Sesungguhnya Allah mengharamkan negeri ini semenjak Dia menciptakan langit dan bumi. Negeri ini diharamkan oleh Allah sampai Hari Kiamat kelak. Sebelumku, sesiapun tidak dihalalkan berperang di negeri ini. Bahkan aku sendiri juga tidak dihalalkan melakukan hal yang sama kecuali sesaat di siang hari. Negeri ini diharamkan oleh Allah sampai Hari Kiamat nanti. Pohonnya yang berduri tak boleh ditebang, haiwan buruannya tidak boleh dibunuh, dan barang cicirannya tidak boleh dikutip melainkan oleh orang yang mahu mengumumkan saja, dan rerumputannya tidak boleh dicabut atau dipotong. Al-‘Abbas berkata: “Kecuali rumput lalang, wahai Rasulullah, kerana ia sangat bermanfaat bagi manusia”, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: “Ya kecuali rumput al-izkhir (sejenis tumbuhan yang harum baunya).”
(Hadits riwayat Muslim)
Kawasan
tanah haram mempunyai tanda dari setiap arah yang telah diletakkan di
setiap penjuru-penjurunya. Al-Azraqiy dan lain-lain telah menyatakan
bahawa tanda-tanda atau perbatasan-perbatasan tanah haram itu telah
dilakukan oleh Nabi Ibrahim ‘Alahissalam dan yang menunjukkan tempatnya
ialah malaikat Jibril ‘Alaihissalam.
Kemudiannya tanda-tanda itu telah diperbaharui dengan arahan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wassalam dan selepas itu arahan Sayyidina Umar, Utsman dan Muawiyah. Pada masa sekarang tanda-tanda tersebut begitu terang dan jelas sekali. (Lihat Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 3/2381)
Kemudiannya tanda-tanda itu telah diperbaharui dengan arahan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wassalam dan selepas itu arahan Sayyidina Umar, Utsman dan Muawiyah. Pada masa sekarang tanda-tanda tersebut begitu terang dan jelas sekali. (Lihat Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 3/2381)
Batas-batas atau sempadan tanah haram Makkah ialah:
1. Dari arah Madinah ialah sejauh kira-kira 3 batu atau 4.5 kilometer. Sempadan ini terletak di kawasan Bani Nifar ataupun as-Syuqya. Pada masa ini tempat tersebut dikenali dengan nama Masjid A’isyah.
2. Dari arah Yaman pula ialah sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5 kilometer, iaitu di sebelah kawasan Ada’at Libnin dalam kawasan Tsaniyah Libnin.
3. Dari arah Iraq pula ia terletak sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5 kilometer dari Makkah berhampiran dengan bukit di al-Muqatar ataupun al-Muqta’.
4. Dari arah Tha’if dan dari pertengahan Lembah Namirah yang terletak di pertengahan jalan ke ‘Arafah adalah terletak sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5 kilometer dari Makkah, bersebelahan dengan ‘Arafah.
5. Dari jalan arah Ji’ranah adalah terletak sejauh kira-kira 9 batu atau 13.5 kilometer iaitu di Shu’aib al-Abdullah bin Khalid.
6. Dari arah Jeddah pula ialah sejauh kira-kira 10 batu atau 15 kilometer dari Makkah iaitu di Muntaqi’ ‘Ash’ash.
7. Dan dari Bathni ‘Uranah pula adalah sejauh kira-kira 11 batu atau 16.5 kilometer. (lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 3/2390-2394)
Adapun ‘arafah sebuah bukit yamg tingginya lebih kurang 220 meter dari paras laut dan terletak dalam jarak kira-kira 25 kilometer di Tenggara Makkah. Ia tidak termasuk di dalam kawasan tanah haram. Imam an-Nawawi ada menjelaskan, katanya:
Dan ketahuilah bahawasanya ‘Arafah itu bukan termasuk di dalam kawasan tanah haram. (Al-Idhah fi Manasik al-Hajj: 147)
Manakala Mina merupakan sebuah kampung yang terletak sejauh kira-kira 7 kilometer dari Makkah dan Muzdalifah pula suatu kawasan yang terletak di antara Mina dan ‘Arafah. Muzdalifah termasuk di dalam lingkungan tanah haram.
Antara hukum-hukum penting yang khusus dengan tanah haram Makkah dan tiada kaitan dengan tanah halal atau kawasan lain ialah:
1. Mengikut pendapat ulama Syafi’e bahawa sunat bagi seseorang yang memasuki kawasan ini (haram Makkah) dengan berniat ihram.
2. Binatang buruan di kawasan ini adalah haram diburu, sama ada oleh mereka yang berihram atau yang tidak berihram, kecuali binatang berkenaan merupakan binatang yang membahayakan dan biasanya akan menyerang manusia. Jika buruan dibunuh maka wajib dibayar gantinya.
3. Setiap tumbuhan yang masih hidup dan tumbuhan sendiri dan bukan ditanam oleh manusia dalam kawasan tanah haram ini adalah haram dipotong. Contohnya pokok shis, duri dan ‘ausaj. Hukum ini dikecualikan jika tindakan tersebut perlu, umpamanya memotong pokok izkhir. Menurut pendapat jumhur jika tumbuhan tersebut dipotong maka wajib dibayar gantinya.
4. Tanah serta anak batu dari kawasan tanah haram adalah makruh dibawa keluar dari tanah haram.
5. Mengikut pendapat jumhur ulama, orang kafir adalah tidak dibenarkan untuk memasuki tanah haram sama ada untuk menetap ataupun hanya untuk lalu sahaja.
6. Sesuatu yang tercicir dan tidak diketahui tuannya di Makkah atau tanah haram adalah haram diambil untuk dimiliki. Ia hanya halal untuk diambil oleh orang yang mahu memaklumkan tentang siapa yang kehilangan barang itu sahaja.
7. Mereka yang melakukan pembunuhan yang bukan atas tuntutan syara’ di tanah haram (bukan kerana hak), akan dikenakan hukuman diyat yang lebih berat.
8.Haram mengkebumikan orang musyrik dalam tanah haram dan juga menggali kuburnya.
9. Penyembelihan dam dan denda dalam ibadat haji serta penyembelihan binatang hadyu adalah ditentukan tempatnya di kawasan tanah haram.
10. Sekiranya seseorang itu merupakan penduduk tanah haram dan mengerjakan haji secara Qiran atau Tamattu’ maka dia tidak wajib membayar dam.
11. Mengikut pendapat dalam mazhab Syafi’e sembahyang sunat muthlaq iaitu sembahyang yang tidak bersebab tidak menjadi makruh jika dilakukan di tanah haram pada bila-bila masa sahaja.
12. Seorang yang bernazar untuk ke sana maka dia wajib menunaikannya sama ada dengan cara haji ataupun umrah.
13. Apabila seseorang itu bernazar untuk menyembelih binatang sahaja di Makkah maka dia wajib melakukan seperti nazarnya itu.
Sumber rujukan: Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam 2004
Tiada ulasan:
Catat Ulasan