Selasa, September 02, 2014

Menukar Nama Setelah Masuk Islam


Apa itu nama Islam?

Nama Islam adalah nama yang membawa makna yang baik dan tidak mensyirikkan Allah baik dari segi bahasa atau maksudnya. Nama yang paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan juga Abdul Rahman seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Adakah nama Islam itu mesti dalam bahasa Arab?

Seperti yang disebutkan di atas bahawa nama Islam adalah nama yang membawa makna yang baik dan tidak semestinya di dalam bahasa Arab kerana di zaman Rasulullah s.a.w ada beberapa sahabat yang memeluk Islam kemudian Rasulullah s.a.w menyuruh mereka menukar nama seperti Abd asy-Syams bin Sokhr kepada Abd Rahman bin Sokhr. Hal ini kerana Abd asy-Syams bermaksud hamba matahari. Namun nama Sokhr yang bermaksud batu tetap dikekalkan. Andai nama Islam adalah di dalam bahasa Arab, mengapa Rasulullah s.a.w memerintahkan sahabat yang memiliki nama dalam bahasa Arab menukar nama mereka?