Khamis, Mei 26, 2011

13 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid Bah. 3

Pencemaran #3: Menganggap Kesatuan Wujud Antara Allah Dan Makhluk.

Jika sebelum ini kita membicarakan teori yang mengatakan kewujudan semua makhluk adalah hasil evolusi daripada satu sel, maka di sini kita akan bicarakan pula teori yang mengatakan yang wujud hanya Allah sementara kewujudan selain Allah hanyalah prespektif manusia terhadap kewujudan sebenar, iaitu wujud Allah. Fahaman ini dikenali sebagai Wahdah al-Wujud atau kesatuan wujud antara Allah dan makhluk (Oneness of Being).

Fahaman ini berasal daripada agama-agama lain, termasuk pemikiran beberapa ahli falsafah Yunani lama. Lalu ia
diambil oleh beberapa individu Islam dan diislamkan dengan solekan beberapa ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sehingga menjadilah ia “Fahaman versi Islam”.

“Fahaman versi Islam” mendakwa:

Apa yang selama ini dianggap wujud oleh manusia sebenarnya hanyalah satu prespektif yang dibentuk oleh deria-
derianya seperti pandangan, pendengaran, bau, rasa, sentuhan, pengetahuan dan sebagainya. Prespektif ini muncul kerana manusia pada kebiasaannya tidak mampu untuk menjangkau sesuatu yang melebihi apa yang dapat dijangkau oleh deria-derianya. Jika mereka berjaya menjangkauinya, mereka akan menembusi ke satu alam yang berbeza daripada apa yang selama ini dibentuk oleh deria-deria mereka. Dari penembusan tersebut, mereka akan sedar bahawa apa yang selama ini dianggap wujud sebenarnya tidak wujud. Akan tetapi yang wujud ialah Allah sahaja.

Setelah mengetahui akan hakikat ini, maka seseorang itu akan mencapai kemurnian tauhid yang sebenar, iaitu tidak ada apa-apa jua melainkan Allah. Dengan itu juga manusia tidak perlu beribadah dan melaksanakan perintah larangan Allah.

Ini kerana jika yang wujud hanya Allah, maka wujud manusia adalah sebahagian daripada wujud Allah. Oleh itu segala ibadah dan perintah larangan dinilai sifar kerana Allah tidak perlu beribadah kepada Allah dan Allah tidak diperintah atau dilarang oleh Allah. Ganjaran syurga dan azab neraka juga menjadi sifar kerana ia tidak lain adalah Allah jua.

Jelas bahawa fahaman Wahdah al-Wujud menyelisihi seluruh risalah tauhid dan syari‘at Islam. Ini kerana:

Risalah tauhid yang ditetapkan oleh Allah ialah “Tiada Tuhan melainkan Allah” dan bukannya “Tiada apa-apa jua
melainkan Allah.” Apabila dikatakan “Tidak ada apa-apa jua melainkan Allah”, bererti menyatukan segala sesuatu
dengan Allah. Ini bukanlah pemurniaan tauhid tetapi pencemaran besar-besaran terhadap tauhid. Malah ini lebih buruk daripada teori Trinity yang dipegang oleh kaum Kristian. Sebabnya, teori Trinity hanya menyatukan 3 perkara dalam Tuhan manakala teori Wahdah al-Wujud menyatukan segala-galanya dalam Tuhan.

Teori Wahdah al-Wujud mensia-siakan sifat Allah. Ini kerana dengan sifat-sifat-Nya-lah Allah mencipta makhluk (al-Khaliq), mengasihinya (al-Rahman), memberi rezeki (al-Razzaq) dan pelbagai lagi. Jika dikatakan tidak ada yang wujud melainkan wujud Allah, maka segala sifat Allah menjadi sia-sia kerana ia selama ini ditujukan kepada sesuatu yang tidak wujud. Sifat al-Khaliq adalah sia-sia kerana Allah sebenarnya tidak mencipta apa-apa, Sifat al-Rahman adalah sia-sia kerana Allah sebenarnya tidak mengasihi apa-apa. Sifat al-Razzaq adalah sia-sia kerana Allah tidak memberi rezeki kepada apa-apa. Maha Suci Allah daripada teori Wahdah al-Wujud ini.

Allah juga mengajar manusia untuk mengenal-Nya dengan memerhatikan kewujudan makhluk ciptaan-Nya, bukan bersatu dengan-Nya dengan menafikan kewujudan makhluk ciptaan-Nya. Oleh kerana itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda:

"Berfikirlah tentang ciptaan Allah dan janganlah berfikir tentang Allah."

Allah juga mengutus para Rasul, termasuk Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam untuk mengajar manusia syari‘at
Islam. Maka yang dituntut ialah mentaati syari‘at Islam dan bukan menyatu dengan syari‘at Islam sehingga menjadikan ia sifar (saling membatalkan antara satu sama lain).

Dari sini jelas juga bahawa fahaman Wahdah al-Wujud adalah salah satu penipuan syaitan bagi menyesatkan manusia daripada mentauhidkan Allah dan daripada melaksanakan syari‘at-Nya. Adapun yang disebut-sebut sebagai penembusan ke “alam baru” yang bebas daripada prespektif deria, ia tidak lain adalah alam syaitaniyah yang lebih canggih daripada alam sebelumnya. Malah boleh dikatakan bahawa fahaman Wahdah al-Wujud adalah kejayaan syaitan yang terbesar dalam menyesatkan manusia. Sebabnya, fahaman Wahdah al-Wujud berjaya menafikan manusia daripada mentauhidkan Allah dan melaksanakan syari‘at-Nya. Ini adalah kejayaan “dua dalam satu” bagi syaitan.

Mereka yang mempercayai fahaman Wahdah al-Wujud lazimnya akan mengemukakan beberapa dalil daripada al-Qur’an dan al-Sunnah untuk membenarkan. Berikut dianalisa tiga dalil mereka yang paling masyhur:

Pertama:

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Allah adalah cahaya langit dan bumi. [al-Nur 24:35]

Penegak fahaman Wahdah al-Wujud mendakwa bahawa banyak ahli sains, khasnya ahli fizik (physicist) masa kini telah menemui bahawa yang sebenarnya wujud dalam alam ini ialah gelombang cahaya (light waves). Gelombang cahaya inilah dengan segala ciri-cirinya yang menakjubkan, membentuk atom-atom yang membentuk objek dan makhluk. Maka apa yang ditemui oleh para ahli sains ini sebenarnya membuktikan bahawa yang sebenarnya wujud hanyalah Allah kerana Allah telah berfirman: Allah adalah cahaya langit dan bumi. [al-Nur 24:35][6]

Analisa:

Allah Subhanahu wa Ta'ala bukanlah cahaya kerana Allah tidak menyerupai apa jua yang wujud di alam ini. Allah
menegaskan:

Dan tidak ada apa jua yang serupa dengan-Nya.” [al-Ikhlas 112:1-4]

Akan tetapi cahaya merupakan salah satu sifat Allah. Hasil daripada sifat cahaya inilah Allah memberi cahaya
keterangan kepada alam ini dan cahaya petunjuk kepada hamba-hamba-Nya yang mencarinya.

Ini sebagaimana al-Khaliq (Maha Mencipta) adalah salah satu daripada sifat Allah di mana hasil daripada sifat ini Allah mencipta segala yang ada, seperti bumi ini. Akan tetapi bumi ini bukanlah Allah, ia hanya hasil daripada ciptaan Allah. Demikian juga, al-Rahman (Maha Menyayangi) adalah salah satu daripada sifat Allah di mana hasil daripada sifat ini Allah mengasihi segala makhluk-Nya. Akan tetapi makhluk yang dikasihi itu bukanlah Allah, mereka hanya merasa hasil daripada kasih sayang Allah.

Adapun penemuan para ahli sains bahawa yang sebenarnya wujud dalam alam ini ialah gelombang cahaya, maka gelombang cahaya tersebut adalah salah satu hasil daripada cahaya Allah. Malah ia mungkin adalah salah satu ciptaan Allah jua sebagai al-Khaliq. Gelombang cahaya tersebut bukanlah Allah tetapi membuktikan kewujudan Allah. Ini kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala sedia meletakkan tanda-tanda-Nya di seluruh alam yang dengan itu manusia akan menemui bukti kewujudan-Nya:

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? [al-Fussilat 41:53]

Kedua:

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dia-lah (Allah) Yang Awal dan Yang Akhir dan Yang Zahir serta Yang Batin. [al-Hadid 57:03]

Penegak fahaman Wahdah al-Wujud mendakwa ayat di atas membuktikan bahawa Allah adalah segala-galanya. Justeru tidak wujud apa jua melainkan wujud Allah.

Analisa:

Maksud sebenar ayat di atas telah dijelaskan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

"Ya Allah! Engkau-lah yang Awal yang tiada sesuatu jua sebelum Engkau, Engkau-lah yang Akhir yang tiada sesuatu jua selepas Engkau, Engkau-lah yang Zahir yang tiada sesuatu jua di atas Engkau dan Engkau-lah yang Batin yang tiada sesuatu jua di bawah Engkau."

Ayat di atas dan hadis yang menjelaskannya menunjukkan bahawa al-Awal, al-Akhir, al-Zahir dan al-Batin adalah sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

1. al-Awal bermaksud keberadaan Allah yang pertama sebelum segala sesuatu tanpa Dia sendiri memiliki permulaan.

2. al-Akhir bermaksud keberadaan Allah yang terakhir setelah segala sesuatu tanpa Dia sendiri memiliki pengakhiran.

3. al-Zahir bermaksud kebesaran Allah dalam mencipta segala ciptaan-Nya, dimana tidak ada apa jua yang mampu
menandingi kebesaran tersebut.

4. al-Batin bermaksud kehalusan Allah dalam mengurusi segala ciptaan-Nya, dimana tidak ada apa jua yang mampu
menandingi kehalusan tersebut.

Ayat ketiga surah al-Hadid di atas tidak menunjukkan bahawa segala sesuatu adalah Allah, tetapi keunggulan Allah berbanding segala sesuatu. Malah ayat ini membuktikan bahawa tiada apa-apa yang dapat bersatu dengan Allah kerana Allah mengungguli segala-galanya.

Ketiga:

Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.” [al-Hijr 15:28-29]

Menurut para penegak fahaman Wahdah al-Wujud, apabila Allah meniup roh-Nya ke dalam manusia, bererti Allah wujud di dalam manusia. Lebih jauh, ayat ini menunjukkan bahawa setiap ciptaan Allah memiliki “sebahagian” daripada Allah di dalamnya. Oleh itu yang sebenarnya wujud ialah Allah.

Analisa:

Apabila Allah meniup roh-Nya ke dalam manusia yang dicipta-Nya, roh tersebut bukanlah sebahagian daripada Allah. Ini kerana Allah tidak memiliki roh. Akan tetapi yang sebenarnya ditiup ialah roh ciptaan-Nya.

Sebagai contoh, apabila seorang pereka fesyen memberi baju ciptaan terbarunya kepada pihak majalah, dia berkata:

“Nah! Inilah baju terbaru aku.” Kata-kata ini tidaklah bererti baju tersebut adalah sebahagian daripada pereka
fesyen akan tetapi bererti baju tersebut adalah ciptaan dia. Demikian juga, apabila Allah berfirman: “Aku tiupkan padanya roh-Ku”, ia tidaklah bererti roh tersebut adalah sebahagian daripada Allah tetapi bererti roh tersebut adalah ciptaan Allah.

Demikian tiga ayat yang lazim digunakan untuk membenarkan fahaman Wahdah al-Wujud. Ada beberapa lagi ayat al-Qur’an dan hadis yang lazim digunakan. Akan tetapi dengan sedikit penelitian yang mudah, akan didapati bahawa ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut tidak ada kaitan langsung dengan fahaman Wahdah al-Wujud.

Perkara penting yang perlu diperhatikan oleh para pembaca sekalian adalah, fahaman Wahdah al-Wujud muncul lebih tiga atau empat abad selepas kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ini sudah cukup sebagai petanda bahawa fahaman ini bukan berasal dari Islam tetapi dari sumber yang asing. Ia tidak termasuk dalam kesempurnaan Islam yang Allah maksudkan dalam firman-Nya:

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. [al-Maidah 5:03]

Sumber: http://hafizfirdaus.com

Tiada ulasan: