Jumaat, Ogos 14, 2009

Hikmah Pengharaman Arak

Islam mementingkan akal malah pemeliharaan akal adalah salah satu maslahat asasi yang ditekankan oleh Islam. Syariat Islam memelihara akal dengan mewajibkan umat Islam mencari ilmu dan pada masa yang sama mengharamkan segala bahan yang memabukkan.

Justeru, arak adalah haram dalam Islam. Dalam surah al-Maidah Allah telah menjelaskan, maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, melakukan korban untuk berhala dan menengok nasib dengan menggunakan anak panah, adalah perbuatan keji daripada amalan syaitan, maka tinggalkanlah ia semoga kamu berjaya." Al-Maidah (5): 90

Islam membenci arak, justeru aktiviti yang berkaitan dengan arak dihukum sebagai haram. Sepertimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud;

.لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ

Maksudnya: "Allah melaknati arak. (Allah juga melaknati) yang meminumnya, yang menuangnya, yang menjualnya, yang memerah anggur (untuk dijadikan arak), yang membantu memerah anggur itu, pembawanya dan mereka yang menerimanya.�

Sumber Arak

Arak ialah alkohol dalam bentuk ethyl alcohol dan sejenis dadah yang bertindak ke atas otak manusia dan seringkali menyebabkan ketagihan. Ia biasanya dihasilkan oleh sel-sel ragi atau yeast cells yang bertindak ke atas karbohidrat yang terdapat di dalam buah-buahan dan biji-bijian.

Penemuan Bahaya Arak

Apabila seseorang meminum alkohol, ia terus bertindak ke atas sel-sel otak dengan merangsang otak itu sebelum mengganggu fungsinya sehingga menyebabkan gangguan kepada penglihatan, hilang ingatan dan seumpamanya. Pengambilan 2 hingga 3 gelas alkohol dalam masa sejam sudah mencukupi bagi menjadikan seseorang tidak stabil.

Sepertimana knyataan Profesor Dr. Yusof Qardhawi, kalau diadakan penyelidikan secara teliti di rumah-rumah sakit, bahawa kebanyakan orang yang gila dan mendapat gangguan saraf adalah disebabkan arak. Dan kebanyakan orang yang bunuh diri ataupun yang membunuh kawannya adalah disebabkan arak. Termasuk juga kebanyakan orang yang mengadukan dirinya kerana diliputi oleh suasana kegelisahan, orang yang membawa dirinya kepada lembah kerosakan dan menghabiskan hak miliknya, adalah disebabkan oleh arak.

Pengambilan alkohol dalam jangka masa panjang boleh merosakkan otak selama-lamanya. Di samping itu, ia juga boleh menyebabkan sakit jantung, radang paru-paru, batuk kering, barah mulut dan kerongkong, radang, kerosakan dan barah hati serta melemahkan sistem pertahanan badan. Di Amerika saja terdapat 10 hingga 15 juta penagih arak dan daripada jumlah itu 4.5 juta adalah daripada kalangan remaja. Jumlah kematian yang disebabkan oleh arak di Amerika adalah 100,000 orang setiap tahun.

Justeru, Islam mengharamkan arak sama sekali dan tidak mengganggapnya sebagai penawar walaupun terdapat sedikit kebaikan padanya. Allah menjelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 219:

Maksudnya: "Dan mereka bertanya kamu berkenaan arak dan judi. Katakanlah, kepada kedua-duanya ada banyak keburukan dan beberapa kemanfaatan, namun keburukannya adalah lebih besar daripada kebaikannya."

Sumber: http://ipgm-community.forumotion.org/

Kaedah-Kaedah Mengenal Hadis Palsu

Ulama-ulama hadith memang terkenal dengan usaha-usaha agung mereka dalam memelihara hadith-hadith Rasulullah SAW daripada dicemari oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Di antara usaha-usaha murni mereka ialah memgenal pasti hadith-hadith palsu serta mengadakan kaedah-kaedah am atau garis panduan untuk mengenali hadith-hadith tersebut. Menurut Syeikh Umar bin Hasan Uthman Fallatah dalam tesis Phd beliau yang bertajuk الوضع في الحديث , sebahagian kaedah-kaedah tersebut ada yang bersifat umum berkenaan sifat-sifat kepalsuan hadith dan ada yang lebih bersifat terperinci. Ini semua hasil daripada penelitian yang berterusan dan istiqra’ yang menyeluruh terhadap sanad-sanad hadith berserta matan-matanya yang akhirnya membolehkan untuk mereka merumuskan perkara tersebut.

Antara kaedah-kaedah atau tanda-tanda khusus tersebut adalah:

1. Setiap hadith yang menyebutkan (pada teksnya) iman itu bertambah atau berkurang, atau sebaliknya tidak bertambah dan tidak berkurang, maka matan-matan sedemikian adalah palsu atau maudhu’

2. Setiap hadith yang menyebutkan bahawa al-Quran itu makhluk, atau bukan makhluk, begitu juga mana-mana hadith yang menyatakan ancaman terhadap orang yang berkata sedemikian ( makhluk atau tidaknya al-Quran) kesemuanya adalah palsu.

3. Kesemua hadith yang mengisbatkan disyariatkan untuk mengelap anggota wudhu selepas berwudhu juga tidak ada yang sahih.

4. Hadith yang menetapkan tempoh minimum bagi haidh begitu juga tempoh maksimum.

5. Setiap hadith yang menyebut; barangsiapa berbuat amalan tertentu mendapat pahala seorang Nabi atau lebih. Maka kesemuanya adalah palsu.

6. Mana-mana hadith yang menyatakan adanya solat-solat sunat pada malam-malam tertentu atau pada siangnya, seperti solat malam Ahad atau Isnin atau pada setiap hari daripada seminggu. Tidak ada satu pun yang sahih dari Nabi.

7. Hadith solat Ragha’ib الرغائب (solat sunat pada malam pertama bulan Rajab)

8. Hadith solat khas malam Nisfu Sya’ban.

9. Hadith solat sunat hari Asyura’ عاشوراءbegitu juga galakan untuk melakukan perkara-perkara lain seperti bercelak, berhias, mengadakan kenduri. Kesemuanya tidak thabit dari Nabi melainkan hadith-hadith berkenaan puasa pada siangnya.

10. Hadith-hadith berkenaan puasa pada bulan Rajab dan solat pada sebahagian malamnya.

11. Hadith-hadith yang melarang atau tidak menggalakan pernikahan sebaliknya menggalakan hidup berseorangan العزوبة.

12. Hadith-hadith yang menggalakan untuk menyimpan perempuan, dengan anggapan bahawa perempuan sedemikian memiliki rahim-rahim yang diberkati.

13. Hadith-hadith yang mencela zuriat dan galakan untuk tidak beranak yang kononnya Allah tidak lagi berhajat kepada mana-mana anak yang dilahirkan selepas seratus tahun dari kewafatan nabi.

14. Hadith-hadith yang menyebutkan akan Khidr dan pertemuanya dengan Rasulullah, Ilyas dan Jibril pada setiap tahun di Arafah.

15. Hadith yang mengisbatkan bahawa nabi menta’yinkan (menyatakan dengan menyebut nama seseorang) sebagai khalifah selepasnya.

16. Mana-mana hadith yang ada disebutkan lafaz Ya Humaira’ يا حميراء atau al-Humaira’ الحميراء

17. Hadith-hadith manaqib Muawiyah معاوية atau keburukanya secara langsung atau yang mencela Amru ibnu ‘Ash.عمرو بن العاص

18. Hadith-hadith yang mencela Abu Musa al-‘Asyari أبو موسى الأشعري .

19. Hadith-hadith yang mencela Marwan bin al-Hakam atau al-Walid bin Abdul Malik.

20. Hadith-hadith yang menaskan khilafah untuk anak al-‘Abbas atau yang mengharamkan mereka daripada neraka, juga yang memuji ahli Khurasan yang keluar bersama Abdullah bin Ali bin al-Abbas atau mana khulafa Bani Abbas atau yang memuji al-Mansur, al-Saffah atau al-Rasyid.

21. Hadith-hadith yang menyebutkan manaqib مناقب (kebaikan) imam-imam mazhab yang empat dengan nama-nama mereka begitu juga yang mencelanya.

22. Setiap hadith yang memuji Baghdad (بغداد) Basrah (بصرة) Kufah(الكوفة) Marwu (مرو) Asqalan(عسقلان) Iskandariah(الاسكندارية) Antakiah (الأنطاقية) atau mencelanya. Begitu juga yang menyebutkan pada permulaanya ‘bandar ini Bandar syurga atau bandar itu Bandar neraka.

23. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan al-Khalil الخليل (Palestin) begitu juga as-Sakhrah الصخرة .

24. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan setiap surah al-Quran satu persatu,

25. Hadith-hadith yang mencela Habasyah, Sudan, Turki, Mamalik, dan Khasiyan.

26. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan ayam jantan dan galakan untuk membelanya, tidak ada hadith yang thabit berkenaan tersebut melainkan dua hadith, Pertama: “janganlah kamu mencela ayam jantan kerana ia mengejutkan kamu untuk solah” (H.R Abu Dawud dalam bab hadith-hadith berkenaan ayam jantan dan binatang-binatang ternak). Kedua: “Apabila kamu mendengar kokokan ayam maka mintalah kepada Allah akan kelebihan-kelebihanya kerana ia telah melihat malaikat…” (H.R Ahmad dan lain-lain). Kedua-duanya adalah sahih. Begitu juga hadith-hadith berkenaan membela merpati dan ayam betina.

27. Hadith-hadith yang memuji kacang Dal, beras, Baqilla’ الباقلاء ( sejenis tumbuhan rumpai) terung, delima, kismis, tembikai, Kurrath الكراث dan Hindia’ الهندباء ( kedua-duanya sejenis tumbuhan), lobak, dan keju.

28. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan beberapa jenis bunga seperti Nirjisiah, Ward (ros), al-Ban, dan Marzinjusy.

29. Hadith-hadith yang memuji inai dan kelebihannya, melainkan hadith riwayat Abu Daud: sebaik-baik yang kamu gunakan untuk mengubah putih uban ialah Hinna’ الحناء dan Katam الكتم( jenis dedaun seperti inai)

30. Hadith-hadith yang menyebut rupa paras yang cantik dan memujinya dan menggalakan memandang kearahnya serta meminta bantuan darinya, begitu juga yang menyatakan bahawa neraka tidak akan menyentuhnya.

31. Hadith-hadith yang melarang tabarrum تبرم (menyebut secara marah dan putus asa) tatkala menunaikan hajat manusia.

32. Kesemua hadith yang melarang dari mencela Baraghithالبراغيث ( sejenis binatang kecil seperti pepijat)

33. Hadith yang menyatakan sesiapa yang diberikan sesuatu hadiah maka orang yang ada bersamanya sama-sama ada hak terhadap hadiah tersebut.

34. Hadith yang menggalakan untuk memakai cincin daripada batu Aqiq.

35. Hadith-hadith yang menyatakan keharusan atau pengharaman bermain catur.

36. Hadith-hadith yang menyebutkan jenis-jenis wali seperti yang masyhur dalam dunia kesufian seperti al-Abdal الأبدال, al-Aqthab الأقطاب, al-aghwat الأغواث, al-Nuqaba’النقباء, al-Nujabaالنجباء, dan al-Awtadالأوتاد

37. Hadith-hadith yang menyebutkan kelebihan aqal.

38. Hadith-hadith yang menyebutkan طنين الأذنان bunyi-bunyian dengungan telinga.

39. Setiap hadith yang menyebut tarikh-tarikh tertentu di masa akan datang atau yang menyebutkan pada tahun sekian berlakunya sekian atau yang seumpama denganya.

Inilah di antara ciri-ciri khusus terhadap hadith palsu. Maka apabila terdapat mana-mana hadith yang mengandungi lafaz lafaz sebagaimana yang disebutkan maka dikhuatiri ianya adalah hadith yang palsu. Tidak dinafikan ada di antara perkara-perkara yang disebutkan itu benar dari sudut fakta dan hakikatnya tetapi yang menjadi kesalahannya disini ialah menyandarkanya kepada Rasulullah S.A.W, beliau sendiri telah memberi amaran keras berkenaan ini dengan sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab Sahihnya

إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Sesungguhnya berdusta ke atasku tidaklah sama seperti berdusta keatas orang lain, maka sesiapa yang telah berdusta keatas ku secara sengaja maka siapkanlah tempat duduknya di dalam neraka.” ( H.R al-Bukhari: 1291, Muslim)

Sumber: http://abuabdrahman.protajdid.com/

Berniaga

Berniaga adalah antara pekerjaan mulia yang dijanjikan pendapatan lumayan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.: "Sembilan per sepuluh rezeki datangnya daripada perniagaan".

Islam amat menggalakkan umatnya berusaha mencari penghasilan atau pendapatan untuk kesejahteraan hidup. Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang di mana nilai hidup banyak dilihat berdasarkan sudut ekonomi seseorang. Sesuatu pekerjaan yang kita lakukan itu menjadi kayu pengukur kepada penilaian Allah. Ini ditegaskan dalam firman-Nya bahawa Allah akan menilai kamu berdasarkan pekerjaan kamu seperti dalam surah at-Taubah ayat 105. Sama ada kita sedari atau tidak, Rasulullah s.a.w. juga mempunyai semangat keusahawanan sejak kecil lagi. Baginda meminta kebenaran bapa saudaranya, Abu Talib untuk bekerja sebagai pengembala kambing bagi membolehkan baginda berdikari. Kemudiannya baginda mengembara sehingga ke Syam untuk belajar selok-belok perniagaan. Ini menguatkan lagi kepentingan perniagaan dalam Islam. Sabda Rasulullah, “Pendapatan yang paling baik adalah hasil usaha sendiri dan perniagaan yang bersih.” (Riwayat al-Bazzar)

Apakah teras perniagaan dalam Islam?Islam membenarkan sebarang bentuk perniagaan asalkan ia halal dan sesuai dengan syariat. Sebarang pencarian atau perniagaan yang kotor seperti perolehan melalui kezaliman dan mengambil harta orang lain seperti menipu, mencuri, mengurangkan sukatan dan timbangan adalah diharamkan. Ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya, “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan janganlah kamu membawa harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahuinya.” (al-Baqarah: 188)

Satu lagi teras penting dalam perniagaan ialah sifat takwa. Merujuk kepada peristiwa pada zaman pemerintahan khalifah Umar al-Khattab semasa beliau membuat rondaan waktu malam dan melalui sebuah rumah, beliau terdengar perbualan antara seorang ibu dan anaknya.Ibunya menyuruh anak perempuannya yang masih kecil supaya mencampur air ke dalam susu supaya mereka boleh menjualnya dalam kuantiti yang biasa. Bagaimanapun, anaknya enggan kerana perbuatan itu adalah tidak amanah sambil mengingatkan ibunya akan larangan Saidina Umar supaya jangan menipu.Ibunya berkata, jangan bimbang kerana Umar tidak akan tahu kerana dia tidak ada di situ. Namun, anaknya menjawab dengan penuh yakin, kalau pun Umar tidak tahu tetapi Tuhan Umar akan tahu. Jawapan itu menyebabkan ibunya terperanjat. Inilah ciri-ciri yang kita mahu lihat ada dalam diri usahawan dan peniaga muslim. Sikap amanah begini amat dituntut dan Rasulullah bersabda, “Peniaga yang benar lagi beramanah digolongkan bersama para
Nabi, para siddiqun dan syuhada.” (Riwayat at-Tirmizi)