Selasa, November 17, 2009

Fardu Kifayah

BERDASARKAN ajaran al-Quran dan Sunnah, pada umumnnya ada dua kewajipan utama bagi umat Islam mukalaf (dewasa dan berakal) laksanakan iaitu ibadah fardu ain dan fardu kifayah.

Fardu ain, ibadah yang pada prinsipnya boleh dilaksanakan sendiri oleh setiap orang Islam seperti digariskan dalam Rukun Iman dan Rukun Islam.

Fardu ain lebih utama daripada fardu kifayah kerana fardu ain, tanggungjawab individu dan tidak boleh menggantikannya kepada orang lain.

Tuntutan fardu ain adalah ibadah akar umbi bagi menguatkan keimanan umat Islam ke arah menjalankan tugas atau ibadah yang lebih luas kepada agama, masyarakat dan negara. Sebahagian besar fuqaha berpendapat fardu bermakna wajib berdasarkan dalil dalam al-Quran, sunnah, ijma dan qias.

Fardu kifayah pula, ibadah yang pada prinsipnya untuk manfaat orang ramai atau ibadah yang sukar dilaksanakan secara individu kerana memerlukan ilmu, kemahiran atau membabitkan kos tinggi.

Dalam kitab fiqh, contoh ibadah fardu kifayah seperti menjawab salam, menziarah orang sakit, menguruskan jenazah, mendirikan solat jenazah, berjihad, menerbitkan tafsir al-Quran, hadis dan ijtihad.

Hukum Islam menetapkan, memadai jika fardu kifayah itu dilaksanakan sekurang-kurangnya seorang atau sekumpulan saja, maka umat Islam di sesuatu kariah atau kelompok berkenaan terlepas daripada memikul dosa.

Sekali imbas berdasarkan contoh itu, konsep fardu kifayah berkisar kepada perkara yang berkaitan dengan agama saja.

Bagaimanapun, kalau kita perhatikan semangat dan kekuatan daripada contoh ibadah yang diberikan oleh fuqaha, didapati konsep fardu kifayah merujuk kepada tanggungjawab ibadah secara jemaah ke arah memenuhi tanggungjawab sosial dan penghayatan ajaran Islam menyeluruh.

Ini bermakna konsep fardu kifayah luas dan tidak berkisar kepada ibadah atau pekerjaan yang bersifat keagamaan semata-mata.

Oleh yang demikian, bidang pertanian, perundangan, pendidikan, kesihatan, perikanan, pengangkutan, ilmu sains dan teknologi, kesenian dan isu tanggungjawab sosial yang membawa keseiahteraan kepada agama, masyarakat dan negara adalah tuntutan fardu kifayah.

Dalam al-Quran diterangkan bahawa Allah memerintahkan, hendaklah ada sekumpulan di kalangan umat-Nya menyeru dan melaksanakan kebajikan, kebaikan dan mencegah kemungkaran bagi mendekatkan kita kepada Allah (ali-Imran: 104).

Abu Umamah meriwayatkan Rasulurah bersabda, "bahawa Allah, malaikat serta seluruh penghuni langit dan bumi termasuk semut di darat dan ikan di laut mengucap salawat (meminta ampun) untuk orang yang memberi perkhidmatan yang berfaedah kepada manusia (riwayat Tirmizi).

Ajaran Islam lebih mudah berkembang dan tersebar dengan pembabitan secara berjemaah.

Setiap individu mempunyal tanggungjawab bersama bagi membina kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat dan negara. Semua tanggungjawab itu bukan hanya untuk masyarakat atau negara, tetapi menjurus mendekatkan diri kita kepada AIlah.

Ketika zaman pemerintahan Abasiyah pada abad ke-11 Masehi, ulama dan umat Islam menterjemahkan konsep fardu kifayah itu dalam skop lebih luas. Sumbangan fardu kifayah mereka bukan saia dalam isu keagamaan tetapi juga dalam hal tanggungjawab sosial.

Sumbangan besar itu termasuk bidang perubatan, pendidikan, senibina, geografl, matematik dan ilmu sains. Kesan sumbangan besar.tamaddun Islam itu boleh dilihat hingga kini dan memberi manfaat besar kepada manusia.

Pada masa ini, bangsa Yahudi, Eropah, dan jepun dikagumi kerana mereka menjadi bangsa penggerak kemajuan dunia.

Bangsa ini menjadikan bidang ilmu yang berorientasikan teknologi tinggi dan professional sebagai pemangkin membawa kemajuan kepada mereka. Oleh itu kita dapati semua negara maju semakin pantas meneroka dengan mencipta pelbagai produk bersumberkan kepada ilmu sains dan teknologi.

Kalau dibandingkan dengan beberapa kaum minoriti di negara kita, ternyata umat Islam ketinggalan jauh dalam bidang sains teknologi walaupun umat Islam menjadi penduduk majoriti. Kelemahan ini boleh menggugat jati diri umat Islam.

Apakah faktor kelemahan itu sebahagiannya berpunca daripada salah faham terhadap konsep fardu kifayah ? Memang benar pembabitan minimum dalam fardu kifayah itu membebaskan umat Islam daripada berdosa tetapi Islam menghendaki umatnya berfikir secara positif, iaitu pembabitan umat Islam secara maksima paling afdal kerana mempercepatkan memenuhi tuntutan Allah itu.

Menurut Syeikh Yusuf al-Qardhawi dalam buku'nya Fiqh al Aulawiyat, bidang fardu kifayah mempunyai darjat berbeza-beza mengikut masa dan keadaan. Keperluan bidang fardu kifayah di sesuatu tempat yang tidak banyak umat Islam mengambil bahagian lebih afdal berbanding bidang yang banyak umat Islam terbabit.

