Halal atau tidak? Itulah yang selalu menjadi isu oleh para pembeli atau pengguna pada hari ini. Ternyata mereka semakin bijak menilai sesuatu produk yang dipasarkan. Kualiti menjadi suatu keutamaan bagi mereka. Atas sebab itu juga, produk-produk yang bermutu terus menjadi pilihan masyarakat dewasa ini. Maka tidak hairan jika kebanyakkan dalam kalangan masyarakat pada hari ini bijak untuk menetapkan piawaian terhadap sesuatu produk iaitu produk yang dijamin akan halalnya adalah produk yang telah mencapai tahap yang ditetapkan. Sangat penting juga untuk kita memilih produk-produk yang halal kerana produk-produk tersebut lebih dipercayai akan kebersihan dan keselamatannya. Suatu situasi yang tidak pelik apabila masyarakat Cina dan India atau mereka yang bukan Muslim di negara kita turut memilih produk halal. Cumanya, adakah wajar sekiranya para pengguna sahaja yang terus-menerus menyokong pemasaran produk halal? Tentu tidak sama sekali kerana para peniaga terutama yang beragama Islam dilihat mempunyai peranan yang begitu penting dalam usaha menaikkan lagi produk-produk berstatus halal. Timbul persoalan, bagaimanakah cara untuk para peniaga Muslim menyokong produk halal?
1.0 Memasarkan Sendiri Produk-Produk Berstatus Halal
Secara umumnya dapat difahami, bahawa para pengguna tidak akan dapat menggunakan produk-produk halal sekiranya tidak dipasarkan oleh para peniaga. Apa yang pasti, para peniaga terutamanya peniaga Muslim perlu memainkan peranan dengan terus memasarkan produk halal di premis-premis mereka. Itu sudah memadai sebagai satu tanda sokongan mereka terhadap barangan halal. Mereka juga tidak sepatutnya menjual barangan yang tidak mempunyai logo halal yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan barangan halal terus menjadi pilihan utama untuk kegunaan seharian para pengguna. Selain itu juga, peniaga Muslim mestilah sentiasa peka dengan isu-isu semasa berkaitan halal dan haram sesuatu produk. Tujuannya adalah supaya mereka sendiri tidak memasarkan produk tersebut di premis mereka.
Andakah anda tahu dan ingat bahawa dua tiga tahun kebelakangan ini kita pernah digemparkan dengan berita sosej yang dihasilkan dengan menggunakan kelongsong yang diperbuat daripada usus khinzir? Mendengarnya sahaja sudah cukup untuk membuatkan tekak menjadi kembang dan loya jauh sekali untuk menjamahnya. Begitu juga dengan satu kes di Selangor yang mana satu serbuan dilakukan di kilang pemprosesan ayam oleh pihak Majlis Agama Islam dan mendapati ayam-ayam tersebut disembelih dan diproses dengan cara yang bertentangan dengan Syarak. Info-info sebegini yang seharusnya diambil tahu oleh para peniaga termasuk para pembekal agar mereka tidak sekali-kali mendapatkan dan memasarkan produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat yang terbabit. Sekiranya perkara sebegini tidak diambil pusing, maka yang akan menjadi mangsa adalah para pengguna dan ini tidak sepatutnya terjadi!! Pengguna mempunyai hak untuk mendapatkan barang-barang yang bermutu dan berkualiti.
Apa yang dapat disimpulkan, dengan menjual produk-produk halal peniaga-peniaga Muslim ini bukan sahaja telah menyokong pemasaran barangan halal tetapi turut memenuhi permintaan pengguna yang sememangnya menginginkan barangan yang mempunyai piawaian halal yang diiktiraf JAKIM.
2.0 Promosi & Kempen Penjualan Produk-Produk Halal
Cara lain yang boleh dilakukan peniaga Muslim untuk menunjukkan tanda sokongan mereka terhadap produk-produk halal adalah dengan mengadakan promosi-promosi atau kempen-kempen yang berkaitan dengan penjualan produk halal di premis-premis mereka. Itu juga akan menjadi sebagai salah satu cara untuk menarik perhatian pelanggan supaya datang ke kedai mereka. Produk halal adalah produk yang meyakinkan dan diinginkan oleh majoriti besar para pengguna. Selain memberi keuntungan kepada para peniaga, promosi yang dilakukan akan memastikan pemasaran produk halal menjadi bertambah luas serta mungkin boleh menjadi fenomena baru dalam masyarakat iaitu mesti mendapatkan barangan yang halal untuk kegunaan mereka.
Mengambil contoh, pernahkah anda mendengar tentang satu perusahaan makanan ‘Char Kuey Tiow’ Sungai Dua? Untuk makluman bagi mereka yang tidak pernah mendengar tentang cerita Char Kuey Tiow Sungai Dua ini, pihak mereka menggunakan slogan “Char Kuey Tiow Sungai Dua – Telur Ayam Dibasuh”. Slogan ‘telur ayam dibasuh’ sudah cukup untuk memberi gambaran kepada para pelanggan bahawa pihak peniaga begitu mengamalkan kebersihan dalam perniagaan mereka. Tahukah anda bahawa telur ayam yang tidak dibasuh untuk tujuan memasak boleh menimbulkan persoalan hukum dari sudut Syarak kerana dikhuatiri najis ayam yang masih melekat ditelur tersebut akan turut termasuk kedalam makanan yang ingin dimasak. Mungkin nampak kecil, tetapi slogan yang digunakan oleh mereka iaitu ‘telur ayam dibasuh’ menunjukkan bahawa mereka menjaga tahap kebersihan yang juga merupakan elemen penting dalam persoalan halal dan haram. Apa yang penting, cara mereka telah dapat menarik lebih ramai pelanggan sekaligus menjadi satu promosi dan strategi dalam mengembangkan perniagaan mereka.
Bagi premis-premis yang menjual makanan dan minuman seperti restoran, apa yang boleh dilakukan adalah dengan memaparkan sijil pengesahan halal premis mereka terutama bagi premis-premis yang menyediakan perkhidmatan menjual makanan segera. Jelasnya, sijil tersebut akan memberi makluman kepada para pelanggan bahawa premis anda menjual seratus peratus makanan halal. Dari aspek lain pula, para peniaga restoran atau kedai makan digalakkan untuk menjaga kebersihan premis masing-masing dan mendapatkan gred A bagi tahap kebersihan restoran atau kedai mereka kerana faktor kebersihan akan turut mempengaruhi nilai halal itu sendiri. Tindakan peniaga Muslim mempromosikan produk-produk halal di premis mereka merupakan salah satu cara bijak untuk mereka terus menyokong pemasaran barangan yang berstatus halal.
3.0 Mengenalpasti Pembekal Produk
Seperkara lagi yang menjadi tanggungjawab para peniaga Muslim iaitu mengenalpasti para pembekal produk-produk yang mereka pasarkan. Menjadi suatu kemestian untuk mereka mengetahui tentang latarbelakang pembekal termasuk sama ada pembekal mendapat kelulusan daripada pihak berkepentingan seperti pihak kementerian dan sebagainya untuk membekalkan bahan-bahan tersebut. Mungkin agak remeh bagi sesetengah para peniaga Muslim untuk mengambil tahu sehingga ke peringkat tersebut tetapi mahu atau tidak, hal itu sebenarnya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab mereka. Akan tetapi, mungkin juga terdapat beberapa perkara yang berada diluar jangkauan para peniaga untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut dan hal sebegitu memang banyak berlaku.
Apabila bercakap tentang status pembekal produk, negara kita baru-baru ini dikejutkan dengan berita adanya telur ayam tiruan yang datangnya daripada negara Tembok Besar, China. Mendengar sahaja perkataan ‘tiruan’, mungkin persoalan pertama yang berlegar-legar di minda kita adalah bahan-bahan yang digunakan untuk membuat telur ayam tiruan tersebut. Maka sudah pasti juga akan timbulnya isu halal dan haram sama ada bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan telur tiruan tersebut adalah dibenarkan disisi Syarak atau tidak. Adalah lebih baik jika kita mengambil langkah selamat dengan tidak mengimport telur ayam – telur ayam daripada China. Bukan sahaja meragukan, malah telur ayam tiruan tersebut mungkin juga boleh membahayakan kesihatan. Maka, inilah yang dikatakan perlunya untuk para peniaga mengambil berat dan mengetahui berkaitan latar belakang pihak pembekal. Sebenarnya banyak lagi isu-isu berkaitan produk-produk yang diragui status halalnya khususnya bagi produk-produk yang datang daripada luar negara. Tetapi apa yang boleh diperkatakan adalah perkara tersebut menjadi tanggungjawab para peniaga untuk meneliti dan menilai produk-produk daripada pihak pembekal sebelum menerimanya untuk dipasarkan.
4.0 Penganjuran Kursus atau Seminar Kepada Para Peniaga Muslim
Cara lain yang mungkin berkesan untuk memastikan peniaga-peniaga Muslim menyokong produk-produk halal adalah dengan melibatkan mereka untuk menyertai kursus dan seminar yang berkaitan produk halal. Kursus dan seminar ini kebiasaannya dianjurkan oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) atau mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang. Objektif utama kursus dan seminar sebegini adalah untuk menyuntik kesedaran ke dalam diri para peniaga Muslim supaya mementingkan pemasaran produk-produk yang berstatus halal. Selain itu, kursus dan seminar yang dianjurkan juga boleh menjadi satu wahana untuk melontarkan persoalan, bertukar pandangan, berkongsi masalah serta mencari jalan penyelesaiannya diantara para peniaga dengan pakar-pakar yang dilantik termasuk penasihat Syariah. Secara tidak langsung akan dapat membantu para peniaga juga para pengguna mengetahui dengan lebih lanjut maklumat-maklumat semasa berkaitan persoalan halal dan haram sesuatu produk.
Contoh seminar halal ialah seperti Pameran Perdagangan Antarabangsa (MIHAS). Begitu juga dengan Halal Fiesta Malaysia (HALFEST) yang telah berlangsung dan memberi ruang dan peluang kepada para peniaga dan para pembekal untuk terus memperkenalkan produk-produk halal yang mereka hasilkan kepada pengguna-pengguna dalam negara. Selain itu, penganjuran pameran dan pesta sedemikian rupa boleh menjadi platform kepada para peniaga Muslim untuk mengembangkan lagi sayap perniagaan mereka lantas menaikkan lagi jenama produk-produk halal yang mereka hasilkan. Lebih menarik lagi, aktiviti-aktiviti seperti MIHAS dan HALFEST ini boleh menjadi satu titik tolak kepada syarikat-syarikat tempatan untuk bekerjasama membangunkan pasaran halal di peringkat negara seterusnya dapat merangsang industri halal di Malaysia untuk bertindak lebih berani dengan memasuki pasaran global.
Kesimpulan yang boleh diambil adalah produk-produk halal menjadi pilihan utama pengguna-pengguna di Malaysia. Masyarakat pada hari ini lebih bersikap terbuka dan berani untuk menyuarakan hak mereka. Oleh itu amat penting untuk para peniaga Muslim menyokong produk-produk halal melalui cara-cara yang telah diperbincangkan. Sekiranya para peniaga sendiri tidak memasarkan barangan yang halal atau diragui statusnya, maka bagaimana masyarakat tempatan boleh menyokong dan mendapatkan produk halal yang mereka ingini? Tidak rugi sama sekali jika para peniaga Muslim membuat promosi berkaitan penjualan produk-produk halal di premis mereka. Malah cara itu dilihat sebagai satu strategi yang lebih bijak untuk menarik seramai mungkin pelanggan ke premis dan kedai-kedai mereka. Namun begitu, untuk menaikkan produk-produk halal tidak hanya menjadi tanggungjawab pihak peniaga semata-mata, kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan. Pihak kerajaan melalui agensi-agensinya seperti JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), badan-badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), para penggiat industri halal negara serta masyarakat tempatan perlu bersatu padu dan bersama-sama menyokong produk-produk yang halal. Produk halal adalah produk yang dijamin kebersihannya dan sudah pasti ianya turut boleh digunakan oleh semua kaum seperti Melayu, Cina dan India sama ada Muslim atau bukan Muslim. Untuk itu, marilah kita bersama-sama terus menyokong pemasaran barangan halal di negara kita kerana produk yang halal dijamin kebaikkan dan keselamatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan