ISLAM tidak membezakan darjat atau keturunan, miskin atau kaya kerana manusia adalah sama di sisi Tuhan. Yang berbeza ialah amalan dan ibadatnya, bukan pangkat dan harta bendanya.
Islam juga tidak pernah menghalang umatnya menjalin hubungan dengan manusia lain yang berlainan kepercayaan agama.
Di sinilah wujudnya toleransi agama dalam Islam.
Dalam perkara ini Islam memberi garis panduan agar pergaulan dalam masyarakat itu wujud dalam bentuk keluarga besar yang saling membantu dan tahu tanggungjawab masing-masing.
Islam juga memberi panduan bahawa dalam masalah hukum dan yang berkaitan dengan akidah, tidak ada tolak ansur, tetapi dalam pergaulan perlu ada tolak ansur bagi mewujudkan sebuah masyarakat harmoni.
Saling menghormati adalah amalan yang diajarkan Islam dengan tidak mengira suku kaum dan kepercayaan.