Pencemaran #4: Berjumpa Dengan Bomoh.
Di antara perbuatan yang mencemari kemurnian tauhid ialah berjumpa dengan bomoh, dukun, pawang, penilik nasib atau sesiapa jua yang mendakwa mengetahui ilmu-ilmu ghaib.
Berjumpa dengan orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dapat mencemari kemurnian tauhid kerana pengetahuan tentang ilmu ghaib hanya milik Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Apa yang dimaksudkan dengan ilmu ghaib ialah pengetahuan yang tidak dapat diperolehi melalui deria manusia, seperti khabar yang akan datang, isi hati manusia dan peristiwa yang tersembunyi. Pengetahuan tentang ilmu-ilmu ini hanya dimiliki oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala sebagaimana firman-Nya:
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja. [al-An’aam 6:59]
Katakanlah: “Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” [al-Naml 27:65]
Pengetahuan tentang ilmu ghaib juga tidak diketahui oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Allah Subhanahu wa Ta‘ala menerangkan hakikat ini:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan.” [al-A’raaf 7:188]
Apa-apa ilmu ghaib yang diketahui dan dikhabarkan oleh Rasulullah di dalam hadis-hadis baginda yang sahih seperti kejadian pada akhir zaman, kehidupan di alam kubur, suasana Hari Akhirat dan sebagainya, semua itu adalah daripada apa yang dikhabarkan oleh Allah kepada baginda:
Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun; melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya). [al-Jin 72:26-27]
Oleh itu sesiapa yang mendakwa dirinya mengetahui ilmu ghaib, dia seorang pendusta. Lebih dari itu dia sebenarnya cuba menjadi sekutu bagi Allah dengan meletakkan dirinya sejajar dengan keilmuan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Oleh kerana itulah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melarang kita daripada mengunjungi orang-orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib. Seorang sahabat, Muawiyah bin al-Hakam radhiallahu 'anh pernah bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
“Wahai Rasulullah! Ada perkara yang kami lakukan semasa zaman Jahiliyyah (seperti) mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.” Rasulullah menjawab: “Jangan mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.”
Dalam hadis di atas, orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dikenali sebagai (الْكُهَّانُ). Perkataan (الْكُهَّانُ) atau (كَهَنَةٌ)
adalah jamak daripada perkataan (كَاهِنٌ). Al-Allamah Syam al-Haq Abadi menjelaskan:
Disebut di dalam al-Lisan (oleh Ibn Manzur) bahawa ia adalah orang yang memperoleh khabar daripada alam sekelilingnya tentang hal-hal yang akan berlaku dan mendakwa mengetahui perkara-perkara rahsia …… maka di antara mereka ialah orang-orang yang mendakwa memiliki jin yang mengikuti mereka dan menyampaikan khabar kepadanya dan di antara mereka ialah orang-orang yang mendakwa mengetahui sesuatu urusan berdasarkan pendahuluan sebab-sebab yang menunjuk ke arahnya melalui perkataan atau perbuatan atau hal tertentu. Berkata Ibn Atsir, sabda baginda: “Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib” merangkumi bomoh, tukang ramal dan penilik nasib.
Larangan mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib adalah larangan yang besar sebagaimana hadis berikut daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
"Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan bertanya kepada dia sesuatu maka tidak akan diterima solatnya selama empat puluh malam."
Perkataan (عَرَّافًا) yang disebut di dalam hadis di atas memiliki maksud yang hampir sama dengan (الْكُهَّانَ) yang disebut dalam hadis sebelumnya. Muhammad bin Shalih al-Utsaimin menerangkan:
Dikatakan, (العَرَّاف) adalah (الكَاهِن), iaitu orang yang sering memberitahu tentang khabar yang akan terjadi. Ada yang mengatakan ia adalah nama umum meliputi dukun, ahli nujum dan orang-orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib.
Perhatikan semula hadis di atas, Rasulullah tetap melarang kita mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib atau bertanya sesuatu kepadanya sekalipun kita tidak mempercayai apa yang dikatakan olehnya. Terdapat beberapa sebab di sebalik larangan ini:
1. Pengetahuan tentang ilmu ghaib hanya diketahui oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Apabila seseorang itu mendakwa dirinya mampu mengetahui ilmu ghaib, maka dia meletakkan dirinya sejajar dengan Allah.
2. Apabila seorang muslim mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, bererti dia mengiktiraf orang tersebut sebagai mampu mengetahui hal ghaib. Sepatutnya seorang muslim menolak orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib dan tidak mengunjunginya kecuali untuk memberi nasihat akan kesalahan tindak tanduknya.
3. Sekalipun pengunjung pada awalnya tidak mempercayai khabar yang diberikan oleh orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, dia kemudian akan mempercayai orang tersebut jika khabar yang diberikannya menjadi sesuatu yang benar-benar berlaku. Ini akhirnya akan mengakibatkan pengunjung membenarkan apa yang dikhabarkan oleh orang tersebut.
Akhir sekali, jika seseorang itu membenarkan khabar orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, ia membawa natijah yang amat berat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memberi amaran yang keras dalam hal ini:
"Sesiapa yang mengunjungi orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lalu membenarkannya atau menyetubuhi isterinya yang sedang haid atau menyetubuhi isterinya dari duburnya, maka dia telah lepas (keluar) daripada apa yang diturunkan ke atas Muhammad (yakni Islam)."
Di Malaysia, orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib, atau ringkasnya bomoh[14], terbahagi kepada dua kategori:
Bomoh Kategori Pertama:
Bomoh kategori pertama adalah mereka yang tidak mengetahui apa-apa ilmu ghaib tetapi bijak membuat khabar sehingga dipercayai oleh orang yang mengunjungi mereka. Khabar-khabar yang disampaikan oleh bomoh dalam kategori ini sudah ditentukan sejak awal lagi. Berikut lima contoh yang paling lazim berlaku:
1. Jika orang yang mengunjunginya bertanya tentang barang berharga yang hilang, jawapan yang akan diberikan ialah:
“Ia diambil oleh seseorang yang rapat lagi dipercayai.”
2. Jika isteri bertanya tentang sikap suaminya yang akhir-akhir ini berubah, jawapan yang akan diberikan ialah:
“Suami kamu sudah ada girlfriend yang baru di hatinya.”
3. Jika suami bertanya tentang sikap isterinya yang akhir-akhir ini berubah, jawapan yang akan diberikan ialah:
“Isteri kamu telah kembali dengan boyfriend lamanya.”
4. Jika seseorang ingin mencari pasangan hidup yang sesuai yang masih belum ditemuinya, jawapan yang akan diberikan ialah: “Ada sial yang menghalang diri kamu daripada dilihat oleh orang lain.” Ubatnya ialah mandi bunga.
5. Jika seseorang menghadapi satu penyakit aneh atau mimpi yang bukan-bukan, jawapan yang akan diberikan ialah: “Ia adalah buatan orang yang rapat lagi dengki kepada kamu.”
Ada beberapa cara untuk mengenali bomoh kategori pertama ini selain daripada jawapan-jawapan di atas yang bakal diberikannya:
1. Mereka akan memulakan “upacara” dengan bacaan al-Qur’an dan zikir-zikir tertentu. Ini hanyalah solekan bagi memberi pengaruh palsu kepada pengunjung bahawa mereka sebenarnya membuat “upacara” yang selari dengan Islam.
2. Mereka akan berlakon seolah-olah sedang berfikir dalam penuh kekhusyukan. Dahi dikerut-kerutkan dan mata dipejamkan, sekali lagi untuk memberi pengaruh palsu kepada pengunjung bahawa mereka sedang bersungguh-sungguh untuk membantu.
3. Khabar atau jawapan yang akan diberikan dengan nada yang perlahan tetapi serius untuk memberi pengaruh kepada pengunjung bahawa mereka juga serius dalam khabar atau jawapan tersebut. Ini akan memberi keyakinan kepada pengunjung bahawa apa yang dikhabarkan adalah benar.
4. Di akhir “upacara”, mereka tidak akan meminta apa-apa bayaran. Ini kononnya akan menunjukkan keikhlasan usaha mereka sehingga berjaya mendapat simpati pengunjung. Pengunjung akhirnya akan memberi sedikit bayaran seperti RM50 atau RM100. Akan tetapi jika diberi bayaran yang amat sedikit, seperti RM5, si-bomoh akan menunjukkan air muka yang kurang senang atau mungkin juga akan berkata-kata sesuatu umpama: “Terima kasih nak (anak) atas duit lima ringgit ni. Pak cik memang memerlukannya, lebih-lebih lagi sekarang harga minyak pun dah naik, harga sayur pun dah naik. Pak cik sendiri dah lama tak makan daging. Hari-hari nasi dan ikan masin sahaja.”
Bomoh Kategori Kedua:
Jika bomoh kategori pertama hanya memberi khabar berbentuk umum yang sudah disiapkan sejak awal, bomoh kategori kedua pula mampu memberi khabar secara tepat lagi terperinci. Ini dapat dilakukan dengan bantuan jin kafir atau jin fasiq yang mereka pelihara. Oleh itu jika seorang muslim mengunjungi mereka dengan masalah-masalah yang sama di atas, bomoh dalam kategori ini akan mampu memberi jawapan yang tepat lagi terperinci hasil daripada pemberitahuan jin peliharaannya.
Sebagai contoh, jika bertanya tentang dompet yang hilang, bomoh kategori ini akan menjawab:
“Ia diambil oleh rakan kerja yang duduk dua meja di sebelah kanan pada hari Khamis yang lepas. Dia seorang wanita berumur 24 tahun. Pada hari itu dia memakai baju kebaya merah dengan tudung merah muda yang diikat ke belakang kepala. Dia mencuri dompet kamu kerana dengki terhadap elaun tambahan yang kamu perolehi minggu lepas. Dia ingin melihat kamu berada dalam kesusahan untuk menggantikan semula kad pengenalan, lesen memandu, kad ATM, kad kredit dan sebagainya yang terdapat dalam dompet.”
Demikian khabar yang sebegitu terperinci yang disampaikan oleh jin peliharaan bomoh. Akan tetapi ketahuilah bahawa khabar itu sendiri terbahagi kepada dua bahagian:
1. Khabar tentang ciri-ciri rakan kerja yang duduk dua meja di sebelah. Khabar ini memang tepat dan berjaya memberi keyakinan kepada pengunjung akan khabar yang disampaikan oleh bomoh.
2. Khabar bahawa rakan kerja itulah yang mencuri dompet kerana dengki dan ingin memberi kesusahan kepada pengunjung.
Khabar ini adalah dusta.
Bentuk khabar sebegini yang disampaikan oleh jin peliharaan bomoh sudah diberitahu oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sejak lebih 1400 tahun yang lalu. A’isyah radhiallahu 'anha pernah bertanya kepada Rasulullah:
"Wahai Rasulullah! Sesungguhnya orang yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib lazimnya mengkhabarkan kami dengan sesuatu, kemudian kami dapati ia adalah benar!” Rasulullah menjawab: “Ia adalah kalimah (perkara) benar yang diambil oleh seorang jin lalu dibisikkan kepada telinga pengikutnya, kemudian dibuat tambahan padanya dengan seratus kedustaan.”
Terdapat beberapa sebab jin sengaja membuat dusta:
1. Supaya berlaku pertengkaran antara dua orang Muslim. Perpecahan dan persengketaan antara orang Islam memang digemari oleh golongan jin yang kafir atau fasiq.
2. Supaya pengunjung tersebut akan meminta bomoh untuk membalas rakan kerjanya dengan sesuatu gangguan. Bomoh pada gilirannya akan mengupah jin peliharaannya untuk melakukan sesuatu gangguan kepada rakan kerja itu. Upahan yang diberikan lazimnya adalah sembelihan haiwan seperti ayam putih atau kambing putih.
3. Sebenarnya jin tidak memerlukan apa-apa sembelihan haiwan. Mereka hanya menghendaki agar sembelihan dilakukan di atas nama mereka atau kerana mereka. Apabila bomoh dan pengunjung melakukan sembelihan sedemikian, mereka telah melakukan kesalahan yang besar di sisi Allah. Inilah yang dikehendaki oleh jin tersebut, iaitu menyesatkan seorang muslim dan menjerumuskannya ke dalam kesalahan agama.
Menyembelih di atas nama selain Allah Subhanahu wa Ta‘ala merupakan satu kesalahan yang besar. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
"Allah melaknat orang yang melaknat ibubapanya, Allah melaknat orang yang menyembelih kerana selain Allah, Allah melaknat orang yang melindungi seorang ahli bid’ah dan Allah melaknat orang yang mengubah sempadan tanah."
Bomoh kategori kedua dapat dikenali dengan ketepatan khabar yang dikemukakan olehnya terhadap sesuatu masalah yang dihadapi oleh pengunjung. Akan tetapi kebenaran hanyalah sedikit demi memperoleh keyakinan pengunjung. Seterusnya adalah dusta. Bomoh kategori kedua lazimnya tidak akan meminta bayaran dalam bentuk wang sahaja tetapi dilengkapi dengan persediaan dalam bentuk kebendaan seperti haiwan, telur dan sebagainya.
Hukum mengunjungi bomoh kategori kedua ini adalah jauh lebih berat daripada bomoh kategori pertama. Ini kerana mereka mendakwa mengetahui hal ghaib dengan khabar-khabar dusta yang akhirnya memfitnah orang yang tidak bersalah.
Lebih dari itu pemeliharaan dan penggunaan jin akan menyebabkan bomoh dan pengunjung terpaksa melakukan amalan yang dilarang oleh Islam.
Bagaimana Jika Menggunakan Jin Muslim?
Menyentuh tentang pemeliharaan dan penggunaan jin, sebahagian pihak ada yang berkata ianya dibolehkan jika jin tersebut adalah “jin muslim”. Saya berkata, benar bahawa terdapat jin yang muslim. Hal ini dinyatakan di dalam al-Qur’an:
Katakanlah (wahai Muhammad), telah diwahyukan kepadaku bahawa sesungguhnya satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: “Sesungguhnya kami telah
mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul lalu kami beriman kepadanya dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.” [al-Jin 72:1-2]
Namun persoalannya adalah, bagaimana kita dapat mengetahui jin tersebut adalah muslim yang shalih lagi berada di atas jalan yang benar? Ini kerana masyarakat jin itu sendiri terbahagi kepada beberapa aliran dan mazhab:
Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan (jin) yang shalih dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan. [al-Jin 72:11]
Terdapat beberapa petunjuk yang dapat digunakan sebagai ukuran membezakan jin muslim yang shalih lagi berada di atas jalan yang benar:
1. Jin tersebut akan mengakui bahawa dia tidak mengetahui perkara ghaib dan apa-apa manfaat atau mudarat yang bakal berlaku. Masyarakat “jin muslim” yang diiktiraf oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengakui:
Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala. Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.
Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah bala bencana akan menimpa penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka. [al-Jin 72:8-10]
2. Jin tersebut akan menasihatkan agar tidak menggunakan apa-apa khidmatnya kerana ia tidak lain hanya akan menambah dosa dan kesalahan: Dan bahawasanya ada beberapa orang laki-laki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka (manusia tersebut) dosa dan kesalahan. [al-Jin 72:06]
3. Jin tersebut akan menasihatkan bahawa kebanyakan daripada kalangannya lazim berdusta dengan percakapan yang indah susunannya agar dapat memperdayakan para pendengarnya:
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya [al-An’aam 6:112]
Nah! Jika jin berani berdusta dan memperdayakan para Nabi, sudah tentu mereka akan lebih berani melakukannya terhadap manusia biasa.
4. Jin tersebut akan mengingatkan bahawa menggunakan pertolongan mereka hanya akan menempah tempat di dalam api neraka:
Dan (ingatlah) Hari (Kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): “Wahai sekalian jin! Sesungguhnya kamu telah memiliki banyak pengikut-pengikut dari golongan manusia.”
Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia:
“Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (jin-jin), dan kami telah sampai kepada masa kami (Hari Kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami.”
(Allah berfirman): “Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya kecuali apa yang dikehendaki Allah.”
Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui. [al-An’aam 6:128]
5. Jin tersebut akan menerangkan bahawa menggunakan khidmat mereka hanyalah sesuatu yang dikhususkan keizinannya oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepada Nabi Sulaiman ‘alaihi salam, tidak kepada manusia yang lain:
Dan Kami (Allah) kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan; dan Kami alirkan baginya mata air dari tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka.
Demikianlah beberapa ciri atau ukuran bagi menentukan “jin muslim” yang shalih lagi berada di atas jalan yang benar.
Ringkasnya jin muslim tidak akan menawarkan apa-apa khidmat kepada bomoh atau manusia melainkan menasihatkan mereka, paling kurang, dengan lima ayat al-Qur’an yang telah dikemukakan di atas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan