Pencemaran #13 Menetapkan Keberkatan Tanpa Dalil
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Maha Berkat (Allah) Tuhan yang di Tangan-Nya terdapat pemerintahan; dan memanglah Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [al-Mulk 67:01]
Dalam ayat di atas yang lazim dibaca oleh kita semua, Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menyifatkan dirinya sebagai Tabaraka yang bererti “Maha Berkat” atau “Yang memberi keberkatan”. Sifat ini diulangi oleh Allah Tabaraka wa Ta‘ala dalam beberapa ayat lain seperti Ibrahim 14:54, al-Mukminun 23:12-14, al-Furqan 25:01, 10 dan 61, al-Zukhruf 43:85 dan al-Rahman 55:78.
Keberkatan berasal dari perkataan Arab al-Barakah yang bererti kebaikan, keutamaan dan nikmat yang berkekalan lagi melimpah-limpah. Semua pengertian di atas yang sinonim dengan maksud al-Barakah yang merupakan milik Allah jua. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Di Tangan Engkaulah (Allah) segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [‘Ali Imran 3:26]
Katakanlah: “Sesungguhnya keutamaan itu adalah di Tangan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi pengetahuan-Nya.” [‘Ali Imran 3:73]
Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmat-Nya yang zahir dan yang batin? [Luqman 31:20]
Tinjuan terhadap ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa:
* al-Barakah, iaitu kebaikan, keutamaan dan nikmat yang berkekalan lagi melimpah-limpah adalah milik Allah Subhanahu wa Ta'ala sahaja.
* Hanya Allah yang memiliki sifat Tabaraka, iaitu yang Maha Berkat lagi memberikan keberkatan kepada seseorang atau sesuatu benda, waktu, tempat dan amalan yang dikehendaki-Nya.
* Manusia tidak boleh menetapkan keberkatan terhadap seseorang atau sesuatu benda, waktu, tempat dan amalan melainkan dengan dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Jika manusia menetapkan keberkatan tanpa dalil, dia mencemari kemurnian tauhidnya kerana meletakkan dirinya sejajar dengan Allah sebagai Tabaraka.
Oleh itu di antara ciri aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah adalah tidak boleh mengambil berkat daripada individu, benda, waktu, tempat dan amalan melainkan berdasarkan dalil yang sahih lagi jelas. Ini kerana keberkatan itu adalah milik Allah dan Allah mengkhususkannya kepada siapa dan apa yang dikehendaki-Nya. Tiada jalan untuk manusia mengetahui kepada siapa dan apa Allah mengkhususkan keberkatan tersebut melainkan melalui petunjuk dalil yang sahih lagi jelas.
Beberapa Contoh Keberkatan Yang Berdasarkan Dalil
Pada kesempatan ini, saya akan huraikan secara ringkas beberapa contoh keberkatan yang berdasarkan dalil. Ia dibahagikan mengikut katagori seperti individu, benda, waktu, tempat dan amalan.
Keberkatan Individu
Contoh keberkatan individu yang terbaik adalah pada diri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Terdapat banyak dalil al-Qur’an yang menerangkan kelebihan, keutamaan dan kebaikan baginda. Salah satu daripadanya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad); Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [al-Ahzab 33:56]
Ada pun selain Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka keberkatan terdapat pada orang-orang besar seperti ibubapa, orang-orang yang lebih tua dan para ulama’. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Keberkatan bersama orang-orang besar kalian."
Para ulama’ yang diberkati tidak diukur pada saiz serban, gelaran, jumlah pengikut mahu pun ijazahnya, tetapi diukur pada peranannya dalam mewarisi sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan menyampaikannya. Ini kerana ulama’ yang diiktiraf oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam hanyalah mereka yang mewarisi sunnah baginda, tidak selainnya. Baginda bersabda:
"Sesungguhnya para ulama’ adalah waris para Nabi. Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar atau dirham, akan tetapi (mereka) mewariskan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya (ilmu para Nabi), dia telah mengambil bahagian yang melimpah (manfaatnya)."
Keberkatan Benda
Di antara benda yang diberkati ialah kitab al-Qur’an al-Karim, dimana ia adalah Kalam Allah. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan ini ialah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang mengandungi berkat … [al-An’aam 6:92]
Termasuk benda yang diberkati ialah air Zamzam. Terdapat banyak hadis yang menerangkan keberkatannya, salah satu daripadanya:
"Sebaik-baik air di mukabumi adalah air Zamzam."
Keberkatan Waktu
Dalam kategori ini terdapat banyak petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih berkenaan waktu yang diberkati. Di antaranya:
* Keberkatan saat tertentu dalam sehari, seperti waktu satu per tiga terakhir malam untuk berqiamullail dan sebelum naik fajar untuk bersahur (bagi yang berpuasa).
* Keberkatan hari tertentu dalam seminggu seperti hari Jumaat, Isnin dan Khamis.
* Keberkatan hari tertentu dalam sebulan, seperti al-Ayyam al-Bidh, iaitu pada 13, 14, 15 hb bagi setiap bulan.
* Keberkatan hari tertentu dalam setahun seperti Hari Raya Aidil Fitri, sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah yang termasuk dalamnya hari Arafah dan Hari Raya Korban, tiga hari-hari Tasyriq, hari Asyura (10hb Muharram), malam Nisfu Sya’ban dan malam Lailatul Qadr.
* Keberkatan bulan tertentu dalam setahun seperti bulan Ramadhan dan bulan-bulan Haram (Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab).
Kesemuanya memiliki dalil-dalil dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
Keberkatan Tempat
Tempat-tempat yang diberkati ialah Mekah, Madinah dan bumi Syam. Berkenaan Mekah, Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. [‘Ali Imran 3:96]
Berkenaan Madinah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Sesungguhnya Madinah adalah seumpama alat peniup api seorang tukang besi, ia mengeluarkan yang tidak baik dan membiarkan yang baik."
Berkenaan bumi Syam yang sekarang ini terdiri dari negara Palestin, Lubnan, Syria dan Jordan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
“Beruntunglah bumi Syam.” Kami (para sahabat) bertanya:
“Kenapa sedemikian wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kerana para malaikat al-Rahman membentangkan sayap-sayapnya kepada Syam.”
Termasuk tempat-tempat yang diberkati adalah Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid Nabi di Madinah. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Solat di masjidku (Madinah) lebih utama dari seribu solat di masjid lain kecuali Masjid al-Haram (Mekah). Solat di Masjid al-Haram lebih utama dari seratus ribu
solat di masjid lain."
Termasuk dalam Masjid Nabi sekarang ini adalah ruang antara kamar A’isyah radhiallahu 'anha dan mimbar Rasulullah:
"Apa yang terdapat di antara rumahku dan dan mimbarku adalah satu taman dari taman-taman syurga."
Masjid al-Aqsa di Palestin dan Masjid Quba di Madinah adalah dua tempat yang turut diberkati. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya. [al-Isra’ 17:01]
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Sesiapa keluar hingga datang ke masjid ini, yakni Masjid Quba’ lalu bersolat di dalamnya maka itu setara dengan pahala umrah."
Keberkatan Amalan
Keberkatan kategori ini terbahagi kepada dua:
* Amal Ibadah seperti menyempurnakan wudhu’, solat berjamaah, solat pada awal waktu, berzikir, berpuasa sunat dan banyak lagi.
* Amal Kehidupan seperti akhlak yang baik, berbakti kepada orang tua, peniaga yang jujur dan banyak lagi.
Demikian secara ringkas beberapa keberkatan yang berdasarkan dalil mengikut kategori individu, benda, waktu, tempat dan amalan. Sebelum diteruskan, ingin digariskan beberapa perkara:
Pertama: Dalil-dalil yang digunakan untuk menetapkan keberkatan tidak semestinya menggunakan istilah al-Barakah. Asalkan dalil tersebut menyebut sesuatu kebaikan, kelebihan dan keutamaan, maka ia masuk dalam kategori keberkatan.
Kedua: Hadis-hadis yang digunakan sebagai dalil keberkatan hendaklah terdiri dari darjat sahih atau hasan. Tidak boleh menggunakan hadis-hadis yang lemah atau yang tidak diketahui darjatnya. Ini kerana apabila kita hendak menetapkan keberkatan, kita sebenarnya bermaksud mengatakan bahawa Allah telah menetapkan keberkatan-Nya pada seseorang atau sesuatu. Sudah tentu kita tidak menyandarkan sesuatu kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan menggunakan hadis yang lemah atau yang tidak diketahui darjatnya.
Ketiga: Keberkatan bukan sahaja ditetapkan oleh dalil, tetapi juga diraih dengan cara yang ditetapkan oleh dalil. Keberkatan pada seseorang atau sesuatu benda, waktu, tempat dan amalan tidak boleh diraih dengan sesuka hati. Sebagai contoh, keberkatan pada hari Jumaat bukanlah dengan membaca surah Yasin pada malamnya kerana hadis: “Sesiapa membaca surah Yasin pada malam Jumaat diampunkan dosanya” adalah sangat lemah darjatnya.
Sebaliknya keberkatan pada hari Jumaat diraih dengan membaca surah al-Kahf, sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
"Sesungguhnya sesiapa yang membaca surah al-Kahf pada hari Jumaat maka diberikan kepadanya cahaya di antara dua Jumaat."
Salah seorang sahabat Rasulullah, Abu Sa‘id al-Khudri radhiallahu 'anh berpendapat dianjurkan juga membaca surah al-Kahf pada malam Jumaat.
Beberapa Contoh Menetapkan Keberkatan Tanpa Dalil
Amalan mengambil berkat (al-Tabarruk) adalah sesuatu yang masyhur di kalangan masyarakat. Ramai yang menetapkan keberkatan kepada seseorang dan sesuatu tanpa memiliki dalil di sebaliknya. Berikut dikemukakan beberapa contoh, agar kita dapat mengambil iktibar darinya dan menghindarkan diri darinya seandai terlibat sama.
Contoh Dalam Kategori Individu
Terlalu mudah dalam menetapkan keberkatan kepada semua ulama’ adalah contoh terbaik dalam kategori ini. Menjadi ulama’ tidak secara automatik menjadi pewaris Nabi yang diberkati. Para ulama’ itu sendiri terbahagi kepada dua kategori:
* Mereka yang jelas diketahui bersungguh-sungguh untuk berpegang kepada sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Mereka mudah dikenali melalui hadis-hadis sahih yang sentiasa memenuhi majlis ilmu atau penulisan mereka. Akan tetapi dalam beberapa kes terpencil, mereka tersilap sama ada kerana jahil, lupa atau keliru. Ulama’ dalam kategori ini adalah apa yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis baginda sebagai “Sesungguhnya para ulama’ adalah waris para Nabi.” Terhadap para ulama’ seperti ini, dibolehkan mengambil berkat daripada mereka. Pada waktu yang sama hendaklah ditegur dan diperbetulkan kesilapan mereka dengan cara yang hikmah dan tersembunyi.
* Mereka yang jelas diketahui bersungguh-sungguh untuk menyelisihi sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Mereka mudah dikenali melalui petua-petua, zikir-zikir dan amalan-amalan tersendiri yang memenuhi majlis ilmu dan penulisan mereka. Mereka lazim mengenepikan sunnah yang sahih, berdalil dengan ayat-ayat al-Qur’an yang umum, berhujah dengan sunnah yang tidak diketahui asal-usulnya dan mencipta sunnah tersendiri. Ulama’ dalam kategori ini bukan pewaris para Nabi. Tidak boleh mengambil berkat dari mereka, bahkan hendaklah diberi amaran kepada orang ramai akan bahaya ajaran mereka.
Contoh Dalam Kategori Benda
Biji tasbih, tikar sejadah dan alas tempat sujud, khasnya yang sebelum itu digunakan oleh orang yang dianggap shalih, adalah contoh benda yang dianggap berkat tanpa dalil dalam kategori ini.
Contoh Dalam Kategori Waktu
Setiap tahun pada 29 Zulhijjah, selepas solat Asar diadakan majlis membaca doa akhir tahun. Kemudian sesudah Maghrib diadakan majlis membaca doa awal tahun sempena Maal Hijrah pada keesokan harinya (1 Muharram). Di sebahagian tempat waktu antara Asar dan Maghrib diisi dengan bacaan surah Yasin dan zikir-zikir tertentu. Semua ini atas anggapan waktu tersebut memiliki suatu kebaikan, kelebihan dan keutamaan hingga patut diraih manfaat darinya.
Contoh lain menetapkan keberkatan pada waktu tanpa dalil ialah membuat majlis zikir dan bacaan al-Qur’an sempena ulang tahun kelahiran atau kematian seseorang.
Contoh Dalam Kategori Tempat
Di antaranya, menetapkan keberkatan pada kubur seseorang, khasnya orang-orang yang dianggap shalih dan memiliki kekeramatan. Dengan penetapan ini, kubur orang tersebut dijadikan tempat ibadah seperti solat, iktikaf, membaca al-Qur’an, zikir dan doa.
Menjadikan kubur sebagai tempat ibadah, sama ada atas faktor keberkatan atau selainnya, telah dilarang keras oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
"Sesungguhnya orang-orang sebelum kalian telah menjadikan kubur para nabi mereka dan orang-orang shalih mereka sebagai masjid. Ingatlah! Jangan menjadikan kubur sebagai masjid. Sesunguhnya aku melarangkan kalian dari melakukan sedemikian."
"Ketahuilah bahawa seburuk-buruk manusia adalah mereka yang menjadikan kubur sebagai masjid."
Pada satu ketika beberapa isteri Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bercerita tentang pengalaman mereka melihat sebuah gereja di Habsyah yang memiliki lukisan gambar di dalamnya. Mendengar yang sedemikian, Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang yang apabila di kalangan mereka berlaku kematian seorang lelaki yang shalih, mereka akan membina masjid di atas kuburnya dan menghiasinya dengan gambar-gambar sedemikian. Orang-orang itu adalah seburuk-buruk makhluk di sisi Allah pada Hari Kiamat."
Larangan menjadikan kubur sebagai masjid memiliki dua maksud:
* Membina masjid di atas kubur, tanpa mengira sama ada masjid tersebut dihadiri oleh orang beribadah di dalamnya atau tidak.
* Melakukan ibadah yang lazim dilakukan dalam masjid di atas kubur, tanpa mengira sama ada dibina masjid di atas kubur atau tidak. Ibadah yang dimaksudkan ialah solat, iktikaf, membaca al-Qur’an, zikir, selawat dan doa, kecuali beberapa doa yang sabit diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam ketika menziarah kubur.
Kedua-dua perbuatan di atas telah dilarang tegas oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda menyifatkan mereka yang melakukannya sebagai seburuk-buruk manusia. Oleh itu kubur bukanlah tempat beribadah dan bukan juga tempat yang memiliki keberkatan. Sunnah Rasulullah dalam menganjurkan ziarah kubur adalah supaya penziarahnya mendapat manfaat dari sudut melembutkan hati dan mengingati kematian.
Demikian beberapa contoh amalan mengambil keberkatan terhadap seseorang atau sesuatu tanpa memiliki dalil yang menetapkan keberkatan tersebut. Dari satu sudut, subjek keberkatan ini kelihatan kecil remeh. Akan tetapi dari pelbagi sudut yang lain, ia adalah subjek yang besar kerana keberkatan itu adalah milik Allah dan hanya Allah yang berhak menetapkannya kepada sesiapa atau sesuatu yang dikehendaki-Nya:
Dan Maha Berkat (Allah) yang menguasai langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; dan Dia-lah jua yang mengetahui tentang Hari Kiamat; dan kepada-Nya kamu semua akan dikembalikan. [al-Zukhruf 43:85]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan