Pendahuluan
Dakwah adalah asas kepada kemunculan agama Islam dan penyebarannya.
Tanpa dakwah Islam tidak muncul dan tersebar luas sebagaimana yang ada
pada masa ini. Peranan dakwah yang sebegini penting dapat dilihat dengan
jelas dalam sejarah kelahiran agama Islam dan perkembangannya. Setelah
Rasulullah s.a.w wafat maka tugas dan kewajipan berdakwah
dipertanggungjawabkan kepada seluruh umat Islam berdasarkan kepada
kedudukan mereka sebagai umat yang terbaik dan paling layak bagi
melaksanakan kewajipan tersebut. (Q.3:110).
Defenisi
Dakwah dari sudut etimologi (bahasa), berasal daripada perkataan arab
iaitu Da'a, Yad'u, Da'watan, wada'iyatan yang memberi erti menyeru,
memanggil, mengajak, mempengaruhi atau melaung. Kata dasar “dakwah”
dalam penggunaan bahasa arab menurut kamus munjid al-Tullab (hlm.200)
boleh diterima pakai untuk 17 makna yang berlainan.
Manakala dari sudut terminologi (istilah), Dr.Yusuf al-Qardawi
mendefinisikan dakwah sebagai usaha membawa orang lain kepada agama
Islam, supaya mengikut petunjuk agama ini, melaksanakan ketetapannya di
muka bumi, mengkhususkan segala bentuk perhambaan diri, permohonan dan
taat kepada Allah s.w.t sahaja, melepaskan diri daripada segala
konkongan yang bukan daripada Allah s.w.t (taghut ) yang terpaksa
dipatuhi, memberi hak kepada orang yang ditentukan hak oleh Allah s.w.t,
menafikan hak ke atas orang yang dinafikan hak oleh Allah s.w.t,
menyeru kepada kebaikan dan menegah kemungkaran, dan berjihad pada
jalan-Nya.
Menurut Kamus Dewan ( hlm: 244-255)
Suatu kegiatan menyeru dan membimbing (mendidik dan sebagainya) serta
menyakinkan secara baik dalam usaha mempengaruhi orang lain supaya
menyedari (menghayati) dan mengamalkan ajaran agama (agama Islam).
Menurut Muhamad Ghazali: Dakwah sebagai suatu program yang
lengkap, yang semua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang
diperlukan oleh manusia, bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan
bagi menyingkap petunjuk jalan yg menjadi petunjuk mereka.