Khamis, Mei 26, 2011

13 Perkara Yang Mencemari Kemurnian Tauhid Bah. 2

Pencemaran #2: Menganggap Makhluk Wujud Melalui Proses Evolusi.

Para pengkaji bukan Islam menganggap makhluk yang wujud masa kini, termasuklah manusia, semuanya terhasil melalui proses evolusi. Semua makhluk asalnya wujud dalam bentuk satu sel, kemudian dalam masa ratusan tahun, ia berevolusi menjadi makhluk-makhluk yang lain sehinggalah kepada apa yang wujud masa kini.

Sayang sekali teori ini juga telah menyelinap masuk dalam pemikiran orang Islam. Banyak sumber yang menerang dan membenarkan teori evolusi sehingga sebahagian umat Islam menganggap ia sebagai penemuan yang muktamad.

Sebenarnya teori evolusi tidak lain adalah teori semata-mata bagi menjustifikasi kebingungan kaum Athies yang tidak mempercayai wujudnya Tuhan yang Maha Pencipta. Mereka mencari-cari asal usul kewujudan makhluk melalui pemikiran dan fakta sains. Apabila tidak ditemui jawapan yang muktamad, mereka mencipta teori evolusi bagi menyatakan asal usul kewujudan makhluk.

Tanpa disedari, teori evolusi juga tidak memberikan jawapan yang muktamad kepada mereka. Paling kurang terdapat tiga persoalan yang masih membingungkan mereka:

1. Jika benar semua makhluk asalnya berevolusi daripada satu sel, bagaimana pula sel yang pertama tersebut boleh wujud pada asalnya?

2. Jika benar sel tersebut berevolusi menjadi makhluk-makhluk tertentu, apakah yang menyebabkan sel tersebut mampu berevolusi?

3. Jika benar sel tersebut berevolusi, apakah kuasa yang mengatur proses tersebut sebegitu lancar sehingga mampu membentuk makhluk yang sempurna? Seandainya proses evolusi berlaku dengan sendirinya, sudah tentu hasil evolusi adalah tidak teratur, menjauhi sifat kesempurnaan.

Bagi kita orang Islam, semua makhluk termasuk manusia tidak terhasil melalui proses evolusi. Akan tetapi ia adalah ciptaan Allah Subhanahu wa Ta'ala. Allah menerangkan tentang awal penciptaan manusia:

Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh-Ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.” [al-Hijr 15:28-29]

Demikian juga dengan penciptaan makhluk yang lain seperti binatang, Allah berfirman:

Dia (Allah) menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Dia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Dia biakkan padanya pelbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat. [Luqman 31:10]

Jika golongan athies bertanya, siapa atau apa yang mencipta Allah? Kami menjawab, “mencipta” adalah sifat Allah manakala “dicipta” bukan sifat Allah. Memang setiap sesuatu makhluk memiliki asal usulnya, akan tetapi Allah bukanlah seumpama makhluk sehingga dengan itu dapat dibicarakan asal usulnya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada apa jua yang serupa dengan-Nya.” [al-Ikhlas 112:1-4]

Jika golongan yang percaya dengan teori evolusi bertanya, bagaimana dengan penemuan-penemuan fosil yang menunjukkan kesamaan yang amat hampir antara sebahagian spesis kera tertentu dan manusia zaman terdahulu?

Kami menjawab, bahawa ia terdiri daripada dua kemungkinan:

1. Kesamaan yang amat hampir itu hanyalah satu kebetulan. Namun kesamaan fosil tidaklah bererti kesamaan jenis
makhluk. Ini kerana penemuan fosil tidak dapat menentukan samada “pemilik” fosil tersebut adalah makhluk berakal atau tidak. Digariskan bahawa perbezaan antara manusia dan haiwan ialah manusia dianugerahkan Allah dengan akal yang dengan itu dia dapat memilih pelbagai tindak-tanduk. Manakala haiwan tidak diberi akal, mereka hanya bertindak berdasarkan kebiasaan tabiat dan fitrah yang dianugerahkan oleh Allah.

2. Kesamaan yang amat hampir itu mungkin benar, akan tetapi ia tidak membuktikan bahawa spesis kera tersebut telah berevolusi menjadi manusia. Akan tetapi manusialah yang berevolusi menjadi spesis kera tersebut. Ini kerana al-Qur’an telah sedia mencatit sebahagian manusia yang oleh kerana tindakan mereka melanggar hukum Allah, mereka dihukum dengan perubahan menjadi kera. Ayat berikut menjadi rujukan:

Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar
(larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.

Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. [al-Baqarah 2:65-66]

Perhatikan juga bahawa tujuan Allah menghukum mereka menjadi kera tidak sekadar sebagai peringatan kepada orang-orang yang hidup pada saat itu, tetapi juga kepada orang-orang yang hidup selepas itu. Maka penemuan fosil masa kini yang menunjukkan kesamaan antara sebahagian spesis kera dengan manusia menjadi bukti akan kebenaran ayat-ayat al-Qur’an di atas. Lebih penting, ia menjadi peringatan kepada manusia secara umum dan orang bertaqwa secara khusus bahawa akibat daripada melanggar perintah larangan Allah adalah amat berat. Kembali kepada perbincangan asal, kewujudan makhluk-makhluk adalah hasil daripada ciptaan Allah dan bukannya daripada proses evolusi. Lebih dari itu, kehadiran makhluk-makhluk ini sepatutnya menjadi isyarat kepada manusia akan kekuasaan Allah yang mencipta semuanya.

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. Dan pada kejadian diri kamu sendiri, serta (pada kejadian) segala binatang yang dibiakkan-Nya, terdapat juga tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang meyakininya.

Dan (pada) pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga (pada) rezeki yang diturunkan oleh Allah dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta (pada) peredaran angin, (semuanya itu mengandungi) tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah) bagi kaum yang mahu menggunakan akal fikiran. [al-Jathiyah 45:3-5]

Sumber: http://hafizfirdaus.com

Tiada ulasan: