Isnin, April 07, 2008

Patrick Lim

Hari ini, Malaysiakini turut mendedahkan ‘Siapa Patrick Lim’-Sila baca laporan tersebut :

Nama Patrick Lim melonjak secara tiba-tiba dan menjadi tumpuan awam selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa pemaju hartanah itu bersama menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin ‘memerintah’ Terengganu.

Malah, Dr Mahathir membahasakannya sebagai Patrick Badawi. Dr Mahathir menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan tabung bangunan Persatuan Bekas Tentera Malaysia cawangan Kemaman Jumaat lalu.

Jadi, siapakah Patrick Lim? Patrick Lim merupakan seorang pemaju hartanah yang tidak menonjolkan diri. Bapanya adalah seorang yang terkenal dalam arena lumba kuda sehingga logo syarikatnya Equine Capital Bhd turut menggunakan imej kuda.

Patrick adalah Pengerusi Eksekutif Equine Capital Bhd yang beribupejabat di Seri Kembangan, Selangor. Beliau mempunyai tiga projek hartanah yang besar – satu daripadanya adalah di Batu Kawan, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Projek itu termasuk dalam projek pembangunan jambatan kedua Pulau Pinang. Projek perumahan tersebut dikenali sebagai Crescentia Park – projek campuran komersial dan perumahan – yang akan dimajukan sebagai bandar satelit ketiga di Pulau Pinang.

Kawasan itu merangkumi kawasan seluas 450 ekar. Nilai Pembangunan Kasar dan Kos Pembangunannya dianggarkan masing-masing bernilai RM860 juta dan RM636 juta. Projek itu dijangka disiapkan sepenuhnya pada 2015.

Kawasan tersebut boleh diakses melalui jambatan kedua Pulau Pinang dan melalui lebuhraya. Sewaktu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melawat projek pembangunan jambatan kedua itu, beliau turut diberi taklimat oleh Patrick mengenai projek syarikatnya.

Padang Lumba Kuda

Sebelum ini, salah seorang pengurus anak syarikat milik Patrick terbunuh selepas terkena kipas helikopter yang dinaikinya dan insiden itu menjadi tumpuan laporan media massa .

Selain itu, Patrick juga mendapat hak mereka-bentuk dan membina semula padang lumba kuda Pulau Pinang yang akan dipindahkan ke kawasan Batu Kawan yang berharga RM375 juta.

Ini menjadikannya Patrick (foto) sebagai seorang pemaju yang mempunyai projek hartanah yang terbesar di Malaysia.

Projek kedua yang diperolehi Patrick adalah pertandingan perahu layar Monsoon Cup di Pulau Duyong, Terengganu – idea yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sendiri. Projek bernilai RM200 juta termasuk pelaksanaan pembangunan prasarana di pulau tersebut, termasuk pembinaan chalet.

Perdana Menteri mahu dianjurkan satu pertandingan bertaraf antarabangsa sewaktu musim tengkujuh bagi menghapuskan mitos bahawa tiada aktiviti yang dapat dijalankan pada musim tersebut, di mana nelayan tidak keluar menangkap ikan kerana laut yang bergelora.

Bagi sesetengah pihak, pembabitan Patrick dalam projek pembangunan yang termasuk dalam projek jambatan kedua Pulau Pinang dan penganjuran ‘Monsoon Cup’ itu mencerminkan hubungan baik beliau dengan Perdana Menteri.

Monsoon Cup merupakan pertandingan perahu layar bertaraf dunia pertama yang diadakan di Asia dan dimulakan pada Disember tahun lalu, dengan disaksikan oleh 500 juta penonton di seluruh dunia.

Jackie Chan tertarik

Pertandingan tersebut berjaya menarik kehadiran pelakon terkenal seperti Jackie Chan, Michelle Yeoh dan tunangnya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif pasukan lumba kereta Formula 1, Ferrari, Datuk Jean Todt.

Abdullah turut menyaksikan pertandingan tersebut untuk memberi sokongan kepada projek berkenaan. Todt sudahpun memiliki dua buah bunglow di pulau tersebut.

Sementara itu akhbar melaporkan baru-baru ini Jackie Chan yang merupakan rakan karib Patrick turut menyuarakan minatnya untuk untuk membeli hartanah di Pulau Duyong.

Pelakon Hong Kong itu dilaporkan berkata, beliau telah jatuh cinta dengan keindahan dan ketenangan pulau tersebut dan sedang menimbang untuk membeli hartanah di situ.

Chan berada di Malaysia baru-baru ini untuk melawat kawasan pertandingan Monsoon Cup itu. Beliau yang datang dari Singapura, menaiki skuter air untuk meninjau sekitar kawasan tersebut.

Atas jemputan Patrick

Jackie berkata beliau datang ke Pulau Duyong atas jemputan Patrick “Patrick memujuk saya supaya datang menyaksikan pembangunan dan keindahan Pulau duyong. Lawatan saya juga adalah untuk memenuhi tanggungjawab saya sebagai Duta Pelancongan Asia. Bagaimanapun, Jackie bekata, beliau tidak dapat menyaksikan pertandingan ‘Monsoon Cup’ tahun in kerana sibuk dengan penggambaran filem Rush Hour 111.

Dalam cara pertandingan tahun lalu, pihak penganjur telah mengedarkan 30,000 baju hujan ‘pakai-buang’ kepada penonton yang datang menyaksikan pertandingan tersebut.

Patrick juga berjaya melantik juara kapal layar dunia sebanyak dua kali, Peter Gilmour sebagai pengarah pertandingan tersebut yang berlangsung pada 29 November hingga 4 Disember tahun lalu.



Tiada ulasan: