Antaranya keberanian Saidina Ali r.a yang sanggup menggantikan Rasullullah SAW di tempat tidur baginda walaupun pada ketika itu orang-orang kafir Quraisy sedang berkawal di luar rumah bagi menangkap Rasullah SAW. Kesanggupan Saidina Ali menempa maut di tangan orang kafir Quraisy dengan menggantikan Rasullullah di tempat tidur baginda bagi menjayakan perancangan hijrah Rasulullah SAW menjadi bukti kecintaan beliau yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah.
Peristiwa pengorbanan Saidina Ali ini merupakan secebis daripada peristiwa pengorbanan para sahabat. Banyak lagi kisah pengorbananan yang telah dilakukan oleh para sahabat demi Rasulullah yang tercinta. Begitulah para sahabat nabi yang cinta mereka bukan sekadar bermain di bibir bahkan dibuktikan melalui perbuatan dan tindakan mereka.
Berbicara tentang Hijrah Rasul, sebenarnya kita sedang membicarakan tentang sejarah. Apabila berbicara tentang sejarah, kita harus sedar bahawa sejarah sebenarnya merupakan bicara Allah kepada hamba-hambanya yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi mampu disedari melalui mata hati. Dengan erti kata lain peristiwa hijrah ini mengandungi hikmah yang harus diterokai sebagai pedoman buat generasi seterusnya. Sesungguhnya Allah tidak akan menjadikan sesuatu perkara secara sia-sia.
Persoalannya, adakah kita generasi kini menyedari hikamah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat yang terkandung di dalam hijrah Nabi sebagai pedoman dalam kehidupan kita? Saban tahun kita meraikan sambutan 'Maal Hijrah', namun apakah ianya merupakan sambutan semata-mata? Apakah yang kita fahami tentang hijrah? Adakah hijrah sekadar perpindahan yang berbentuk fizikal semata-mata?
Persoalan ini harus kita rungkaikan supaya hikmah dan pengajaran di sebalik peristiwa hijrah Rasulullah SAW ke Madinah dapat difahami dan dihayati. Dari sudut bahasa, hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat atau berubah dari satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah adalah meninggalkan sesuatu yang dilarang. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh
Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)