Rabu, Ogos 12, 2009

Peristiwa Israk dan Mikraj

ISRAK dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa, melangkaui pancaindera manusia tetapi membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi.

Mungkin bagi sesetengah orang, ia dianggap karut dan tidak logik atau dongeng tetapi bagi umat Islam, mereka wajib mempercayai peristiwa itu.

Malah, ulama mencapai kata sepakat, orang Islam yang meragui atau tidak mempercayainya adalah terkeluar dari Islam.

Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran. "Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-Isra':1)

Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat.

Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan ke Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan, menuju Baitul Makmur dan Sidratul Muntaha, ke Arasy menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.

Daripada riwayat menceritakan beberapa liku kejadian dialami baginda, tidak kurang dengan kejadian aneh bermula dari awal.

Peristiwa itu berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun ketiga sebelum Nabi s.a.w berhijrah. Ketika itu, nabi tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib.

Tiba-tiba, datang malaikat Jibril membawanya dan membelah dadanya. Hati baginda dibersihkan dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam, diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali dan dimeterikan dengan 'khatimin nubuwwah.'

Selesai pembedahan, didatangkan sejenis haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa (Israk) dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.

Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat.

Menurut sarjana, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer setiap saat. Kecepatan Buraq sekelip mata di antara Makkah dan Palestin.

Sampai di tempat tertentu Rasulullah s.a.w diarah Jibril berhenti dan melakukan solat dua rakaat seperti di Thaibah (Madinah), tempat baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul Laham (tempat Nabi Isa a..s dilahirkan).

Dalam perjalanan itu juga baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan menyaksikan golongan yang sedang bercucuk tanam, terus menuaikan hasil tanaman.

Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk.

Apabila ke Hadhratul Qudus untuk bertemu Allah baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam a.s. Baginda diperlihatkan roh syuhada di sebelah kanan Nabi Adam dan roh manusia yang rugi di sebelah kirinya.

Selepas itu, di langit kedua baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris dan di langit kelima dengan Nabi Harun, yang turut mengucapkan salam kepadanya.

Tiba di langit keenam baginda berjumpa dengan Nabi Musa a.s dan Nabi Ibrahim di langit ketujuh.

Di langit ketujuh Nabi juga diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk.

Kemudian, dari langit ketujuh Nabi terus dibawa ke langit yang lebih atas, iaitu Sidratul Muntaha dan ke Mustawa.

Nabi s.a.w diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis, malah baginda juga diperlihatkan malaikat Jibril dalam bentuk yang sebenar.

Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam yang kemudian dipendekkan kepada lima waktu saja, selepas melalui permintaan berulang kali atas usul Nabi Musa.

Rasulullah kembali ke Masjidil Haram di Makkah dengan selamat dan bersyukur kepada Allah.

Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada baginda ialah kehebatan perjalanan itu yang hanya mengambil waktu semalaman, menggunakan kenderaan Buraq yang tidak pernah dikenali manusia.

Kehebatan perjalanan itu sukar dimengertikan akal manusia. Tetapi yang nyata itulah bukti kekuasaan Allah yang mencabar keimanan manusia untuk menerima dengan sepenuh hati.

Detik Rasulullah S.A.W Menerima Wahyu Pertama

Al-HARIS bin Hisyam telah bertanya kepada Rasulullah: "Ya Rasulullah, bagaimana wahyu itu mendatangi kamu"? Maka berkata Rasulullah: "Kadangkala wahyu itu mendatangi saya seperti dengungan loceng, dan ia adalah yang paling berat ke atas saya, maka apabila wahyu itu putus daripada saya, dan saya telah ingat daripadanya apa yang dia katakan. Dan kadangkala malaikat hadir menyerupakan dirinya sebagai seorang lelaki, maka dia berkata-kata kepada saya, dan saya ingat apa yang dia katakan."

"Berkata Siti Aishah r.a: "Dan sesungguhnya saya telah melihat, turun ke atas Rasulullah akan wahyu, pada suatu hari yang sangat sejuk, maka ia pun putus daripadanya, dan sesungguhnya dahi baginda benar-benar mengalirkan peluh. (riwayat al-Bukhari)

Hadis-hadis di atas adalah sebagaimana yang disebutkan pada keluaran lalu bagaimana Rasulullah SAW menerima wahyu. Wahyu, perkataan bahasa Arab yang berasal daripada perkataan awha bermaksud inspirasi daripada orang lain atau arahan seseorang.

Sebagai umat Islam kita memahami dengan jelas bahawa wahyu itu merupakan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan (Nuzul al-Quran), iaitu kata-kata perintah Allah kepada Nabi Muhammad sebagai Rasul-Nya.

Terkeliru

Tetapi kita jangan sama sekali terkeliru apabila dalam ajaran Nasrani yang kononnya hendak mengangkat martabat wahyu itu dengan hujah bahawa tidak dinamakan wahyu itu dengan Allah hanya berkata-kata atau dengan lain perkataan; that God must speaks for Himself!

Seperti yang diambil dari Laman Web; answering.islam. org. Mereka berhujah; "Kita mesti sedar bahawa Allah tidak boleh mewahyukan Dirimya hanya dengan perkataan-perkataan sahaja. Di sini Dia mewahyukan keterangan berkenaan Dirinya maka Dia mestilah mempunyai keperibadian dan kehendak. Mewahyukan Dirinya secara "terbuka" dan "pendedahan" dan ini hanya akan berlaku apabila tubuh disediakan untuk Dia".

Lantaran itu Nabi Isa kononnya dikatakan berkata; "Barang siapa telah melihat Aku, telah melihat Bapa" (Johanes 14:9) Ini menjadikan wahyu itu dikatakan sempurna kerana ia tidak sekadar kata-kata kecuali wahyu itu adalah secara terus menerus langsung daripada Tuhan.

Tidak mustahil hujah seperti ini dikatakan logik dan akan 'termakan' oleh kalangan umat Islam itu sendiri, tetapi kita perlu menyedari al-Quran bukannya seperti kitab Injil yang boleh didapati dalam versi Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru. Namun, apa yang kita miliki hari ini merupakan al-Quran yang menempuh satu perjalanan yang sangat panjang dan ajaibnya, seluruh kandungan kitab itu tetap bersih daripada sebarang penyelewengan. Tidak ada tokok tambah, jauh sekali daripada kata-kata manusia di dalamnya!

Ini terjadi kerana Rasulullah sendiri tidak membenarkan hadis itu ditulis ketika baginda masih hidup kerana khuatir terkeliru atau bercampur gaul dengan ayat-ayat al-Quran yang masih diturunkan kepada baginda.

Wahyu merupakan satu sumber daripada pelbagai sumber bagi mendapatkan ilmu dan kedudukannya sebenarnya adalah paling teratas kerana ia sangat bersifat ketuhanan (divine). Lantas bagi seorang manusia biasa seperti Nabi Muhammad menerima wahyu itu, pada asalnya adalah tidak mudah.

Malah untuk berhadapan dengan malaikat Jibrail itu sendiri dan seluruh proses penurunan wahyu pertama ini telah menyebabkan baginda menganggap dirinya gila! Ini apabila kita tidak mempunyai jiwa yang besar dan kuat, tidak akan ada sanggup memikul beban kenabian itu dengan syarat pertamanya, diaturkan pertemuan dengan 'seorang' malaikat!

Terbangun dengan ketakutan

Penulis sejarah Islam terkenal, Hussein Haekal menulis selepas Jibrail menyampaikan surah pertama, al-Alaq itu baginda Nabi Muhammad terus terbangun dengan ketakutan dan kebingungan. Baginda dikatakan benar-benar tidak dapat menafsirkan apa yang telah berlaku kepada dirinya.

"Adakah ini semua khayalan sebagaimana kebanyakan penyair yang berkhayal dan bercakap seorang diri yang sering ku sifatkan sebagai orang gila?," ujar baginda.

Sebenarnya tidak wajar untuk baginda berasa takut kerana sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq bahawa wahyu pertama itu datangnya dalam keadaan baginda berjaga dan di waktu siang.

Walau dalam banyak kisah yang kita dengar sebelum ini Rasulullah dikatakan segera keluar dari Gua Hira' dan untuk terus pulang ke rumah.

Tetapi Haekal dan Al Mubarakfuri mencatatkan sebaik sahaja baginda keluar dari Gua Hira' itu, satu sinar terang menderang memancar di hadapan baginda. Ini diikuti satu suara memanggil baginda; "Hai Muhammad! hai Muhammad! Kamulah Rasulullah dan aku adalah Jibrail!," berulang kali.

Baginda yang mendongakkan kepala ke langit iaitu arah datangnya suara itu dan baginda dapat melihat dengan jelas malaikat Jibrail dalam rupa seorang lelaki dengan kedudukan kedua-dua kakinya berada di ufuk langit.

Jika pada gambaran pada mata kasarnya bagi menunjukkan betapa 'luar biasa' malaikat Jibrail yang merupakan hamba Allah yang paling setia pernah tercipta oleh-Nya.

Namun baginda yang masih ketakutan itu memalingkan mukanya ke arah lain bagi tidak mahu berhadapan dengan Jibrail namun demikianlah hebatnya ciptaan Allah ini, Jibrail tetap kelihatan di mana-mana arah yang cuba baginda berpaling darinya itu. Ke kiri atau ke kanan, Jibrail tetap dalam keadaan berdiri di hadapan baginda.

Haekal menyebut; "tetapi rupa malaikat yang sangat indah itu tidak juga lalu dari depannya".

Lalu baginda tidak dapat berundur atau maju ke hadapan kecuali terpaksa berhadapan dengan malaikat itu malah dikatakan baginda terdiam kaku dengan agak lama di luar Gua Hira' itu.

Sehinggalah malaikat Jibrail menghilang lalu Nabi Muhammad tersedar dan menyambung semula langkah untuk segera pulang ke rumah.

Jika kita berada dalam keadaan yang seperti dilalui oleh baginda, maka jawapannya tentu sama, jantung berdegup dengan kenyang dan seluruh badan menggeletar!

Sebaik sahaja tiba di rumah, baginda disambut oleh Siti Khadijah yang sebelum ini begitu bimbang dengan keselamatan suaminya itu sehingga menyebabkan beliau menghantar orang untuk mencari di Gua Hira'.

"Wahai Abu Qasim, ke mana engkau pergi? Demi Allah aku telah menghantar orang untuk mencari engkau sehinggalah mereka mencari mu ke Mekah dan pulang ke rumah dan memberitahu tidak menemui mu di mana-mana," kata Siti Khadijah.

Tetapi baginda terus mendakap paha isterinya dan meminta supaya dirinya diselimutkan. Siti Khadijah segera menyelimutkan baginda kerana mendapati tubuh suaminya itu menggigil seperti seseorang yang sedang demam kuat.

Setelah ketakutan baginda beransur reda lalu baginda menceritakan kepada Siti Khadijah apa yang telah dialami dan dilihatnya sebentar tadi. Namun baginda lebih menyatakan kebimbangannya, semua yang berlaku di Gua Hira' itu tidak lebih terpedaya oleh hatinya sendiri atau akan tidak lebih dianggap seperti ahli nujum pada pandangan orang lain.

Sebagai isteri, Siti Khadijah tidak sedikit pun curiga dengan kata-kata suaminya itu. Lalu beliau meminta supaya baginda berehat untuk melelapkan mata dan Siti Khadijah sendiri kemudiannya bangun meninggalkan Rasulullah menuju untuk menemui seseorang.

Beza Muslim, Kafir di sisi Allah S.W.T

ALLAH mengasihi Muslim dan membenci kepada orang kafir. Setiap Muslim percaya kedudukannya lebih tinggi daripada orang kafir.

Muslim akan mendapat keselamatan daripada Allah, sedangkan orang kafir tidak. Muslim akan masuk ke syurga, manakala orang kafir ke neraka.

Ini memberikan suatu gambaran antara Muslim dan orang kafir tidak sama, bahkan ada perbezaan yang besar. Mengapa?

Sepintas lalu, Muslim mahupun bukan Muslim, semuanya daripada satu keturunan - Nabi Adam a.s dan semuanya dikurniakan pancaindera yang sama seperti tangan, kaki, mata dan telinga.

Mereka juga makan dari sumber yang sama, bahkan di negara kita, makanan terjamin halalnya.

Menarik nafas daripada udara yang sama, bahkan menikmati kehidupan di tanah air dan hasil bumi yang sama.

Allah yang menciptakan kita orang Islam adalah Pencipta orang bukan Islam juga, jadi kenapa ada perbezaan di antara kita orang Islam dan orang bukan Islam?

Mengapa pula kita semua kelak akan masuk ke syurga, sedangkan mereka ke neraka?

Tidak mungkin perbezaan itu hanya kerana berbezanya sepatah dua nama dengan seorang bernama Abdullah, manakala seorang lagi bernama John.

Mustahil juga hanya disebabkan seorang Muslim tidak memakan babi, manakala orang kafir memakannya atau seorang Muslim berkhatan dan rakannya yang bukan Muslim tidak berkhatan?

Apakah dengan perkara itu mengakibatkan kedudukan orang kafir di sisi Allah adalah rendah, dibenci dan dihumban ke neraka kemudian nanti sedangkan orang Islam ke syurga?

Tentu sebab perbezaan di atas tidak cukup kuat. Ini kerana ada juga orang bukan Islam turut berkhatan, tidak makan babi, tidak minum minuman keras, tidak berjudi dan tidak menganiayai orang. Di mana perbezaan besar itu?

Sebenarnya Muslim dan bukan Muslim atau kafir adalah dua subjek yang memberikan pengertian, watak dan cara berlainan. Di sinilah perbezaannya.

Islam bererti kepatuhan kepada Allah sedangkan kafir atau kufur ialah keingkaran terhadap Allah.

Memanglah Muslim dan kafir sama-sama manusia dan hamba Allah, tetapi Muslim diberikan kedudukan mulia kerana mengakui Allah, sedangkan orang kafir tidak mengakui-Nya lalu kedudukannya rendah.

Allah lebih menyayangi Muslim kerana mematuhi perintah-Nya, sedangkan orang kafir dibenci kerana tidak mengakui-Nya dan mengingkari perintah-Nya, bahkan langsung tidak kenal Allah.

Oleh kerana itu, Allah menjanjikan syurga kepada orang Islam, manakala orang kafir dijanjikan neraka. Adil bukan!

Dari perbincangan di atas, nyata juga kepada kita dua aspek yang membawa perbezaan di antara seorang Muslim dan seorang kafir iaitu aspek pengetahuan dan perbuatan.

Pengetahuan yang dimaksudkan seorang Muslim itu tahu Tuhannya, tahu perintah Tuhannya dan cara untuk melaksanakannya serta mengetahui perbuatan disukai dan dibenci Tuhan.

Apabila sudah tahu, dia harus bertindak menjadikan dirinya sebagai hamba Tuhan. Sebagai hamba kemahuan sendiri sekiranya bertentangan dengan kehendak Tuhan seharusnya diabaikan.

Orang kafir, tiada pengetahuan ini. Malah, segelintir yang mengetahuinya buat-buat tidak tahu, sengaja memekakkan telinga, membutakan mata dan membisukan mulut daripada mengakui Allah adalah Tuhan.

Justeru, mereka dimasukkan dalam golongan membangkang dan ingkar, tidak mendapat limpahan rahmat daripada-Nya.

Sekarang, seandainya ada orang menyatakan dirinya Muslim, tetapi sama jahil seperti seorang kafir mengenai Islam dan turut sama membangkang, dapatkah kita katakan kedudukannya lebih tinggi daripada orang kafir?

Apa pula alasannya mengatakan dia berhak memperoleh rahmat Allah di dunia dan akhirat?

Kita bangga kerana semakin ramai Muslim, sama ada Islam warisan atau pemelukan baru, tetapi apabila sudah ramai, bertengkar pula sesama sendiri. Kualiti pula belum boleh dikatakan cemerlang.

Islam bukanlah bersifat kesukuan, kekeluargaan dan persaudaraan yang langsung diwariskan orang tua kepada anak dan daripada anak kepada cucu-cicit.

Kedudukan sebagai Muslim tidak diperoleh kerana keturunan sebagaimana halnya kasta, di mana anak seorang Brahman akan tetap memperoleh kedudukan tinggi walaupun bodoh dan jahat perangainya kerana dia memang lahir dalam keluarga berkedudukan tinggi.

Sementara anak daripada orang tua berkasta rendah akan tetap berkedudukan rendah kerana memang dia lahir dalam keluarga yang hina.

Nabi Ibrahim a.s misalnya dilahirkan di tengah keluarga seorang penyembah berhala, tetapi baginda tidak menyembah sama, malah baginda menggunakan fikiranya untuk mengenali Allah dan mentaati perintah-Nya.

Sebaliknya putera Nabi Nuh a.s lahir dalam keluarga seorang nabi, tetapi tidak mengerti mengenai Allah dan tidak mentaati-Nya.

Allah menghukumnya sedemikian rupa tanpa mempedulikan keluarganya.

Apa pun perbezaan antara seorang dengan yang lain, baik pada kedudukannya, layanan dan akibatnya kemudian hari, dalam pandangan Allah hal itu berhubung erat dengan pengetahuan dan perbuatan.

Baik di dunia ini mahupun di akhirat nanti, rahmat Allah dilimpahkan kepada mereka yang mengerti Allah, tahu jalan yang benar ditunjukkan-Nya dan melaksanakan perintah-Nya.

"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antaramu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu..." (Al-Quran, surah al-Hujurat: Ayat 13)

Ertinya, kedudukan sebenar bukanlah dinilai melalui keturunan dan suku kaum orang itu, tetapi keimanan dan ketakwaannya.

Semakin banyak pengetahuan mengenai Allah, semakin taat kepada perintah-Nya, akan semakin tinggi pulalah kedudukan pada mata Allah.