Khamis, Julai 07, 2011

Ceramah TGNA - Tahlil Kematian amalan Jahiliah

Amalan Kebiasaan Orang Melayu - Satu Penilaian

1 Mukaddimah

Sudah menjadi adat resam yang lumrah kepada orang Melayu beragama Islam di tanah air kita apabila suatu kematian berlaku di dalam keluarga mereka, sudah tentu ahli keluarga si mati akan menyediakan makanan dan minuman.

Pada kebiasaannya selepas kematian, keluarga si mati memasak dan menyediakan nasi bungkus mengikut bilangan orang yang hadir sembahyang jenazah dan mengikut jumlah orang yang terlibat memberi pertolongan mentajhizkan mayat termasuk mereka yang menggali kubur dan sebagainya. Sebaik sahaja selesai sembahyang jenazah, nasi bungkus diedar dan dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang turun dari rumah selepas sembahyang.

Lepas kematian, di malam yang pertama hingga malam ketujuh diadakan majlis tahlil kepada ruh si mati, sesudah selesai tahlil, keluarga si mati menghidangkan makanan dan minuman kepada jiran dan para jamaah yang hadir sama ada jamuan ringan atau jamuan berat mengikut kemampuan masing-masing. Pada malam ketiga, malam ketujuh, malam ke empat puluh dan malam ke seratus, pada kebiasaannya dihidangkan jamuan nasi dengan aneka masakan gulai yang enak. Setiap malam Jumaat selepas hari ke tujuh hingga hari ke empat puluh atau kadang-kadang hingga hari ke seratus di adakan majlis tahlil, selepas tahlil di malam-malam berkenaan dihidangkan dengan pelbagai hidangan oleh ahli si mati.