Pencemaran #6: Mempercayai Sesuatu Sebagai Dapat Membawa Nasib Yang Baik Atau Buruk
Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, wujud kepercayaan bahawa sesuatu benda atau peristiwa dapat mengakibatkan nasib yang baik atau buruk. Salah satu daripadanya ialah apa yang digelar sebagai al-Tathayyur (??????). Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan perkara ini:
Asal permulaan al-Tathayyur adalah orang-orang pada masa jahiliyyah menggunakan burung sebagai sumber pedoman. Apabila salah seorang daripada mereka keluar (dari rumah) untuk sesuatu urusan dan melihat burung terbang ke arah kanan, maka dia merasa optimistik dan meneruskan urusannya. Akan tetapi jika dia melihat burung terbang ke arah kiri, dia merasa pesimistik dan berpatah balik.
Kepercayaan seperti ini ditolak oleh Islam. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Tidak boleh menjangkitkan penyakit, tidak boleh mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung, tidak boleh mempercayai Hama dan tidak boleh (mempercayai kecelakaan) pada bulan Safar, dan larilah kamu dari penyakit Kusta sebagaimana kamu lari dari seekor singa."
Tidak sekadar itu, tetap mempercayai nasib baik atau buruk pada arah penerbangan burung adalah satu bentuk kesyirikan. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menegaskan:
"Mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik, mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik. (Baginda mengulanginya tiga kali)."
Kepercayaan nasib baik atau buruk yang diakibatkan oleh sesuatu benda atau peristiwa masih wujud sehingga sekarang ini, hanya dengan cara yang berbeza. Contohnya dalam masyarakat Melayu, apabila sudah dimulakan satu perjalanan, tidak boleh berpatah balik ke tempat bermula dan kemudian menyambung semula perjalanan. Berpatah balik bererti menjemput nasib yang buruk dalam perjalanan yang bakal disambung.
Terdapat juga kepercayaan bahawa jika salah seorang ahli keluarga di dalam rumah terlepas dari tangannya air yang sedang diminum sehingga pecah gelas tersebut, bererti satu nasib yang buruk telah berlaku kepada salah seorang ahli keluarga yang berada di luar rumah.
Demikian dua contoh nasib yang buruk yang dipercayai oleh masyarakat Melayu. Kepercayaan seperti ini juga berlaku di kalangan masyarakat bangsa lain dalam cara yang berbeza-beza.
Selain mempercayai nasib yang buruk (Bad luck) pada sesuatu benda atau peristiwa, ada juga yang mempercayai nasib yang baik (Good luck) pada sesuatu benda atau peristiwa. Ada di antara orang muslim yang memiliki pen, jam tangan, cincin, hari atau nombor yang dianggap akan dapat membawa “Good luck” kepada dirinya.
Sebagai contoh, seorang muslim mungkin mempercayai jamnya sebagai sesuatu yang dapat menjamin nasib yang baik bagi dirinya. Dia menggelarnya “This is my good luck watch”. Jika dia memakai jam tersebut, dia merasa tenang dan optimistik kerana yakin nasib yang baik akan sentiasa menyebelahinya pada hari tersebut. Sebaliknya jika dia tidak memakainya, sama ada kerana lupa atau hilang, dia merasa gelisah dan pesimistik kerana yakin nasib yang tidak baik akan menimpa dirinya.
Kepercayaan-kepercayaan seperti ini wujud dalam bentuk dan cara yang berbeza, tetapi asasnya tetap sama iaitu mempercayai nasib yang baik atau buruk terletak pada sesuatu benda atau peristiwa. Semua ini boleh mencemari kemurnian tauhid seorang muslim.
Ini kerana nasib yang baik atau buruk dan semua yang sudah, sedang dan akan berlaku telah ditulis oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sejak awal. Allah berfirman:
Dan Dia (Allah) mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata. [al-An’aam 6:59]
Nasib yang baik akan diperoleh oleh seorang muslim jika dia berusaha untuk mendapatkannya. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman:
Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. [al-Rad 13:11]
Pada waktu yang sama nasib yang buruk akan diperoleh oleh seorang muslim jika dia enggan berusaha atau sengaja membiarkan dirinya ke arah keburukan:
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan; dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu. [al-Syura 42:30]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan