Jumaat, Mei 27, 2011

13 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid Bah. 9

Pencemaran #9: Mengharapkan Pengaruh Makhluk Dalam Berdoa

Doa memiliki kedudukan yang amat penting di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda:

"Tidak ada sesuatu yang lebih mulia kepada Allah Ta‘ala melainkan doa"

Kerana itulah Allah murka kepada orang yang enggan berdoa kepadanya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan:

"Sesiapa yang tidak berdoa kepada Allah, maka Allah murka ke atasnya."

Perkara penting yang perlu diketahui adalah, doa juga merupakan salah satu bentuk ibadah kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegaskan:

Doa adalah ibadah. (Kemudian baginda membaca ayat): Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (yakni enggan berdoa) kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. [al-Ghafir 40:60][43]

Apabila berdoa, hendaklah permohonan tersebut ditujukan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ini diikuti dengan keyakinan bahawa hanya Allah sahaja yang akan mengabulkan doa tersebut. Ini sebagaimana ayat yang telah dirujuk oleh hadis di atas, yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [al-Mukmin 40:60]

Selain itu Allah Subhanahu wa Ta‘ala juga berfirman:

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” [al-Baqarah 2:186]

Oleh itu tidak boleh berdoa dengan meminta pertolongan daripada selain Allah atau mengharapkan doa tersebut dikabulkan dengan pengaruh seseorang selain Allah. Meminta pertolongan terbahagi kepada dua kategori:

1. Pertolongan dalam bentuk fizikal, seperti meminta tolong mengangkat barang yang berat atau membaiki komputer yang rosak. Bagi pertolongan dalam bentuk fizikal, dibolehkan memintanya sesama makhluk.

2. Pertolongan dalam bentuk spiritual, seperti meminta agar diampunkan dosa atau diberi keyakinan diri dalam menghadapi peperiksaan. Bagi pertolongan dalam bentuk spiritual, tidak dibolehkan memintanya sesama makhluk.

Dalam suasana tertentu, dibolehkan menggabungkan antara permintaan spiritual dan fizikal. Contohnya seorang pelajar yang akan menghadapi peperiksaan. Dia berdoa kepada Allah: “Ya Allah! Kurniakanlah kepada aku keyakinan diri untuk menghadapi peperiksaan ini.” Pada waktu yang sama dia meminta pertolongan guru untuk menjelaskan secara lebih terperinci mata pelajaran yang kurang difahaminya.

Tidak boleh meminta pertolongan dalam bentuk spiritual sesama makhluk, seumpama berdoa: “Wahai syaikh Ahmad, kurniakanlah kepada aku keyakinan dalam menghadapi peperiksaan ini.” Hal ini dilarang kerana ia mensejajarkan kedudukan syaikh Ahmad dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagai yang berhak untuk dipanjatkan doa dan diharapkan pemakbulannya.

Perkara ini adalah jelas dan saya yakin tidak ada orang yang mentauhidkan Allah berdoa kepada sesama makhluk. Namun bagaimana jika berdoa dengan perantaraan makhluk, seumpama: “Ya Allah, Aku meminta dengan kemuliaan syaikh Ahmad agar Engkau kurniakan kepada aku keyakinan menghadapi peperiksaan ini” ?

Berdoa dengan perantaraan, disebut sebagai tawasul, terbahagi kepada dua jenis, perantaraan yang dibolehkan dan perantaraan yang dilarang. Berikut perinciannya.

Berdoa Dengan Perantaraan Yang Dibolehkan.

Disebabkan doa adalah ibadah seorang hamba kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka ia terbatas kepada dalil yang kuat lagi jelas. Justeru apabila ingin berdoa dengan perantaraan, hendaklah menggunakan perantaraan yang dibolehkan melalui dalil yang kuat lagi jelas. Terdapat tiga bentuk perantaraan yang dibolehkan, iaitu:

Perantaraan Pertama: Dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah.

Dibolehkan berdoa dengan perantaraan nama-nama dan sifat-sifat Allah. Ini berdasarkan firman-Nya:

Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik, maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu. [al-A’raaf 7:180]

Katakanlah: “Serulah (berdoalah dengan) nama Allah atau Ar-Rahman, yang mana sahaja kamu serukan; kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia.” [al-Isra’ 17:110]

Satu contoh berdoa dengan perantaraan nama-nama dan sifat-sifat Allah ialah Doa Solat Istikharah yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

"Ya Allah! Sesungguhnya dengan Ilmu-Mu aku meminta agar Engkau memilih yang terbaik untukku dan dengan Kuasa-Mu aku meminta agar Engkau membantuku dan aku meminta daripada keutamaan Engkau yang amat Agung. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah yang Mengetahui tentang yang ghaib."

"Ya Allah! Jika Engkau Mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan urusan tersebut) adalah baik untuk aku demi agama, kehidupan dan akibat sekarang serta yang akan datang,maka takdirkanlah untukku. Akan tetapi jika Engkau Mengetahui bahawa urusan ini adalah buruk untuk aku demi agama, kehidupan dan akibat sekarang serta yang akan datang, maka jauhilah ia dari aku dan jauhilah aku darinya. Takdirkanlah untukku kebaikan di mana sahaja dan kemudian redhailah aku dengan kebaikan tersebut."

Perantaraan Kedua: Dengan Amal Shalih.

Dibolehkan berdoa dengan perantaraan amal shalih. Dalilnya adalah hadis tiga sekawan berikut. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Ketika tiga orang sekawan sedang berjalan, mereka ditimpa hujan lalu mengambil perlindungan dalam sebuah gua di sebuah gunung. Kemudian sebuah batu besar dari gunung tersebut jatuh di mulut gua dan mengurung mereka di dalamnya. Maka berkata sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain:

“Berfikirlah tentang amal shalih yang pernah kalian lakukan semata-mata kerana Allah, kemudian berdoalah kepada Allah dengan bertawasul melalui amal tersebut, semoga Allah memberi jalan keluar dengannya.”

Maka berkata salah seorang daripada mereka:

“Ya Allah! Sesunguhnya aku mempunyai ibubapa yang sudah sangat lanjut usia, seorang isteri dan anak-anak kecil yang masih aku pelihara. Saat aku pulang ke rumah pada waktu petang sambil membawa ternakanku kepada mereka, aku memerah susu. Aku biasanya memberi minum ibubapaku sebelum anak-anakku. Suatu hari, tempat aku mengembala amat jauh sehingga aku hanya sempat pulang ketika hari sudah amat lewat petang. Aku dapati ibubapaku sudah tidur. Aku memerah susu seperti biasa, membawa bekas berisi susu dan berdiri di samping ibubapaku. Aku tidak suka membangunkan kedua-duanya dan aku pula tidak suka memberi minum anak-anakku sebelum kedua-duanya, sekalipun anak-anakku menangis di kakiku kerana kelaparan. Keadaanku dan anak-anakku berterusan sehingga fajar menyinsing. Jika Engkau mengetahui bahawa aku melakukan hal itu -mata kerana mencari Wajah-Mu, maka berilah kami satu bukaan untuk melihat langit (dari dalam gua tersebut).” Maka Allah memberikan bukaan pada batu tersebut sehingga mereka dapat melihat langit.

Syarat berdoa dengan perantaraan amal shalih adalah hendaklah amal tersebut termasuk daripada sesuatu yang disyari‘atkan oleh Islam melalui al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ia bukan daripada amal yang bid‘ah. Syarat kedua adalah amal tersebut pada asalnya dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah. Hanya setelah itu, jika perlu, seseorang itu boleh berdoa dengan menjadikannya sebagai perantara. Ini dapat diperhatikan daripada hadis di atas: “Berfikirlah tentang amal shalih yang pernah kalian lakukan semata-mata kerana Allah.” Jika seseorang itu melakukan amalan dengan tujuan asal ingin berdoa dengan menjadikannya sebagai perantara sesudah itu, maka amal itu tidak diterima kerana ia tidak ikhlas. Dengan itu doanya juga menjadi sia-sia.

Perantaraan Ketiga: Doa Orang Yang Shalih.

Dibolehkan menggunakan perantaraan doa orang yang shalih, yakni dengan meminta seorang yang shalih mendoakan sesuatu untuknya. Tindakan meminta orang yang shalih berdoa adalah “pertolongan fizikal” manakala orang shalih yang mendoakan untuk yang meminta adalah “pertolongan spiritual”. Antara dalilnya ialah hadis berikut daripada Usair bin Jabir:

Biasanya ‘Umar al-Khaththab apabila datang pasukan (pejuang) bantuan daripada Yaman, dia akan bertanya kepada mereka sama ada di kalangan mereka ada seorang yang bernama Uwais bin ‘Amar. Sehingga ke satu ketika beliau bertemu dengan Uwais bin ‘Amar.

Lalu beliau bertanya: “Andakah Uwais bin ‘Amar?” Orang itu menjawab: “Ya.” ‘Umar bertanya lagi: “Daripada Murad, kemudian daripada Qarn?” “Ya” jawab orang tersebut. ‘Umar bertanya lagi: “Apakah anda memiliki belang (di badan) lalu kamu sembuh kecuali satu bahagian sebesar duit sedirham?” Orang itu menjawab: “Ya.” ‘Umar bertanya lagi: “Adakah anda memiliki ibu?” Orang itu menjawab: “Ya.”. Lantas ‘Umar berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Akan datang kepada kalian Uwais bin ‘Amar bersama pasukan bantuan daripada Yaman. (Dia) daripada Murad, kemudian daripada Qarn. Dia dahulunya memiliki penyakit belang lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu yang dia selalu berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya Allah akan mengabulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya memohon ampun untuk kamu, maka lakukanlah.” Berkata ‘Umar: “Mintakanlah ampun untuk aku.” Maka Uwais meminta ampun untuk ‘Umar.

“Orang shalih” yang dimaksudkan adalah orang yang faham agama dan melaksanakannya secara adil antara hubungan dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan hubungan sesama makhluk. Orang shalih yang faham agama adalah mereka yang beramal dengan apa yang disyari‘atkan oleh Allah dan Rasul-Nya serta membanteras apa-apa amal yang bid‘ah. Mereka juga beramal dengan menjaga hubungan sesama manusia, khasnya ibubapa. Tidak ketinggalan mereka juga menjaga hubungan dengan haiwan dan alam sekitar.[47] Orang yang shalih juga mampu menimbangkan antara dua atau lebih amalan, manakah yang lebih patut dia beri tumpuan (priority) untuk mencapai manfaat yang paling luas dan kemudaratan yang paling kecil (Fiqh al-Awlawiyat: ??? ?????????).

Selain itu apabila meminta seorang yang shalih mendoakan kita, tidak boleh beranggapan bahawa orang tersebut memiliki pengaruh yang mampu menjadikan permintaan kita lebih bernilai, lebih cepat sampai kepada Allah dan lebih tinggi kemungkinan untuk dimakbulkan oleh Allah. Tujuan kita meminta orang yang shalih mendoakan kita bukanlah kerana pengaruhnya tetapi adalah kerana:

1. Orang yang shalih lebih kerap “berhubung” dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, seperti selalu menunaikan solat berjamaah, istiqamah dengan solat sunat, disiplin bangun malam berqiamulail, sering berpuasa sunat, selalu berzikir dan tidak meremehkan amar ma’ruf wa nahi ‘an mungkar (mengajak kepada kebaikan dan menegah daripada kemungkaran). Hubungan-hubungan ini akan membolehkan dia mendoakan apa yang kita minta dengan kekerapan yang lebih tinggi.

2. Orang yang shalih akan mendoakan permintaan kita dengan syarat dan adab yang digariskan oleh Allah dan Rasul-Nya. Syarat dan adab ini akan saya nyatakan selepas ini.

3. Orang yang shalih lebih mengetahui doa-doa daripada al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih. Dengan itu dia akan mendoakan permintaan kita berdasarkan doa-doa tersebut.

4. Seandainya tidak ada doa daripada al-Qur’an dan hadis yang menepati permintaan kita, orang yang shalih mampu menyusun doa dengan perkataan yang lebih tepat dan bernilai.

5. Orang yang shalih lazimnya memiliki hikmah dan wawasan yang luas sehingga dia mampu menasihati kita seandainya permintaan kita adalah sesuatu yang tidak baik untuk dunia dan akhirat.

Demikian tiga jenis perantaraan yang boleh digunakan dalam berdoa.

Berdoa Dengan Perantaraan Yang Dilarang.

Perantaraan yang dilarang adalah berdoa dengan kemuliaan makhluk, sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal dunia. Satu contoh ialah: “Ya Allah, Aku meminta dengan kemuliaan syaikh Ahmad agar Engkau kurniakan kepada aku keyakinan menghadapi peperiksaan ini.”

Sebenarnya terdapat perbincangan berkenaan doa dengan menggunakan perantaraan kemuliaan makhluk. Terdapat sebahagian pihak yang membolehkannya. Mereka menggunakan riwayat yang terdiri daripada beberapa hadis dan atsar sahabat. Namun riwayat-riwayat tersebut tidak menepati syarat “dalil yang kuat lagi jelas”. Sebahagian daripadanya memiliki sanad yang sahih namun maksudnya tidak jelas. Sebahagian lagi memiliki maksud yang jelas tetapi sanadnya tidak sahih. Di sini bukanlah tempat yang sesuai untuk mengupas riwayat-riwayat tersebut.[48] Namun yang akan dikupas adalah apa yang membentuk dasar perbincangan, iaitu kenapakah perlu berdoa dengan perantaraan kemuliaan makhluk?

Mengaku atau tidak, pihak yang membolehkan doa dengan perantaraan kemuliaan makhluk melakukannya kerana mengharap pengaruh daripada makhluk tersebut. Memang, doa itu dipanjatkan terus kepada Allah. Namun melalui perantaraan kemuliaan makhluk, diyakini doa tersebut akan lebih bernilai, lebih cepat sampai kepada Allah dan lebih tinggi kemungkinan untuk dimakbulkan oleh Allah.

Berdoa dengan perantaraan ini mirip kepada sikap orang-orang musyrik yang menyembah dan meminta pertolongan kepada sesuatu selain Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Apabila ditanya, mereka memberi alasan ia hanyalah perantaraan dengan Allah. Konon yang disembah dan diminta pertolongan tetap Allah jua. Hakikat ini dinyatakan di dalam al-Qur’an:

Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata:

“Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah.” [Yunus 10:18]

Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadah dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allahuntuk menjadi pelindung dan penolong (berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya." [al-Zumar 39:03]

Tokoh-tokoh yang dijadikan sebagai perantaraan doa, mereka sebenarnya tidak dapat mendatangkan apa-apa manfaat atau menjauhkan apa-apa mudarat daripada diri sendiri. Setiap daripada mereka mencari jalan untuk beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan mengharapkan rahmat-Nya. Justeru apa perlu mencari pengaruh daripada mereka yang tidak memiliki pengaruh untuk diri sendiri? Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Katakanlah: “Serukanlah orang-orang yang kamu dakwa (boleh memberi pertolongan) selain dari Allah, maka sudah tentu mereka tidak berkuasa menghapuskan bahaya daripada kamu dan tidak dapat memindahkannya. Orang-orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan mendampingkan diri kepada Tuhannya (dengan berbuat ibadat), sekali pun orang yang lebih dekat kepada Tuhannya, serta mereka pula mengharapkan rahmat-Nya dan gerun takut akan azab-Nya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah (perkara yang semestinya) ditakuti. [al-Isra’ 17:56-57]

Oleh itu berdoa dengan perantaraan kemuliaan seorang tokoh adalah sesuatu yang sebenarnya mencemari kemurnian tauhid. Sekalipun terdapat banyak perbincangan tentang menggunakan perantaraan ini, kelihatannya perbincangan tersebut hanya ditujukan kepada darjat hadis dan maksudnya. Padahal ia sepatutnya ditujukan kepada apa yang membentuk dasar perbincangan, iaitu kenapa perlu menggunakan perantaraan tersebut. Jika diyakini bahawa “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” , nescaya perbincangan akan ditutup dengan kesimpulan tidak perlu berdoa dengan perantaraan kemuliaan makhluk.

Syarat-Syarat Berdoa.

Setiap ibadah memiliki syaratnya dan doa tidak terkecuali dari hal ini. Justeru ingin diambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa syarat dalam berdoa. Ia dapat disenaraikan seperti berikut:

Pertama:

Doa dipanjatkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala sahaja dan harapan agar ia dikabulkan diserah kepada Allah sahaja. Seandainya ingin berdoa melalui perantaraan (tawasul), maka hendaklah melakukannya melalui cara yang ditunjuki oleh dalil yang kuat lagi jelas. Ini sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.

Kedua:

Doa dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan selawat kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Fadhalah bin ‘Ubaid radhiallahu 'anh berkata:

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mendengar seorang lelaki yang berdoa dalam solatnya namun tidak berselawat ke atas Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Orang ini terburu-buru.” Lantas baginda memanggilnya dan berkata kepadanya atau kepada selainnya: “Apabila seseorang kalian bersolat, hendaklah dimulai dengan Tahmid dan puji-pujian kepada Allah kemudian diikuti dengan berselawat ke atas Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, kemudian sesudah itu meminta apa sahaja yang dikehendakinya.”

Pujian-pujian dan selawat yang dimaksudkan dalam hadis di atas adalah bacaan ketika duduk tasyahud di dalam solat. Maka berdoalah selepas selesai membaca tasyahud dan sebelum memberi salam. Akan tetapi petunjuk hadis ini perlu juga diamalkan apabila ingin berdoa di luar solat. Hendaklah doa dimulakan dengan puji-pujian kepada Allah: “Alhamdulillahi Rabbil ‘alamin” diikuti dengan selawat: “Allahumma shalli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad.” Demikian bentuk pujian dan selawat yang paling ringkas.

Ketiga:

Hendaklah sentiasa berdoa tanpa mengira sama ada dalam suasana susah atau senang, sedih atau bahagia. Malah hendaklah diperbanyakkan doa dalam suasana senang dan bahagia jika inginkan doa dalam suasana susah dan sedih dikabulkan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Sesiapa ingin Allah mengabulkan doanya ketika susah dan sedih, maka hendaklah diperbanyakkan doa pada saat lapang.

Keempat:

Orang yang berdoa hendaklah memelihara diri daripada terlibat dalam perkara-perkara yang dilarang agama. Alhamdulillah kita berjaya memelihara diri daripada maksiat dan larangan agama yang jelas seperti mencuri, makanan yang tidak disembelih dan memfitnah orang di khalayak ramai. Namun terdapat beberapa kesalahan yang terselindung di sebalik “kebiasaan orang ramai” sehingga kita tidak menyedarinya, seperti:

1. Bergosip di pejabat. Cerita-cerita kosong pasti lambat laun akan melibatkan nama orang lain sehingga akhirnya tersebar fitnah yang membuka aib orang yang sebenarnya tidak bersalah. Termasuk dalam kategori ini ialah saling berbalas e-mel atau pesanan ringkas (SMS) yang berisi unsur menggosipkan orang lain.

2. Keluar membeli belah dalam waktu pejabat padahal gaji tetap berjalan selama waktu tersebut. Gaji itu pula kemudian digunakan untuk membeli makanan, minuman dan pakaian diri sendiri dan ahli keluarga. Umumnya umat Islam hanya memberi perhatian agar makanan mereka adalah “halal sembelihannya” tanpa menyemak sama ada wang ringgit yang mereka guna untuk membeli makanan tersebut adalah “halal sumbernya”.

3. Menonton VCD dan DVD cetak rompak. Sudah menjadi kelaziman orang ramai menonton filem daripada VCD dan DVD cetak rompak. Malah seandainya dibeli yang tulen, pasti rakan-rakannya akan memandang sebagai satu keanehan.

4. Tidak menganjurkan kebaikan mahupun melarang kemungkaran kepada rakan-rakan kerja atau teman seasrama. Padahal itulah peluang terbaik untuk melakukannya.

Semua ini, sama ada yang jelas atau tersembunyi, adalah perkara-perkara larangan agama yang menjauhkan kemungkinan doa kita akan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah menerangkan tentang tindakan seorang yang menadah tangannya ke langit dan berdoa “Wahai Tuhan! Wahai Tuhan!” akan tetapi:

…makanannya (daripada sumber yang) haram, minumannya (daripada sumber yang) haram dan pakaiannya (daripada sumber yang) haram dan daging tubuhnya tumbuh dari yang haram. Justeru bagaimana mungkin dia mengharapkan doanya dimakbulkan?

Demi diriku yang berada di Tangan-Nya, hendaklah kalian menganjurkan kebaikan dan melarang kemungkaran, atau nyaris Allah akan mengirimkan azab-Nya ke atas kalian. Kemudian kalian berdoa akan tetapi ia tidak dimakbulkan kepada kalian.

Kelima:

Selain daripada memelihara diri daripada perkara yang dilarang agama, orang yang berdoa juga perlu memelihara diri daripada berdoa sesuatu yang dilarang oleh agama. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Pasti akan dimakbulkan doa seorang hamba selagi mana dia tidak meminta sesuatu yang berdosa atau (meminta untuk) memutuskan silaturahim.

Keenam:

Apabila kita ingin meminta sesuatu daripada orang yang lebih besar dan penting kedudukannya, seperti ketua syarikat atau dekan universiti, sudah tentu kita akan meminta dengan penuh rendah diri dan suara yang perlahan lagi lemah lembut. Permintaan ini dilakukan dengan perasaan gerun takut kerana sedang meminta daripada orang yang lebih besar kedudukannya. Ini diikuti dengan perasaan bimbang seandainya ia tidak diterima, namun pada waktu yang sama tetap optimistik, berharap agar ia diterima.

Nah! Jika demikian sikap kita apabila meminta sesuatu sesama makhluk, apatah lagi jika kita ingin meminta sesuatu daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Oleh kerana itu Allah telah menerangkan beberapa adab orang yang ingin berdoa kepada-Nya. Adab-adab ini sekali gus menjadi salah satu daripada syarat berdoa:

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. [al-A’raaf 7:55]

Dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya Rahmat Allah hampir kepada orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. [al-A’raaf 7:56]

Maka Kami perkenankan doanya (Nabi Zakaria), dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. (Kami limpahkan berbagai ihsan kepada Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami. [al-Anbiya’ 21:90]

Selain itu jangan berdoa dengan sikap berputus asa, sebaliknya hendaklah yakin bahawa ia akan dikabulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sambil itu hendaklah berdoa dengan kekhusyukan, bukan dengan kelalaian seperti memikirkan sesuatu yang lain ketika berdoa. Ini termasuk adab-adab berdoa yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

Pasti dikabulkan doa seseorang daripada kalian selagi mana dia tidak berputus asa lalu merungut: “Sungguh aku sering berdoa namun belum dikabulkan untukku.”

Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kalian meyakini ia akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengabulkan doa daripada hati yang lupa lagi lalai.

Demikian beberapa syarat dalam berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Seandainya doa selama ini tidak dimakbulkan, hendaklah disemak semula adakah doa tersebut dipanjatkan kepada Allah melalui syarat-syarat di atas.

Walaubagaimanapun adakalanya Allah Subhanahu wa Ta‘ala sengaja tidak memakbulkan sesuatu doa. Ini berlaku kerana Allah mengetahui bahawa apa yang diminta itu bakal membawa mudarat kepada yang meminta, atau dengan doa tersebut Allah menjauhkan satu keburukan lain yang mungkin tidak disedari oleh yang meminta. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menerangkan hakikat ini:

Tidaklah seseorang itu berdoa dengan satu doa melainkan Allah mengurniakan apa yang dimintanya atau (Allah) menahan daripadanya satu keburukan yang semisal.

Gandingan di antara ketiga-tiga hadis di atas menunjukkan bahawa:

Berdasarkan Hadis Pertama:

Hukum asal bagi jampi-jampian adalah tidak boleh. Ini kerana kebanyakan jampi-jampian mengandungi unsur syirik seperti meminta pertolongan atau pengagungan kepada benda-benda, jin dan sesama makhluk.

Berdasarkan Hadis Kedua:

Pengecualian diberikan kepada jampi-jampian yang secara pasti tidak mengandungi unsur syirik. Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah berkata:

Dan sesungguhnya telah sepakat para ulama’ atas kebolehan jampi-jampian, kesepakatan ini adalah berdasarkan 3 syarat: (1) Bahawasanya ia adalah dengan Kalam Allah Ta‘ala atau Nama-nama-Nya dan sifat-sifat-Nya, (2) Dan (ia adalah) dengan bahasa Arab atau dengan apa yang dikenali maknanya, jika ia dari selain (bahasa Arab), (3) Dan bahawasanya dia berkeyakinan bahawa jampi-jampian tersebut, bukanlah ia yang berpengaruh, tetapi yang berpengaruh adalah Allah Ta‘ala.

Daripada tiga syarat yang dikemukakan, boleh dikatakan yang terpenting adalah syarat kedua, iaitu hendaklah jampi-jampian tersebut benar-benar difahami kandungannya supaya terjamin secara pasti bahawa ia bersih dari sebarang unsur syirik. Ibn Taimiyah rahimahullah (728H) menulis:

Sesungguhnya orang-orang musyrik adalah mereka yang membaca mentera-mentera, dan al-Thalasim[38] dan jampi-jampian dengan apa yang di dalamnya terdapat penyembahan dan pengagungan kepada makhluk jin. Dan umumnya apa yang berada di tangan manusia dari mentera-mentera, al-Thalasim dan jampi-jampian, adalah yang tidak difahami dalam bahasa Arab, di dalamnya terdapat apa yang berunsur syirik dengan makhluk jin.

Oleh kerana inilah para ulama’ Islam melarang jampi-jampian yang tidak difahami maknanya, kerana diduga kuat ia (mengandungi) unsur syirik, sekalipun jika yang menjampinya tidak mengetahui bahawa ia adalah kemusyrikan.[39]

Justeru hendaklah kita waspada dan hati-hati akan kalimah-kalimah yang digunakan sebagai jampi. Kebanyakan penjampi membaca jampi-jampian mereka secara pantas dan sembunyi-sembunyi. Mereka enggan memperdengarkan apa yang mereka bacakan. Jampi-jampi tersebut kedengaran seolah-olah dalam bahasa Arab atau seolah-olah seperti ayat al-Qur’an.

Ada juga sesetengah penjampi memulai jampi mereka dengan ayat Qur‘an yang kita kenali, seperti bacaan Basmalah atau surah al-Fatiha, tetapi kemudian ia diikuti dengan bacaan yang tidak dikenali lagi. Ini semua tidak cukup untuk dijadikan kepastian bahawa keseluruhan jampi-jampian tersebut adalah bersih dari unsur syirik. Malah kemungkinan besar memulakan jampi-jampian dengan ayat al-Qur’an hanyalah untuk memberi keyakinan palsu kepada orang bahawa dia sebenarnya berjampi dengan sesuatu yang bersih dari unsur syirik. Padahal hakikat yang sebenar adalah di sebaliknya.

Maka langkah sepatutnya adalah meminta daripada penjampi tersebut agar dia memperdengarkan kalimah-kalimah jampinya satu persatu. Jika dia enggan atau kita masih ragu-ragu, tinggalkanlah penjampi tersebut sekalipun hati kita berbisik: “Ahh, tak apa agaknya, pasti OK”. Ini kerana ia melibatkan antara urusan tauhid dan syirik, syurga dan neraka. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

"Tinggalkan apa yang meragukan kepada apa yang tidak meragukan (yakni menyakinkan)."

Berdasarkan Hadis Ketiga:

Sikap yang terbaik ialah tidak meminta mahupun mengamalkan apa-apa jampi-jampian kecuali daripada apa yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ini kerana sekalipun telah diusahakan agar jampi-jampian tersebut bebas daripada unsur syirik, kepastian 100% tetap tidak dapat dijamin. Berbeza dengan jampi-jampian yang diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, ia secara pasti 100% bebas daripada unsur syirik. Malah jampi-jampian daripada Rasulullah adalah jauh lebih baik kerana ia bersifat menyeluruh, padat dan tepat. Lebih dari itu ia dapat diamalkan oleh setiap individu tanpa perlu bertandang ke mana-mana tukang jampi. Jampi-jampian ini banyak disenaraikan dalam buku-buku yang memuatkan doa-doa serta zikir-zikir Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Hanya sahaja pastikan hadis-hadis dalam buku tersebut dinyatakan sumbernya dan dinilai darjatnya.

Tiada ulasan: