1.
Manusia melihat suatu perkara dengan pelbagai persepsi. Bulan Ramadhan
yang bakal datang juga tidak terlepas daripada persepsi yang pelbagai
ini. Terdapat mereka yang melihat Ramadhan sebagai transit sebelum hari
raya, tujuannya adalah hari raya, Cuma Ramadhan mesti dilalui sebelum
sampai kepadanya. Ada juga yang melihat Ramadhan sebagai syurga makanan
dan barang-barang keperluan rumah, dengan resepi dan bazar Ramadhan yang
sangat meriah, tiada dalam bulan yang lain. Tidak kurang masih wujud
mereka yang melihat Ramadhan sebagai bulan ibadah yang perlu direbut
dengan memperbanyakkan amal.
2.
Walau apapun persepsi manusia terhadap bulan Ramdhan ini, ia tetap akan
datang dengan seribu satu fadhilat yang telah dijanjikan oleh Allah
Azza wa Jalla dan RasulNya SAW. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA
bahawa nabi SAW bersabda:
Apabila
tiba malam pertama bulan Ramadhan, maka syaitan dirantai, ditutup
pintu-pintu neraka dan tiada satupun yang terbuka, dibuka pintu-pintu
syurga dan tiada satupun yang tertutup. Dan menyerulah penyeru: Wahai
pencari kebajikan, bergembiralah, dan wahai pelaku maksiat, kurangilah.
Dan ke atas Allah, membebaskan manusia daripada api neraka, dan demikian
itu berlaku pada setiap malam. (Riwayat Tirmizi)
3.
Beruntunglah mereka yang untung dan rugilah mereka yang rugi dalam
bulan ini. Untuk memastikan kita dalam kalangan mereka yang untung
dengan maksimum dan meminimumkan kadar kerugian, maka terdapat beberapa
perkara yang mesti dielakkan dan dijauhi, antaranya:
Pertama: berharap Ramadhan tidak tiba dan segera habis
4.
Mereka yang seumpama ini biasanya tidak gembira dengan kedatangan
Ramadhan bahkan tidak ada usaha sedikitpun untuk merebut segala
kelebihan dan keberkatan di dalamnya. Mereka terkejut dan tidak perasan
dengan kedatangan Ramadhan. Golongan inilah yang sangat cepat marah
walaupun dengan sebab yang sangat kecil dan tidak mampu menjaga mulutnya
daripada perkataan yang tidak baik.
5.
Ini bersalahan dengan amalan para sahabat dan generasi awal Islam.
Mereka sangat gembira dan menanti-nanti kedatangan Ramadhan, sentiasa
berpuasa pada selain Ramadhan sebagaimana yang diamalkan oleh nabi SAW
terutamanya di dalam bulan Sya’ban, dan sentiasa mendekatkan diri kepada
Allah SWT. Ramadhan adalah anugerah Allah Azza wa Jalla dan mereka
bergembira dengan berlumba-lumba melakukan amal soleh, bagi meraih
fadhilat yang Allah Azza wa Jalla sediakan. Firman Allah SWT dalam surah
Yunus ayat 58 bermaksud:
Katakanlah
(wahai Muhammad): Dengan kurnia Allah dan rahmatNya, hendaklah dengan
itu mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka
kumpulkan.
6.
Mereka berpuasa tanpa ilmu pengetahuan dan tidak mendalami feqh yang
berkaitan dengannya. Orang lain berpuasa, maka mereka juga berpuasa.
Bagi mereka puasa hanya sekadar tidak makan dan tidak minum, itu sahaja
sebagai adat puasa. Sedangkan kita wajib melaksanakan ibadah puasa ini
dengan penuh keimanan dan muhasabah. Selain yang wajib, yang sunat juga
perlu dilakukan, manakala pantang larangnya daripada yang makruh dan
haram hendaklah ditinggalkan. Berpuasa juga maknanya ialah membesarkan
syiar Allah SWT, ini yang perlu dimuhasabahkan. Diriwayatkan daripada
Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:
Barangsiapa
yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan menghitung diri, maka
diampunkan untuknya dosanya yang telah lalu. (Riwayat al-Bukhari)
7.
Mereka yang berpuasa dengan penuh keimanan dan menghitung diri akan
pahala puasanya, kita dapati mereka redha dan tenang, berlapang dada,
gembira dengan puasanya dan sentiasa bersyukur kepada Allah Azza wa
Jalla. Tidak nampak sedikitpun riak wajahnya kegelisahan, kemurungan dan
keluh kesah sepanjang bulan Ramadhan.
Ketiga: tidak mengamalkan sunnah
8.
Mereka berpuasa tanpa mengambil berat perkara-perkara yang berkaitan
dengan sunnah nabi SAW. Melaksanakan kewajipan ibadah puasa tetapi
ketika berbuka langsung tidak mengikut sunnahnya. Mereka tidak ambil
peduli untuk memulakan berbuka puasa dengan buah tamar atau air kosong
sebagaimana yang nabi SAW amalkan. Sebaliknya mendahulukan menu lain
yang mungkin lebih ‘kelas’ dan menarik warnanya. Walaupun tidak salah
tetapi ia tidak menepati amalan nabi SAW.
Diriwayatkan daripada Anas bin
Malik RA bahawa:
Nabi
SAW berbuka puasa sebelum solat dengan beberapa biji rutob, jika tiada
maka dengan beberapa biji tamar, dan jika tiada maka baginda minum
beberapa teguk air. (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
9.
Di samping itu, terdapat juga mereka yang tidak menyegerakan berbuka
puasa tanpa sebarang keuzuran. Hal ini juga tidak menepati sunnah nabi
SAW. Menyegerakan berbuka itu mendatangkan kebaikan. Maka melewatkannya
tanpa keuzuran, ia menunjukkan hilangnya kebaikan untuk dirinya.
Diriwayatkan daripada Sahal bin Sa’d bahawa nabi SAW bersabda:
Sentiasalah manusia itu dalam kebaikan selagi mana menyegerakan berbuka puasa. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
10.
Selain itu, terdapat juga mereka yang bukan setakat tidak melewatkan
bersahur, tetapi mereka langsung tidak bersahur. Mereka memberikan
alasan bahawa mereka tetap mampu berpuasa walaupun tanpa bersahur.
Mereka menganggap bahawa bersahur hanyalah seperti sarapan untuk
mendapatkan sedikit tenaga. Mereka lupa tentang keberkatan yang bakal
diraih jika bersahur walau dengan hanya seteguk air. Diriwayatkan
daripada Anas bin Malik bahawa nabi SAW bersabda:
Bersahurlah, sesungguhnya dalam bersahur itu ada keberkatan. (Riwayat al-Bukhari)
11.
Terdapat banyak lagi amalan sunnah yang perlu ditekankan dan diamalkan
sepanjang bulan Ramadhan ini, seperti membaca al-Qur’an, bersedekah,
solat tarawih, memberi makan kepada orang yang berpuasa sewaktu berbuka
dan sebagainya.
Keempat: berdusta dan berbohong
12.
Wujud segolongan manusia yang berpuasa tetapi masih berbohong kepada
orang lain. Maknanya lidahnya tidak berpuasa. Sedangkan salah satu
daripada maksud puasa ialah menahan lidah daripada berkata-kata
sebagimana yang disebutkan oleh imam al-Qurtubi (671H) dalam tafsirnya
berkaitan firman Allah SWT dalam surah Maryam ayat 26 bermaksud:
Maka
makan dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang
merunsingkan. Kemudian jika engkau melihat seseorang, maka katakanlah:
Sesungguhnya aku bernazar puasa (diam) kerana (Allah) al-Rahman; maka
aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada
hari ini.
13.
Bagi mereka yang berpuasa tetapi masih tetap berdusta terhadap orang
lain, maka sia-sialah puasanya. Orang seperti ini akan mendapat kerugian
kerana puasanya tidak berfaedah untuknya. Diriwayatkan daripada Abu
Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud:
Barangsiapa
yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan mengamalkannya, maka Allah
SWT langsung tidak berhajat terhadap apa yang ditinggalkannya daripada
makan dan minum. (Riwayat al-Bukhari)
14.
Semoga peringatan ringkas ini mampu mengubah diri kita untuk lebih
menjaga ibadah puasa kita yang telah saban tahun kita lakukan.
Sebagaimana yang disuruh dan dituntut mesti kita titikberatkan, maka
begitulah juga pantang larangnya yang wajib untuk kita hindari. Ini
penting agar matlamat puasa iaitu supaya kita bertakwa akan tercapai.
Puasa Ramadhan sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Kathir (774H)
adalah:
Pendidikan,
pembersihan dan penyucian jiwa daripada percampuran yang buruk dan
akhlak yang hodoh. (Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim)
Sumber: http://hjanhar.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan