Rabu, September 16, 2009

Panduan Menyambut Hari Raya

PENGENALAN

Hari raya sama ada Aidil Fitri atau Aidil Adha ialah anugerah dan nikmat Allah
kepada hamba-hambaNya supaya bergembira, bersuka ria dan bersyukur kepadaNya. Justeru, konsep dan falsafah sambutan hari raya tersebut akan dicapai jika ianya dibuat mengikut cara-cara yang disyariatkan agar tidak mengundang kemurkaanNya.

CARA-CARA SAMBUTAN HARI RAYA YANG DISYARIATKAN

1. Bertakbir

Bertakbir ialah perkara yang mula-mula dituntut kepada umat Islam sebaik sahaja menjelangnya hari raya dan hukumnya sunat. Takbir bertujuan memuji dan menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT di atas nikmat yang dikurniakan khususnya nikmat hari raya. Ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja seperti di masjid, di rumah, di jalan, di dalam kenderaan dan sebagainya sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Hukum bertakbir secara berjemaah ialah sunat muakkad. Waktu akhir takbir hari raya fitrah ialah apabila imam atau individu (bagi yang solat seorang diri) bertakbiratul ihram untuk Solat Aidil Fitri. Waktu akhir takbir hari raya korban pula ialah masuknya waktu subuh hari ke 13 Zulhijjah bagi orang yang mengerjakan haji dan bagi yang tidak mengerjakan haji ialah waktu asar hari ke 13 Zulhijjah iaitu hari tasyrik yang terakhir.

2. Mandi dan berhias diri.

Setiap Muslim disunatkan mandi pada hari raya fitrah atau hari raya korban. Asas kepada hukum sunat tersebut ialah Qias kepada mandi hari jumaat dan bertujuan menyerlahkan keindahan, kecantikan, keselesaan dan keserasian dengan orang lain. Selain itu, disunatkan juga menghias diri dengan mengenakan wangi-wangian untuk menghilangkan bau-bauan yang busuk, memotong kuku dan memakai pakaian yang paling bersih dan cantik serta terbaik. Rasulullah SAW bersabda sebagaimana diriwayatkan oleh Hasan bin Ali r.a yang bermaksud:

“ Rasulullah telah menyuruh kami memakai pakaian yang paling baik yang kami miliki pada hari raya fitrah dan hari raya korban”.
(Riwayat At Tabrani dan Al-Hakim)

3. Bersarapan sebelum solat hari raya di masjid

Disunatkan bersarapan sebelum ke masjid untuk Solat Hari Raya Aidil Fitri bertujuan sebagai simbolik kepada berakhirnya puasa ramadhan. Manakala disunatkan sarapan setelah pulang dari solat aidil adha bagi hari raya korban.

4. Membayar Zakat Fitrah

Membayar zakat fitrah untuk diri dan tanggungan dan menjadi wajib sebelum Solat Aidil Fitri. Pembayaran zakat masih sah jika dibayar selagi imam tidak bertakbiratul ihram memulakan Solat Aidil Fitri.

5. Berjalan kaki ke masjid

Digalakkan berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan Solat Aidil Fitri bertujuan bertemu dengan ramai orang yang turut berjalan kaki dan menggambarkan suasana kegembiraan dan keriangan. Namun ianya diharuskan untuk menaiki kenderaan. Selain itu, digalakkan berjalan sambil bertakbir bertujuan meningkatkan syiar Islam dan mengagungkan kebesaran Ilahi.

6. Pulang dari masjid

Pergi ke masjid mengikut jalan lain dan pulang dari masjid mengikut jalan lain sangat digalakkan oleh Islam kecuali jika ianya menyulitkan dan memberatkan.

7. Pergi awal ke masjid

Disunatkan kepada makmum untuk pergi awal ke masjid menunaikan solat hari raya tetapi tidak kepada imam kerana imam perlu melewatkan kehadirannya di masjid dan solat hari raya aidil fitri dimulakan setelah imam tiba.

8. Bermaaf-maafan

Bermaaf-maafan di antara satu sama lain ialah amalan mulia dan dituntut oleh agama. Sebaik-baiknya orang yang melakukan kesalahan memohon maaf kepada orang yang dilakukan kepadanya kesalahan dan orang yang dipohon kepadanya kemaafan hendaklah memberikan kemaafan. Perasaan marah dan dendam sewajarnya dihindari . Sesungguhnya Allah Jua Maha Pengampun dan Penerima Taubat.

9. Mengucap Tahniah

Umat Islam digalakkan untuk saling mengucapkan tahniah di antara satu sama lain apabila bertemu dan berziarah walau di mana sahaja kerana hari raya adalah hari mulia dan hari untuk bergembira lantaran berjaya melaksanakan puasa Ramadhan. Pelbagai bentuk dan susunan bahasa ucapan tahniah yang menggambarkan maksudnya boleh diucapkan. Apa yang penting, ucapan itu sendiri menggambarkan suasana gembira dan ceria meraikan hari raya.

10. Berhibur mengikut batasan syarak

Suasana gembira dan ceria boleh dijelmakan dengan aktiviti hiburan tetapi keharusannya terhad kepada batasan syarak yang ditetapkan. Hiburan yang melalaikan, merosakkan akhlak dan yang menyimpang dari nilai-nilai kemanusiaan adalah dilarang.

PERKARA-PERKARA DILARANG KETIKA SAMBUTAN HARI RAYA

1. Berpuasa

Haram hukumnya berpuasa pada hari raya sama ada puasa sunat, puasa qada dan puasa nazar. Ianya hendaklah ditangguh pada hari lain.

2. Membazir

Dalam keghairahan dan kegembiraan menyambut hari raya, umat Islam diingatkan supaya tidak membazir dan berbelanja secara sederhana sahaja mengikut keperluan dan kemampuan diri. Firman Allah SWT di dalam surah al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud:

“ Dan juga mereka ( yang diredhai oleh Allah ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampau batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu”.

Larangan untuk pembaziran ini bukan sahaja pada hari raya tetapi juga pada bila-bila masa kerana Allah SWT di dalam surah al-Isra’, ayat 26 dan 27 telah memperingatkan bahawa orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan pula ialah makhluk yang sangat kufur kepada TuhanNya.

3. Pergaulan Bebas di antara lelaki dan wanita

Kemuliaan dan keberkatan hari raya tidak boleh dicemari dengan perbuatan maksiat termasuklah pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita yang tiada ikatan mahram atau perkahwinan. Pergaulan bebas tanpa batasan ini adalah dilarang kerana boleh menimbulkan fitnah dan ianya boleh berlaku walaupun dalam jumlah yang ramai jika bertujuan maksiat. Justeru, sudah tentu lebih dilarang jika ianya melibatkan perbuatan berdua-duaan di tempat sunyi. Larangan pergaulan bebas tanpa batasan ini juga dilarang pada bila-bila masa tanpa dihadkan kepada hari raya sahaja.

4. Hiburan yang melampaui batas.

Islam mengakui naluri fitrah manusia yang sukakan hiburan dan dengan itu, hariraya boleh diceriakan dengan hiburan sebagai tanda kegembiraan dan keriangan. Namun, hiburan yang dibenarkan ini tidak bersifat mutlak kerana ada batasan dan syarat bertujuan untuk mengawal umat Islam daripada lalai dan leka sehingga lupa kepada objektif meraikan hari raya yang sebenarnya serta menyimpang daripada matlamat manusia dijadikan adalah untuk beribadah kepada Allah.

5. Bermusuh-musuhan

Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hujurat, ayat 10 yang bermaksud:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara. Maka damaikanlah di antara dua orang saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”

Ayat ini menuntut kita supaya mendamaikan kembali permusuhan yang berlaku seperti kata pepatah “ buang yang keruh ambil yang jernih ”. Bermaaf-maafanlah di hari raya.

Sumber: http://jaipp.penang.gov.my/