Rabu, September 04, 2019

Isu Ubat Tiada Logo Halal JAKIM


Bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara, semua produk ubat-ubatan sama ada moden atau tradisional WAJIB berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dijual kepada pengguna. Sebelum didaftarkan produk-produk ini akan diuji dan dinilai bagi memastikan ianya selamat, berkualiti dan berkesan.

Terdapat dua 4 kategori ubat yang dibawah pengawalan PBKD

1) *Ubat terkawal (kod MAL2002544-A)*. Ubat yang dikawal selia sepenuhnya sepertimana terdapat dalam jadual racun mengikut Akta Racun 1952 (serta pindaan). Kategori inilah yang terdapat dalam premis KKM dan swasta. Ianya wajib berdaftar dan tertakluk kepada regulasi undang-undang dari masa ke semasa. Terdapat 1674 jenama ubat yang berdaftar dalam buku formulari ubat KKM. Ia dikeluarkan oleh pelbagai syarikat samada dalam negara ataupun luar negara.

2) *Ubat bukan racun (Kod MAL20030080-X)*. Ubat jenis ini dikenali sebagai *ubat am atau Ubat Over The Counter (OTC)*. Boleh diperolehi di kedai farmasi ataupun kedai runcit tertentu. Contohnya Panadol dan seumpamanya.


3) *Ubat Tradisional dan Haemopathy (Kod MAL120144420-T)*. Ubat tradisi yang dikemukakan oleh pengusaha dengan membawa beberapa helaian terperinci mengenai produk tersebut. Ia dibincangkan dalam jawatankuasa PBKD sebelum diluluskan penggunaan kepada orang ramai. Ianya juga tertakluk kepada regulasi undang-undang dari masa ke semasa. Ubat tradisional ini akan menjalani proses ujikaji sebelum kelulusan. Antara aspek kajian yang dijalankan adalah i) Tiada kandungan logam berat (kerana ubat tradisi diperbuat dari sumber semulajadi seperti akar kayu dan sebagainya); ii) Tiada mengandungi ubat terkawal seperti sildenafil (viagra) atau seumpamanya; iii) Lulus ujian mikrobial (bebas bakteria).

4) *Suplemen Kesihatan (Kod MAL13111453-N)*. Kelulusan penggunaan suplemen jenis ini juga memerlukan permohonan dari PBKD. Walaupun secara umumnya ia selamat, tetapi memerlukan pengawalan dari sudut kepenggunaannya terhadap orang ramai. *Pemantaun pasca pemasaran* dari masa ke semasa akan dibuat oleh pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan pengguna. Kes yang banyak berlaku adalah bahan terlarang dicampurkan tanpa diistiharkan pada lebel suplemen tersebut.
Dalam masa yang sama BPFK sentiasa memantau produk yang didaftarkan dari segi produk dan keadaan kilang itu sendiri. _Boleh semak produk berdaftar disini http://bpfk.moh.gov.my/quest/search_result.php searchtxt=. Boleh juga guna aplikasi telefon pintar _https://play.google.com/store/apps/details

*_Logo HALAL_*

Buat masa ini pensijilan *Halal Jakim* untuk produk berasaskan ubatan hanya dibuka utk 3 kategori.

1. Ubat Tradisional
2. Ubat Neutraceutical
3. Ubat bukan racun (OTC).

Produk kosmetik, proses permohonan pensijilan halal juga menggunakan kaedah sama. Cuma, dari sudut kesihatan dan perubatan, produk kosmetik ini tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Kod kelulusan BPKD adalah NOTxxxxxxx.

Hasil kerjasama sepenuhnya antara *Jakim* dan *Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan*, 3 kategori ubat tersebut telah diberi kebenaran penggunaan logo *halal* pada label pembungkusan. Syarat utama kelulusan sesuatu produk itu mestilah selamat digunakan dan berstatus *Good Manufacturing Practice (GMP)*. Banyak Syarikat dalam negara telah dipersijilkan halal. Boleh semak disini http://www.halal.gov.my/v4/index.php/my/direktori-halal. Boleh juga cuba semak dengan telefon bimbit anda: Taip HALAL SEMAK [No. ROC] & SMS ke 15888.
Namun pensijilan halal adalah bersifat sukarela (voluntary) dari syarikat produk terbabit. Maka tiada mekanisma kawalan tertentu bagi produk yang tidak mahu dipersijilkan halal oleh pihak berkuasa tempatan ini. Tambahan pula jika produk yang dihasilkan di kilang luar negara. Untuk maklumat, terdapat juga produk luar negara yang telah dipersijilkan oleh badan Islam negara lain dan diiktiraf. Boleh lihat senarai badan Islam luar negara yang diiktiraf http://www.halal.gov.my/…/badan…/badan-luar-negara-diiktiraf.

*_Tiada Logo HALAL Ubat terkawal (kod MAL2002544-A)_*

Semua ubat jenis ini dikawal selia secara ketat oleh PBKD. Sebermula kelulusan ubat yang akan digunakan kepada orang ramai, sehinggalah perkara berbangkit yang kemungkinan terjadi kepada pesakit seperti kesan sampingan atau reaksi advers. Mekanisma tindak balas, dos, kandungan dalam ubat dan beberapa penerangan terperinci dimuatkan dalam kertas Informasi Ubat (PI) yang dikepilkan semasa pembungkusan. Jika sesatu ubat mengandungi bahan terlarang (dalam dos tertentu) atau haram dari hukum agama seperti *_babi_*, ia dinyatakan secara telus dalam PI tersebut. Inilah transpiransi dan kebertanggungjawaban yang diamalkan oleh KKM.

Pensijilan *Halal Jakim* tidak diwajibkan bagi jenis *Ubat Terkawal* ini kerana beberapa sebab:
1) Akan menimbulkan persaingan *tidak sihat* dikalangan pengusaha produk. Berlumba-lumba mendapatkan sijil halal dan mendakwa merekalah yang terbaik dan diiktiraf. Ini akan mengetepikan *Evidence Based Medicine (EBM)* sesuatu ubatan berkenaan yang berada dalam kategori sama untuk merawat. Contohnya jika ubat Metformin untuk sakit kencing manis dari syarikat A mendapat pensijilan halal, pesakit akan mendesak pihak doktor berikan Metformin sahaja. Sedangkan pesakit berkenaan layak dan lebih sesuai diberikan suntikan Insulin (Insulin kini *tidak diperbuat dari khinzir*, _semuanya analog sintetik_).

2) Menjadi konflik antara doktor dan pesakit dalam memilih ubat yang wajib diberikan semasa sakit. Sedangkan dalam keadaan darurat, ulama mengharuskan pemggunaan apa jenis ubat yang telah terbukti berkesan tanpa melihat status keabsahan halal/haram sesuatu ubat. Ubat yang mengandungi bahan haram boleh digunakan ke atas pesakit, jika suasana mendesak yang boleh menyebabkan mashlahat kepada pesakit jika tidak diberikan. Usul fiqh الضَرورة تنبيح المحظورات, bermakna: _"sesuatu yang terlarang itu diharuskan apabila darurat"_ akan digunakan.

3) Lebih dari 1600 jenis ubat samada dalam negara atau luar negara yang digunakan sehari-harian. Ianya diluar kemampuan pihak *Jakim* dan *KKM* untuk *menyelidik atau menyiasat* secara *terperinci* satu persatu ubatan tersebut. Walaupun mencari yang halal itu wajib, tetapi dalam hal ini kita tidak wajib bertanya lebih. Memadai kita mengambil hukum zahir bahawa sesuatu ubat itu tiada bahan haram seperti yang dinyatakan dalam PI. Terdapat kaedah fiqh iaitu الأصل في الأشياء الإباحة _“Asal hukum segala sesuatu adalah harus”_.

4) Ubatan terkawal ini bukan perlu diiklankan seperti ubatan/suplemen lain yang komersial. Status penjualan, pameran, pengedaran dan penggunaan wajib dikeluarkan oleh pegawai yang berdaftar. Segala fasa status pergerakan ubat berkenaan mempunyai implikasi undang-undang yang dikawal selia, ia bukan dikendalikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sekian
Dr Suhazeli Abdullah
Medical Mythbusters Malaysia

Tiada ulasan: