Dari segi bahasa, inai bermaksud bahan yang digunakan untuk memerahkan kuku, jari dan anggota badan. Dalam bahasa Arab inai dipanggil Al-Hinnaa' atau henna.
Pemakaian inai seolah-olah menghiaskan diri dengan bahan yang dipakai, sama seperti memakai perhiasan di tubuh seorang wanita. Sifat inai tidak berkekalan selamanya ditubuh kita.
Sebelum menentukan hukum memakai inai perlu dilihat dari beberapa aspek, antaranya ialah;
* Bahan inai itu daripada apa ia diperbuat? Adakah daripada bahan yang halal atau daripada bahan yang haram. Sekiranya inai itu semata-mata daripada daun inai, sama ada yang dikeringkan atau diproses secara tradisi maka bahannya halal.
* Ukiran inai, sekiranya inai itu diukir ditangan manusia dengan bentuk lambang salib atau lambang berhala atau objek yang menyerupai makhluk maka hukumnya haram. Sekiranya inai diukir membentuk corak-corak flora, seperti bunga, daun-daun atau apa-apa sahaja bentuk yang tidak menyerupai makhluk adalah harus hukumnya.
* Inai bagi tujuan berubat. Dalam tradisi perubatan inai dipercayai boleh memulihkan kuku yang bermasalah. Ada juga masyarakat Arab dan afrika menggunakan inai untuk tujuan menggelakkan merkahan pada tapak kaki. Sekiranya inai digunakan untuk tujuan perubatan hukumnya harus.
* Hukum memakai inai bagi orang lelaki. Memakai inai bagi kaum lelaki dari kalangan orang Islam perlu dilihat dari sudut budaya dan uruf (budaya sesebuah kaum). Ada di kalangan ulama yang mengharamkannya atas alasan menyerupai orang perempuan dan ada pula yang mengharamkannya kerana memakai inai bukan budaya orang Islam malahan budaya orang bukan Islam. Perlu diperjelaskan di sini tidak semua budaya itu haram. Islam hanya mengharamkan budaya yang bertentangan dengan syariah dan akidah Islamiah. Budaya memakai inai tiada kaitannya dengan ketuhanan selain Allah SWT dan tiada unsur syirik.
* Ulama mengharuskan wanita memakai inai untuk perhiasan suami dan ahli keluarganya sahaja dan bukan untuk ditayangkan kepada yang lain. Maka harus bersederhana dalam berinai untuk mengelakkan fitnah.
Di Malaysia bagi masyarakat yang beragama Islam kebanyakannya akan memakai inai pada hari perkahwinan di dua atau tiga jari sahaja, tidak seperti perempuan memakai pada semua jari. Dan inai ini dipakai oleh orang lelaki hanya untuk majlis perkahwinan mereka sahaja bukan untuk selain daripada itu melainkan untuk mengubat kuku atau tapak kaki yang merkah.
Adapun inai bagi perempuan dibolehkan kerana tiada larangan dan wanita-wanita zaman salaf berinai dan Nabi SAW tidak menegahnya, malah menyuruhnya dengan dalil:
Daripada Aisyah ra, "Nabi melihat tangan di sebalik tirai dan berkata, apakah ini tangan lelaki atau perempuan, maka dikatakan itu tangan perempuan, maka Nabi pun bersabda, "Jika kamu seorang perempuan, pasti kamu akan mengubah warna kuku kamu (dengan inai)." (Abu Daud, no: 4166 dan al-Nasa'iy,no:5092)
Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan ulama berpendapat bahawa hukum lelaki memakai inai di kukunya adalah di antara haram dan makruh. Ini kerana ia menyerupai perhiasan wanita . Inai yang digunakan untuk perubatan (medication) tidaklah mengapa (tujuan kesihatan seperti inai di ibu jari kaki yang menghidap penyakit sekam (kuku rosak).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan