Isnin, April 07, 2008

Boikot barang pengajaran hina Islam

Bantahan secara berhemah serlah ketinggian akhlak, tepis pandangan negatif Barat

KEBEBASAN adalah antara isu hangat diperkatakan umum dewasa ini. Ini kerana isu kebebasan bukan saja bersifat nasional, malahan ia menjadi isu sejagat. Di mana saja negara di dunia ini sering membahaskan isu kebebasan dalam konteks kemanusiaan sesuai dengan peredaran zaman yang semakin canggih ini.

Justeru, sering kedengaran suara menuntut kebebasan wanita, kebebasan akhbar, kebebasan beragama. Akhbar Eropah berani menyiarkan gambar kartun Nabi Muhammad di dada akhbar arus perdana dan terkini penerbitan filem Fitna dari Belanda yang secara terang menghina Islam.

Tayangan filem itu menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia sekali gus menyebabkan hubungan semakin tegang antara Barat dengan negara Islam. Kemarahan dan ketidakpuasan hati umat Islam terhadap Barat ada kewajarannya, lebih-lebih lagi paparan orang Islam yang membunuh orang kafir secara membuta tuli dan Islam dikatakan
menggalakkan keganasan adalah satu penghinaan cukup besar terhadap Islam.

Biarpun dengan alasan kebebasan bersuara, kebebasan itu membabitkan tanggungjawab dan perbuatan itu tetap tidak dapat diterima oleh prinsip moral dan akal yang waras. Tambahan pula, perbuatan itu menghina keyakinan orang lain.

Dari satu segi lain, Islam dan keganasan adalah dua perkara berbeza. Islam pada hakikatnya adalah al-Din bersifat rahmah kepada sekalian alam. Bukankah Allah menjelaskan matlamat utama di sebalik kejadian manusia dengan firman-Nya yang bermaksud:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu). (Surah al-Hujurat,ayat 13) .

Jelas di sini, Islam adalah al-Din amat menitikberatkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah. Maka, Islam dari awal lagi menganjurkan umat Islam supaya bekerjasama dan bertoleransi antara satu sama lain dalam memakmurkan bumi Allah ini.

Bumi Allah ini adalah milik semua makhluk yang diciptakan Allah dan ia bukan milik atau kepunyaan istimewa satu kaum atau bangsa tertentu. Semuanya diberikan hak dan keistimewaan yang sama rata untuk sama-sama mendiami alam ini di samping untuk memakmurkan ke arah kejayaan dan kebahagiaan sejagat. Oleh itu, Islam melarang keras
sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya.

Inilah adalah satu fakta cukup jelas Islam perlu diketengahkan kepada Barat, Islam tidak memusuhi mana-mana umat manusia menghuni alam maya ini. Islam amat cintakan kedamaian, keharmonian dan kesejahteraan hidup, bukan saja kepada umatnya, bahkan kepada umat lain turut berkongsi alam semesta ini.

Bagi umat Islam, mereka wajar dan mempunyai hak untuk meluahkan kemarahan dan protes terhadap pihak yang menghina agama mereka, namun biarlah kena pada tempatnya. Dalam erti kata lain, biarlah kemarahan dan protes itu diluahkan dengan cara baik, logik dan terkawal.

Maka, bertepatan sekali apabila seorang ulama Mesir terkemuka, Prof Dr Yusof al-Qaradawi menegaskan Islam tidak membenarkan sama sekali kekerasan dan keganasan seperti tindakan membakar kedutaan, melakukan kemusnahan di tempat awam, tindakan membakar kedutaan Denmark dan Norway di negara Arab oleh umat Islam yang marah dengan penyiaran kartun Nabi Muhammad dalam akhbar Eropah. Islam tidak pernah mengharuskan sebarang tindakan keganasan seumpama ini kerana ia jelas bercanggah dengan prinsip moral dan juga akhlak Islam yang luhur.

Sebaliknya, Prof Dr Yusof al-Qaradawi mencadangkan umat Islam supaya memboikot terus semua barang dari Belanda dan juga negara terbabit dalam penghinaan Islam. Ia adalah satu cadangan berhemah dan berpandangan jauh yang sewajarnya diberikan sokongan padu oleh umat Islam seluruh dunia dengan tujuan untuk mengajar Barat maruah dan agama umat Islam wajib dihormati pada masa hadapan.

Langkah Malaysia menggantung permit akhbar Sarawak Tribune satu ketika dulu satu langkah baik untuk dijadikan iktibar kepada syarikat akhbar lain supaya Islam tidak lagi dihina dan sensitiviti umat Islam perlu dijaga.

Akhirnya, Islam memerintahkan umatnya supaya menonjolkan ketrampilan akhlak terpuji dan terbaik kepada kaum lain supaya dapat diserlahkan Islam sebagai agama yang bersifat toleransi di samping akan membuka pintu hati orang bukan Islam akan keindahan dan kesejahteraan yang menghiasi Islam itu sendiri dengan pendekatan penerangan dan dakwah kepada umat lain dengan cara yang baik dan bijaksana serta dengan contoh amalan yang baik menurut ajaran Islam yang sebenarnya, bukannya dengan kekerasan dan penindasan yang kejam.

Ringkasnya, umat Islam pada asasnya adalah umat yang terbaik dilahirkan Allah di bumi ini untuk menghembuskan roh kedamaian dan kerahmatan untuk menghirup oleh sekalian penghuni alam semesta ini.

INTIPATI

Tayangan filem Fitna dari Belanda yang menghina Islam menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia sekali gus menyebabkan hubungan semakin tegang antara Barat dengan negara Islam.

Islam pada hakikatnya adalah al-Din bersifat rahmah kepada sekalian alam, menitikberatkan soal kedamaian sejagat dan kesejahteraan ummah.

Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dengan bangsa lain biarpun berlainan akidah dan kepercayaannya.

Langkah memboikot terus semua barang dari Belanda dan juga negara terbabit dalam penghinaan Islam. Ia adalah satu cadangan berhemah dan berpandangan jauh yang sewajarnya diberikan sokongan padu oleh umat Islam.

Muslim berjaya usah lupa, lalai dan tenggelam dalam keasyikan berada di mercu kejayaan hingga lupa tanggungjawab kepada Tuhan.i

Tiada ulasan: