Isnin, Oktober 22, 2012
Sejarah Ibadah Haji
"AKU menyahutMu wahai Tuhanku! Aku menyahutMu! Tiada sekutu bagiMu, aku menyahutMu! Sesungguhnya kepujian dan kenikmatan itu bagiMu, juga kerajaan tiada sekutu bagiMu! Aku menyahutMu dengan haji yang benar-benar penuh dengan ibadat dan perhambaan!" Laungan syahdu 'talbiah' bergema di seluruh pelusuk kota Makkah setiap kali kedatangan Zulhijjah. Jemaah memenuhi kota Makkah bersama niat tulus ingin melengkapkan rukun Islam kelima, menunaikan ibadat haji.
Hati mereka bercampur baur - diasak sayu, insaf dengan kekhilafan diri, kagum dengan kebesaran Tuhan dan sebak gembira menjadi tetamu jemputan Allah SWT untuk menunaikan ibadat haji di kota suci-Nya.
Demikianlah antara rentetan ibadat haji, ibadat terakhir yang melengkapi empat rukun Islam yang terdahulu iaitu mengucap dua kalimah syahadah, bersolat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan zakat.
Sejak zaman Nabi Adam AS lagi sudah ada ibadat haji, begitu juga pada zaman Nabi Ibrahim AS tetapi tidak banyak ulama mengkaji kaedah pelaksanaan pada zaman itu.
Pelaksanaan ibadat haji secara lengkap dan sempurna seperti hari ini bermula pada tahun kesembilan Hijrah apabila turunnya wahyu daripada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW mengutuskan Abu Bakar As-Siddiq dan Umar al-Khattab menunaikan haji pertama di Makkah.
Seterusnya pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi Muhammad SAW sendiri mengetuai rombongan haji dan ia adalah haji tunggal dan terakhir Baginda sebelum wafat.
Pelaksanaan rukun dan wajib haji serta pelbagai amalan lain dalam ibadat itu memiliki sejarah dan simbolik tertentu kepada perjalanan hidup manusia dari dunia ini sehingga ke alam akhirat.
Langgan:
Catatan (Atom)