Isnin, September 21, 2015

Daging Korban

 
Pembahagian Daging Qurban Pembahagian daging qurban terbahagi kepada dua jenis iaitu sembelihan Korban wajib (nazar) dan sembelihan sunat seperti yang berikut:

Pembahagian daging qurban wajib atau nazar: 
Wajib semua dagingnya termasuk kulit dan tanduk disedekahkan kepada orang fakir dan miskin dan haram bagi pihak orang yang berqurban memakan dagingnya atau memanfaatkan sembelihan itu untuk kepentingan dirinya.

Pembahagian daging qurban sunat ada beberapa cara iaitu: 
  • Menurut pandangan ulama mazhab Hanafi dan Hanbali, daging qurban dibahagikan kepada tiga bahagian berasaskan kepada hadith Ibn Abbas seperti yang berikut: 
  1. 1/3 - untuk dimakan oleh pihak yang berqurban dan ahli keluarganya. 
  2. 1/3 - untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin. 
  3. 1/3 - untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran atau saudaranya. 
  • Menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i qaul jadid(pendapat baharu): 
  1. 1/3 - untuk dimakan oleh pihak yang berqurban dan ahli keluarganya. 
  2. 1/3 - untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin. 
  3. 1/3 - untuk dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran. 
  • Menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i qaul qadim(Pendapat Terdahulu): 
  1. ½ - untuk dimakan oleh pihak yang berqurban dan ahli keluarganya. 
  2. ½ - untuk disedekahkan kepada fakir dan miskin.
  • Menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i qaul asah. 
  1. Wajib disedekahkan daging walaupun dengan kadar yang sedikit seperti setengah kilo atau setengah kati dengan syarat hendaklah daripada daging yang mentah, bukannya yang telah dimasak. 
  2. Tujuannya supaya orang fakir atau miskin itu boleh memasak daging itu mengikut seleranya atau membolehkan dia menjualnya kepada orang Islam yang lain bagi mendapatkan harga dalam bentuk mata wang ataupun pertukaran dengan barangan yang lain.
  • Yang paling afdhal menurut pandangan ulama mazhab Shafi‘i ialah bersedekah semuanya kecuali pada beberapa ketul atau sesuap yang agak berpatutan dimakan oleh orang yang berkorban untuk mengambil berkat seperti sebahagian hati kerana ianya sunat dimakan. Amalan ini pernah dilakukan oleh Nabi SAW ketika Baginda melakukan qurban.

Sunat bagi individu yang melakukan qurban sunat (tatawu’) memakan daging korbannya.