Khamis, Jun 24, 2010

Kesilapan Kerap Wanita Tentang Aurat

KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.

KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.

KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

KESALAHAN KESEMBILAN : Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.

KESALAHAN KESEPULUH : Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki.

Tujuan Tuntutan Menutup Aurat

Antara tujuan utama diwajibkan umat Islam lelaki dan wanita untuk menutup aurat adalah :-

a) Perbezaan dengan binatang.

b) Agar kaum wanita tidak disakiti

c) Tanda atau seperti uniform kepada penganut agama Islam.

d) Tanda profesionalism dalam sistem pemakaian Islam.

e) Sebagai ujian bagi manusia untuk melihat tahap ketaatan mereka kepada Allah SWT.

Sumber: Ustaz Zaharuddin

Ada Yang Pakai Tudung Tapi ...

1. Ada yang pakai tudung singkat. Julurnya diikat ke belakang. Atau diikat ke leher. Maka nampaklah ‘kegebuan’ leher dan dadanya. Sedangkan dalam khutbah tadi, khatib membacakan ayat al-Quran yang meminta wanita melabuhkan tudung, menutup bahagian dada mereka.

2. Ada pakai tudung, tapi pakai T-shirt pendek. Malah ada yang pakai T-shirt tanpa lengan. Sudah tu ketat pula. Bukankah lengan itu aurat? Bahaya mendedahkan lengan yang ‘gebu’ itu. Yang dahsyatnya, ada pakai T-shirt singkat yang dipadankan dengan jeans terlondeh. Jadi apabila membongkok atau duduk, nampak seluar dalam, malah kadang-kadang nampak alur bontot tersengeh.

3. Ada pakai tudung, tapi pakai jeans teramat ketat. Alur punggung pun terbelah dua. Bentuk bontot pun terserlah. Apa nak jadi ni?

4. Ada yang pakai tudung, tapi pakai kebaya ketat. Tidak cukup dengan tu pakai ‘kain koyak’ pula. Apabila berjalan, terserlahlah‘kegebuan’ betis malah kadang-kadang paha pun tersembul.

5. Ada yang pakai tudung, tapi pakai kain singkat, macam skirt mini. Kaki bukan auratkah? Pakailah stokin!

6. Ramai perempuan pakai tudung, tapi bermekap tebal dan berwangi-wangian. Bibir merah menyala. Menunjukkan aksi seksi pula tu.

7. Ada perempuan bertudung, ‘merendek’ pula dengan pacar di bangku stesen bas dan pusat beli-belah. Ini menjatuhkan imej wanita bertudung.

8. Ramai perempuan suka pakai kasut bertumit tinggi. Apabila berjalan berbunyilah, tang, tang, tang. Dalam khutbah itu, khatib memberitahu tidak boleh timbul bunyi yang boleh menaikkan syahwat lelaki.

Nabi Muhammad SAW juga pernah berkhutbah seperti yang dirawikan oleh Abu Sa’id Al-Khudri RA, kata Nabi, “Ingatlah jangan seseorang itu takut kepada orang ramai… sehingga dia berkata benar bila dia tahu perkara yang benar.” Ertinya, jangan ada dikalangan kamu bila melihat perkara sebenar melainkan mesti menyatakan kebenaran, ..dan mencegah mungkar apabila melihat kemungkaran. Jangan berdiam diri dari mencegah mungkar semata-mata kerana takut kepada orang ramai, walaupun pahit akibatnya!

Bahkan Abu Sa’id yang meriwayatkan hadis ini sambil menangis berkata, “Demi Allah! Kami melihat beberapa perkara mungkar lalu kami merasa takut.. inilah kelemahan kami.” Tidak seperti beberapa sahabat beliau lain, bila melihat perkara tidak betul, mereka terus menegurnya tidak kira siapa dan apa yang akan berlaku!

Malas Beribadat dan Melengah Solat antara Tanda Kecil Golongan Munafik

GOLONGAN munafik memperlihatkan diri mereka seolah-olah mengaku bertuhankan Allah tetapi dari segi perbuatan, fikiran dan tindakan, bercanggah dengan perintah Allah. Nabi Muhammad SAW pernah memohon Allah mengampunkan golongan ini tetapi Allah tidak ampunkan.

Munafik akidah membezakan seorang Islam dengan orang kafir, munafik perangai memperlihatkan kebaikan di depan orang tetapi di belakang tidak sama, manakala munafik amalan, nampak warak di depan orang tetapi apabila tiada mata memandang, hilang warak.
Penceramah bebas, Dr Syafawi Che Mat, berkata umat Islam perlu berhati-hati supaya tidak tergolong dalam kumpulan munafik yang berpura-pura mengikuti ajaran Islam tetapi tidak menjiwai kebenaran itu di dalam hati.
Katanya, tanda kecil munafik ialah malas beribadat, lupa kepada Allah, melengahkan solat fardu, mempercepatkan solat, meninggalkan solat jemaah, menyuruh kemungkaran dan melarang yang makruf.

"Malas beribadat bukan malas menunaikan solat kerana enggan mencari ilmu pengetahuan, tidak gemar menghadiri majlis ilmu atau pergi ke majlis kebajikan juga bermakna malas beribadat. Enggan berada di saf hadapan solat jemaah termasuk tanda kecil munafik.

"Paling ketara ialah sikap suka menunjuk-nunjuk, depan orang buat betul-betul tetapi orang tiada, buat ala kadar saja," katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk `Tanda-tanda Munafik' pada majlis ceramah bulanan di surau The New Straits Times Press (NSTP) di Balai Berita, baru-baru ini.

Beliau berkata, banyak perkara dalam kehidupan seharian jika tidak dijaga boleh menjuruskan seseorang kepada amalan munafik seperti lupa kepada Allah semasa se-nang, apatah lagi ketika berhadapan kesusahan.
Umat Islam perlu sentiasa mengingati Allah tidak kira masa dengan mensyukuri nikmat-Nya apabila dikurnia rezeki dan bermohon kepada-Nya, jika didatangkan dugaan atau kesusahan.

Dr Syafawi berkata, selain syaitan yang berjanji akan menyesatkan umat manusia, orang Islam perlu tahu keutamaan dan memastikan ia dipelihara supaya dapat melaksanakan tanggungjawab kepada Allah dan memenuhi tuntutan kehidupan dunia.

Katanya, ramai yang bersolat tetapi masih lalai dengan melengahkan ibadat wajib itu hingga di penghujung waktu atau mempercepatkan solat menyebabkan tidak menjaga rukun serta bacaan dalam sembahyang.

"Nabi Muhammad berpesan jika hendak jumpa Allah di akhirat nanti perlu jaga solat. Sekarang ini jadi kebiasaan menjamakkan solat iaitu solat Zuhur pada hujung waktu nak masuk Asar diikuti solat Asar. Ini yang dikatakan jamak solat yang tidak jamak," katanya.

Selain itu katanya, ciri mengenai sifat munafik jelas dapat dilihat melalui hadis Nabi Muhammad yang memberi ingatan supaya manusia tidak menjadi orang munafik yang ditempatkan pada tingkatan terkebawah sekali dari (lapisan dalam) neraka.

10 Ganguan Syaitan Ketika Solat

1) Berasa was-was ketika melakukan takbiratul ihram

Saat membaca takbiratul ihram, 'Allahu Akbar', seseorang akan berasa ragu-ragu apakah takbir yang dilakukannya itu sah atau belum sah.

Sehingga dia mengulanginya sekali lagi dengan membaca takbir. Perasaan itu akan berterusan kadang-kadang sampai imam hampir rukuk.

Ibnu Qayyim berkata, "Termasuk tipu daya syaitan yang banyak mengganggu mereka adalah was-was dalam bersuci (berwuduk) dan niat atau saat takbiratul ihram dalam solat". Was-was itu membuat mereka terseksa.

2) Tidak memberi tumpuan ketika membaca bacaan dalam solat.

Sahabat Rasulullah, Uthman bin Abil 'Ash datang kepada Rasulullah dan mengadu, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan hadir dalam solatku dan membuat bacaanku salah." Rasulullah menjawab, "Itulah syaitan yang disebut dengan khinzib.

"Apabila kamu berasakan kehadirannya, ludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah. Aku pun melakukan hal itu dan Allah SWT gangguan itu dariku" (Hadis Riwayat Muslim).

3) Lupa jumlah rakaat yang dikerjakan

Abu Hurairah r.a berkata, "Sesungguhnya Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Jika seorang daripada kalian solat, syaitan akan datang kepadanya untuk menggoda sampai mereka tidak tahu berapa rakaat yang dikerjakan. Apabila seorang daripada kalian mengalami hal itu, hendaklah ia sujud dua kali (sujud sahwi) saat ia masih duduk dan sebelum salam, setelah itu baru mengucapkan salam." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4) Hadirnya fikiran yang memalingkan tumpuan

Abu Hurairah berkata, "Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apabila dikumandangkan azan solat, syaitan akan berlari seraya terkentut-kentut sampai ia tidak mendengar suara azan.

Apabila muazin selesai azan, ia kembali lagi dan jika iqamat dikumandangkan dia berlari. Apabila selesai iqamat, dia kembali lagi.

Ia akan selalu bersama orang yang solat seraya berkata kepadanya,'Ingatlah apa yang tadinya tidak kamu ingat!' Sehingga orang itu tidak tahu berapa rakaat ia solat." (Hadis Riwayat Bukhari).

5) Tergesa-gesa menyelesaikan solat

Ibnu Qayyim berkata: "Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan, kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang untuk berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Tidak ada ketenangan atau thuma'ninah. Pada zaman Rasulullah ada orang solat dengan tergesa-gesa. Akhirnya Rasulullah memerintahkannya untuk mengulanginya kerana solat yang ia kerjakan belum sah.

Rasulullah bersabda kepadanya, "Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram). Lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (thuma'ninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri.

Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (thuma'ninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

6) Melakukan gerakan yang tidak perlu

Dahulu ada seorang sahabat yang bermain kerikil ketika sedang tasyahud. Ia membolak-balikkannya. Melihat hal itu, Ibnu Umar segera menegurnya selepas solat.

"Jangan bermain kerikil ketika solat kerana perbuatan itu berasal daripada syaitan. Tapi kerjakan seperti apa yang dikerjakan Rasulullah". Orang itu bertanya, "Apa yang dilakukannya? "Kemudian Ibnu Umar meletakkan tangan kanannya di atas paha kanannya dengan jari telunjuk menunjuk ke arah kiblat atau tempat sujud. "Demikianlah saya melihat apa yang dilakukan Rasulullah s.a.w," kata Ibnu Umar (Hadis Riwayat Tirmidzi).

7) Melihat ke kiri atau ke kanan ketika solat

Sedar atau tidak, jika seseorang itu melihat ke kiri atau ke kanan, itu akibat godaan syaitan yang menggoda. Kerana itu, selepas takbiratul ihram, pusatkan pandangan pada satu titik iaitu tempat sujud. Sehingga perhatian kita menjadi fokus dan dicuri syaitan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Aisyah beliau berkata, "Saya bertanya kepada Rasulullah hukum melihat ketika solat". Rasulullah menjawab, "Itu adalah curian syaitan atas solat seorang hamba." (Hadis Riwayat Bukhari).

8) Menguap dan mengantuk

Rasulullah bersabda bermaksud: "Menguap ketika solat itu daripada syaitan. Kerana itu, apabila kamu ingin menguap, tahanlah." (Hadis Riwayat Thabrani).

Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda, "Ada pun menguap itu datangnya daripada syaitan, hendaklah seseorang mencegahnya (menahannya) selagi boleh. Apabila ia berkata 'ha...' bererti syaitan tertawa dalam mulutnya" (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

9) Bersin berulang kali ketika solat

Syaitan ingin mengganggu kekhusyukan solat dengan bersin sebagaimana yang dikatakan Abdullah bin Mas'ud, "Menguap dan bersin dalam solat itu daripada syaitan." (Riwayat Thabrani).

Ibnu Mas'ud berkata, "Bersin yang tidak disenangi Allah adalah yang terjadi dalam solat sedangkan bersin di luar solat itu tetap disenangi Allah. Hal itu tidak lain kerana syaitan memang ingin mengganggu solat seseorang dengan pelbagai cara."

10) Terasa ingin buang angin atau buang air

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang daripada kalian bimbang apa yang dirasakan di perutnya apakah keluar sesuatu daripadanya atau tidak, janganlah sekali-kali ia keluar dari masjid sampai ia yakin mendengar suara (keluarnya angin) atau mencium baunya" (Hadis Riwayat Muslim).

Berbahagialah orang Muslim yang selama ini terbebas daripada pelbagai macam gangguan syaitan dalam solat mereka. Semoga kita semua dibebaskan Allah daripada gangguan berkenaan.

Bagi yang berasakan gangguan itu, sebahagian atau keseluruhannya, janganlah putus asa untuk berjihad melawan syaitan terkutuk.

Perbezaan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, Syiah

ISTILAH Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak asing lagi bagi masyarakat awam. Namun istilah ini di kalangan ulama, ada yang menyempitkan dan ada yang meluaskan. Pengarang al-Farqu baina al-Firaq yang beraliran Sunnah, Abdul Qahir bin Tahir al-Baghdadi, menerangkan bahawa ada lapan macam golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ada 15 prinsip pokok yang wajib dipenuhi. Prinsip p itu pun belum tentu dipersetujui lapan golongan berkenaan. Namun demikian, mereka tidak saling mengkafirkan atau menyesatkan.

Dalam surat Syeikh al-Azhar Salim al-Bisyri kepada seorang tokoh Syiah, Syaraf ad-Din al-Musawi, difahami bahawa tokoh Sunnah itu berpendapat bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah golongan terbesar kaum Muslim yang mengikuti fahaman atau aliran Asy'ari dalam akidah salah satu daripada empat mazhab (Malik, Syafi'i, Hanafi, dan Hambali) dalam syariah.
Pengarang al-Faruq baina al-Firaq , pula menyatakan dengan pasti bahawa "Termasuk pula dalam kelompok Ahli Sunnah Wal Jamaah itu pengikut al-Auza'i, ats-Tsauri, Ibnu Abi Lailah, dan Ahl azh-Zhahir (al-Farqu, hlm 314).

Kelompok Syiah juga terbahagi, bahkan dalam puluhan kelompok. Pengarang al-Farqu baina al-Firaq membahagi kelompok Syiah menjadi empat kelompok besar yang setiap kelompok pula masing-masing terbahagi kepada sekian banyak kelompok kecil. Menurutnya, hanya dua daripada kelompok besar itu yang dapat dimasukkan ke dalam umat Islam, iaitu kelompok Imamiyah dan kelompok Zaidiyah.

Walaupun mereka ini berbeza-beza, ada prinsip dasar yang mesti diyakini semua kelompok Syiah sebagai mana yang ditulis oleh Muhammad Jawad Mughniyah (salah seorang ulama Syiah) iaitu keyakinan bahawa Nabi Muhammad SAW menetapkan dengan pernyataan yang tegas mengenai khalifah sesudahnya, iaitu Imam Ali.

Benih kelahiran kelompok Syiah adalah persoalan khilafah. Maka benarlah sebagai mana yang dijelaskan oleh Syeikh Abdul Halim Mahmud dalam bukunya at-Takfir al-Falsafi fi al-Islam, yang menyatakan bahawa pada hakikatnya, Syiah adalah aliran politik. Ini berbeza dengan Ahl-Sunnah wal Jamaah yang kelahirannya dimulai dengan persoalan akidah.

Sebenarnya kelompok Syiah sebagai mana dikemukakan diatas cukup banyak, namun sebahagian kelompok berkenaan sudah punah. Yang bertahan hingga kini dalam jumlah besar adalah Syiah Imamiyah Itsna `Asyariyah iaitu penganutnya sekitar 90 peratus rakyat Iran, 50 peratus rakyat Iraq, sebahagian penduduk Afghanistan, Syria, Pakistan dan beberapa juga negara lain. Kelompok Syi'ah Zaidiyah yang secara umumnya bertempat di Yaman.

Antara perbezaan atau perkara yang tidak dapat diterima oleh Ahl-Sunnah wal Jama'ah iaitu:

# Nabi SAW belum menyampaikan seluruh ajaran, ada yang disembunyikan untuk kalangan imam, padahal secara tegas al-Quran dalam surah Ma'idah ayat 67 menyatakan: "Sampaikanlah apa yang diturunkan oleh Tuhanmu kepadamu, kalau tidak maka engkau belum menyampaikan risalah-Nya."

# Kalangan imam mempunyai hak untuk mengecualikan apa yang sudah disampaikan oleh Nabi SAW.

# Kalangan imam juga mempunyai kedudukan yang sama dengan Nabi SAW dari segi maksum (terpelihara mereka daripada berbuat salah atau dosa).

Menurut pandangan Syiah Imamiyah, mereka meyakini bahawa Ali bin Abi Talib adalah imam dan khalifah yang ditunjuk oleh Nabi. Namun, apa yang berlaku kalangan sahabat Nabi baiat Abu Bakar kemudian Umar dan Usman, dan diikuti Ali bin Abi Talib.

Sikap tiga khalifah menerima pelantikan berkenaan dan sikap majoriti sahabat merestui mereka sebagai khalifah, dinilai oleh kelompok Syiah sebagai sesuatu yang menyalahi petunjuk Nabi SAW. Dari sinilah lahirnya sikap mereka yang antisahabat sehingga membenci dan mengutuk sahabat-sahabat Nabi SAW.

Apa Sebenarnya Tujuan Kita Berdoa?

Tujuan kita berdoa adalah mengikhlaskan apapun yang sudah menjadi kehendak atau ketetapan Allah. Apapun masalah yang kita hadapi hendaknya benar-benar menyandarkan diri kepada Allah sebagai penolong dan pelindung yang sebaik-baiknya. Apapun yang menjadi kehendakNya dan ketetapanNya itulah yang terbaik untuk kita.

'Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baiknya pelindung.' (QS. al-Anbiya : 88).

Dengan berdoa memohon kepada Allah akan membebaskan diri kita dari perasaan takut akan masalah maupun ketakutan itu sendiri. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala.

'Maka mereka kembali dengan nikmat dan karunia yang besar dari Allah. Mereka tidak mendapat bencana apapun. Mereka mengikuti keridhaan Allah. Dan Allah mempunyai karunia yang besar. (QS. ali- Imran : 173).

Lantas apa kuncinya sebuah doa dikabulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala? Kuncinya terletak pada diri kita sendiri. Apakah kita termasuk orang-orang yang bertaqwa kepada Allah sehingga doa kita layak untuk dikabulkan atau tidak? Bagaimana dengan perbuatan kita sehari-hari? apakah memudahkan doa kita dikabulkan ataukah malah menjadi penghalang doa kita untuk dikabulkan?

'Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberi rizki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang berserah diri kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. (QS ath- Thalaq : 2-3).

Wassalam,