Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram Ini adalah suatu hari yang penting
bagi umat Islam kerana ia menandakan dua peristiwa penting berlaku dalam
sejarah Islam. Pertama, memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari
Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 masihi, dan kedua, ia merupakan
hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di
masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram
merupakan hari cuti umum di Malaysia dan merupakan permulaan tahun
hijrah bagi umat Islam.
KISAH HIJRAH
RASULULLAH (SAW) berusia 40 tahun apabila malaikat Jibrail (as) melawat
baginda ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira. Jibrail
memberitahu Nabi Muhammad, baginda diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul
untuk seluruh umat manusia. Pada peringkat awal, Rasulullah hanya
memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda.
Apabila baginda menerima perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah
secara terbuka, baginda segera akur.
Baginda mengumpul beberapa
pengikut di Makkah. Begitupun, kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada
maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraish,
yang menyeksa mereka dengan teruk. Bagi mengelakkan ancaman itu,
Rasulullah SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara
senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Mereka
meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan disambut dengan
mesra oleh penduduk Madinah. Satu hari pada tahun 622M, iaitu kira-kira
12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu kaum
kafirun Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam. Rasulullah
menunggu perintah daripada Allah SWT. Malaikat Jibrail (as) menemui
baginda untuk memberitahunya Allah SWT mengarahkan baginda supaya
meninggalkan Madinah pada waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui
sahabat baiknya Abu Bakar as-Siddiq (ra) dan memintanya supaya menemani
baginda dalam perjalanan itu.