Jumaat, Disember 26, 2008

Nabi Muhammad SAW Di Hari Kiamat

Rasulullah SAW Menangis Ketika Di Padang Mahsyar

Dari Usman bin Affan bin Dahaak bin Muzahim daripada Abbas ra, bapa saudara Rasulullah SAW dari Rasulullah SAW telah bersabda, yang bermaksud:

"Aku adalah orang (manusia) yang paling awal dibangkitkan dari kubur(bumi)pada hari kiamat yang tiada kebanggaan. Bagiku ada syafaat pada harikiamat yang tiada kemegahan. Bendera pujian di tanganku dan nabi-nabi keseluruhannya berada di bawah benderaku. Umatku adalah umat yang terbaik.

Mereka adalah umat yang pertama dihisab sebelum umat yang lain. Ketika mereka bangkit dari kubur, mereka akan mengibas (membuang) tanah yang ada di atas kepala mereka. Mereka semua akan berkata: "Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan kami bersaksi bahawa Muhammad itu Rasulullah.

Inilah yang telah dijanjikan oleh Allah Taala serta dibenarkan oleh para rasul."

Ibnu Abbas ra berkata: "Orang yang pertama dibangkitkan dari kubur di hari kiamat ialah Muhammad SAW. Jibril as akan datang kepadanya bersama seekor Buraq. Israfil pula datang dengan membawa bersama bendera dan mahkota. Izrail pula datang dengan membawa bersamanya pakaian-pakaian syurga."

Jibril as akan menyeru: "Wahai dunia! Di mana kubur Muhammad SAW?"

Bumi akan berkata: "Sesungguhnya, Tuhanku telah menjadikan aku hancur. Telah hilang segala lingkaran, tanda dan gunung-ganangku. Aku tidak tahu dimana kubur Muhammad SAW."

Rasulullah SAW bersabda: "Lalu diangkatkan tiang-tiang dari cahaya dari kubur Nabi Muhammad SAW ke awan langit. Maka, empat malaikat berada di atas kubur."

Israfil bersuara: "Wahai roh yang baik! Kembalilah ke tubuh yang baik!"

Maka, kubur terbelah dua. Pada seruan yang kedua pula, kubur mula terbongkar. Pada seruan yang ketiga, ketika Rasulullah SAW berdiri, baginda AW telah membuang tanah di atas kepala dan janggut baginda SAW.

Baginda SAW elihat kanan dan kiri. Baginda SAW dapati, tiada lagi bangunan.

Baginda SAW menangis sehingga mengalir air matanya ke pipi.

Jibril as berkata kepadanya: "Bangun wahai Muhammad! Sesungguhnya kamu di sisi Allah Taala di tempat yang luas."

Baginda SAW bertanya, "Kekasihku Jibril! Hari apakah ini?"

Jibril as menjawab: "Wahai Muhammad! Janganlah kamu takut! Inilah hari kiamat. Inilah hari kerugian dan penyesalan. Inilah hari pembentangan Allah Taala."

Baginda SAW bersabda: "Kekasihku Jibril! Gembirakanlah aku!"

Jibril as berkata: "Apakah yang kamu lihat di hadapanmu?"

Baginda SAW bersabda: "Bukan seperti itu pertanyaanku."

Jibril as berkata: "Adakah kamu tidak melihat bendera kepujian yang terpacak di atasmu?"

Baginda SAW bersabda: "Bukan itu maksud pertanyaanku. Aku bertanya kepadamu akan umatku. Di mana perjanjian mereka?"

Jibril as berkata: "Demi keagungan Tuhanku! Tidak akan terbongkar oleh bumi daripada manusia, sebelummu?"

Baginda SAW bersabda: "Nescaya akan, kuatlah pertolongan pada hari ini. Aku akan mensyafaatkan umatku."

Jibril as berkata kepada baginda SAW: "Tungganglah Buraq ini wahai Muhammad SAW dan pergilah ke hadapan Tuhanmu!"

Jibril as datang bersama Buraq ke arah Nabi Muhammad SAW. Buraq cuba meronta-ronta. Jibril as berkata kepadanya: "Wahai Buraq! Adakah kamu tidak malu dengan makhluk yang paling baik dicipta oleh Allah Taala? Sudahkah Allah Taala perintahkan kepadamu agar mentaatinya?"

Buraq berkata: "Aku tahu semua itu. Akan tetapi, aku ingin dia mensyafaatiku agar memasuki syurga sebelum dia menunggangku. Sesungguhnya, Allah Taala akan datang pada hari ini di dalam keadaan marah. Keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini."

Baginda SAW bersabda kepada Buraq: "Ya! Sekiranya kamu berhajatkan syafaatku, nescaya aku memberi syafaat kepadamu."

Setelah berpuas hati, Buraq membenarkan baginda SAW menunggangnya lalu dia melangkah. Setiap langkahan Buraq sejauh pandangan mata.

Apabila Nabi Muhammad SAW berada di Baitul Maqdis di atas bumi dari perak yang putih, malaikat Israfil as menyeru: "Wahai tubuh-tubuh yang telah hancur, tulang-tulang yang telah reput, rambut-rambut yang bertaburan dan urat-urat yang terputus-putus! Bangkitlah kamu dari perut burung, dari perut binatang buas, dari dasar laut dan dari perut bumi ke perhimpunan Tuhan yang Maha Perkasa.

Roh-roh telah diletakkan di dalam tanduk atau sangkakala. Di dalamnya ada beberapa tingkat dengan bilangan roh makhluk. Setiap roh, akan didudukkan berada di dalam tingkat. Langit di atas bumi akan menurunkan hujan dari lautan kehidupan akan air yang sangat pekat seperti air mani lelaki. Daripadanya, terbinalah tulang-tulang. Urat-urat memanjang. Daging kulit dan bulu akan tumbuh. Sebahagian mereka akan kekal ke atas sebahagian tubuh tanpa roh.

Allah Taala berfirman: "Wahai Israfil! Tiup tanduk atau sangkakala tersebut dan hidupkan mereka dengan izinKu akan penghuni kubur. Sebahagian mereka adalah golongan yang gembira dan suka. Sebahagian dari mereka adalah golongan yang celaka dan derita."

Malaikat Israfil as menjerit: "Wahai roh-roh yang telah hancur! Kembalilah kamu kepada tubuh-tubuh mu. Bangkitlah kamu untuk dikumpulkan di hadapan Tuhan semesta alam."

Allah Taala berfirman:

"Demi keagungan dan ketinggianKu! Aku kembalikan setiap roh pada tubuh-tubuhnya!"

Apabila roh-roh mendengar sumpah Allah Taala, roh-roh pun keluar untuk mencari jasad mereka. Maka, kembalilah roh pada jasadnya. Bumi pula terbongkar dan mengeluarkan jasad-jasad mereka. Apabila semuanya sedia, masing-masing melihat.

Nabi SAW duduk di padang pasir Baitul Maqdis, melihat makhluk-makhluk. Mereka berdiri seperti belalang yang berterbangan. 70 umat berdiri. Umat Nabi Muhammad SAW merupakan satu umat (kumpulan).

Nabi SAW berhenti memperhatikan ke arah mereka. Mereka seperti gelombang lautan.

Jibril as menyeru: "Wahai sekalian makhluk, datanglah kamu semua ke tempat perhimpunan yang telah disediakan oleh Allah Taala."

Umat-umat datang di dalam keadaan satu-satu kumpulan. Setiap kali Nabi Muhammad SAW berjumpa satu umat, baginda SAW akan bertanya: "Di mana umatku?"

Jibril as berkata: "Wahai Muhammad! Umatmu adalah umat yang terakhir."

Apabila nabi Isa as datang, Jibril as menyeru: Tempatmu!" Maka nabi Isa as dan Jibril as menangis.

Nabi Muhammad SAW berkata: "Mengapa kamu berdua menangis."

Jibril as berkata: "Bagaimana keadaan umatmu, Muhammad?"

Nabi Muhammad bertanya: "Di mana umatku?"

Jibril as berkata: "Mereka semua telah datang. Mereka berjalan lambat dan perlahan."

Apabila mendengar cerita demikian, Nabi Muhammad SAW menangis lalu bertanya: "Wahai Jibril! Bagaimana keadaan umatku yang berbuat dosa?"

Jibril as berkata: "Lihatlah mereka wahai Muhammad SAW!"

Apabila Nabi Muhammad SAW melihat mereka, mereka gembira dan mengucapkan selawat kepada baginda SAW dengan apa yang telah Allah Taala muliakannya. Mereka gembira kerana dapat bertemu dengan baginda SAW. Baginda SAW juga gembira terhadap mereka. Nabi Muhammad SAW bertemu umatnya yang berdosa. Mereka menangis serta memikul beban di atas belakang mereka sambil menyeru: "Wahai Muhammad!"

Air mata mereka mengalir di pipi. Orang-orang zalim memikul kezaliman mereka. Nabi Muhammad SAW bersabda: "Wahai umatku." Mereka berkumpul di sisinya. Umat-umatnya menangis.

Ketika mereka di dalam keadaan demikian, terdengar dari arah Allah Taala seruan yang menyeru: "Di mana Jibril?"

Jibril as berkata: "Jibril di hadapan Allah, Tuhan semesta alam."

Allah Taala berfirman di dalam keadaan Dia amat mengetahui sesuatu yang tersembunyi: "Di mana umat Muhammad SAW?"

Jibril as berkata: "Mereka adalah sebaik umat."

Allah Taala berfirman: "Wahai Jibril! Katakanlah kepada kekasihKu Muhammad SAW bahawa umatnya akan datang untuk ditayangkan di hadapanKu."

Jibril as kembali di dalam keadaan menangis lalu berkata: "Wahai Muhammad! Umatmu telah datang untuk ditayangkan kepada Allah Taala."

Nabi Muhammad SAW berpaling ke arah umatnya lalu berkata: "Sesungguhnya kamu telah dipanggil untuk dihadapkan kepada Allah Taala."

Orang-orang yang berdosa menangis kerana terkejut dan takut akan azab Allah Taala. Nabi Muhammad SAW memimpin mereka sebagaimana pengembala memimpin ternakannya menuju di hadapan Allah Taala. Allah Taala berfirman:

"Wahai hambaKu! Dengarkanlah kamu baik-baik kepadaKu tuduhan apa-apa yang telah diperdengarkan bagi kamu dan kamu semua melakukan dosa!"

Hamba-hamba Allah Taala terdiam. Allah Taala berfirman: "Hari ini, Kami kan membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan. Hari ni, aku akan memuliakan sesiapa yang mentaatiKu. Dan, Aku akan mengazab sesiapa yang menderhaka terhadapKu. Wahai Jibril! Pergi ke arah Malik, penjaga neraka! Katakanlah kepadanya, bawakan Jahanam!"

Jibril pergi berjumpa Malik, penjaga neraka lalu berkata: "Wahai Malik! Allah Taala telah memerintahkanmu agar membawa Jahanam."

Malik bertanya: "Apakah hari ini?"

Jibril menjawab: "Hari ini adalah hari kiamat. Hari yang telah ditetapkan untuk membalas setiap jiwa dengan apa yang telah mereka usahakan."

Malik berkata: "Wahai Jibril! Adakah Allah Taala telah mengumpulkan makhluk?"

Jibril menjawab: "Ya!"

Malik bertanya: "Di mana Muhammad dan umatnya?"

Jibril berkata: "Di hadapan Allah Taala!"

Malik bertanya lagi: "Bagaimana mereka mampu menahan kesabaran terhadap kepanasan nyalaan Jahanam apabila mereka melintasinya sedangkan mereka semua adalah umat yang lemah?"

Jibril berkata: "Aku tidak tahu!"

Malik menjerit ke arah neraka dengan sekali jeritan yang menggerunkan. Neraka berdiri di atas tiang-tiangnya. Neraka mempunyai tiang-tiang yang keras, kuat dan panjang. Api dinyalakan sehingga tiada kekal mata seorang dari makhluk melainkan bercucuran air mata mereka (semuanya menangis).

Air mata sudah terhenti manakala air mata darah manusia mengambil alih. Kanak-kanak mula beruban rambut. Ibu-ibu yang memikul anaknya mencampakkan mereka. Manusia kelihatan mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk.

Rasulullah SAW Membela Umatnya

Di padang mahsyar orang yang mula-mula berusaha ialah nabi Ibrahim as. Baginda bergantung dengan asap Arsy yang naik lalu menyeru: "TuhanKu dan Penguasaku! Aku adalah khalilMu Ibrahim. Kasihanilah kedudukanku pada hari ini! Aku tidak meminta kejayaan Ishak dan anakku pada hari ini."

Allah Taala berfirman: "Wahai Ibrahim! Adakah kamu melihat Kekasih mengazab kekasihnya."

Nabi Musa as datang. Baginda bergantung dengan asap Arsy yang naik lalu menyeru: "KalamMu. Aku tidak meminta kepadaMu melainkan diriku. Aku tidak meminta saudaraku Harun. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!"

Isa as datang di dalam keadaan menangis. Baginda bergantung dengan Arsy lalu menyeru: "Tuhanku... Penguasaku.. Penciptaku! Isa roh Allah. Aku tidak meminta melainkan diriku. Selamatkanlah aku dari kacau bilau Jahanam!"

Suara jeritan dan tangisan semakin kuat. Nabi Muhammad SAW menyeru:

"Tuhanku.. Penguasaku Penghuluku.... !Aku tidak meminta untuk diriku. Sesungguhnya aku meminta untuk umatku dariMu!"

Ketika itu juga, neraka Jahanam berseru: "Siapakah yang memberi syafaat kepada umatnya?"

Neraka pula berseru: "Wahai Tuhanku... Penguasaku dan Penghuluku! Selamatkanlah Muhammad dan umatnya dari seksaannya! Selamatkanlah mereka dari kepanasanku, bara apiku, penyeksaanku dan azabku! Sesungguhnya mereka adalah umat yang lemah. Mereka tidak akan sabar dengan penyeksaan."

Malaikat Zabaniah menolaknya sehingga terdampar di kiri Arsy. Neraka sujud di hadapan Tuhannya.

Allah Taala berfirman: "Di mana matahari?" Maka, matahari dibawa mengadap Allah Taala. Ia berhenti di hadapan Allah Taala.

Allah Taala berfirman kepadanya: "Kamu! Kamu telah memerintahkan hambaKu untuk sujud kepada kamu?"

Matahari menjawab. "Tuhanku! Maha Suci diriMu! Bagaimana aku harus memerintahkan mereka berbuat demikian sedangkan aku adalah hamba yang halus?"

Allah Taala berfirman: "Aku percaya!"

Allah Taala telah menambahkan cahaya dan kepanasannya sebanyak 70 kali ganda. Ia telah dihampirkan dengan kepala makhluk."

Ibnu Abbas r.h. berkata: "Peluh manusia bertiti dan sehingga mereka berenang di dalamnya. Otak-otak kepala mereka menggeleggak seperti periuk yang sedang panas. Perut mereka menjadi seperti jalan yang sempit.

Air mata mengalir seperti air mengalir. Suara ratap umat-umat manusia semakin kuat.

Nabi Muhammad SAW lebih-lebih lagi sedih. Air matanya telah hilang dan kering dari pipinya. Sekali, baginda SAW sujud di hadapan Arsy dan sekali lagi, baginda SAW rukuk untuk memberi syafaat bagi umatnya.

Para Nabi melihat keluh kesah dan tangisannya. Mereka berkata: "Maha Suci Allah! Hamba yang paling dimuliakan Allah Taala ini begitu mengambil berat, hal keadaan umatnya.

Daripada Thabit Al-Bani, daripada Usman Am Nahari berkata: "Pada suatu hari Nabi SAW menemui Fatimah Az-Zahara' r.h. Baginda SAW dapati, dia sedang menangis."

Baginda SAW bersabda: "Permata hatiku! Apa yang menyebabkan dirimu menangis?"

Fatimah menjawab: "Aku teringat akan firman Allah Taala."

"Dan, kami akan mehimpunkan, maka Kami tidak akan mengkhianati walau seorang daripada mereka."

Lalu Nabi SAW pun menangis. Baginda SAW bersabda: "Wahai permata hatiku!Sesungguhnya, aku teringat akan hari yang terlalu dahsyat. Umatku telah dikumpulkan pada hari kiamat dikelilingi dengan perasaan dahaga dan telanjang. Mereka memikul dosa mereka di atas belakang mereka. Air mata mereka mengalir di pipi."

Fatimah r.h. berkata: "Wahai bapaku! Apakah wanita tidak merasa malu terhadap lelaki?"

Baginda SAW menjawab: "Wahai Fatimah! Sesungguhnya, hari itu, setiap orang akan sibuk dengan untung nasib dirinya. Adapun aku telah mendengar Firman Allah Taala:"

Bagi setiap orang dari mereka, di hari itu atau satu utusan yang melalaikan dia. (Abasa: 37)

Fatimah ra. bertanya: "Di mana aku hendak mendapatkanmu di hari kiamat nanti, wahai bapaku?"

Baginda SAW menjawab: "Kamu akan menjumpaiku di sebuah telaga ketika aku sedang memberi minum umatku."

Fatimah r.h. bertanya lagi: "Sekiranya aku dapati kamu tiada di telaga?"

Baginda SAW bersabda: "Kamu akan menjumpaiku di atas Sirat sambil dikelilingi para Nabi. Aku akan menyeru: "Tuhan Kesejahteraan! Tuhan Kesejahteraan! Para malaikat akan menyambut: "Aamiin."

Ketika itu juga, terdengar seruan dari arah Allah Taala lalu berfirman:

"Nescaya akan mengikuti kata-katanya pada apa yang kamu sembah."

Setiap umat akan berkumpul dengan sesuatu yang mereka sembah. Ketika itu juga, neraka Jahanam melebarkan tengkuknya lalu menangkap mereka sebagaimana burung mematuk kacang.

Apabila seruan dari tengah Arsy kedengaran, maka manusia yang menyembahNya datang beriring. Sebahagian daripada orang yang berdiri di situ berkata:"Kami adalah umat Muhammad SAW!"

Allah Taala berfirman kepada mereka: "Mengapa kamu tidak mengikuti orang yang kamu sembah?"

Mereka berkata: "Kami tidak menyembah melainkan Tuhan Kami. Dan, kami tidak menyembah selainNya."

Mereka ditanya lagi: "Kami mengenali Tuhan kamu?"

Mereka menjawab: "Maha Suci diriNya! Tiada yang kami kenali selainNya."

Apabila ahli neraka dimasukkan ke dalamnya untuk diazab, umat MuhammadSAW mendengar bunyi pukulan dan jeritan penghuni neraka. Lalu malaikat Zabaniah mencela mereka. Mereka berkata: "Marilah kita pergi meminta syafaat kepada Muhammad SAW!"

Manusia berpecah kepada tiga kumpulan.

1. Kumpulan orang tua yang menjerit-jerit.
2. Kumpulan pemuda.
3. Wanita yang bersendirian mengelilingi mimbar-mimbar.

Mimbar para Nabi didirikan di atas kawasan lapang ketika kiamat. Mereka semua berminat terhadap mimbar Nabi Muhammad SAW. Mimbar Nabi Muhammad SAW terletak berhampiran dengan tempat berlaku kiamat. Ia juga merupakan mimbar yang paling baik, besar dan cantik. Nabi adam as dan isterinya Hawa berada di bawah mimbar Nabi SAW.

Hawa melihat ke arah mereka lalu berkata: "Wahai Adam! Ramai dari zuriatmu dari umat Muhammad SAW serta cantik wajah mereka. Mereka menyeru:

"Di mana Muhammad?"

Mereka berkata: "Kami adalah umat Muhammad SAW. Semua umat telah mengiringi apa yang mereka sembah. Hanya tinggal kami sahaja. Matahari di atas kepala kami. Ia telah membakar kami. Neraka pula, cahaya juga telah membakar kami. Timbangan semakin berat. Oleh itu tolonglah kami agar memohon kepada Allah Taala untuk menghisab kami dengan segera! Sama ada kami akan pergi ke syurga atau neraka."

Nabi Adam as berkata: "Pergilah kamu dariku! Sesungguhnya aku sibuk dengan dosa-dosaku. Aku mendengar firman Allah Taala: Dan dosa Adam terhadap Tuhannya kerana lalai. Mereka pergi berjumpa nabi Nuh as yang telahberumur,umur yang panjang dan sangat sabar. Mereka menghampirinya.

Apabila nabi Nuhas melihat mereka, dia berdiri.

Pengikut (umat Nabi Muhammad SAW) berkata: "Wahai datuk kami, Nuh! Tolonglah kami terhadap Tuhan kami agar Dia dapat memisahkan di antara kami dan mengutuskan kami dari ahli syurga ke syurga dan ahli neraka ke neraka."

Nabi Nuh as berkata: "Sesungguhnya, aku sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah mendoakan agar kaumku dimusnahkan. Aku malu dengan Tuhanku. Pergilah kamu berjumpa Ibrahim kekasih Allah Taala! Mintalah kepadanya agar menolong kamu!"

Nabi Ibrahim as berkata: "Sesungguhnya aku pernah berbohong di dalam usiaku sebanyak tiga pembohongan di dalam Islam. Aku takut dengan Tuhanku.

Pergilah kamu berjumpa Musa as! Mintalah pertolongan darinya!"

Nabi Musa as berkata: "Aku sibuk dengan kesalahanku. Aku pernah membunuh seorang jiwa tanpa hak. Aku membunuhnya bukan dari kemahuanku sendiri.Aku dapati dia melampaui batas terhadap seorang lelaki Islam.

Aku ingin memukulnya. Aku terperanjat kerana menyakitinya lalu menumbuk lelaki tersebut. Ia jatuh lalu mati. Aku takut terhadap tuntutan dosaku. Pergilah kamu berjumpa Isa as!"

Mereka pergi berjumpa nabi Isa a.s. Nabi Isa a.s. berkata: "Sesungguhnya Allah Taala telah melaknat orang-orang Kristian. Mereka telah mengambil aku, ibuku sebagai dua Tuhan selain Allah Taala. Hari ini, aku malu untuk bertanya kepadaNya mengenai ibuku Mariam."

Mariam, Asiah, Khadijah dan Fatimah Az-Zahra' sedang duduk. Ketika Mariam melihat umat Nabi Muhammad SAW dia berkata: "Ini umat Nabi Muhammad SAW. Mereka telah sesat dari Nabi mereka."

Suara Mariam, telah didengari oleh Nabi Muhammad SAW Nabi Adam a.s. berkata kepada nabi Muhammad SAW. "Ini umatmu, wahai Muhammad! Mereka berkeliling mencarimu untuk meminta syafaat kepada Allah Taala."

Nabi Muhammad SAW menjerit dari atas mimbar lalu bersabda: "Marilah kepadaku, wahai umatku! Wahai sesiapa yang beriman dan tidak melihatku. Aku tidak pernah lari dari kamu melainkan aku sentiasa memohon kepada Allah Taala untukmu!"

Umat Nabi Muhammad SAW berkumpul di sisinya.

Terdengar suara seruan: "Wahai Adam! Ke marilah kepada Tuhanmu!" Nabi Adam as berkata: "Wahai Muhammad! Tuhanku telah memanggilku. Moga-moga Dia akan meminta kepadaku."

Nabi Adam as pergi menemui Allah Taala. Allah Taala berfirman kepadanya: "Wahai Adam! Bangunlah dan hantarkan anak-anakmu ke neraka!"

Nabi Adam as bertanya: "Berapa ramai untukku kirimkan?"

Allah Taala berfirman: Setiap seribu lelaki kamu hantarkan seorang ke syurga, 999 orang ke neraka."

Allah Taala berfirman lagi:

"Wahai Adam! Sekiranya Aku tidak melaknat orang yang berdusta dan Aku haramkan pembohongan, nescaya Aku akan mengasihi anakmu keseluruhannya. Akan, tetapi, Aku telah janjikan syurga bagi orang yang mentaatiKu Neraka pula bagi orang yang menderhakaiKu Aku tidak akan memungkiri janji.

Wahai Adam! Berhentilah di sisi Mizan (timbangan). Sesiapa yang mempunyai berat pada kebaikannya daripada dosanya walaupun seberat biji sawi, bawalah dia untuk memasuki syurga tanpa perlu berunding denganKu!

Sesungguhnya Aku telah menjadikan bagi mereka, satu kejahatan dengan satu dosa. Manakala satu kebaikan dengan sepuluh pahala agar memberitahu mereka bahawa,sesungguhnya Aku tidak akan memasukkan mereka ke dalam neraka melainkan setiap yang kembali akan dikembalikan dengan dosa bagi orang yang melampaui batas."

Nabi Adam as berkata: "Tuhanku! Penguasaku! Engkau lebih utama bagi menghisab berbanding aku. Hamba itu adalah hambaMu dan Engkau Maha Mengetahui sesuatu yang ghaib!"

Umat Muhammad SAW Diseru Meniti Sirat

Allah Taala menyeru: "Wahai Muhammad! Bawalah umatmu untuk dihisab dan lintaskan mereka di atas Sirat yang dilebarkan. Panjangnya sejauh 500 tahun perjalanan."

Malaikat Malik berdiri di pintunya (neraka). Dia menyeru: "Wahai Muhammad! Sesiapa yang datang dari umatmu dan bersamanya ada perlepasan dari Allah Taala, maka dia akan terselamat. Sekiranya sebaliknya maka, dia akan terjatuh di dalam neraka. Wahai Muhammad! Katakan kepada orang yang diringankan agar berlari! Katakan kepada orang yang diberatkan agar berjalan!"

Nabi Muhammad SAW bersabda kepada malaikat Malik: "Wahai Malik! Dengan kebenaran Allah Taala ke atasmu, palingkanlah wajahmu dari umatku sehingga mereka dapat melepasi! Jika tidak, hati mereka akan gementar apabila melihatmu."

Malaikat Malik memalingkan mukanya dari umat Nabi Muhammad SAW. Umat Nabi Muhammad SAW telah di pecahkan kepada sepuluh kumpulan. Nabi Muhammad SAW mendahului mereka lalu bersabda kepada umatnya: "Ikutlah aku wahai umatku di atas Sirat ini!"

Kumpulan pertama berjaya melintasi seperti kilat yang memancar. Kumpulan kedua melintasi seperti angin yang kencang. Kumpulan ketiga melintasi seperti kuda yang baik. Kumpulan yang keempat seperti burung yang pantas. Kumpulan yang kelima berlari. Kumpulan keenam berjalan. Kumpulan ketujuh berdiri dan duduk kerana mereka dahaga dan penat. Dosa-dosa terpikul di atas belakang mereka.

Nabi Muhammad SAW berhenti di atas Sirat. Setiap kali, baginda SAW melihat seorang dari umatnya bergayut di atas Sirat, baginda SAW akan menarik tangannya dan membangunkan dia kembali. Kumpulan kelapan menarik muka-muka mereka dengan rantai kerana terlalu banyak kesalahan dan dosa mereka. Bagi yang buruk, mereka akan menyeru: "Wahai Muhammad SAW!"

Nabi Muhammad SAW berkata: "Tuhan! Selamatkan mereka! Tuhan! Selamatkan mereka!

Kumpulan ke sembilan dan ke sepuluh tertinggal di atas Sirat. Mereka tidak diizinkan untuk menyeberang. Dikatakan bahawa, di pintu syurga, ada pokok yang mempunyai banyak dahan. Bilangan dahannya tidak terkira melainkan Allah Taala sahaja yang mengetahui. Di atasnya ada kanak-kanak yang telah mati semasa di dunia ketika umur mereka dua bulan, kurang dan lebih sebelum mereka baligh. Apabila mereka melihat ibu dan bapa mereka, mereka menyambutnya dan mengiringi mereka memasuki syurga. Mereka memberikan gelas-gelas dan cerek serta tuala dari sutera.

Mereka memberi ibu dan bapa mereka minum kerana kehausan kiamat. Mereka memasuki syurga bersama-sama.

Hanya tinggal, kanak-kanak yang belum melihat ibu dan bapa mereka. Suara tangisan mereka semakin nyaring. Mereka berkata: "Aku mengharamkan syurga bagi diriku sehingga aku melihat bapa dan ibuku."

Kanak-kanak yang belum melihat ibu dan bapa mereka telah berkumpul. Mereka berkata: "Kami masih di dalam keadaan yatim di sini dan di dunia."

Malaikat berkata kepada mereka: "Bapa-bapa dan ibu-ibu kamu terlalu berat dosa mereka. Mereka tidak diterima oleh syurga akibat dosa mereka."

Mereka terus menangis malah lebih kuat dari sebelumnya lalu berkata: "Kami akan duduk di pintu syurga moga-moga Allah Taala mengampuninya dan menyatukan kami dengan mereka."

Demikianlah! Orang yang melakukan dosa besar akan dikurung di tempat pembalasan yang pertama oleh mereka iaitu Sirat. Ia dipanggil "Tempat Teropong." Kaki-kaki mereka akan tergantung di Sirat.

Nabi Muhammad SAW melintasi Sirat bersama orang-orang yang soleh di kalangan yang terdahulu dan orang yang taat selepasnya. Di hadapannya, ada bendera-bendera yang berkibaran. Bendera Kepujian berada di atas kepalanya.

Apabila bendera baginda menghampiri pintu syurga, kanak-kanak akan meninggikan tangisan mereka. Rasulullah SAW bersabda: "Apa yang berlaku pada kanak-kanak ini?" Malaikat menjawab: "Mereka menangis kerana berpisah dengan bapa dan ibu mereka. "Nabi SAW bersabda:"Aku akan menyelidiki khabar mereka dan aku akan memberi syafaat kepada mereka, Insya Allah."

Nabi Muhammad SAW memasuki syurga bersama umatnya yang berada di belakang. Setiap kaum akan kekal didalam rumah-rumah mereka. Kita memohon kepada Allah Taala agar memasukkan kita di dalam keutamaan ini dan menjadikan kita sebahagian daripada mereka.

Dipetik Dari Buku.

"1001 Duka" Himpunan Kisah-kisah Menyayat Hati Oleh Muhammad Isa Selamat

Salam Maal Hijrah



Kepada para pengunjung blog ini, saya mengucapkan

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1430H

dan

Selamat Tahun Baru 2009M

Hudud Allah

Sumber hukum

Sumber hukum jinayah syari’yah dalam sistem kehakiman dan perundangan Islam berdasarkan al- Quran, hadith, ijma’ ulama dan qias.

Peringatan

Hukum-hukum jinayah syari’yah ialah hukum bagi orang yang beragama Islam. Mereka yang bukan dari kalangan umat Islam tidak dipaksa berhukum dengan hukum ini. Tidak ada asas ketakutan mereka terhadap perlaksanaan hukum ini. Mereka bebas minum arak dan sebagainya. Jika mereka melakukan kesalahan jenayah mereka boleh berhukum dengan hukum agama mereka, atau dengan hukum di bawah undang-undang sivil atau kalau hendak boleh mereka berhukum dengan hukum hudud.

Siapa yang takutkan hukum hudud?

1) Orang Islam.
2) Orang bukan Islam.

Ada orang Islam yang takutkan berhukum dengan hukum hudud?

Majoriti orang Islam di Malaysia takut berhukum dengan hukum hudud. Buktinya, Pas yang memperjuangkan perlaksanaan Islam secara total dan menyeluruh termasuk perlaksanaan hukum hudud, hukum qisas, hukum diyat, dan hukum takzir di tolak dalam pilihan raya di Malaysia.

Siapa pulak orang Islam yang takutkan hokum hudud, hokum yang ditetapkan oleh agamanya sendiri?

1) Pemimpin Umno (Islam dan termasuk berfahaman Islam Hadhari).

2) Para penyokong, pendokong dan simpatisan yang taksub dengan Umno dan sejarah kepimpinannya di Malaysia. Kononnya Umnolah satu-satunya yang boleh memerintah Malaysia dengan baik. Baikkah pemerintahan Umno di Malaysia?

3) Para Ulama pembodek Umno, ulama jahat (ulama suuk) . Ular dalam semak, bahaya.

Kenapa takut sangat golongan ini dengan hukum hudud? Antara sebab-sebabnya ialah:-

1) Mereka takut sangat dengan hukum hudud kerana jika hudud dilaksanakan, maka sukar mereka untuk mencuri, tipu harta rakyat, berzina, berjudi, minum arak dan susah nak rancang konspirasi membuat tuduhan palsu liwat atau zina. Para konspirator ini jika dilaksanakan hukum hudud, jika tidak dapat mengemukakan saksi-saksi mengikut syarat yang ditetapkan akan kena rejam. Baru padan, ini senang-senang tuduh seseorang hamba Allah meliwat atau berzina , kawan tu dapat aib, dihukum penjara, rosak teruk imej dan sebagainya , kita berbanga dengan kejayaan perancangan kita untuk menjatuhkan orang lain.

2) Mereka ni jahil tentang Islam dan hukum-hakamnya. Mereka tidak yakin hukum Allah adalah terbaik untuk mengawal nafsu manusia. Mereka lebih percaya undang-undang yang direka cipta oleh nafsu sesuatu puak atau kelompok untuk mengawal kejahatan nafsu manusia. Pelik bukan. Banyak persoalan yang boleh di kemukakan, misalnya bolehkah diyakini undang-undang yang dibuat oleh nafsu sekelompok manusia itu bebas daripada pengaruh nafsu untuk mempertahankan kepentingan puak atau kelompok tertentu?

3) Jika hukum hudud dilaksanakan, layakkah pemimpin-pemimpin Umno untuk menjadi pemimpin. Layakkah Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk menjadi Perdana Menteri pada Mac 2009 nanti. Layakkah para perasuah, penzina, pemabuk, perampas khazanah negara, pembunuh menjadi pemimpin negara. Nyata hukum hudud tiada niat bagi Umno pada bila-bila masa untuk melaksanakannya.

4) Golongan Ulama sepatutnya menjadi pewaris ambia’. Mereka wajib mempertahankan hukum hudud, bukan mereka cipta dalil-dalil untuk menolak hudud. Besar sangatkah perut mereka untuk diisi dengan sampah dunia yang tidak bernilai atau pangkat di sisi para pemimpin Umno yang menolak hudud. Ada ulama Umno, yang menjadi pemimpin Umno, boleh menolak hudud dan membenarkan sebuah “kerajaan langit” beroperasi bertahun-tahun sedangkan ajaran “kerajaan langit “ itu disahkan sebagai terpesung daripada ajaran Islam sebenarnya. Ahli kumpulan “kerajaan langit” merupakan penyokong Umno. Ramai orang Islam yang terpesung aqidahnya tetapi ia bukan ancaman kepada Umno, tap apa.

5) Ada pandai undang-undang beragama Islam yang terlalu bijak sehingga sanggup saman kerajaan Kelantan kerana hukum hudud. Sebab-sebabnya barangkali anda lebih tahu, saya terlalu naif dan tidak mampu menyelamai nurani peguam tersebut sehingga sanggup mencabar hukum Tuhannya.

6) Hudud dijadikan sandaran sebagai talian hayat politik mereka. Umno menolak hudud untuk mendapat sokongan orang bukan Islam. Mereka di atas nama perpaduan kaum, toleransi beragama menolak hudud. Hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia yang penduduknya majmuk, pelbagai bangsa, bahasa, adat budaya dan agama. Umno sebagai sebuah parti politik Melayu sepatutnya berperanan menerangkan kemurnian hudud untuk semua rakyat Malaysia melampaui batasan sempadan itu semua. Jika ahli Umno yang beragama Islam sejak lebih 50 tahun lalu berusaha menjelaskan Islam dan hukum hakamnya kepada anggota komponennya dalam Perikatan dan kemudiannya dalam Barisan Nasional, saya yakin hanya beberapa orang sahaja rakyat Malaysia yang masih tinggal keliru dengan hudud.

7) Pemimpin parti bukan Islam menolak hudud kerana ia modal mudah untuk mendapat sokongan khalayak yang terdari daripada orang bukan Islam. Kita tidak akan mempersoalkan tindakan mereka, cuma sewajarnya mereka lebih perlu lebih terbuka untuk memahami hukum Islam kerana mereka tidak akan rugi apa-apa malah mereka sebenarnya mendapat pembelaan daripada agama suci itu. Islam adalah rahmat bagi seluruh alam.

Harapan

1) Pas sebagai politik yang tegas memperjuangakan Islam dan perlaksanaan hukum-hakamnya akan berusaha mendakati golongan bukan Islam megai memberi penjelasan tepat dan menghapuskan kekeliruan mereka berkenaan Islam dan hukum hakamnya.

2) Orang bukan Islam tidak tidak perlu bimbang untuk mendekati Pas kerana sebagai orang Islam, mereka tidak akan memaksa sesiapapun menganut Islam atau memaksa perlaksanaan hukum-hakamnya keatas orang bukan Islam.

3) Kepada semua rakyat Malaysia, perlaksanaan undang-undang jinayah syar’iyah akan mengatasi dan menyelesaikan pelbagai masalah jinayah yang meningkat dengan mendadak sejak akhir-akhir. Kita amat yakin kerana ia merupakan undang-undang Allah dan Dia Maha Mengetahui pendekatan terbaik untuk mengatasi salah laku jinayah manusia. Hudud ialah jalan penyelesaiannya.

4) Anda perlu mendapat penjelasan yang tepat berkenaan hudud daripada cendikiawan Islam yang berintigriti bukan penyangak qaidah yang bertopengkan Islam. Anda tidak perlu menjadi pakar undang-undang untuk memahami hudud, apa yang perlu ialah keikhlasan untuk memahami dan menerimanya. Anda pasti menerima jikmahnya jika hudud dilaksanakan walaupun anda bukan Islam.

Sumber: http://abbebakar.blogspot.com/

Makna Hijrah

Permulaan tahun baru Islam ialah datangnya bulan Muharam. Berbeza dengan kedatangan tahun baru masehi, ia amat terasa. Sambutannya hangat sekali. Bermula dari saat menunggu dentingan jam di Dataran Merdeka, ia berlanjutan dengan pelbagi agenda. Bahkan 1 Januari sudah diiktiraf sebagai cuti umum.

1 Muharram pula, datang dan perginya agak kurang terasa. Ada tidak pun, ialah sambutan Ma’al Hijrah dan penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah. Mujurlah 1 Muharram juga dijadikan cuti umum, jika tidak mungkin ia akan berlalu tanpa sedikit pun meninggalkan kesan kepada semua.

Adalah amat malang, apabila umat Islam gagal memanfaatkan tahun baru Islam. Ini kerana, kewujudan tahun hijrah mempunyai konotasi kepada perkembangan Islam yang amat signifikan. Ia adalah detik bermulanya era baharu. Detik hijrahnya nabi ke Madinah yang akhirnya ditandai dengan tertubuhnya sebuah negara Islam. Kemudian, dari saat itulah Islam terus berkembang sehingga ke hari ini.

Firman Allah s.w.t lewat surah an-Nahl ayat 41 yang bermaksud: “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik,”

Sambutan tahun Hijrah mestilah difahami dari kaca mata yang Islam kehendaki. Bukan sekadar dengan dendangan nasyid ataupun pengkisahan peristiwa Hijrah sahaja, itu cara lama. Apa yang lebih utama, mengerti maksud dan kehendak hijrah. Itulah roh atau semangat hijrah yang tidak akan padam hingga bila-bila.

Hakikatnya hijrah memaparkan erti pengorbanan, keikhlasan, ketahanan, keyakinan dan keberanian. Hijrah juga menyelitkan unsur kebijaksanaan, kepentingan perancangan dan strategi; namun akhirnya meletakkan penyerahan diri seratus peratus kepada Allah SWT. Itulah dinamakan konsep usaha, doa dan tawakal.

Lama sebelum terjadinya hijrah, Nabi Muhammad SAW sudah mengatur strategi dengan penduduk Madinah. Beberapa siri perjanjian telah dibuat, sehinggalah nabi benar-benar meyakini kesanggupan mereka untuk menjadi ‘rakan kongsi’ dan ‘pengikut’ yang setia. Kemudian, nabi mengatur kaedah paling baik dalam melaksanakan hijrah, sehingga mengaburkan pihak musuh.

Cuba kita fikirkan, para sahabat telah diminta berhijrah terlebih dahulu sedang nabi masih di rumahnya. Ia menyebabkan musuh-musuh memberikan tumpuan kepada nabi dan sekaligus tidak begitu mengganggu hijrah para sahabat. Kemudian, nabi juga merencanakan beberapa strategi lain. Siapakah yang akan tidur di tempat tidur nabi, lencongan laluan yang mengelirukan, siapa yang akan menjadi pemandu, siapa akan menjadi perisik, penyampai maklumat dan apakah kemungkinan-kemungkinan yang bakal terjadi.

Sejarah mencatatkan, betapa penglibatan anak muda seperti Ali bin Abu Talib dan Asma’ binti Abu Bakar, adalah bukti bahawa remaja adalah aset yang mampu menyumbang kepada kebangkitan Islam. Bahkan, keterlibatan seorang lelaki yang bukannya beragama Islam, Abdullah bin Uraiqit sebagai pemandu jalan, juga membuktikan Islam tidaklah memusuhi semua orang-orang bukan Islam. Bahkan mereka yang baik boleh diangkat sebagai kawan.

Begitu juga usaha nabi dan Abu Bakar, yang sengaja mengambil laluan ke arah selatan Mekah dan bukannya arah Utara sebagaimana biasa, kemudian menuju Tihama berdekatan pantai Laut Merah, adalah satu strategi yang terus mengelirukan musuh. Ia mampu menimbulkan perpecahan di kalangan musuh yang bertengkar dengan arah yang diambil oleh nabi. Ia menunjukkan, Islam mementingkan kebijaksanaan dalam perancangan.

Kini, umat Islam tidak perlu teraba-raba dalam mencari arah dan pedoman. Peristiwa hijrah yang berlaku lebih 1400 tahun dahulu sudah menyediakan contoh kepada kita. Seandainya kita mahu berjaya, maka mulakan dengan perancangan yang baik. Namun perancangan yang baik, masih perlu kepada perlaksanaan yang baik daripada semua pihak. Kemudian, ia hanya lengkap apabila semuanya menggantungkan harapan kepada Allah SWT.

Adalah amat malang jika umat Islam masih mengekalkan budaya kerja yang tidak teratur dan sistematik. Masih suka melaksanakan kerja tanpa perancangan atau ad-hoc. Kemudian, perlaksanaannya pula main ‘cincai’, tidak mengambil kira aspek kesan jangka panjang hasil pekerjaan tersebut. Lebih malang, apabila menyandarkan semua usaha hanya di atas kepandaian diri dan melupakan kuasa Allah SWT penentu segala.

Seperkara lagi, umat Islam juga sewajarnya menobatkan Tahun Islam ini sebagai mukaddimah membaharui azam. Adakah sepanjang tahun lalu sudah terpenuh segala cita-cita ataupun masih banyak bersifat angan-angan kosong. Ini kerana, berkat keazaman daripada Rasulullah SAW melaksanakan hijrah, maka kita mendapat kebaikannya hingga kini.
Di samping itu, hijrah juga menunjukkan Islam mampu menyatukan semua umat walaupun berbeza keturunan. Siapakah yang dapat menyangkal, hijrah telah menyatukan kaum Ansar dan Muhajirin:

"Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah untuk membela Islam dan orang-orang yang Ansar yang memberi tempat kediaman dan pertolongan kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu, merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia," (al-Anfal: 74)

Jelaslah, hijrah mampu memberikan pedoman buat kita sepanjang zaman. Syaratnya, kita mestilah menggali makna hijrah yang sebenar. Jika tidak, hijrah hanya tinggal sebagai catatan sejarah yang gagal merubah apa-apa dalam hidup kita.