangat tipis. Tetapi apakah syariat Islam memerlukan empat saksi untuk kes rogol?

Apakah Saiful mendakwa dirogol atau rela?

Apakah benar Saiful dirogol (secara liwat)? Mengikut dakwaan Saiful, kejadian itu berlaku berulang kali. Saiful adalah seorang lelaki muda yang sihat tubuh badan. Berbanding Anwar yang jauh lebih berusia, barang tentu kekuatan tenaga Saiful lebih. Maka apakah mungkin Saiful dipaksa dan dirogol (jika benar persetubuhan haram itu benar-benar terjadi).

Oleh kerana dakwaan-dakwaan Saiful memberi indikasi dia rela maka aduan yang dibuat bukan rogol. Seorang individu yang membuat pengakuan rela melakukan persetubuhan haram, maka dia hendaklah dihukum di bawah undang-undang had. Meski begitu dia tidak boleh membuat tuduhan kepada orang lain, hatta kepada individu yang kononnya menjadi pasangannya dalam persetubuhan tersebut tanpa membawa saksi dan bukti. Kesaksiannya (ikrar) hanya boleh digunakan terhadap dirinya.

Rasulullah pernah didatangi wanita yang mengaku telah berzina. Beberapa kali Rasulullah menolak pengakuan wanita tersebut. Tetapi setelah berulang kali wanita tersebut membuat pengakuan, maka beliau dihukum di bawah hudud. Justeru ikrar boleh dijadikan asas untuk menjatuhkan hukuman had tanpa perlu kepada saksi.

Sekarang Saiful perlu dihukum atas kesalahan persetubuhan haram setelah membuat pengakuan berulang kali. Oleh kerana beliau belum bernikah maka hukumnya di bawah hudud ialah 100 kali sebatan. Pihak berkuasa Islam di Malaysia perlu mengambil tindakan segera mendakwa Saiful di Mahkamah Syariah berdasarkan pengakuannya dan hukuman dijatuhkan kerana persetubuhan haram mengikut peruntukan undang-undang syariah Malaysia.

Namun untuk menuduh Anwar (atau mana-mana individu) beliau masih perlu membawa saksi dan bukti. Jika tidak beliau melakukan qazaf.

Prosedur pembuktian kes rogol

Islam telah meletakkan prosedur pembuktian yang secukupnya bagi kes-kes rogol. Tidak mungkin mangsa rogol yang menerima hukuman sedangkan perogol lepas bebas. Beberapa kejadian rogol di Pakistan dan Afrika yang sering dimanipulasi sebagai menunjukkan Islam tidak adil kerana wanita mangsa rogol yang dikenakan tindakan. Barang perlu diingat, kejadian dan hukuman itu bukan mengikut syariat Islam, tetapi mengikut amalan adat yang memberi kelebihan kepada lelaki. Amalan ini bertentangan dengan Islam.

Almarhum Syeikh Azmi Ahmad, Hakim Syarie Malaysia yang tersohor, pernah membicarakan dengan panjang lebar mengenai prosedur pembuktian di dalam kes rogol. (Tulisan beliau perlu dirujuk untuk kepastian). Beliau telah menyatakan bahawa pembuktian kes rogol tidak memerlukan kepada adanya empat orang saksi yang adil. Islam menyediakan peruntukan pembuktian lain yang memastikan pesalah (perogol) dihukum dan mangsa terbela.

Benar undang-undang yang dipanggil undang-undang syariah di beberapa negara adalah tidak sempurna. Ini kerana syariat asal Islam telah dipinda-pinda. Namun ketidaksempurnaan manusia itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memfitnah Islam dan ALlah.

Sumpah dan mubahalah

Terdapat pihak yang mencadangkan agar Anwar melakukan sumpah Quran untuk menolak tuduhan terhadapnya.

Prosedur sumpah dibenarkan Islam di dalam beberapa perkara. Antaranya untuk suami atau isteri yang menuduh pasangannya melakukan zina tanpa mempunyai saksi. Maka mereka bersumpah dan akibatnya mereka terpisah mutlak (tidak boleh kembali bersama lagi). Pun begitu mereka tidak dijatuhkan hukuman terhadap kesalahan zina.

Peruntukan sumpah ini tidak menetapkan apa-apa hukuman yang akan dilaksanakan manusia. Ia terserah kepada ALlah semata-mata. Justeru kenyataan Anwar bahawa sumpah bukan penyelesaian kerana ini bermakna seorang pembunuh, perogol, perasuah dan sebagainya boleh bersumpah untuk melepaskan dirinya. Malah ia juga akan menggalakkan fitnah kerana tuduhan boleh dibuat sesuka hati semata-mata disokong oleh sumpah, tanpa bukti dan kesaksian.

Saya kira menuntut Anwar melakukan sumpah tidak akan membantu. Bagaimana jika kedua-dua pihak (penuduh dan dituduh) bersumpah dan tidak ada apa-apa yang berlaku, yakni ALlah menangguhkan untuk menzahirkan ketentuannya? Sekali kita berdoa tidak bermakna akan terus makbul. Jika tidak ada sebarang alamat, tidak mungkin bermakna kedua-dua sekali berada di pihak yang benar. Apakah nanti akan ditimbulkan keraguan pula mengenai kewujudan ALlah?

Saya kira seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira agama dan kepercayaan perlu berdoa mengikut cara masing-masing agar Malaysia diselamatkan daripada fitnah. Umat Islam mungkin boleh berkumpul beramai-ramai di Masjid atau tempat awam melakukan solat hajat dan berdoa agar fitnah ini berlalu dan mereka yang melakukan fitnah ditunjukkan dan dibalas perbuatan jahat mereka dengan seadilnya.

Kes-kes tuduhan liwat dan sebagainya ini bukan sahaja memberi kesan kepada mereka yang dituduh. Ia menyebabkan suasana gawat yang mengancam kestabilan negara. Justeru setiap rakyat Malaysia mempunyai kepentingan di dalamnnya. Maka adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia untuk bertindak.

Apakah kita terlalu sombong sehingga enggan berdoa memohon bantuan ALlah di dalam perkara seberat ini?

Kepada Anwar Ibrahim, saya berharap beliau dan keluarga akan terus tabah menghadapi ujian dan mehnah ini. Cubaan seberat ini tidak akan dikenakan ALlah terhadap manusia sebarangan. Ini adalah ujian dan latihan agar beliau dan keluarga akan menjadi hamba ALlah yang lebih teguh iman dan kemampuan memimpin.

Malah Nabi Yusuf alaihissalam juga melalui ujian fitnah ini. Saidatina Aisyah radiallahuanha juga melaluinya, sekaligus Rasulullah sendiri akibat fitnah yang itu. Tidak ada nasihat yang lebih baik berbanding nasihat ALlah kepada Rasulullah:

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu…” An-Nur:11

sumber: http://azakiyamani.wordpress.com/