Apa itu nama Islam?
Nama Islam adalah nama yang membawa makna yang baik dan tidak
mensyirikkan Allah baik dari segi bahasa atau maksudnya. Nama yang
paling disukai oleh Allah adalah Abdullah dan juga Abdul Rahman seperti
yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Adakah nama Islam itu mesti dalam bahasa Arab?
Seperti yang disebutkan di atas bahawa nama Islam adalah nama yang
membawa makna yang baik dan tidak semestinya di dalam bahasa Arab kerana
di zaman Rasulullah s.a.w ada beberapa sahabat yang memeluk Islam
kemudian Rasulullah s.a.w menyuruh mereka menukar nama seperti Abd
asy-Syams bin Sokhr kepada Abd Rahman bin Sokhr. Hal ini kerana Abd
asy-Syams bermaksud hamba matahari. Namun nama Sokhr yang bermaksud
batu tetap dikekalkan. Andai nama Islam adalah di dalam bahasa Arab,
mengapa Rasulullah s.a.w memerintahkan sahabat yang memiliki nama dalam
bahasa Arab menukar nama mereka?
Perlukah saya menukar nama apabila saya memeluk Islam?
Ketika baginda s.a.w memerdekakan Zaid Ibn Haritsah dan mengambilnya
sebagai anak angkat dari isterinya Khadijah r.a, sahabat mula memanggil
Zaid sebagai Zaid ibn Muhammad namun Allah telah menurunkan ayat berikut
agar mereka yakni sahabat dan Nabi s.a.w tidak menasabkan Zaid ibn
Haritsah selain dari nama bapanya;
Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa
mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada
itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka
sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula"
kamu. Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu
tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan)
yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan (ingatlah Allah
Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Al-Imam At-Tabari dalam tafsirnya
mengatakan, ayat di atas, adalah dalil bahawa tidak boleh menasabkan
sesorang kepada bukan bapanya. Selepas turunnya ayat ini maka
Rasulullah s.a.w memerintahkan sahabat semua agar memanggil Zaid dengan
nasabnya yang asal iaitu Zaib ibn Haritsah. Baginda juga bersabda:
"Sesiapa yang secara sengaja membiarkan dirinya dipanggil sebagai anak kepada yang bukan bapanya adalah kufur"
(Sahih Bukhari, Muslim & Abu Daud)
"Sesiapa yang secara sedar mengubah nama bapanya kepada nama yang lain, terkeluar dari syurga"
(Sahih Bukhari, Muslim & Abu Daud)
Habis tu kenapa ramai orang Islam masih menyuruh kita menukar nama?
Ramai yang masih beranggapan bahawa ianya wajib sedangkan undang undang
telah digubal tetapi masih ada segolongan di dalam masyarakat Islam
masih enggan menerima walaupun telah didatangkan nas yang sahih dari
Quran dan Sunnah kerana berpegang kepada kepercayaan dan amalan nenek
moyang yang tiada asasnya dalam Islam. Malahan ada yang beralasan
apabila kita meninggal nanti sukar untuk imam atau Ustaz melakukan
tahlil dan talkin kerana ianya akan pelik apabila yang disebut itu
adalah nama bukan Islam. Walaupun didatangkan nas mereka masih enggan
menerima sebagaiman firman Allah;
"Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?"
(Al-Baqarah 2:170)
(Tidak ada sebarang
bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: Sesungguhnya kami
telah mendapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan
sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja".
Dan demikianlah
halnya (orang-orang yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu
(wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul
pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di
negeri itu berkata: "Sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut
satu jalan agama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka
sahaja".
Rasul itu berkata: "Adakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun aku
membawa kepada kamu agama yang lebih jelas hidayah petunjuknya
daripada jalan agama yang kamu dapati datuk nenek kamu menurutnya?"
Mereka menjawab: "Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu
diutuskan membawanya".
Sikap yang sepatutnya ada pada setiap orang Islam apabila didatangkan
nas dari Quran & Sunnah adalah sebagaimana firman Allah;
"Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja
Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka
akan beroleh berita yang mengembirakan (sebaik-baik sahaja mereka
mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu"
"Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya
lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi
hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk
oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna."
(Az-Zumar 39:17-18)
(Az-Zumar 39:17-18)
Bagaimana dengan mereka yang telah menukar nama?
Andai mereka yang telah menukar nama yang bernasabkan selain dari bapa
mereka sebelum undang undang tersebut digubal maka tiada apa yang dapat
dilakukan. Mereka yang masih baru tetapi ingin menukar semula nama
haruslah mendapatkan maklumat dari jabatan agama Islam tempat mereka
diIslamkan.
Ada contoh mereka yang tidak menukar lama langsung?
Contoh yang terbaik adalah Rasulullah s.a.w sendiri. Baginda sebelum
menerima wahyu diberi nama Muhammad Bin Abdullah dan selepas menerima
wahyu masih mengekalkan nama. Begitu juga dengan Abu Bakar, Umar Ibn
Khattab, Uthman Ibn Affan, Bilal Ibn Rabah, Salman al-Farisi, Ali Ibn
Abu Talib (walaupun Abu Talib tidak memeluk Islam) dan banyak lagi
sahabat. Di Malaysia ramai juga antaranya Lim Jooi Soon, Ann Wan Seng,
Ng Kuan Beng, Goh Yee Mei, Eh Jun Guang, Shah Kirit Bin Kalkulai
Govindji dan ramai lagi.
Ada juga yang menambah nama di hadapan seperti Firdaus Wong
Wai Hung, Adam Sih Huah Sing, Adam Golku Bin Subramaniam dan banyak
lagi...
Apa apa pun, terpulanglah kepada individu untuk memilih samaada untuk
mengekalkan nama aslinya 100% atau menambah satu nama di hadapan. Perlu
diingat bahawa nama amatlah penting bagi mereka yang memeluk Islam
kerana ianya juga boleh dijadikan topik dan cara menarik keluarga mereka
yang belum Islam untuk mendekati Islam dan memeluk Islam. Usahlah kita
sempitkan Islam dengan pandangan yang bukannya berasal dari Islam serta
menyukarkan mereka untuk memeluk Islam.
Berlaku adillah kepada mereka. Berbohonglah mereka yang mengatakan Jabatan Agama mewajibkan menukar nama atau ianya ajaran Islam. Jangan kerana ingin menurutkan nafsu kita maka kita menjadikan mereka yang Belum Muslim jauh daripada Islam kerana isu tukar nama...
Sumber: http://revertedmuslim.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan