AL-QURAN adalah kitab panduan bagi manusia, yang memberikan petunjuk, kerahmatan dan kebahagiaan, malah penawar jika menghadapi masalah dan gangguan jiwa.
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman." (Yunus: 57)
Tetapi sesetengah pihak bersikap acuh tidak acuh terhadap al-Quran, selain dibaca ketika solat, mereka membaca secara bermusim di majlis tertentu.
Lebih mendukacitakan apabila ada kurang fasih membacanya dan tidak berminat mempelajarinya sehingga diri menjadi jauh daripada kitab suci itu.
Sebagaimana tujuan penurunannya untuk memberikan cahaya kebenaran, kesejahteraan dan kegembiraan kepada manusia, sepatutnya al-Quran dimanfaatkan untuk mendapatkan ebaikan dan keredaan.
Al-Quran menjadi pedoman dalam pelbagai lapangan kehidupan, ayatnya dibaca dan dikaji, malah dijadikan doa.
Tidak kurang memanfaatkan ayat al-Quran bagi tujuan perubatan dan rawatan. Tetapi bagaimana pula jika ia digunakan sebagai tangkal dalam amalan perbomohan bagi menganiayakan orang lain, apakah ia dibolehkan? Memang kelebihan ayat al-Quran ialah penawar (syifa) kepada segala masalah dan penyakit sebagaimana ditegaskan Allah.
"Justeru, ia diharuskan bagi tujuan mengubati penyakit. Itu pun kena ada iktikad kuasa menyembuh adalah daripada Allah.
"Tetapi menggunakan ayat al-Quran bagi tujuan yang jahat seperti mahu merosakkan kehidupan orang lain dan meruntuhkan rumah tangga orang lain adalah diharamkan.
"Contohnya kita menyebut ayat tertentu dengan tujuan orang yang dimaksudkan akan dibenci, dihina dan keji orang lain adalah tidak dibolehkan.
"Perbuatan seperti ini bertentangan dengan anjuran Islam kepada umatnya supaya mengeratkan hubungan silaturahim, bantu membantu dan berkasih sayang.
"Kita juga tidak boleh membaca ayat tertentu daripada al-Quran untuk membuatkan seseorang perempuan supaya minat dan kasih kepada kita.
"Walaupun ayat al-Quran yang dibaca betul, tujuannya salah. Begitu juga membaca ayat al-Quran secara menyimpang seperti menambah perkataan lain atau membaca baris lain walaupun bagi tujuan kebaikan," katanya.
Al-Quran adalah mukjizat yang agung, membacanya adalah satu ibadat dan diberikan ganjaran pahala, malah terbukti khasiatnya sebagai penawar mujarab segala masalah, seperti untuk mengubati penyakit rohani, emosi, kecelaruan fikiran dan penyakit sosial yang melanda anak muda kebelakangan ini.
"Kami turunkan al-Quran sesuatu yang boleh menyembuhkan penyakit (hati) dan menjadi rahmat kepada orang yang beriman dan al-Quran itu tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua." (al-Isra': 82)
Kedudukan al-Quran sangat mulia dan sewajarnya ia dijaga daripada dicemari kemuliaannya. Justeru, penggunaannya untuk tujuan tertentu yang sudah tentu dibimbangi membawa kepada terhina dan tercemar kesuciannya, seperti pada tangkal perlu dijauhi.
Malah, menurut fatwa dikeluarkan Majlis Agama Islam Terengganu, sekiranya (perbuatan itu) tidak dapat dikawal dan membawa kepada terhina serta tercemar kesucian al-Quran boleh menjadi haram.
Dari Ibnu Masud r.a. katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya tawar jampi, tangkal azimat, ilmu guna-guna (ilmu pengasih untuk menambatkan hati suami kepada isterinya atau hati isteri kepada suaminya) adalah syirik."
Jawatankuasa fatwa itu juga berpendapat, penggunaan rajah dan huruf tertentu untuk melariskan perniagaan jika ia menjadi suatu kepercayaan yang boleh merosakkan akidah adalah haram.
Mohamad Fauzi yang juga Setiausaha Masjid Kuala Kangkung, Alor Star, Kedah, menegaskan ayat al-Quran tidak boleh digunakan bagi perkara yang kotor termasuk dalam ilmu hitam dan sihir kerana hukumnya dosa besar.
"Perbuatan seperti menyihir orang dan melakukan perbomohan dengan tujuan menganiayai orang dengan mencampuradukkan ayat al-Quran dalam jampi juga dilarang."
Islam sangat menitikberatkan soal akidah dan syariah, malah segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber yang asal seperti al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas ditolak oleh Islam.
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Sesiapa mengada-adakan di dalam agama kami sesuatu yang tidak ada di dalamnya, maka yang dikerjakannya itu adalah tertolak." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Garis panduan yang dikeluarkan berdasar kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia juga ada menyatakan:
"Amalan memuja jin dan memohon pertolongan darinya seperti yang selalu dilakukan seseorang bomoh dan dukun adalah syirik dan menyesatkan.
"Orang yang bersahabat dan menggunakan jin seperti tukang sihir dan tukang tenun adalah tergolong di dalam golongan orang yang bodoh dan menzalami diri sendiri."
Ini dijelaskan oleh firman Allah S.W.T, yang bermaksud: "Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendapatkan mudarat kepadamu. Jika engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri
dengan perbuatan syirik itu)." (Yunus: 106)
Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin, malah jampi mentera dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam.
Menurut Dr Yusuf al-Qardawi dalam kitab Fatawa al-Mu'asirah sesuatu jampi itu harus dilakukan berdasarkan tiga syarat:
(1) Ia mesti didasarkan kepada Allah dan nama-nama-Nya,
(2) ia mestilah dituturkan dengan bahasa Arab dan kata-kata yang boleh difahami maknanya dan
(3) beriktikad ia tidak memberi kesan dengan sendirinya, tetapi dengan
takdir Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan