Kita adakalanya terlalu menumpukan tentang perlaksanaan hudud tanpa memandang sedikitpun kepada pensabitannya. Itu yang menyebabkan orang yang takut. Kerana, apabila kita melihat kepada pensabitannya, kita akan dapat melihat gambaran bahawa hudud itu tidaklah sebagaimana hukum rimba. Asal di dakwa berzina sahaja, sebat atau rejam. Asal didakwa mencuri sahaja potong tangan.
Pensabitan:
1. Keterangan:
a. saksi
b. Iqrar dari tertuduh
2. Qarinah
Berikut ini kami nukilkan Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud):
BAHAGIAN III
Keterangan
39. Bagaimana membukti kesalahan. En. 2/91.
(1) Kecuali jika ada percanggahan dengan peruntukan yang ada dalam Enakmen ini, maka Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 1991 hendaklah dipakai untuk membuktikan kesalahan-kesalahan di baawah Enakmen ini.
(2) Semua kesalahan di bawah Enakmen ini samada kesalahan hudud atau kesalahan qisos, atau kesalahan ta'zir, hendaklah dibuktikan dengan keterangan lisan atau iqrar yang dibuat oleh tertuduh.
40. Bilangan saksi
(1) Bilangan saksi-saksi yang dikehendaki untuk membuktikan semua kesalahan di bawah Enakmen ini melainkan zina, hendaklah sekurang-kurangnya dua orang.
(2) Bilangan saksi-saksi yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan zina hendaklah tidak kurang daripada empat orang.
41. Syarat-syarat menjadi saksi
(1) Tiap-tiap orang saksi hendaklah terdiri daripada seorang lelaki Islam yang akil baligh dan hendaklah seorang yang adil.
(2) Seseorang itu adalah dianggap adil jika ia menunaikan apa-apa yang disuruh oleh Islam dan menjauhi daripada dosa-dosa besar serta tidak mengekalkan dosa-dosa kecil dan juga mempunyai isti'mal al-muru'ah, (perasaan dan pendirian menghormati diri).
(3) Seseorang itu adalah dianggap adil, sehingga sebaliknya dibuktikan.
42. Keadaan keterangan
(1)Untuk membuktikan tuduhan terhadap tertuduh dan menyebabkan dia boleh dihukum dengan hukuman hudud atau qisos, keterangan yang diberi hendaklah benar-benar terang dan tidak ada apa-apa kesamaran dan keraguan.
(2) Tiap-tiap saksi hendaklah dengan terang menyatakan bahawa dia benar-benar melihat perbuatan yang didakwakan itu dan dalam kes zina pula keempat-empat orang saksi itu hendaklah menyatakan bahawa mereka benar-benar melihat kemasukan zakar ke dalam faraj perempuan pasangan yang bersetubuh itu dengan juga hendaklah jangan ada perselisihan dan pertelingkahan di antara saksi-saksi di dalam keterangan itu.
43. Menarik balik keterangan
(1) Untuk menyebabkan hukuman hudud dikenakan kepada tertuduh setiap saksi itu hendaklah berdiri teguh di atas keterangan terhadap tertuduh itu, bukan sahaja dalam masa perbicaraan dan selepasnya, tetapi juga ketika hukuman itu dilaksanakan, kerana jika keterangan itu ditarik balik sebelum hukuman itu dilaksanakan, maka tertuduh itu tidak lagi boleh dikenakan hukuman hudud, dan jika keterangan itu ditarik balik ketika tertuduh sedang menjalani hukuman, maka hukuman itu hendaklah dengan serta merta diberhentikan.
(2) Dalam kes zina jika seseorang saksi itu enggan memberi keterangan, atau memberi keterangan yang berlawanan dengan tuduhan, atau memberi keterangan menyokong tuduhan itu tetapi kemudiannya menarik balik keterangan itu, yang mana dengan sebab itu bilangan saksi yang menyokong tuduhan itu menjadi kurang daripada empat orang, maka tuduhan zina terhadap tertuduh itu tidaklah terbukti, dan yang demikian tertuduh itu adalah terlepas daripada dikenakan hukuman hudud; tetapi saksi-saksi yang telah memberi keterangan menyokong tuduhan itu adalah bersalah kerana melakukan kesalahan qazaf.
44. Iqrar
(1) Sebaik-baik keterangan untuk menyabitkan tertuduh dan menyebabkan dia boleh dihukum dengan hukuman hudud ialah iqrarnya sendiri.
(2) Iqrar itu hendaklah dibuat dengan sukarela dan tanpa apa-apa paksaan di hadapan seorang pegawai kehakiman dan kemudiannya diulangi di hadapan hakim pada masa perbicaraan dijalankan; dan jika perbicaraan itu mengenai kes zina maka iqrar itu hendaklah diulangi sebanyak empat kali di hadapan hakim pada masa perbicaraan dijalankan:
Dengan syarat bahawa iqrar itu hendaklah dibuat dan diulangi dengan tidak ada apa-apa ugutan, janji atau dorongan; dan hendaklah dengan nyatanya membuktikan secara terperinci bahawa tertuduh itu benar-benar telah melakukan kesalahan yang dengannya dia telahd ituduh, dan dia faham bahawa dia akan dihukum kerana membuat iqrar.
(3) Iqrar itu hanyalah boleh diterima sebagai keterangan terhadap tertuduh yang membuat iqrar itu sahaja, dan tidak boleh digunakan terhadap orang lain; dan untuk menjadikannya sah maka iqrar itu hendaklah bukan satu iqrar yang ditarik balik.
45. Menarik balik iqrar
(1) Sesuatu iqrar itu boleh ditarik balik oleh tertuduh yang membuatnya pada bila-bila masa sahaja; meskipun pada ketika dia sedang menjalani hukuman.
(2) Jika sesuatu iqrar itu ditarik balik sebelum dilaksanakan hukuman ke atasnya maka tertuduh itu tidaklah lagi boleh dikenakan hukuman itu, dan jika dia menarik balik iqrar itu pada ketika dia sedang menjalani hukuman, maka hukuman itu hendaklah dengan serta merta diberhentikan.
(3) Jika pada bila-bila masa sebelum atau pada ketika hukuman dilaksanakan, tertuduh itu dapat melarikan diri daripada pihak yang berkuasa, maka dia hendaklah dianggap sebagai telah menarik balik iqrar itu; dan yang demikian peruntukan subsekseyn (2) hendaklah terpakai.
46. Keterangan qarinah
(1) Kecuali seperti yang diperuntukkan dalam subseksyen (2) dan (3) keterangan qarinah walaupun berkaitan hendaklah tidak boleh dijadikan satu cara yang sah untuk membuktikan kesalahan hudud.
(2) Dalam perkara zina, kehamilan atau kelahiran anak oleh seseorang perempuan yang tidak mempunyai suami hendaklah menjadi keterangan yang boleh mendapatinya bersalah melakukan zina dan yang demikian hukuman hudud ke atasnya hendaklah dikenakan melainkan jika dapat membuktikan sebaliknya.
(3) Dalam perkara minum arak atau sebarang minuman yang memabukkan, bau minuman yang didapati dalam nafas tertuduh itu atau muntahnya yang mengeluarkan arak atau sebarang minuman yang memabukkan atau apa-apa kesan darinya, atau pemerhatian Mahkamah kepada keadaan tertuduh itu bahawa dia sedang berada di dalam keadaan mabuk, hendaklah boleh diterima sebagai keterangan untuk membuktikan bahawa dia telah melakukan kesalahan syurb, melainkan jika ia dapat membuktikan sebaliknya.
47. Apabila seseorang tertuduh itu tidak boleh dihukum dengan hukuman hudud kerana saksi-saksi telah menarik balik keterangan mereka sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 43 atau kerana tertuduh itu telah menarik balik iqrarnya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 45 atau kerana keterangan saksi yang ada tidak memenuhi syarat-syarat yang dikehendaki untuk membuktikan kesalahan hudud, maka tertuduh bolehlah dihukum dengan hukuman ta'zir, dan mahkamah hendaklah mengambil tindakan untuk menjatuhkan hukuman itu sekiranya ada keterangan yang cukup bagi maksud itu.
(Lihat Pelaksanaan Hukum Hudud Di Kelantan, hal. 120-125)
Petikan di atas sudah cukup jelas untuk menggambarkan bahawa untuk mensabitkan kesalahan hudud ada peraturan dan sistemnya. Itu tidak dikira syarat-syarat yang dikenakan terhadap kesalahan hudud. Kita ambil contoh mencuri yang hududnya ialah potong tangan:
7. Bilakah hukuman hudud tidak boleh dikenakan.
Hukuman hudud kerana kesalahan sariqah (mencuri -panel.) Tidak boleh dikenakan dalam keadaan yang berikut:
(a) apabila nilai harta yang dicuri itu kurang daripada nisab;
(b) apabila kesalahan itu tidak dapat dibuktikan dengan keterangan yang dikendaki di bawh peruntukan-peruntukan Bahagian III;
(c) apabila pesalah itu bukan mukallaf;
(d) apabila tuanpunya harta yang dicuri itu tidak mengambil langkah yang cukup untuk menjaga harta itu daripada kena curi, memandangkan kepada keadaan harta itu dan tempat ia disimpan atau ditinggalkan;
(e) apabila pesalah itu belum lagi mendapat milik yang sepenuhnya terhadap harta yang dicuri itu, walaupun tuan punya tidak lagi mempunyai jagaan dan milikan ke atas harta tersebut;
(f) apabila harta yang dicuri adalah daripada jenis harta yang tidak bernilai dan boleh didapati dengan banyaknya merata-rata tempat ataupun daripada jenis harta yang sudah musnah;
(g) apabila harta yang dicuri tidak mempunyai apa-apa nilai mengikut hukum syarak seperti minuman yang memabukkan atau alat-alat hiburan;
(h) apabila kesalahan mencuri itu dilakukan oleh pemberi hutang ke atas harta orang yang berhutang dengannya yang enggan membayar hutang itu;
Dengan syarat bahawa nilai harta yang dicuri itu tidak melebihi jumlah hutang atau nilai harta yang dicuri itu melebihi jumlah hutang tetapi tidak melebihi nisab.
(i) apabila kesalahan itu dilakukan dalam keadaan yang amat mendesak, seperti perang, kelaparan, penyakit dan bencana alam;
(j) apabila kesalahan itu berlaku dalam keluarga seperti isteri mencuri daripada suaminya dan sebaliknya atau anak mencuri daripada bapanya atau sebaliknya;
(k) apabila kesalahan itu dilakukan oleh sekumpulan orang yang mana bahagian yang diperolehi oleh tiap-tiap seorang daripada pesalah itu setelah dibahagikan harta yang dicuri atau hasilnya sesama mereka adalah kurang daripada nisab.
(l) apabila pesalah itu mengembalikan harta yang dicuri itu sebelum hukuman hudud dilaksanakan;
(m) apabila tuan punya harta yang dicuri itutidak mengaku bahawa hartanya telah dicuri, walaupun pesalah itu telah membuat iqrar mencurinya;
(n) apabila pesalah itu membuat bantahan yang boleh diterima oleh hukum syarak terhadap saksi-saksi; dan
(o) apabila harta yang dicuri itu atau keadaan dalam mana kesalahan itu dilakukan mengikut hukum syarak tida ada hukuman hudud yang boleh dikenakan ke atasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan