1)Harus: Namun Dengan Syarat
Antara yang paling diketengahkan dalam kumpulan ini dari kalangan ulama kontemporari adalah Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi. Beliau juga menyandarkan pendapat HARUS ini kepada beberapa orang sahabat seperti Ibn Abbas, Abu Hurairah, dan tabi'en seperti Said al-Musayyab dan malah Imam al-Baihaqi ada meriwayatkan beberapa ulama terhebat tabien yang turut bermain catur seperti Said ibn Jubair, As-Sya'by dan lain-lain. Imam Al-Ghazzali juga turut tergolong dalam kelompok ini. ( As-Sunan al-kubra, al-bayhaqi, 10/211)
Justeru, Al-Qaradawi dalam fatwanya menyebut:
Menurut pendapat dan ilmu kami bahawa permainan catur itu menurut hukum asalnya adalah mubah(harus), sebab tidak ada dalil yang menunjukkan pengharaman catur, malah selain daripada ia dikira lahwun (lalai) dan hiburan, catur mempunyai nilai positif yang berperanan sebagai merupakan sukan minda dan melatih berfikir.
Antara syarat yang diletakkan oleh Al-Qaradawi :-
· Tidak menangguhkan waktu solat dan kewajiban lain disebabkan keasyikan permainan itu.
· Tidak disertai dengan judi dan pertaruhan.
· Hendaknya pemain dapat menjaga lisannya dari perkataan kotor seperti maki hamun kerana tewas dan sebagainya. ( Al-Halal wal Haram Fil Islam, hlm 273, cet Al-Maktab Al-Islami)