Malah, menurut Syeikh Yusuf lagi bidang fardu kifayah itu boleh bertukar menjadi fardu ain jika keperluan itu amat terdesak dan menjaga maslahah umat Islam.

Ulama dan cendekiawan Islam wajar memberi perhatian terhadap pandangan Syeikh Yusuf itu. Kita yakin adalah tidak bercanggah dengan ajaran Islam jika kita mengkategorikan beberapa bidang ilmu sains teknologi dan beberapa bidang yang lain sebagai fardu ain bagi menggerakkan umat Islam, melaksanakan tuntutan Allah itu.

Dalam kelas pengajian di masjid dan surau di seluruh negara, kita dapati kelas fardu ain sejak turun temurun lagi ialah mempelajari sifat 20, iaitu ilmu mengenal Allah.

Sebahagian besar orang tua, terutama di luar bandar menghafaz sifat ini walaupun mereka sukar memahaminya. Mereka berbuat demikian kerana ia sebahagian tuntutan fardu ain dan jika tidak melaksanakannya maka mereka akan berdosa.

Konsep fardu ain dan fardu kifayah adalah dua konsep yang berkait rapat, saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dan mempunyai kepentingan bagi meningkatkan jati diri umat Islam.

Kombinasi konsep ini, jika dihayati sepenuhnya akan mengseimbangkan pembangunan rohani dan fizikal. Pembangunan yang seimbang ini akan melahirkan umat Islam sebagai umat terbaik dan melahirkan negara aman makmur yang dinaungi Allah, iaitu baldatun tayyibatun warabbul ghafur.

Sumber: http://www.virtualfriends.net/

Tanda-tanda Amalan Ikhlas Kerana Allah

FIRMAN Allah Taala bermaksud: "Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar". - Surah al-Bayyinah, ayat 5

Menerusi ayat di atas, Allah SWT memerintahkan supaya setiap orang mengikhlaskan hidupnya semata-mata kepada Allah Taala. Ia digambarkan melalui dua bentuk ibadat khusus iaitu solat sebagai hubungan antara manusia dengan Allah dan ibadat zakat yang menghubungkan antara manusia dengan manusia.

Ertinya segala aktiviti hidup seorang Muslim hendaklah ikhlas kerana Allah Taala. Dengan demikian, ikhlas dalam konteks sebagai seorang Muslim bermaksud ia mestilah mengharapkan keredaan Allah dan ganjaran pahala daripada-Nya. Justeru itu, segala kata-kata, amal perbuatan dan jihad perjuangannya tidak mengambil kira sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran mahupun kedudukan tinggi. Baginya, syarat amalan yang diterima Allah ialah niat yang ikhlas dan bertepatan dengan syariat dan sunah Nabi Muhammad SAW.

Dalam hal ini, ulama telah menggariskan tanda-tanda ikhlas itu kepada beberapa perkara sebagai berikut:

Pertama, takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa kepada fitnah sama ada kepada dirinya mahupun agamanya, terutama sekiranya ia seorang yang berkebolehan. Kerana ia yakin bahawa Allah menerima sesuatu amalan itu berdasarkan batin, bukan lahirnya semata-mata.

Kedua, orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengawal hati daripada dimasuki sifat bangga diri, sombong dan kagum dengan diri sendiri.

Ketiga, lebih suka melakukan amalan atau kerja secara sembunyi daripada diiklankan dan mencari populariti. Dalam konteks sebuah organisasi, ia lebih suka menjadi tunjang pokok walaupun tiada yang nampak kerana berada dalam perut bumi, namun ia adalah asas bagi pokok itu hidup, tegak dan kuat.

Keempat, baginya sama saja berkerja sebagai pemimpin atau pengikut, selagi kedua-duanya adalah berkhidmat untuk agama. Hatinya tidak dapat dipengaruhi perasaan cinta untuk muncul ke depan atau berada di barisan hadapan.

Kelima, tidak menghiraukan kepuasan hati manusia sekiranya ia membawa kepada kemurkaan Allah Taala.

Keenam, suka atau bencinya, memberi atau menolaknya, rela atau marahnya, semuanya kerana Allah Taala dan agamanya.

Ketujuh, ia tidak bersifat malas, lemah disebabkan perjalanan yang jauh, lambat dapat memetik hasil dan lambat mencapai kejayaan.

Kelapan, gembira dengan kemunculan orang yang berkelayakan dalam barisan perjuangan bersamanya.

Dalam al-Quran, Allah SWT menegaskan bahawa syaitan sama sekali tidak mampu menguasai orang yang bersifat ikhlas, sebagaimana firman-Nya bermaksud: "Iblis berkata: "Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang ikhlas di antara mereka". - Surah al-Hijr, ayat 39-40

Al-Fudhail bin Iyadh, seorang ulama terkenal ketika mendengar firman Allah yang bermaksud: "(Allah) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun". - Surah al-Mulk, ayat 2, lalu berkata: Sebaik-baik amal itu ialah yang paling ikhlas dan yang paling betul.

Kemudian ia ditanya: "Bagaimana yang paling ikhlas dan betul itu ? Jawabnya: sesuatu amal itu sekiranya ia ikhlas tetapi tidak betul, maka ia tidak diterima, dan sekiranya ia betul tetapi tidak ikhlas juga, maka ia tidak diterima. Jadi, ia hendaklah memiliki kedua-dua sekali iaitu ikhlas dan betul.

Ikhlas hanya semata-mata kerana Allah dan betul pula mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW. Kemudian beliau membaca firman Allah Taala bermaksud: "Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal salih dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada Tuhannya". - Surah al-Kahf, ayat 110.