Rabu, Mei 28, 2008

Mengenal ALLAH

Dalam kitab dikatakan, awaluddin makrifatullah (awal-awal agama ialah mengenal ALLAH). Apabila seseorang itu tidak mengenal ALLAH, segala amal baktinya tidak akan sampai kepada ALLAH SWT. Sedangkan, segala perintah suruh yang kita buat, baik yang berbentuk fardhu maupun sunat, dan segala perintah larang yang kita jauhi, baik yang berbentuk haram maupun makruh, merupakan persembahan yang hendak kita berikan kepada ALLAH SWT.

Kalau kita tidak kenal ALLAH SWT, maka segala persembahan itu tidak akan sampai kepada-Nya. Ini berarti, sia-sialah segala amalan yang kita perbuat.

Bila seseorang itu sudah kenal ALLAH, barulah apabila dia berpuasa, puasanya sampai kepada ALLAH. Apabila dia sholat, sholatnya sampai kepada ALLAH. Apabila dia berzakat, zakatnya sampai kepada ALLAH. Apabila dia menunaikan haji, hajinya sampai kepada ALLAH SWT. Apabila dia berjuang, berjihad, bersedekah dan berkorban, serta membuat segala amal bakti, semuanya akan sampai kepada ALLAH SWT.

Kerana itulah, makrifatullah (mengenal ALLAH) ini amat penting bagi kita. Jika kita tidak kenal ALLAH, kita bimbang segala amal ibadah kita tidak akan sampai kepada-Nya, ia menjadi sia-sia belaka. Boleh jadi kita malah hanya akan tertipu oleh syaitan saja. Kita mengira amalan yang kita perbuat sudah kita persembahkan pada ALLAH, padahal itu adalah jebakan syaitan. Ini karena kita tidak mengenal ALLAH, sehingga kita tidak mampu membedakan ilah (tuhan) yang kita ikuti, apakah itu ALLAH, atau syaitan yang menipu daya. Sebab itulah mengenal ALLAH itu hukumnya fardhu 'ain bagi tiap-tiap mukmin.

Mengenal ALLAH dapat kita lakukan dengan cara memahami sifat-sifat-Nya. Kita tidak dapat mengenal ALLAH melalui zat-Nya, karena membayangkan zat ALLAH itu adalah suatu perkara yang sudah di luar batas kesanggupan akal kita sebagai makhluk ALLAH. Kita hanya dapat mengenal ALLAH melalui sifat-sifat-Nya.

Untuk memahami sifat-sifat ALLAH itu, kita memerlukan dalil aqli dan dalil naqli.
Dalil aqli adalah dalil yang bersumber dari akal (aqli dalam bahasa Arab = akal).
Dalil naqli adalah dalil yang bersumber dari Al-Qur'an dan As-Sunnah.
Melalui dalil aqli dan dalil naqli ini sajalah kita dapat mengenal ALLAH. Tanpa dalil-dalil itu, kita tidak dapat mengetahui sifat-sifat ALLAH, dan kalau kita tidak mengetahui sifat-sifat ALLAH, berarti kita pun tidak mengenal ALLAH.

Ajaran Sesat

PENGERTIAN AJARAN SESAT

Ajaran sesat ialah ajaran atau amalan yang didakwa sebagai ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Sunnah.

SEBAB-SEBAB KEMUNCULAN AJARAN SESAT

Terdapat individu yang mempunyai kepentingan diri seperti untuk mendapatkan kedudukan, harta, dan sebagainya.

Terdapat golongan yang ingin melemahkan ajaran Islam dengan memesongkan akidah orang Islam.

CIRI-CIRI AJARAN SESAT


Mencemarkan kesucian Al-Ouran dan hadis seperti memansukh, mengubah, mempertikai, atau membuat tafsiran menyeleweng terhadap Al-Quran dan hadis. Contohnya kumpulan Bahai beriktikad bahawa kitab sucinya Al-Bayan memansukhkan semua kitab samawi.

Mengubah prinsip-prinsip asas dalam akidah Islam seperti mendakwa menyatukan semua agama termasuk Islam ke dalam agama baru atau mendakwa semua agama adalah sama sebagaimana ajaran Bahai.

Mendewa-dewakan pemimpin sehingga menganggapnya bersifat maksum, sebagai Imam Mahdi, sebagai nabi, sebagai tuhan, atau jelmaan tuhan sebagaimana ajaran Oadiani.

Menolak perkara yang qat'ie dalam Islam seperti menghapuskan jihad sebagaimana ajaran Qadiani dan Bahai.

Mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti mengurangkan ibadat puasa kepada 19 hari dan bersolat hanya dengan niat sebagaimana ajaran Bahai.

Mengubah konsep dosa dan pahala seperti memberi kuasa penebusan dosa kepada seseorang seperti ajaran Tariqat Al-Mufarridiah.

Mendakwa boleh melakukan perkara-perkara pelik yang bersangkutan dengan perkara-perkara ghaib seperti memanggil roh orang mati termasuk roh para nabi, wali, dan malaikat.

Mendewa-dewakan sesuatu selain Allah S.W.T. seperti menyeru nama orang-orang yang telah meninggal dunia di dalam doa atau jampiansebagaimana yang dilakukan oleh bomoh atau dukun yang mengamalkan ilmu hitam.

Menolak hadis mutawatir atau hadis secara umum seperti golongan anti hadis.

KESAN BURUK MENGAMALKAN AJARAN SESAT

1. Kesan terhadap individu:

(a) akidah seseorang akan rosak. Orang Muslim yang mempercayai atau beramal dengan ajaran sesat boleh merosakkan akidah.Mereka wajib bertaubat dan kembali kepadaajaran Islam;

(b) masa terbuang. Masa banyak terbuang dengan aktiviti yang tidak sihat dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti memuja dan melakukan amalan-amalan syirik serta khurafat;

(c) minda seseorang akan tertutup. Pemikiran mereka sering dikongkong oleh pemimpin yang mendakwa mendapat wahyu. Tindakan dan kelakuan mereka menjadi tidak rasional dan fanatik;

(d) kehidupan tidak stabil. Penglibatan dengan ajaran sesat membawa kepada pengabaian tanggungjawab sebagai pelajar, suami, isteri, ibu, atau bapa.

2. Kesan terhadap masyarakat:

(a) keruntuhan institusi kekeluargaan. Keretakan boleh berlaku di kalangan ahli keluarga yang menganut ajaran sesat disebabkan perbezaan akidah dan rasa curiga sesama mereka;

(b) perpaduan tergugat. Sikap fanatik penganut ajaran sesat terhadap kumpulan dan pemimpin mereka menyebabkan mereka tidak menghormati masyarakat sekeliling.Ini menjejaskan perpaduan dan keharmonian hidup dalam masyarakat;

(c) berlaku keganasan. Kepatuhan membutatuli kepada pemimpin ajaran sesat memudahkan pengikutnya dipergunakan untuk melakukan keganasan.

3. Kesan terhadap negara:

(a) negara akan mundur. Penglibatan dalam ajaran sesat menjadikan diri seseorang tidak proaktif dan membuang masa. Perkara itu akan menjejaskan prestasi ekonomi negara yang bergantung kepada sumbangan dan produktiviti individu;

(b) negara tidak stabil. Penglibatan dalam ajaran sesat akan mengancam perpaduan dan keharmonian masyarakat. Ini boleh menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara. Akibatnya negara terpaksa menghabiskan banyak masa dan perbelanjaan untuk mengekalkan kestabilan negara.

CONTOH-CONTOH AJARAN SESAT

Qadiani

1. Pengasasnya ialah Mirza Ghulam Ahmad yang meninggal dunia pada tahun 1908 Masihi.
2. Nama Qadiani ialah sempena tempat lahir pengasasnya di Qadian iaitu sebuah kampung di Daerah Gusdapur, India.
3. Ajaran ini mula muncul pada tahun 1889 Masihi.
4. Ajaran ini dibawa ke Malaysia oleh Maulana Muhammad Sadiq bin Barakatullah pada tahun 1949 Masihi.
5. Ciri-ciri kesesatan ajaran Qadiani ialah:
(a) beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad sebagai Imam Mahdi, nabi, dan jelmaan Krisyna (tuhan mengikut kepercayaan Hindu);
(b) beriktikad bahawa Allah S.W.T. menurunkan kepada Mirza Ghulam Ahmad sebuah kitab suci yang bernama Al-Tazkirah;
(c) beriktikad bahawa Mirza Ghulam Ahmad memiliki sejuta jenis mukjizat;
(d) menghapuskan jihad;
(e) mengubah ayat Al-Quran seperti ayat 6 surah Al-Saf, ayat 52 surah Al-Haj, dan ayat pertama surah Al-Qadr;
(f) mendakwa malaikat sebagai pancaindera Allah S.W.T;
(g) mengisytiharkan Qadian sebagai tanah suci dan tempat menunaikan haji;
(h) mendakwa bahawa Nabi Isa meninggal dunia dan dimakamkan di Srinegar, India;
(i) menghukum kafir selain penganut Qadiani.

Bahai

1. Bahai diasaskan oleh Husain Ali Al-Mazandani yang meninggal dunia pada tahun 1892 Masihi.
2. Bahai adalah nama sempena pengasasnya yang digelar sebagai Baha'ullah.
3. Ajaran Bahai adalah lanjutan kepada ajaran Al-Babiah yang diasaskan oleh Ali Muhammad Al-Syirazi yang meninggal dunia pada tahun 1850 Masihi.
4. Ajaran Bahai muncul di Iran pada tahun 1847 Masihi.
5. Ajaran Bahai mula tersebar di Malaysia pada tahun 1953 melalui Yan Kee Leong.
6. Ciri-ciri kesesatan ajaran Bahai ialah:
(a) beriktikad bahawa pengasasnya ialah jelmaan Allah S.W.T.;
(b) beriktikad bahawa semua agama adalah sama dan digabungkan dalam ajaran Bahai;
(c) beriktikad bahawa alam ini bersifat baqa'(kekal);
(d) beriktikad bahawa kitab suci mereka iaitu Al-Bayan memansukhkan semua kitab samawi;
(e) beriktikad bahawa Nabi Isa mati disalib;
(f) mengagungkan kod 19 hingga kononnya Al-Quran dipengaruhi oleh kod tersebut;
(g) menolak kewujudan mukjizat, malaikat, syurga, dan neraka;
(h) memansukhkan agama Islam;
(i) menganggap Acre di Palestin sebagai kiblat baru;
(j) mengubah bentuk-bentuk ibadat seperti puasa 19 hari, solat sebanyak 9 rakaat dan dikerjakan 3 kali sehari, dan berwuduk dengan air mawar atau diganti dengan bacaaan Bismillahil Athar sebanyak lima kali; menghapuskan jihad.

Taslim

1. Taslim diasaskan oleh Haji Muhammad Syafie atau lebih dikenali dengan panggilan Haji Muhammad Matahari.
2. Ajaran ini mula wujud pada tahun 1870-an di Kampung Seronok di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
3. Ajaran ini merupakan ajaran sesat yang paling tua di Malaysia. Ajaran ini juga mempunyai persamaan dengan kepercayaan Syiah Ismailiah Batiniah.

Ciri-ciri kesesatan ajaran Taslim ialah:

(a) beriktikad bahawa diri batin manusia ialah Allah dan diri zahir manusia ialah nur Muhammad;
(b) beriktikad bahawa alam ini bersifat qadim;
(c) mentafsirkan ayat-ayat Al-Quran mengikut hawa nafsu;
(d) mengharuskan perzinaan melalui konsep nikah batin;
(e) menolak kewujudan hari kiamat, syurga,dan neraka;
(f) solat secara niat tanpa rukun qauli(perkataan) dan fikli (perbuatan);
(g) menganggap Haji Muhammad Matahari sebagai pemimpin yang maksum.

LANGKAH-LANGKAH MENANGANI AJARAN SESAT

1. Melengkapkan diri dengan kefahaman Islam yang sebenar. Pengaruh ajaran sesat dapat ditangkis dengan kefahaman Islam yang sebenar melalui proses pembelajaran secara formal atau tidak formal.
2. Menyebarkan ajaran Islam. Ajaran Islam hendaklah sentiasa didedahkan kepada masyarakat menerusi pelbagai kaedah seperti media cetak, elektronik, ceramah, seminar, forum, dan simposium.
3. Kerjasama dalam penguatkuasaan undang-undang Penguatkuasaan undang-undang secara bersepadu oleh semua pihak akan dapat membendung kegiatan ajaran sesat daripada terus menular dalam masyarakat.
4. Program pemulihan akidah. Orang yang terlibat dengan ajaran sesat amat memerlukan kepada program pemulihan akidah, Di Malaysia terdapat beberapa buah pusat pemulihan akidah seperti Pusat Pemulihan Akidah Jelebu, Negeri Sembilan dan Pusat Pemulihan Akidah Ulu Yam, Selangor.

Ada paderi peluk Islam

Dan di kalangan orang Yahudi juga, yang menyihirkan Nabi s.a.w. Ertinya, mereka menggunakan pelbagai cara untuk membunuh Nabi s.a.w. termasuk melalui peperangan dan perancangan jahat yang lain termasuk sihir dan meracun Nabi s.a.w.

Golongan yang kedua adalah musyrikin termasuk penyembah berhala, penyembah api, penyembah bintang dan seumpamanya, merupakan golongan yang paling bermusuh dengan orang Islam.

Firman Allah yang bermaksud, "Dan demi sesungguhnya engkau dapati juga (wahai Muhammad s.a.w.) mereka yang paling hampir kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman adalah orang-orang yang berkata, "Kami adalah orang-orang Nasara (Kristian), sebabnya mereka itu terdiri daripada kalangan orang alim dan ahli ibadat dan mereka itu tidak sombong." (Surah al-Maidah: 82)

Di kalangan mereka terdiri daripada orang alim yang benar, bukan orang alim yang menyeleweng.

Diriwayatkan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya dari Urwah bin Az-Zubair bahawa orang-orang alim Kristian telah meminda Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa a.s.

Yang bertanggungjawab meminda Injil ini terdiri daripada empat orang termasuk Luqos, Marqos, Yuhannas dan Mettius.

Bahkan Injil dipinda sehingga menjadi beratus-ratus kitab. Ini menandakan bahawa kitab Allah itu telah diubah. Yang pertama menyeleweng isi kandungan Injil adalah seorang yang bernama Shaul yang mendakwa mendapat ilham daripada Allah dan Nabi Isa a.s.

Kemudian mereka yang menyeleweng ini berhijrah ke Eropah. Ketika itu benua Eropah dikuasai oleh Rom (Kerajaan Romawi).

Mereka berjaya mengkristiankan Raja Rom yang ketika itu menganut agama keberhalaan sesuai dengan Kristian yang menyembah Solib yang telah dipinda dan diubah itu.

Dengan perintah Raja Rom, dianjurkan satu persidangan Kristian antarabangsa, yang diadakan di sebuah pulau di Laut Mediterranean.

Dalam persidangan itu mereka mengambil keputusan mengiktiraf empat Injil sahaja iaitu Injil yang dikarang oleh Luqos, Marqos, Yuhannas dan Mettius.

Manakala yang lain diharamkan. Antara yang diharamkan adalah Injil Barnaba di mana Injil ini lebih hampir dengan Injil yang sebenar yang menyatakan Nabi Isa itu adalah Rasulullah dan hamba-Nya.

Injil ini telah dicuri dari perpustakaan Gereja Vatican, Pusat Kristian Roman Katolik terbesar di dunia yang terletak di Itali.

Seorang pekerja di gereja besar ini telah melihat di kalangan buku-buku lama yang disimpan itu, sebuah Injil bernama Barnaba lalu membacanya dan kemudian melarikan diri dari Vatican bersama Injil berkenaan.

Injil ini kemudian dibeli salah seorang Putera Mahkota Austria dan disimpan dalam Muzium Vienna sehingga sekarang dan ia juga telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dan orang Kristian menganggap Injil itu sebagai kitab lama bukan mengambil pengajaran daripada apa yang terkandung di dalamnya.

Injil ini menyatakan bahawa Muhammad s.a.w. adalah Rasulullah, nabi akhir zaman yang akan zahir dan inilah yang diberitahu oleh Nabi Isa a.s.

Paderi-paderi Kristian mengetahui hakikat ini. Justeru ada di antara mereka, apabila dibaca al-Quran mereka masuk Islam.

Kerana mereka mengetahui benarnya apa yang ada di dalam al-Quran. Salah seorang daripadanya adalah paderi di Mesir, apabila mendengar Surah at-Tin, dia memeluk Islam.

Surah itu bermula dengan firman Allah yang bermaksud, "Demi buah Tin dan Zaitun, Demi gunung Turi Saina' dan negeri yang Aman ini (Makkah)." (Surah at-Tin: 1-3)

Buah Tin dan Zaitun digambar sebagai negeri Palestin sebagai tempat tumbuhnya pokok-pokok tersebut, sekali gus sebagai tempat lahirnya Nabi Isa a.s.

Sementara Gunung Saina'�yang terletak di Semenanjung Sinai, merupakan tempat bermunajat Nabi Musa a.s. manakala Makkah adalah negeri tempat lahirnya Nabi Muhammad s.a.w., menujukkan hubungan ketiga-tiga orang rasul ini.

Maka paderi yang mendengar ayat ini memeluk Islam kerana mengetahui benarnya Islam.

Bahkan ada di kalanagn paderi di Amerika Syarikat dan Eropah yang menasihatkan penganut mereka supaya jangan bermusuh dengan orang Islam kerana pengikut Nabi Muhammad s.a.w. juga adalah penganut agama Samawi.

Tidak dinafikan ada di kalangan mereka yang bersikap sebaliknya. Sebenarnya orang Kristian sudah menyeleweng daripada Kristian. Dalam ajaran Kristian diharamkan berperang kerana di dalam kitab Injil (Bible), ada satu ayat yang bermaksud, "Barangsiapa menampar pipi kananmu, kamu surunglah mereka menampar pipi kirimu pula."

oleh : Tuan Guru Abdul Hadi Awang