Isnin, Julai 14, 2008

Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Islam: Suatu Perbandingan

Mengikut pencapaian ilmu sekarang, setiap yang diakui sebagai sebuah negara yang diwujudkan tidak lengkap kalau tidak mempunyai perlembagaannya sendiri samada bertulis atau tidak.

Perlembagaan adalah perlu samada ianya Islam atau tidak. Dengan perlembagaan boleh diketahui dan ditentukan peraturan hidup, hak-hak warganegara, system kehakiman, kuasa kerajaan. Badan Penggubal Undang-Undang dan berbagai-bagai lagi. Sekurang-kurangnya Perlembagaan akan mengandungi ciri asas dan bingkai pemerintahan dan kuasa-kuasa diwujudkan diperuntukan dan dilindungi.

Perlembagaan Malaysia sememangnya tersedia dan sudah terpakai sekian lama. Ia mengandungi ciri asas dan bingkai pemerintahan beserta dengan kuasa-kuasa yang terdapat di dalamnya. Ia memnuhi kehendak ukuran moden dan bersesuaian dengan system demokrasi yang diamalkan. Walaupun dari beberapa sudut ianya boleh dikritik dan perbahasan mengenainya akan berterusan.

Tetapi perlembagaan Islam pada zaman sekarang masih belum ada satu contoh yang sedang terlaksana. Selain daripada huraiannya sebagai konsep sahaja, belum ada ijmak mengenai sesuatu Perlembagaan yang terlaksana di negara-negara umat Islam.

Walaupun begitu ciri-ciri Perlembagaan Islam itu mungkin terdapat pada satu-satu Perlembagaan di negara-negara umat Islam sekarang dan mungkin berbeza cirri-ciri tersebut di antara satu sama lain.

Di Malaysia sekarang nampaknya bukan isu lagi samada perlembagaan Islam atau tidak, tetapi penekanan telah berubah kepada samada Malaysia adalah sebuah negara Islam ataupun tidak. Ia telah dijadikan isu yang dipertikaikan dari sudut politik.

Biasanya dalam system demokrasi, isu politik ditenangkan atau dimantapkan melalui menggubal undang-undang mengenai isu tersebut. Selepas itu dia tidak akan menjadi isu politik lagi.

Tetapi sekarang, isu Perlembagaan Malaysia, samada Islam atau tidak, bukan lagi menjadi isu, tetapi ditekankan bahawa Malaysia adalah negara Islam.

Dengan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama Negeri, diterima sebagai asas akademik dan juga politik iaitu pencapaian persefahaman yang paling minima yang boleh diterima pakai oleh warganegera berbilang kaum.

Oleh itu selebihnya memerlukan pengisian dan inilah hujah yang sekarang diketengahkan untuk menyakinkan masyarakat umum yang berbilang kaum.

Kita tidak boleh melabelkan Perlembagaan Malaysia sebagai tidak Islam dengan hanya menuduh secara rambang kerana hujah yang perlu dikemukakan hendaklah bersesuaian dengan tahap pencapaian ilmu perundangan sekarang dan perkara yang ditimbulkan hendaklah menunjukkna perbezaan nyata pada perkara pokok atau asas-asasnya.

Dari satu segi yang paling asas, kita boleh bercakap fasal sumber undang-undang. Perlembagaan Islam meletakkan sumber undang-undang ialah Al-Quran dan As-Sunnah, tetapi Perlembagaan Malaysia meletekkan undang-undang tertinggi ialah Perlembagaan tersebut (Perkara 4 (1).

Mengikut amalannya, sebarang pertikaian undang-undang Perlembagaan, mahkamah akan mencari duluan (precedent) dimana-mana negara yang menggunakan common law Inggeris untuk membantu membuat sesuatu keputusan.

Dengan meletakkan bingkai persekitaran seperti yang dinyatakan di atas sahaja telah dengan sendirinya mengenepikan sumber asas Islam dan dengan itu prinsip dan amalan merujuk kepada khazanah ilmu Islam terus terpinggir.

Ini bererti prinsip dan amalan merujuk kepada khazanah Islam telah dikeluarkan daripada gelanggang.

Tidak berupaya hakim berugama Islam untuk merujuk kepada khazanah ilmu Islam dan dengan itu terpaksa akur dengan tafsiran Islam dalam Perlembagaan iaitu menyentuh dan berkaitan dengan adat istiadat rasmi dalam bingkai persekutuan.

Tafsiran ini sememangnya sesuai dengan sikap sekularisma yang diresmikan iaitu dalam kontek sejarah perlembagaan agama Kristian di negara-negara Barat. Islam ditafsirkan dalam kontek pengertian agama yang mereka fahami.

Di antara memilih pengertian agama dan Islam, lebih baik kita memilih pengertian Islam yang sebenar dan dengan itu boleh menghapuskan pengertian resmi Islam dalam Perlembagaan Malaysia.

Ini hanya boleh dibuat jika kita merasakan bahawa pengertian Islam dalam Perlembagaan aalah satu bidaah besar dan penghalang kepada seruan dakwah.

Sepatutnya ini menjadi satu cabaran utama jika kita sebenar kenal halangan yang kita mampu atasi sekarang.

Apa yang dimaksudkan ialah tidak hanya menerangkan dan berdakwah mengenai pengertian Islam sebenar diluar gelanggang, tetapi memasukkan Islam dengan pengertiannya yang lengkap dalam gelanggang.

Ini boleh dibuat melalui pindaan perlembagaan Negeri dengan memasukkan definisi Islam dalam Perlembagaan Negeri.

Kelantan dan Terengganu mampu membuat pindaan tersebut. Usaha seperti ini boleh merapatkan semula jurang pemahaman di kalangan umat Islam mengenai agama yang sebilangan besar daripada mereka adalah menjadi pegawai-pegawai Kerajaan, Hakim dan Pentadbir negara. Mereka boleh berhujah semula dengan bersandarkan Undang-undang negara/negeri.

Persoalan kedua ialah Majlis Syura. Ada pandangan yang menyokong bahawa Parlimen dalam bentuk system demokrasi sekarang boleh dianggap sebagai Syura. Tetapi dalam kontek Perlembagaan Islam, Majlis Syura adalah dianggotai oleh bilangan yang lebih kecil dianggap mereka yang layak dari segi peribadi, berilmu, wibawa dan taqwa.

Jika Majlis Syura ini diwujudkan, ianya adalah lebih tinggi tarafnya daripada Parlimen dan boleh menegur untuk pinda sebarang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan kuasa ini mengikut kaedah sekarang adalah sebahagian daripada kuasa kehakiman.

Dalam kontek Islam Majlis Syura berperanan sebahagian daripada peranan eksekutif iaitu pembuat dasar dan sebahagian lagi berperanan sebagai peranan kehakiman iaitu mengawasi undang-undang yang dibuat oleh Parlimen.

Contoh yang dilaksanakan sekarang boleh dibuat seperti di Iran. Tetapi di sana kuasa tersebut tidak diletakkan pada suatu majlis, tetapi pada Wilayatul Faqih yang dibantu oleh jawatankuasanya tersendiri.

Jawatankuasa ini tidak mempunya protokol seperti dalam system demokrasi sekarang kerana ianya bukan sebagai organ kerajaan.

Perkara ketiga ialah Al-adi (justice). Persoalan keadilan menyentuh dua aspek tertentu.

Pertama mengenai keadilan mengikut undang-undang dan kedua ialah keadilan pemerintahan secara menyeluruh iaitu termasuk keadilan sosial dan ekonomi.

Keadilan mengikut undang-undang menekan prinsip kesamarataan iaitu tidak ada pilih kasih atau latar belakang seseorang tidak menjadi perkiraan dari segi pendedahan kepada perlaksanaan tindakan undang-undang.

Adil dalam pemerintahan mengikut kacamata Islam memerlukan sedikit huraian. Doktrin komunisme menyanggah sistem sosial demokratik kapitalis bertujuan untuk mengujudkan keadilan sosial.

Almarhum Syed Qutb banyak menulis secara kritis mengenai sistem sosial demokratik kapitalis dan sistem komunis.

Tetapi beliau tidak menganjurkan dengan jelas bagaimana struktur kerajaan perlu diubah untuk membentuk dan mengiktiraf manusia yang berperibadi tinggi mengenai keperihatinan insaniyahnya.

Perlembagaan Malaysia membentuk tiga organ pemerintahan iaitu badan eksekutif, badan kehakiman dan badan pembuat undang-undang (parlimen).

Strukturnya pula melibatkan dua sektor iaitu sektor awam dan sektor swasta. Dalam kontek Islam juga selain daripada dua sektor tersebut strukturnya mempunyai satu lagi sektor iaitu sektor ijtimae.

Sumber ijtimae berdasarkan kepada sunnah Rasulullah (s.a.w) dan Khulaffah Arrashidin. Maksud Firman Allah :

"Dan sesungguhnya engkau adalah mempunyai akhlak yang termulia (Al-Qalam 4)."

Di zaman moden ini keseluruhan tumpuan pemikiran dan pembangunan ilmu adalah bertujuan untuk memaksimakan hasil berupa matabenda.

Organisasi dan struktur negara adalah juga untuk mencapai setinggi pembangunan fisikal dan mental tetapi tidak spiritual atau rohani.

Dengan itu diwujudkan pasaran untuk menampung keperluan manusia yang hari demi hari bertambah dengan berlipat ganda.

Organisasi pasaran akan menawarkan nilai tertentu dan bidang perniagaan akan kalut untuk menyediakan keperluan untuk perbekalan kepada permintaan tersebut.

Tenaga-tenaga petugas samada sebagai pentadbir ataut pengurus adalah sama-sama mengejar upah atau keuntungan yang senantiasa tidak boleh memberi kepuasan.

Taraf kehidupan akan meningkat dengan meningkatnya sara hidup serta meningkatnya juga kebanggaan diri dan status dalam masyarakat.

Jika didorong oleh perasaan tamak dan haloba sedikit demi sedikit akan terjerumus dan terperangkap dalam sifat individualistik.

Kebebasan begini yang memencilkan, yang dipertahankan oleh system sekarang bukannya sifat meriah masyarakat dan bersama-sama mendahulukan kepentingan masyarakat daripada kepentingan peribadi.

Sumber utama untuk membetulkan semula kepincangan yang sedang berlaku sekarang dan telah menjadi satu trend, ialah merujuk semula kepada sikap Rasulullah (s.a.w) terhadap matabenda. Sikap tersebut adalah akhlak seperti dimaksudkan di dalam ayat di atas.

Dari sudut ini ada dua perkara penting yang perlu difahami.Pertama, perncapaian dan keberhasilan matabenda bukan menjadi objektif utama dan keduanya tidak dipengaruhi oleh perasaan megah atau bermewah dengan keberhasilan matabenda (seperti ghanimah).

Pada hari ini ramai orang di kalangan rakyat yang berasa lebih puas dengan hasil kerja (job satisfaction) yang mereka berikan daripada semata-mata diukur dengan sara pendapatan.

Ini berlaku di kalangan professional, ahli-ahli sains pakar dan juga pentadbir dan pengurus.

Ganjaran yang mereka dapat cukup untuk menampung keperluan hidup berkeluarga, selainnya mereka mengharapkan pengiktirafan.

Kalau kita mengambil kehidupan Rasulullah (s.a.w) dan Khulaffah Arrashidin sebagai contoh yang paling ekstrim, ia boleh dijadikan sebagai ukuran akhlak standard terhadap kemampuan menguasai metabenda tetapi menjalani hidup yang bertenaga dengan kemampuan tersebut.

Satu pemaparan yang agak aneh sekarang tetapi inilah akhlak Islam dan ini juga menjadi sumber dan lambang kepada punca keadilan sosial yang hendak dibina di abad ini dan akan datang.

Sumbangan khidmat dari pengorbanan yang diberikan tidak mengharapkan habuan matabenda atau nilai pasaran tetapi semata-mata kerana Allah.

Kita tahu bahawa sebahagian besar daripada masyarakat sememangnya bergantung kepada keperihatinan belas kasihan daripada segolongan besar juga daripada golongan masyarakat.

Tetapi keadaan sebenar seperti ini tidak diambil hal oleh system yang berkuasa sekarang kerana penekanannya kepada system nilai matabenda.

Dengan itu segala sifat keperihatinan belas kasihan sesama manusia tidak diambil kira.

Dengan erti kata lain system demokratik kapitalis tidak mengiktiraf dan memberi ganjaran sewajarnya kepada sumbangan khidmat sukarela dalam struktur pemerintahan.

Oleh itu keadilan dalam pemerintahan sudah tentu tidak dapat dijalankan dengan sempurna.

Mereka yang mempunyai sifat tamak haloba, berkepentingan diri dan pandai gelecek akan cepat jadi kaya dan dengan kekayaan boleh mendapat kedudukan dan pengiktirafan.

Harta kekayaan juga akan berkisar di kalangan yang berpunya.

Perlembagaan Islam akan memasukkan sektor ijtimae sebagai salah satu daripada sektor teratas daripada dua sektor lain.

Ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan secara tertentu bagi menggalakkan lagi golongan masyarakat masyarakat yang bekerja untuk kepentingan masyarakat daripada kepentingan diri.

Mereka tersebut boleh bergiat di dalam kedua sektor lain seperti sebagai pentadbir atau pengurus atau sebagai ahli perniagaan tetapi senantiasa mendahulukan kepentingan masyarakat dan kerjaan membantu mereka untuk berjaya.

Mereka juga akan diberikan penghargaan dan protokol tertentu sebagai sanjungan kepada khidmat bakti dan pengorbanan mereka.

Dengan cara ini sahaja masalah kepincangan sistem sosial yang berlaku sekarang dapat diatasi kerana dari satu aspek penting sememangnya syistem tidak dapat menentukan kejayaan, tetapi yang boleh menentukan kejayaannya ialah kewibawaan manusia sendiri dan dengan itu berlakunya keadilan sosial akan lebih terjamin.

Dari satu sudut lain, sistem nilai yang berlaku sekarang akan berubah kepada lebih prihatin dan sebenarnya penyayang.

Perkara keempat ialah kebebasan beragama. Di antara perkara penting di dalam Perlembagaan Madinah ialah memantapkan hak-hak beragama kepada orang-orang bukan Islam.

Walaupun Perlembagaan Malaysia meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan ianya bersyarat iaitu agama-agama lain bebas untuk diamalkan {Perkara 3 (i)}.

Di dalam Islam hak dan kebebasan beragama adalah dijamin malah sememangnya ada persamaan, tetapi jaminan itu menjadi lebih kukuh kerana ianya dihubungkait dengan aqidah seorang Muslim dan dengan itu menjadi tanggungjawab negara Islam untuk menjaga kebebasan tersebut.

Perkara kelima ialah sistem demokrasi. Ada beberapa lagi aspek yang perlu disentuh untuk menunjukkan perbezaan di antara Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Islam tetapi yang pentingnya adakah system demokrasi dalam Perlembagaan Islam?

Persoalan masih belum diselesaikan secara ilmiah. Sistem demokrasi telahpun diterima dan setakat ini tidak aka kritikan jelas oleh para ulamak yang mungkin menyakinkan kita bahawa sistem pengundian ini tidak bertentangan dengan Islam.

Oleh itu kalau Islam menerima sistem demokrasi dan Islam juga menjamin hak beragama kepada yang bukan Islam, perbezaan hanya tinggal pada kandungan kepada sebahagian daripada undang-undang hak, kebebasan wanita yang dilihat daripada kacamata berbeza dan system ekonomi.

Rumusan

Berdasarkan kepada kajian-kajian seperti di atas, untuk mengubah sumber rujukan perundangan kepada Al-Quran dan As-Sunnah, mengwujudkan Majlis Syura adalah satu perkara yang memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Malaysia yang mana proses tersebut memerlukan pengundian dua pertiga ahli Parlimen.

Jika perubahan tersebut dibuat pada peringkat Perlembagaan Negeri, ini sudah tentu bercanggah dengan peruntukan Artikel 4(i) Perlembagaan Persekutuan dan akan mengundang padah kerana Perlembagaan Negeri berkenaan boleh digantung.

Oleh itu dicadangkan langkah pertama ialah membetulkan persepsi Islam dalam perlembagaan Negeri dulu dan ini tidak ada alasan bagi Kerajaan Pusat untuk mencampurtangan dan dari segi politiknya akan memberi jarak politik yang baik kepada parti Islam.

Jika parti Islam mampu pula berkuasa di peringkat pusat tetapi tidak dua pertiga majority, kaedah yang sama boleh digunakan untuk menguatkuasakan pengertian Islam melalui Undang-Undang Tafsiran. Pindaan kepada Undang-undang Tafsiran boleh dibuat melalui majority biasa.

Walaupun ianya bukan undang-undang perlembagaan, tetapi ianya adalah undang-undang juga.

Cadangan ini tidak langsung menyentuh hak dan kebebasan orang-orang bukan Islam seperti yang sedia terjamin dalam perlembagaan sekarang.

Oleh: Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman