Pencemaran #12: Menjadikan Jamaah Sendiri Sebagai Agama
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka. [al-Rum 30:31-32]
Ayat di atas melarang umat Islam daripada keyakinan atau tindakan yang memecah-belahkan agama dan umat sehingga menjadi beberapa golongan. Sebelum melanjutkan penjelasan tentang pecah-belah bagaimana yang dimaksudkan, ingin saya jelaskan terlebih dahulu dua persoalan yang penting berkenaan ayat di atas, iaitu:
Pertama:
Adakah perbicaraan ayat di atas ditujukan kepada orang Islam atau orang musyrikin? Soalan ini dapat dirujuk jawapannya pada permulaan ayat 31, iaitu:
Hendaklah kamu (wahai Muhammad dan umatmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah serta bertaqwalah kamu kepada-Nya; dan dirikanlah solat; Dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah. [al-Rum 30:31]
Dengan merujuk kepada keseluruhan ayat 31 surah al-Rum, dapat difahami bahawa perbicaraan ayat ditujukan kepada umat Islam, iaitu umat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam yang rujuk kembali kepada Allah, bertaqwa kepada-Nya dan mendirikan solat kepada-Nya. Maka perkataan “kamu” pada lanjutan ayat “…dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang menyekutukan Allah” merujuk kepada umat Islam dan bukannya orang musyrikin.
Kedua:
Jika di kalangan umat Islam ada yang berkeyakinan atau bertindak memecah-belahkan agama Islam dan menjadikan umatnya beberapa golongan, adakah mereka menjadi seumpama orang musyrikin atau benar-benar menjadi orang musyrikin? Sebagai jawapan bagi persoalan ini, bandingkan ayat 31-32 surah al-Rum di atas dengan ayat:
Dan janganlah kamu menjadi seumpama orang-orang yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. [Ali Imran 3:105]
Kedua-dua ayat (Ali Imran 105 & al-Rum 31-32) merujuk kepada keyakinan atau tindakan yang memecah-belahkan agama. Hanya ayat 105 surah Ali Imran bersifat mengumpamakan manakala ayat 31-32 surah al-Rum bersifat menjadikan. Dalam susunan yang lain, ayat 105 surah Ali Imran melarang umat Islam daripada menjadi seumpama orang-orang musyrikin yang memecah-belahkan agama mereka. Ini diikuti dengan ayat 31-32 surah al-Rum, dimana jika umat Islam tetap memecah-belahkan agama Islam dan membentuk golongan-golongan tertentu, maka menjadilah mereka orang-orang musyrikin.
Secara lebih mendalam, kesemua ayat di atas melarang kita umat Islam daripada berkeyakinan atau bertindak untuk memecah-belahkan agama Islam dan membentuk golongan-golongan tertentu. Ia merupakan satu kesalahan yang besar, sehingga ke tahap Allah membebaskan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam daripada sebarang tanggungjawab atau urusan dalam pemecahan tersebut. Seolah-olah, mereka yang berpecah kepada beberapa golongan tidak lagi menjadi umat Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Firman Allah:
Bahawasanya orang-orang yang mencerai-beraikan agama mereka dan mereka menjadi bergolongan-golongan, tiadalah engkau (Wahai Muhammad) terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah.
Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka (pada Hari Kiamat kelak) apa yang telah mereka lakukan (dan membalasnya). [al-An’aam 6:159]
Pada masa kini wujud pelbagai “golongan-golongan” yang bercerai-berai di kalangan umat Islam. Hanya pada masa kini ia dikenali sebagai “jamaah-jamaah”. Persoalannya, adakah jamaah-jamaah tersebut termasuk dalam perbincangan ayat 31-32 surah al-Rum di atas?
Untuk menjawab persoalan ini, terlebih dahulu saya ingin menerangkan hukum berbilang jamaah mengikut syari‘at Islam.
Hukum Berbilang Jamaah Dalam Islam
Secara umumnya terdapat dua pendapat tentang hukum berbilang jamaah dalam Islam:
Pendapat Pertama: Tidak boleh ada berbilang jamaah dalam Islam. Antara dalilnya ialah ayat 105 surah Ali Imran, ayat 31-32 surah al-Rum dan ayat 159 surah al-An’aam yang telah dipaparkan di atas.
Pendapat Kedua: Dibolehkan berbilang jamaah dalam Islam. Dalilnya ialah tindakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menghantar para sahabat dalam jamaah-jamaah yang berasingan, setiap satu dengan misi tertentu seperti dakwah, risikan, peperangan dan sebagainya.
Pendapat yang kuat (rajih) ialah di pertengahan antara dua pendapat di atas, iaitu:
Tidak dibolehkan memiliki berbilang jamaah jika tujuan setiap jamaah ialah memiliki dasar-dasar agama yang tersendiri. Dasar-dasar ini menyelisihi dasar-dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Jamaah-jamaah sebeginilah yang dilarang oleh ayat 105 surah Ali Imran, ayat 31-32 surah al-Rum dan ayat 159 surah al-An’aam.
Dibolehkan memiliki berbilang jamaah jika tujuan setiap jamaah ialah melaksanakan aktiviti kebajikan dalam bidang kepakaran masing-masing seperti dakwah kepada bukan Islam, memelihara anak yatim, menjaga ibu tunggal, misi penyelamat dan sebagainya. Di sebalik kepelbagaian aktiviti, setiap jamaah tetap berdiri di atas dasar-dasar Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah.
Ringkas kata, dibolehkan berbilang jamaah jika “jamaah” itu dijadikan satu sarana yang bermatlamat demi kebaikan agama dan manusia. Di sebalik kebolehan ini, terdapat beberapa adab yang perlu diperhatikan agar para ahli jamaah tidak mencemari kemurnian tauhid mereka sehingga termasuk dalam perbincangan ayat 31-32 surah al-Rum di atas.
Adab-Adab Berjamaah
Pertama: Tidak Memecah-Belahkan Agama.
Seperti yang dinyatakan di atas, tidak boleh memiliki dasar-dasar agama tersendiri sehingga akhirnya memecah-belahkan agama.
Tidak boleh ada satu jamaah yang hanya memiliki dasar “menegakkan negara Islam”, jamaah kedua yang hanya memiliki dasar “mendirikan khalifah”, jamaah ketiga yang hanya memiliki dasar “keluar empat puluh hari”, jamaah keempat hanya memiliki dasar “tidak mentakwil sifat-sifat Allah”, jamaah kelima hanya memiliki dasar “zikir berlagu” dan pelbagai lagi.
Semua ini mencemari kemurnian tauhid kerana telah meninggalkan agama Allah yang sempurna secara keseluruhan kepada cebisan-cebisan tertentu, seolah-olah agama ini milik jamaahnya sendiri.
Kedua: Tidak Menganggap Jamaah Sendiri Paling Baik.
Berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka”, maka setiap jamaah tidak boleh berbangga-bangga dengan menganggap diri mereka sebagai yang terbaik. Ini dilarang kerana sikap sedemikian akan melahirkan persaingan yang negatif antara jamaah seperti saling berburuk sangka, saling memfitnah dan saling bermusuhan. Seterusnya sikap ini akan melahirkan jamaah-jamaah yang berpuak-puak dan bersuku-suku.
Sikap yang benar ialah merasa rendah diri lagi serba kekurangan. Sikap ini seterusnya akan melahirkan budaya positif saling memahami, saling bertukar pendapat dan saling bekerja sama antara jamaah.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya. [al-Maidah 5:02]
Ketiga: Hanya Berpegang Kepada Tali Allah
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai. [Ali Imran 3:103]
Allah memerintahkan kita untuk hanya berpegang kepada tali-Nya, iaitu menjadikan Allah sebagai satu-satunya sumber ketaatan, arah tujuan, tempat pergantungan, fokus kecintaan, curahan kesetiaan, dasar pembelaan dan sebab kemarahan.
Apabila seseorang itu memiliki sumber ketaatan, arah tujuan, tempat pergantungan, fokus kecintaan, curahan kesetiaan, dasar pembelaan dan sebab kemarahan yang lain daripada Allah, bererti dia berpegang teguh kepada selain tali Allah. Maka berlakulah pencemaran kemurnian tauhid kerana seorang muslim tidak boleh berpegang kepada selain tali Allah.
Maka dalam rangka berjamaah, tidak boleh berpegang kepada tali jamaah sebagai ganti kepada tali Allah. Tidak boleh menjadikan jamaah sebagai sumber ketaatan, arah tujuan, tempat pergantungan, fokus kecintaan, curahan kesetiaan, dasar pembelaan dan sebab kemarahan. Justeru dalam rangka berjamaah, hendaklah diperhatikan perkara-perkara berikut:
Pemimpin jamaah (amir) tidak boleh mengeluarkan syarat yang bertentangan dengan perintah larangan Allah. Seorang amir tidak boleh melarang ahlinya daripada mengikuti majlis-majlis ilmu yang di dalamnya disampaikan ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasulullah atau melarang ahlinya daripada menyertai aktiviti lain yang tidak termasuk dalam senarai aktiviti jamaahnya.
Ahli jamaah tidak boleh mentaati syarat pemimpin jamaah yang bertentangan dengan perintah larangan Allah, iaitu al-Qur’an dan al-Sunnah.
Perasaan gembira dan sedih, suka dan marah, redha dan benci, Wala’ (kesetiaan) dan Bara’ (tidak setia) tidak boleh dibataskan kepada hal-ehwal jamaah. Sebaliknya hendaklah didasari kepada hal-ehwal agama dan umat. Sebagai contoh:
Hendaklah merasa marah seandainya umat Islam diperangi, bukan marah kepada ahli jamaah yang tidak aktif (futur) atau yang ingin keluar jamaah (bughat dan mutasakitun).
Hendaklah merasa gembira seandainya dapat menjemput orang bukan Islam memeluk Islam, bukan sedih jika tidak dapat mengkader ahli baru ke dalam jamaahnya.
Hendaklah setia (Wala’) kepada seluruh umat Islam, membela mereka, mengunggulkan mereka, mencintai mereka dan membantu mereka. Sikap Wala’ tidak boleh dibataskan kepada jamaah sahaja kerana:
Sesungguhnya Wali kamu tidak lain hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman yang mendirikan solat dan menunaikan zakat sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).
Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu Walinya (maka mereka itulah golongan Allah), kerana sesungguhnya golongan Allah itulah yang tetap menang. [al-Maidah 5:55-56]
Keempat: Tidak Memesongkan Hadis-Hadis Berkaitan Jamaah
Sebahagian jamaah ada yang memesongkan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang menyentuh perihal jamaah. Antara hadis yang dimaksudkan ialah:
"Ketahuilah bahawa orang-orang sebelum kamu daripada Ahli Kitab telah berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan sesungguhnya kumpulan ini (umat Islam) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga (kumpulan), tujuh puluh dua daripadanya akan masuk neraka dan hanya satu daripadanya akan masuk syurga, iaitu al-Jamaah."
"Tiga orang, jangan engkau bertanya tentang mereka: (salah satu darinya ialah) seseorang yang memisahkan dirinya dari jamaah dan menderhakai imamnya dan mati dalam keadaan menderhaka…"
"Sesungguhnya tangan Allah bersama al-Jamaah dan sesungguhnya Syaitan berlari bersama orang yang memecah-belahkan al-Jamaah."
Tiga hadis di atas dan lain-lain yang semakna lazim digunakan untuk menarik ahli-ahli baru, memaksa ahli-ahli tersebut agar tetap setia dalam jamaah dan mendakwa jamaahnya sahajalah yang benar.
Ini adalah satu kesalahan yang besar.
al-Jamaah yang dimaksudkan dalam hadis tersebut adalah keseluruhan umat Islam. Dalam erti kata lain, hadis-hadis di atas menerangkan kepentingan untuk umat Islam bersatu (berjamaah) dan jika ada khalifah yang hak, hendaklah kita bersatu (berjamaah) dengan khalifah tersebut.
Hadis-hadis di atas tidak bermaksud jamaah-jamaah tertentu dengan amir-amirnya. Sesiapa yang menggunakan hadis-hadis di atas dan lain-lain yang semakna dengannya atas tujuan jamaahnya yang tersendiri, sungguh dia termasuk dalam kategori orang yang berdusta atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Dalam sebuah hadis yang sudah dihafal dan diketahui oleh semua orang, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Jangan berdusta atas (nama)ku kerana sesungguhnya sesiapa yang berdusta atas (nama)ku, maka dia akan memasuki neraka.”
Terdapat empat kategori orang yang berdusta atas nama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
* Orang yang mencipta sesuatu hadis lalu dia menyandarkannya kepada Rasulullah.
* Orang yang menyampaikan sesuatu hadis tanpa dia sendiri mengetahui sama ada ia sahih atau tidak berasal daripada Rasulullah.
* Orang yang mengatakan “Hadis ini sahih, Hadis itu dha’if” dan sebagainya padahal dia sendiri tidak tahu menilai darjat hadis tersebut atau mengetahuinya daripada penilaian mana-mana ahli hadis yang muktabar.
* Orang yang menyampaikan sesuatu hadis lalu ditarik maknanya jauh daripada makna asal yang ingin disampaikan oleh Rasulullah.
Orang-orang yang menggunakan hadis-hadis di atas dan lain-lain yang semakna dengannya atas tujuan jamaahnya sendiri termasuk dalam kategori keempat di atas.
Kelima: Membetulkan Tujuan Berjamaah
Telah diterangkan sebelum ini bahawa berjamaah dibolehkan jika ia sekadar satu sarana yang bermatlamat demi kebaikan agama dan manusia. Perkara ini perlu sering diingat-ingatkan kerana sering kali terjadi tujuan berjamaah berpindah arah dari kebaikan agama dan umat kepada kebaikan jamaah dan ahli sendiri.
Perkara ini boleh diukur melalui aktiviti-aktiviti jamaah itu sendiri. Syaikh Muhammad Sa‘id Ramadhan al-Buti pernah mengulas tentang aktiviti jamaah-jamaah di Timur Tengah:
Sesungguhnya dakwah yang difahami dan diterapkan oleh majoriti kelompok (jamaah) Islam sekarang ini tidak lebih dari aktiviti sekitar anggota kelompok (jamaah) masing-masing.
…Jika anda perhatikan secara saksama, nescaya anda akan menyaksikan dinding pemisah yang tinggi yang memisahkan antara kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) yang melancarkan aktiviti gerakan seperti yang kami kemukakan sebelumnya. Pada dasarnya di antara mereka itu tidak terjadi proses dakwah, diskusi atau tukar fikiran. Justeru anda menyaksikan sebaliknya, iaitu muncul pelbagai macam kelompok dengan pelbagai macam aliran dan pemikiran yang merosak. Kemudian masing-masing kelompok (jamaah) berusaha mencari pengaruh, berlumba-lumba mendatangi perkampungan untuk menyebarluaskan pemikiran dan aliran mereka…
Semua ini terjadi pada saat para pemerhati Islam atau kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) Islam sedang memberi tumpuan kepada kegiatan gerakan mereka yang khusus di kalangan mereka. Sehingga dengan demikian itu mereka sudah merasa senang dan puas hati, dimana dengan aktiviti gerakan itu mereka sudah merasa (seolah) berperanan sebagai seorang da’i (untuk kebaikan Islam dan umatnya).
Dengan penghuraian di atas, penulis tidaklah bermaksud merendahkan aktiviti kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) Islam, …… tetapi yang penulis maksudkan adalah bahawa aktiviti gerakan ini merupakan satu hal sedangkan dakwah ke jalan Allah merupakan satu hal lain dimana masing-masing istilah tidak dapat disamakan.
Meski pun aktiviti yang dilakukan oleh kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) tersebut adalah baik dan bermanfaat, namun demikian mereka tidak memainkan peranan yang diwajibkan, iaitu mengajak manusia ke jalan Allah Subhanahu wa Ta'ala.
…Layak untuk kami kemukakan di sini, bahawa masyarakat Islam, sekali pun kaya dengan pelbagai aktiviti gerakan kelompok-kelompok (jamaah-jamaah) Islam, namun sebenarnya sungguh miskin dalam aktiviti dalam bidang dakwah. Sejauh yang kami saksikan dari beberapa medan dakwah ke jalan Allah dan pengenalan Islam di beberapa tempat, kegiatan tersebut tidak lepas dari keadaan atau tindakan yang bersifat memenuhi kepentingan peribadi dan bukan untuk memenuhi kepentingan yang lebih besar atau memberi solusi (dalam menghadapi cabaran-cabaran Islam dan umatnya).
Keenam: Saling Menasihati dan Menegur
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal shalih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. [al-‘Asr 103:1-3]
Dalam konteks berjamaah, saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran, yakni saling menasihati dan menegur, berlaku dalam dua sudut:
Di dalam jamaah, yakni sesama ahli jamaah yang saling menasihati, menegur ke arah kebenaran dan kesabaran. Perkara ini berlaku dalam semua tingkatan. Ahli biasa menegur ahli jawatankuasa, ahli muslimat menasihati ahli muslimin dan begitulah sebaliknya.
Jangan pula wujud budaya kasta dalam jamaah sehingga ahli biasa tidak boleh menasihati ahli jawatankuasa dan ahli muslimat tidak boleh menegur ahli muslimin. Demikian juga, ide yang cemerlang serta pemikiran yang bernas perlu diterima secara terbuka sekali pun yang mengemukakannya ialah seorang yang baru seminggu menjadi ahli.
Di antara jamaah, yakni di antara pelbagai jamaah yang berbeza, hendaklah tetap saling menasihati dan menegur ke arah kebaikan dan kebenaran.
Jangan pula wujud tembok pemisah yang tinggi lagi tebal di antara jamaah sehingga masing-masing tidak tegur menegur, apatah lagi untuk nasihat menasihati.
Ketujuh: Menyertai Jamaah Bukan Satu Kemestian
Apabila berbicara tentang jamaah, akan ditemui sebahagian umat Islam yang tidak menyertai mana-mana jamaah. Terdapat beberapa sebab di sebalik tindakan ini:
* Mereka berpendapat pandangan yang melarang berbilang jamaah adalah pandangan yang kuat (rajih) sehingga dengan itu mereka menahan diri daripada menyertai mana-mana jamaah.
* Mereka tidak menemui mana-mana jamaah yang memiliki adab-adab berjamaah yang baik. Maka dengan itu mereka tidak menyertai mana-mana jamaah.
* Mereka pernah menyertai satu atau lebih jamaah dan mendapati jamaah-jamaah tersebut tidak memiliki adab-adab berjamaah yang baik. Maka dengan itu mereka keluar dan berhenti daripada menyertai mana-mana jamaah.
* Mereka berpandangan usaha demi kebaikan agama dan manusia dapat dicapai secara lebih berkesan tanpa menyertai mana-mana jamaah.
Di antara yang menyertai jamaah dan yang tidak menyertai, perlu wujud sikap saling menghormati antara satu sama lain. Tidak boleh satu pihak mencerca atau memandang rendah pihak yang lain. Ini kerana yang diwajibkan oleh agama ialah berjamaah – yakni bersatu – manakala menyertai jamaah hanya satu pilihan yang terbuka kepada kecenderungan masing-masing.
Mewajibkan setiap individu menyertai jamaah bererti mensyari‘atkan satu hukum agama yang baru dan ini adalah salah satu perkara yang mencemari kemurnian tauhid (lihat Pencemaran # 10).
Demikian tujuh adab berjamaah yang perlu diperhatikan oleh para ahli jamaah dan mereka yang berhajat menyertai jamaah.
Nasihat Kepada Para Pelajar
Memandangkan kebanyakan yang menyertai jamaah-jamaah ialah para pelajar institut pengajian tinggi, saya ingin merebut peluang ini untuk berkongsi dua nasihat.
Tujuan anda di institut pengajian tinggi ialah menuntut ilmu dalam jurusan masing-masing. Maka fokus anda ialah menuntut ilmu hingga lulus cemerlang. Jangan berlebih-lebihan dalam aktiviti jamaah hingga terganggu aktiviti pembelajaran anda. Ingat! Jurusan yang sedang anda pelajari itu adalah juga penting demi kebaikan agama dan manusia. Justeru bahagilah masa dan tenaga secara adil antara pembelajaran dan aktiviti jamaah.
Sama ada menyertai jamaah atau tidak, berusaha demi kebaikan agama dan manusia adalah sesuatu yang dituntut ke atas kita sepanjang hidup. Oleh itu jangan sekadar bergiat aktif ketika di institut pengajian tinggi tetapi kemudian mengabaikannya setelah tamat pengajian. Sebaliknya hendaklah sentiasa berusaha sehingga ke akhir hayat. Agama Islam dan manusia, sama ada yang muslim atau bukan muslim, amat memerlukan anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan