Rabu, September 04, 2019

Jangan Boikot Secara Melulu


MASYARAKAT Islam di negara ini dinasihatkan supaya memberi tumpuan kepada produk yang memiliki sijil halal, bukannya memboikot secara melulu barangan keluaran pengeluar bukan Islam.
Pendakwah bebas yang juga pensyarah kanan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, masyarakat Islam tidak sewajarnya taksub untuk memboikot sesuatu hanya berdasarkan perbezaan bangsa atau pegangan politik kerana agama melarang berbuat demikian kecuali atas alasan ilmu.
“Jika produk keluaran pengeluar Islam tidak berkualiti atau tidak memiliki sijil halal, adakah kita wajib membelinya?
“Adalah lebih baik jika gerakan terbabit mengajak umat Islam untuk memberi tumpuan kepada produk yang memiliki persijilan halal khususnya daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana barangan yang mempunyai sijil halal sememangnya menepati hukum syarak dan berkualiti tinggi.
“Dalam isu ini, jika tidak mempunyai pilihan lain, kita tidak boleh sesuka hati memboikot barangan keluaran pengeluar bukan Islam kerana Nabi Muhammad SAW sendiri pun membenarkan orang Yahudi berniaga di kota Madinah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Beliau mengulas mengenai wujudnya gerakan pihak tertentu untuk memboikot barangan yang dikeluarkan atau dijual oleh orang bukan Islam.
Mohd Izhar berkata, dianggarkan hanya 25 peratus daripada ribuan produk halal yang terdapat di pasaran hari ini adalah keluaran pengeluar Islam dan Bumiputera
Mohd Izhar berkata, di Arab Saudi misalnya, masyarakat Islam di sana memboikot sebuah restoran makanan segera dan usaha mereka berjaya kerana mempunyai produk gantian yang seumpamanya iaitu Al-Baik.
“Al-Baik bukan sahaja dimiliki oleh orang Islam tetapi kualiti makanannya juga sama dengan jenama makanan segera terkenal itu.
” Justeru, tidak hairanlah mengapa masyarakat Islam di sana berjaya memboikot ( jenama makanan segera terkenal berkenaan) kerana ada produk gantian yang hampir sama kualitinya,” katanya.
Menurutnya, gerakan untuk memboikot dilihat sukar dijayakan di negara ini kerana kesedaran masyarakat untuk memperkukuhkan ekonomi orang Islam masih kurang.
Ini kerana, banyak masa masyarakat dihabiskan dengan berselisih faham, bergaduh sesama sendiri daripada berusaha meningkatkan lagi kualiti produk keluaran masing-masing.
“Jika kita melulu memboikot barangan hanya disebabkan sesuatu bangsa atau agama, ia adalah tidak wajar.
“Kita seharusnya melihat kepada skop yang lebih besar iaitu persijilan halal kerana jika kita memboikot barangan yang tidak mempunyai sijil halal, ia secara tidak langsung akan memaksa pengeluar untuk memohon sijil halal dan menepati semua syarat pembuatan yang diperlukan terutama daripada pihak agama,” katanya.

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Tiada ulasan: