Khamis, Mei 26, 2011

13 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid Bah. 1

Apakah Yang Dimaksudkan Dengan Tauhid?

Apabila ditanya tentang maksud kalimah tauhid “La ila ha illaLlah”, yang difahami oleh kebanyakan kita ialah “tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”. Ini adalah benar, namun ruang lingkup tauhid tidaklah terhad dalam konteks sembahan sahaja. Ia adalah lebih luas meliputi apa yang dapat dikatakan sebagai “tiada yang dapat dianggap melakukan kerja-kerja tuhan melainkan Allah” atau “tiada yang mampu berperanan sebagai tuhan melainkan Allah”.

Dimaksudkan dengan “kerja-kerja atau peranan tuhan” ialah sesuatu yang dinilai oleh manusia sebagai kononnya mampu mencipta dari tiada kepada ada, mengurus alam, mengetahui hal ghaib, menetapkan sesuatu kebaikan atau keburukan, mengabulkan doa, memberi pertolongan, menggubal syari‘at dan sebagainya.

Oleh itu apabila kita bersaksi dengan kalimah tauhid “La ila ha illaLlah”, kita sebenarnya bersaksi bahawa tiada Tuhan atau apa-apa jua kecuali Allah yang mencipta dari tiada kepada ada, mengurus alam, mengetahui hal ghaib, menetapkan sesuatu kebaikan atau keburukan, mengabulkan doa, memberi pertolongan, menggubal syari‘at dan sebagainya.

Setelah membaca penjelasan di atas, saya yakin para pembaca sekalian akan menyatakan bahawa itulah tauhid yang
disaksikan selama ini. Akan tetapi sedar atau tidak, ada beberapa perkara yang jika kita meyakininya atau melakukannya, akan mencemari kemurnian tauhid tersebut.

Pencemaran #1: Menggelar Alam Ini Sebagai “Alam Semula Jadi”.

Sebahagian orang ada yang menggelar alam ini sebagai “alam semula jadi”. Contohnya, ketika berkelah di taman, mendaki gunung, meneroka hutan atau berdayung, ada di antara kita yang berkata “Kami sedang mengecapi kecantikan alam semula jadi” atau “Sungguh indah alam semula jadi ini”. Selain itu ada juga yang menggelar alam ini sebagai “Mother Nature” kerana terikut-ikut kepada gelaran yang biasa digunakan oleh orang Barat.

Sebenarnya ini adalah gelaran yang salah kerana alam ini tidak terjadi dengan sendirinya. Alam ini adalah ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Allah berfirman:

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam. [al-A’raaf 7:54]

Malah keindahan alam ini sepatutnya menjadi faktor yang mengingatkan seseorang kepada penciptanya, tidak sebaliknya.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengingatkan kita:

Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata):

“Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” [Ali Imran 3:189-191]

Oleh itu tidak sepatutnya kita menggelar alam ini sebagai “semula jadi”, tetapi sebutlah ia sebagai “alam ciptaan Allah”.

Sumber: http://hafizfirdaus.com

Tiada ulasan: